72 Sekolah Ditutup Sementara Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Jalani PdPR

Share

Sebanyak 72 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup sementara dan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 27 hingga 28 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di ibu negara.

Langkah ini diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kelancaran perjalanan program bertaraf antarabangsa tersebut, selain mengelakkan kesesakan jalan raya di laluan yang akan digunakan oleh konvoi pemimpin dunia.

Demi Kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN & Keselamatan Anak-Anak

Menurut  Harian Metro, Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek, berkata keputusan menutup sementara sekolah berkenaan dibuat kerana ia berada di laluan utama yang digunakan oleh delegasi dan pemimpin luar negara sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Pembelajaran akan tetap diteruskan seperti biasa melalui kaedah PdPR yang melibatkan guru dan murid di 72 buah sekolah tersebut,” katanya kepada media selepas menghadiri program Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama pelajar-pelajar di bawah KPM.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada hujung Oktober ini, dengan kehadiran pemimpin dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan serta negara anggota ASEAN.

PdPR Dua Hari, Ibu Bapa Diminta Bantu Anak Fokus Belajar

Meskipun hanya dilaksanakan selama dua hari, ibu bapa disarankan agar terus memantau pembelajaran anak-anak di rumah dan memastikan mereka mengikuti kelas PdPR seperti yang dijadualkan oleh guru.

KPM menegaskan bahawa PdPR bukan bermaksud cuti, sebaliknya langkah sementara bagi membolehkan pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa menyesuaikan diri dengan situasi luar biasa sempena acara penting negara ini.

Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka boleh menyediakan jadual belajar ringkas atau memantau kemajuan anak melalui komunikasi dengan guru kelas bagi memastikan proses PdPR berjalan dengan lancar.

Peluang Didik Anak Tentang Peranan Malaysia Di Peringkat Dunia

Selain memastikan pembelajaran anak-anak tidak terganggu, tempoh PdPR ini juga boleh dijadikan peluang untuk mendidik anak tentang peranan Malaysia di mata dunia.

Ibu bapa boleh menerangkan kepada anak-anak mengenai apa itu ASEAN, mengapa Malaysia menjadi tuan rumah, dan kepentingan kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara. Pendekatan sebegini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan anak-anak, malah menanam rasa bangga terhadap negara sendiri.

KPM Pantau Rapi & Maklumkan Sekolah Terlibat

KPM akan terus memantau serta memaklumkan perkembangan terkini berkaitan sekolah yang terlibat dalam pelaksanaan PdPR ini. Sesi persekolahan dijangka berjalan seperti biasa selepas 28 Oktober, sebaik sahaja Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 selesai.

Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga keselamatan pelajar sambil memastikan komitmen Malaysia sebagai tuan rumah acara antarabangsa berjalan dengan teratur dan lancar.

Sebagai ibu bapa, marilah kita melihat inisiatif ini bukan sekadar gangguan sementara, tetapi tanda Malaysia bersedia menyambut dunia dengan penuh kebanggaan — sambil memastikan anak-anak kita tetap terus belajar dan berkembang walau di mana mereka berada.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nana