
Seorang bapa kepada 10 anak dari Kampung Parit Lapis Hassan, Simpang Renggam, Kluang tidak mampu menahan sebak apabila lapan daripada anaknya akhirnya menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan selepas dibantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Zainal Abidin Miskan, 51, yang turut ditemani isterinya, Jannaton Naimah Rohani, 36, dilihat sujud syukur sambil menangis di atas pentas tatkala penantian panjang keluarganya berakhir.
Menurut pasangan ini, anak-anak mereka berusia antara dua hingga 14 tahun sebelum ini tidak memiliki sijil kelahiran kerana berdepan pelbagai halangan termasuk kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain.
“Syukur alhamdulillah, hari ini lapan anak saya dapat sijil kelahiran. Rasa hilang sudah satu beban besar kami sekeluarga,” kata Zainal Abidin yang masih terharu dengan perkembangan itu.
Beliau menjelaskan, dua anak sulungnya yang berumur 17 dan 15 tahun sudah pun mempunyai sijil kelahiran, manakala lapan yang lain kini akhirnya mendapat dokumen pengenalan diri yang sangat penting untuk masa depan mereka.
“Terima kasih banyak pihak yang bantu saya sekeluarga termasuk ketua kampung, pelbagai agensi kerajaan dan JPN.”
“Kita ini sudah hidup susah, saya bekerja kampung manakala isteri tidak bekerja. Biarlah anak-anak pergi sekolah untuk membantu ubah keluarga dengan ilmu,” katanya ketika ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat MEKAR Madani, Rakyat Disantuni di sini, hari ini.
Penyerahan sijil disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Raja Azlal Raja Azman.
Sementara itu, Raja Azlal berkata, program Mekar itu dimulakan sejak 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.