
Setiap anak yang lahir ke dunia membawa keunikan tersendiri. Bagi Datin Seri Shahida, isteri kepada usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri, pengalaman membesarkan anak keempatnya, Yusoff Al Qardawi membuka matanya tentang dunia kanak-kanak yang mempunyai keperluan pembelajaran berbeza.
Menurut Shahida, dia mula menyedari sesuatu yang berbeza pada Yusoff sejak anaknya itu masih kecil lagi. Walaupun sudah biasa membesarkan anak lelaki yang lasak, tingkah laku Yusoff kelihatan jauh lebih aktif berbanding anak-anaknya yang lain.
“Masa kecil lagi saya dah rasa lain sebab saya ramai anak lelaki tapi saya rasa Yusof ni lain sebab dia terlalu hyper,” kongsinya.
Sejak berusia setahun, Yusoff sering mengalami benjol di kepala kerana terlalu aktif bermain dan bergerak. Salah satu kejadian yang paling diingati Shahida berlaku ketika Yusoff berusia lima tahun apabila anaknya itu memanjat hingga ke bahagian paling atas bumbung rumah.
“Dari umur dia setahun lagi hari-hari benjol. Lepas tu dia pernah panjat genting paling atas sebab nak jadi super hero katanya. Waktu itu umur dia lima tahun. Dari situ saya nampak dia berbeza.”
Menurut Shahida lagi, Yusoff juga seorang anak yang sangat berani dan tidak pernah rasa takut. Setiap kali pulang dari sekolah, dia sering melakukan aktiviti yang mencabar seperti terus terjun ke dalam kolam ikan atau kolam renang.
“Kalau balik sekolah terus terjun dalam kolam ikan, swimming pool. Dia sejenis yang tak pernah rasa takut. Dia rasa enjoy.”
Menyedari kelainan tersebut, Shahida mengambil langkah membawa Yusoff berjumpa pakar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan itu mendapati anaknya disahkan mengalami disleksia dan juga ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder).
“Saya bawa dia ke pakar dan doktor ada beritahu dia ada disleksia dan ADHD dan kini sedang menjalani terapi. Seminggu dua kali dan rawatan untuk satu tahun.”
Bagi memastikan anaknya mendapat rawatan dan sokongan yang lebih sesuai, Shahida juga membuat keputusan untuk menukarkan sekolah Yusoff agar dia dapat menjalani terapi dengan lebih selesa.
Tambah Shahida, membesarkan anak dengan ADHD memerlukan kesabaran dan perhatian yang lebih kerana mereka memiliki tenaga yang sangat tinggi.
“Dia tak pernah rasa penat. Energy dia full. Tapi kalau dia balik rawatan dia terus tidur sebab dah banyak gunakan tenaga.”
Menurutnya lagi, pengalaman membesar dengan ramai adik-beradik lelaki membuatkan dia cukup memahami sifat anak lelaki yang aktif. Namun tahap tenaga Yusoff sememangnya luar biasa.
Walaupun mempunyai ADHD dan Disleksia, Yusoff juga mempunyai bakat semula jadi yang mengagumkan. Shahida berkongsi bahawa anaknya itu sangat pandai berenang walaupun tidak pernah dihantar ke kelas renang sebelum ini.
“Dia sangat pandai berenang, tanyalah gaya apa pun dia memang pandai. Sebabkan minat dia saya masukkanlah dia ke kelas renang supaya dia boleh fokus pada apa yang dia suka.”
Menurut Shahida, Yusoff memerlukan perhatian yang lebih kerana sifatnya yang sangat aktif. Malah dia tidak boleh dibiarkan tanpa pemantauan kerana sentiasa penuh dengan tenaga dan idea baru.
“Yusof pula saya tak boleh nak lepas, perlu ada seorang untuk fokus pada Yusof seorang saja sebab dia sangat aktif.”
Dalam perkongsiannya, Shahida turut menegaskan bahawa kesedaran tentang disleksia dan ADHD kini semakin meningkat berbanding zaman dahulu. Jika dahulu ramai yang tidak memahami keadaan ini, kini ibu bapa mempunyai lebih banyak akses kepada maklumat dan rawatan.
“Zaman dulu orang tak tahu apa itu disleksia dan ADHD tapi zaman sekarang ini berbeza. Jadi kalau kita hantar anak ke tempat yang betul dan terima rawatan sewajarnya insyaAllah akan okay.”
Pengalamannya membesarkan anak-anak lain yang mempunyai gaya pembelajaran berbeza juga membuatkan Shahida lebih yakin bahawa setiap anak mempunyai cara tersendiri untuk berkembang.
Shahida turut bersyukur kerana mempunyai kemampuan untuk mendapatkan rawatan khas bagi membantu anak-anaknya.
“Dua pengalaman saya dengan Khadeja dan Baim buat saya yakin sebab cara mereka belajar tak sama dengan orang lain.”
Saya beruntung kerana saya ada kelebihan dari segi wang ringgit jadi saya dapatkan rawatan khas untuk disleksia untuk anak-anak saya,” kongsinya lagi.
Perkongsian jujur Shahida ini membuka mata ramai ibu bapa bahawa setiap anak mempunyai keunikan tersendiri. Kisah tentang ADHD seperti yang dialami Yusoff menunjukkan bahawa dengan sokongan, kesabaran dan rawatan yang betul, anak-anak ini juga mampu berkembang mengikut potensi mereka.