Adiel Mikael Tak Banyak Ragam. Niena Baharun Puas Tengok Anak Membesar Depan Mata

Share

Belum bersedia untuk kembali aktif di arena seni, Datin Niena Baharun sebaliknya ingin memberikan sepenuh perhatian kepada anak sulungnya, Adiel Mikael, yang kini berusia tiga bulan.

Berasakan kehidupan hampir berubah sepenuhnya selepas kelahiran cahaya mata, pelakon itu turut meluahkan kepuasan dapat melihat anak lelakinya membesar di depan mata.

“Alhamdulillah, sejak menjadi ibu, tanggungjawab saya semakin bertambah. Apatah lagi, anak juga sudah memasuki usia tiga bulan, kelmarin. Mendengar pelbagai pengalaman dilalui golongan ibu, saya bersyukur kerana Adiel tidak kerap berjaga malam.

“Saya tidak tahu apakah rutin itu akan berubah pada masa akan datang. Namun, buat waktu ini, Adiel cuma akan bangun sekali meminta susu. Waktu tidurnya pula, paling lambat sekitar jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.

“Jika setahun lalu saya lebih banyak fokus kepada suami, kini ia beralih kepada anak kami pula. Saya juga sukar berjauhan dengan anak kerana masih menyusu badan,” katanya.

Niena yang popular dengan watak Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku berkata, dia mungkin akan mempertimbangkan untuk aktif semula dalam lakonan apabila Adiel sudah besar.

Niena dan suami, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi, berkahwin pada 1 Februari tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan.

Sumber: Berita Harian & ig Niena Baharun

 

IKLAN