“Adik Sayang Sangat Papa.” Kata-Kata Terakhir Anak Sebelum Ditikam Bapa Saudara

Share

“Adik sayang sangat papa”. Itu ucapan terakhir Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, yang sukar dilupakan Mohd Taquddin Ramli, 33, selepas dimaklumkan anaknya itu ditikam.

Taquddin berkata, dia sangat terkejut selepas mendapat panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan anaknya ditikam jam 1.30 petang kelmarin.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor berkata, dia bergegas pulang ke Kemaman selepas mendapat berita itu.

“Ketika itu saya sedang bekerja, dalam keadaan terkejut saya tidak putus-putus berdoa supaya kecederaan dialami Nur Hafiya tidak serius.

“Kira-kira 10 minit selepas itu, saya mendapat maklumat dia (Nur Hafiya) gagal diselamatkan, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya Ahad lalu ketika Nur Hafiya datang melawatnya di Johor.

“Nur Hafiya beritahu datuknya yang dia rindu saya, sebelum dibawa berjumpa saya.

“Selama dua hari bersama, perangainya agak pelik. Dia amat manja dan sering bergurau dengan saya, kasih sayangnya nampak lain sangat,” katanya.

Katanya, pada malam terakhir bersama Nur Hafiya, arwah mengusap kepala dan janggutnya, serta beberapa kali memberitahu sangat menyayanginya.

“Dia juga kerap bercerita mamanya kini berada di syurga.

“Saya tidak menyangka itu petanda Nur Hafiya akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Taquddin berkata, kesedihannya yang kematian isteri akibat kemalangan tahun lalu masih belum terubat, kini dia kehilangan anak kesayangan pula.

Sumber: Harian Metro

IKLAN