Gaya Hidup

After School Restraint Collapse: Fenomena Emosi Anak Yang Mengejutkan Ibu Bapa

Share

Fenomena Emosi Anak Selepas Pulang Dari Sekolah

MINGGU ini menyaksikan ramai ibu bapa berkongsi pengalaman anak-anak menyesuaikan diri dengan suasana baharu, khususnya bagi mereka yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan.

Di media sosial, pelbagai perkongsian dimuat naik daripada keletah lucu dan mencuit hati kanak-kanak di sekolah sehinggalah kisah mencabar yang dilalui ibu bapa dalam membantu anak mengurus emosi serta tingkah laku mereka di rumah.

Gambar Hiasan AI

Tidak kurang juga ibu bapa yang meluahkan perubahan sikap anak sejurus tamat sesi persekolahan, apabila anak yang kelihatan ceria di sekolah tiba-tiba menjadi mudah meragam, sensitif dan cepat menangis apabila pulang ke rumah.

‘Pergi Sekolah Okey, Balik Terus Berubah’

Antara perkongsian yang mencuri perhatian ialah luahan seorang wanita yang mengakui keletihan emosi selepas berdepan perubahan tingkah laku anaknya sebaik sahaja pulang dari sekolah.

“Anak aku empat hari sekolah, pergi sekolah okey. Balik terus perangai macam ini sampai malam, sampai ke tidur nanti.

“Aku dah tak waras hadap macam ini selama empat hari. Normal ke? Atau sebab penat?” tulisnya menerusi hantaran di Threads.

Luahan tersebut mendapat perhatian ramai ibu bapa yang turut mengalami situasi sama, termasuk respon daripada ahli terapi kanak-kanak, Aisyah Rozalli.

 

View on Threads

 

Fenomena Dikenali Sebagai After School Restraint Collapse

Menurut Aisyah, keadaan tersebut sebenarnya bukan masalah disiplin, sebaliknya fenomena biasa yang dikenali sebagai After School Restraint Collapse.

Ia merujuk kepada situasi apabila kanak-kanak mengalami keletihan emosi dan mental selepas seharian menahan perasaan serta mengawal tingkah laku di sekolah.

“Anak dah guna terlalu banyak tenaga dan memendam emosi. Apabila balik rumah, dia ‘collapse’ habis.

“Kawalan emosi dan tingkah laku dah habis, sebab itu dia meragam dan semua benda rasa tak kena,” jelasnya.

Tambah beliau, sepanjang berada di sekolah, kanak-kanak perlu mengikut arahan, berinteraksi dengan rakan, mengawal perasaan serta menyesuaikan diri dengan rutin baharu. Apabila pulang ke rumah yang dianggap tempat paling selamat, emosi yang dipendam sepanjang hari dilepaskan.

Gambar Hiasan AI

Beri Masa 30 Minit Untuk Anak ‘Reset’ Emosi

Bagi membantu anak melalui fasa ini, Aisyah menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberi terlalu banyak arahan sebaik anak pulang dari sekolah.

Menurutnya, beri masa sekitar 30 minit untuk anak berehat terlebih dahulu sebelum meminta mereka mandi, makan atau melakukan tugasan lain.

“Dia dah tak boleh nak hadap arahan,” katanya ringkas.

Jika anak sudah boleh berkomunikasi dan perkembangan lain adalah normal, ibu bapa disarankan berbincang dengan anak hanya apabila mereka berada dalam keadaan lebih tenang.

“Bagi dia buat perkara itu selagi selamat dan munasabah,” ujarnya.

Sokongan Fizikal & Sensori Bantu Anak Lebih Tenang

Selain sokongan emosi, aspek fizikal dan sensori juga penting dalam membantu anak melepaskan keletihan selepas seharian bersekolah.

Aisyah mencadangkan ibu bapa melakukan urutan tekanan mendalam atau deep pressure massage.

“Tekan dan urut bahagian dari bahu ke tangan, dari paha ke kaki.

“Kalau anak perlukan tekanan lebih kuat, boleh guna selimut yang agak berat dan peluk dia dengan selimut tersebut,” jelasnya.

Persekitaran Rumah Yang Tenang Sangat Membantu

Menurut beliau, suasana rumah sebaik anak pulang juga memainkan peranan penting dalam membantu emosi anak kembali stabil.

“Lampu biar malap sedikit, suhu rumah lebih sejuk dan kalau ada aromaterapi, gunakan bau yang menenangkan supaya sistem sensori anak dapat berehat,” katanya.

Pendekatan ini membantu anak berasa lebih selamat dan difahami, sekali gus mengurangkan risiko emosi ‘meletup’ berpanjangan.

Gambar Hiasan

Meragam Bukan Tanda Anak Bermasalah

Perubahan tingkah laku anak selepas pulang dari sekolah sering disalah anggap sebagai masalah disiplin atau sikap manja berlebihan.

Hakikatnya, fenomena After School Restraint Collapse adalah tindak balas normal terhadap keletihan emosi dan mental selepas seharian berusaha menyesuaikan diri di sekolah.

Dengan kefahaman, empati dan kesabaran, ibu bapa bukan sahaja dapat membantu anak melalui fasa ini dengan lebih baik, malah membina hubungan emosi yang lebih kukuh dan tenang di rumah.

BACA LAGI : Manfaat Mandi Air Laut Untuk Anak: Terapi Semula Jadi Buat Kesihatan & Emosi

Sumber : Threads

Published by
Nana