Agih Laptop Percuma Pada Pelajar Untuk Belajar Secara ‘Online’, Tiada Alasan Walaupun Covid-19

Share

Ketika wabak Covid-19 menyerang dunia, semua aktiviti di dunia terhenti demi menyelamatkan jutaan nyawa. Sektor pekerjaan, sektor pelajaran malah aktiviti riadah juga turut tersekat gara-gara wabak Covid-19 yang mampu membunuh sekelip mata.

Malaysia antara negara yang mengambil langkah untuk menghentikan aktiviti sosial terutama aktiviti pekerjaan dan pelajaran untuk menyekat wabak Covid-19 dari terus merebak. Keputusan drastik tersebut telah meninggalkan banyak kesan pada rakyat sama ada dari sudut positif mahupun sebaliknya.

Antara sektor yang terjejas antaranya sektor Pendidikan yang mana ibu bapa tidak lagi dapat menghantar anak-anak ke sekolah bagi mendapatkan pelajaran dan peperiksaan turut ditangguhkan.

Terpanggil untuk merakam peristiwa pandemik yang berlaku di Malaysia sebagai satu sejarah yang mungkin tidak akan dilupakan, Astro menjalankan pengambaran bertajuk Malaysia vs. Covid-19 Documentary, Docufilm #kitaJagaKita yang bakal bersiaran pada Sabtu 12 September 2020 dalam 4 bahasa.

Antara yang terlibat dalam Docufim ini ialah Zahirah daripada Teach For Malaysia (sebuah badan bukan kerajaan) yang telah menghulurkan bantuan untuk memastikan anak-anak golongan B40 (Below 40) mendapatkan pelajaran walaupun ketika waktu pandemik sedang mengganas.

Pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilakukan secara dalam talian selepas Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan. Ketika ini, dalam waktu yang sangat singkat untuk membuat persediaan daripada ibu bapa dan pelajar, ramai yang tidak dapat memenuhi tuntutan pembelajaran secara dalam talian atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti tidak mempunyai komputer riba, telefon bimbit dan akses kepada internet yang sangat terhad.

Tumpuan untuk bantuan pelajaran disalurkan adalah disekitar kawasan pendalam yang mana kemudahan atau akses kepada internet sukar didapati. Teach For Malaysia telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengenalpasti sekolah-sekolah yang perlu dibantu terutama sekolah diluar bandar.

Antara cabaran utama guru-guru ketika ini adalah untuk melaksanakan pembelajaran dan pelajaran secara dalam talian. Teach For Malaysia telah membuat satu inisiatif dengan mencipta Microsite sebagai medium untuk memuatnaik bahan pembelajaran dan sebagainya.

Teach For Malaysia menerusi kerjasama dengan syarikat komputer riba terkenal, HP telah mengagihkan sebanyak 60 komputer riba kepada pelajar yang memerlukan.

Menurut Zahirah “Ramai yang melihat pendidikan itu apabila pelajar ke sekolah dan masuk ke kelas, apabila pandemik ini berlaku ramai yang mula sedar, pendidikan bukan hanya di sekolah tetapi boleh berlaku dimana sahaja dan bukan hanya guru sahaja yang boleh mengajar, malah ibu bapa pun boleh menjadi guru.”

Ada pelbagai lagi kisah dan perkongsian para barisan hadapan negara yang boleh dijadikan inspirasi buat kita semua. Kalau nak tahu anda wajib tonton Malaysia vs. Covid-19 Documentary, Docufilm #kitaJagaKita yang bakal bersiaran pada Sabtu 12 September 2020 ini.

 

 

IKLAN