Air Rebusan Daun Herba, Ibu-Ibu Selepas Bersalin Elok Amalkan, Badan Rasa Ringan Je
Selepas bersalin, ibu-ibu sangatlah digalakkan untuk mandi air rebusan daun herba. Banyak kebaikan air rebusan kepada tubuh badan terutama kepada ibu-ibu selepas melahirkan. Mengikut pantang larang tradisional, ibu-ibu selepas bersalin tidak digalakkan mandi air paip biasa yang sejuk kerana bimbang boleh memudaratkan diri.
IBU AMAT DIGALAKKAN UNTUK MANDI AIR REBUSAN DEDAUN YANG HANGAT KERANA IA MEMBANTU MENYEGARKAN KEMBALI TUBUH BADAN YANG LETIH DAN LESU SELEPAS MELAHIRKAN BAYI. SELAIN ITU MANDIAN INI JUGA MEMBANTU IBU MENJAGA KEBERSIHAN BADAN DAN MENGHILANGKAN BAU BADAN YANG KERAP BERPELUH.
Mandian rebusan daun herba herba menggunakan pelbagai bahan dan daun-daun herba terpilih. Khasiatnya sangat bagus untuk diamalkan oleh ibu-ibu dalam berpantang.
Antara kebaikan mengamalkan mandian rebusan dedaun ketika berpantang adalah:
1. MENYEGARKAN KEMBALI TUBUH
Bau-bauan segar pelbagai daun herba yang digunakan seperti serai, daun limau purut, daun pandan, daun kunyit berfungsi seperti aromaterapi yang mampu memberi kesegaran dan ketenangan kepada ibu yang letih, lesu dan kurang bertenaga selepas melahirkan bayi. Selain itu ia juga menjadi penenang kepada ibu yang mungkin rasa tertekan kerana kurang tidur menjaga bayi yang menangis di tengah malam.
2. MEMBUANG ANGIN
Seperti kita sedia maklum, ibu dalam pantang memang banyak angin dalam badan. Amalan mandi air rebusan daun dan herba yang banyak khasiat ini mampu membuang angin-angin dalam badan yang boleh mengganggu kesihatan ibu.
3. MELANCARKAN PENGALIRAN DARAH DAN MERANGSANG PENGHASILAN SUSU IBU
Biasanya ibu akan mandi air rebusan ini selepas selesai mengurut seluruh badan. Ia akan lebih membantu melancarkan pengaliran darah dalam badan sekaligus memberikan kesegaran dan dapat menggembirakan ibu. Bila hati gembira maka hormon oksitosin pun akan meningkat dan sekaligus susu ibu akan mengalir dengan lebih lancar.
Ramuan Untuk Membuat Air Rebusan Mandi Dedaun
1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
10 helai daun limau purut
6 batang daun serai bersama serai
Halia muda sebesar 4 kali ibu jari
7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
Seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
Segenggam halba (dipunjutkan)
Ads
Cara Menyediakan Air Mandi:
1. Ambil periuk tanah ukuran sederhana.
2. Sediakan bahan-bahannya.
3. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana.
4. Masukkan halba yang dipunjutkan.
Ads
5. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
TIP MANDI AIR REBUSAN DEDAUN:
*Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua.
*Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari [kaki kanan] dahulu diikuti kaki [kaki kanan] kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri.
*Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. Proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
*Daun-daun rebusan tersebut boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit.
*Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air daripada masuk ke dalam badan.
Sumber: Artikel ini diolah dari Pa & Ma Kredit foto (top image): Pexels
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perasaan rindu pada anak syurga yang telah pergi buat selamanya sukar dipadam dari dalam hati seorang ibu yang tabah melalui dugaan. Puan Hamidah Tajuddin berkongsi pengalaman membesarkan anak Sindrom Downnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser Leukimia.
Sepanjang kehamilan tiada sebarang masalah membuatkan dia dan suami menyangka segalanya berjalan lancar. Sehinggalah tiba hari melahirkan bayi, baru diketahui anaknya mengalami pelbagai komplikasi seperti jantung berlubang, jaundis yang teruk, jangkitan paru-paru dan yang paling terkejut disahkan Sindrown Down.
“Selepas melahirkan, suami hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu hal sebenar. Dia hanya cakap anak okey. Esoknya saya hairan kerana menunggu suami datang tetapi tak kunjung tiba. Lalu doktor yang bertugas memberitahu hal tersebut. Waktu itu sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perasaan ketika itu. Bayangkan 13 tahun yang lalu, masalah Sindrom Down tidak terlalu ketara dibandingkan dengan sekarang.
Jadi saya rasa tak boleh nak hadapi dan uruskan anak ketika itu. Sampaikan darah tinggi saya naik dan ditahan di wad sedangkan sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis. Bukan kerana saya menolak takdir tetapi saya tidak tahu bagaimana nak uruskan anak istimewa ini.
Apabila petang baru suami sampai dan dia cakap memang dah tahu anak kami istimewa. Dulu waktu saya mengandung 7 bulan, suami ada mengerjakan umrah dan di depan Kaabah, terlintas bayangan anak. Tetapi suami tak ceritakan pada saya. Hanya selepas anak kami lahir baru dia cerita.
Dua hari saya tak pegang atau tengok anak ketika itu. Sehingga suami suruh ambil dan susukan anak. Dia nak saya rasakan apa perasaan sebagai seorang ibu. Terus saya menangis dan apabila memangku Muhammad Syukur, rasa kasih sayang seorang ibu tiba-tiba ada. Saya dakap dan cium dia dengan sepenuh hati,” ujar ibu kepada Muhamad Syafiq, Muhamad Syauqi, Muhamad Syaqir, Farah Shuhada, Farah Shahida dan Muhamad Syukur.
Umur 5 tahun sudah boleh membaca
Ketika dalam pantang tiada masalah menjaga bayi kerana anaknya sangat baik cuma Syukur lebih banyak tidur berbanding menyusu menyebabkan payu daranya bengkak.
“Saya tak pantang sangat sebab keluar masuk hospital kerana Syukur kena jaundis yang teruk. Satu hari kawan suami datang dan beritahu dia juga ada anak istimewa dan katanya tak ada masalah untuk menguruskan mereka.
Jadi saya tetapkan azam dalam masa 5 tahun saya nak all out dengan anak. Saya sekolahkan dia umur 6 bulan di Kiwanis Down Syndroem Foundation. Selepas 44 hari pantang, saya ke Kiwanis, dan ke IJN serta Persatuan Sindrom Down Malaysia. Di Kiwanis ramai anak-anak yang sama dengan anak saya. Daripada situ, semangat saya kian bertambah cuma saya sedih sebab anak orang lain hanya bermasalah Sindrown Down, anak saya siap ada jantung berlubang lagi.
Umur 1 tahun 7 bulan anak saya menjalani pembedahan dan nampak lubang di jantungnya membesar. Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya. Selain itu saya juga bawa anak ke sekolah khas. Anak-anak istimewa ini susah untuk bercakap dan ambil ambil masa, jadi saya tidak harapkan sekolah semata-mata.
Sebaliknya di rumah pun saya ajar anak. Anak-anak istimewa ini lebih mudah dan cepat tangkap kalau kita gunakan Bahasa Inggeris. Saya guna flash card kerana ia sangat membantu. Malah, waktu dalam pantang lagi saya sudah praktikkan. Umur 5 tahun anak saya sudah boleh membaca,” ujar Hamidah yang memberitahu tak perlu kos tinggi jika ibu bapa kreatif, sebaliknya dia menggunakan manila kad untuk buat sendiri flash card.
Anak didiagnos kanser
Reda dan mampu menerima anaknya Sindrown Down, sekali lagi ujian melanda pasangan ini bila mana Syukur didiagnos menghidap kanser .
“Waktu bersekolah di Putrajaya ketika umurnya 7 tahun, tiba-tiba Syukur demam. Waktu itu rasa sesuatu tak kena. Kami bawa ke hospital selepas nampak tanda bintik-bintik merah dan lepas ambil darah, doktor tengok keputusan darahnya rendah dan itu petanda ada kanser. Selepas keluar result doktor beritahu Syukur ada penyakit Leukimia.
Ketika di dalam ambulans nak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya bisik pada diri mulai hari ini, bermulalah episod anak saya sebagai pesakit kanser. Sudahlah dia sindrown down, sekarang bertambah penyakit lain. Bermula dari hari itu, Wad KK3, HKL ibarat rumah kedua kepada saya.
Di wad kanser, rupanya ramai kanak-kanak yang menghidapi pelbagai jenis kanser. Saya berkenalan dengan ramai ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak dan kami seperti satu keluarga dan saling menyokong antara satu sama lain. Ramai juga dari ibu bapa ini yang berdepan dengan pelbagai masaalah semasa anak-anak mereka menerima rawatan di HKL.
Jadi, daripada situlah saya tubuhkan kumpulan sokongan kerana kasihan dengan ibu bapa yang masih muda dan tiada sumber kewangan. Dalam masa yang sama mahu beri mereka kekuatan dan tertubuhlah Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS)” ujar Hamidah sambil memberitahu sambutan diterima baik dan setakat ini sudah ada hampir 500 orang ahli di dalam kumpulan tersebut.
IQ tinggi
Setiap kali anaknya masuk wad, hati ibu gundah gulana dan sentiasa berdoa supaya Tuhan masih panjangkan umurnya dan beri kesempatan pada dirinya untuk membesarkan anak syurga itu.
Walaupun Syukur tidak bersekolah, tetapi tahap IQnya cukup tinggi. Tanyalah apa sahaja pasti Syukur boleh jawab. Malah, dia juga pandai Google sendiri tanpa perlu diajar. Waktu umurnya masuk 11 tahun, doktor beritahu kansernya sudah tiada dan sebagai ibu memang gembira dan bersyukur tak terkata.
“Tapi, kegembiraan itu tak panjang apabila Syukur lagi sekali diserang kanser pada usia 12 tahun. Tuhan mahu menduga kami lagi dan doktor cakap tiada harapan. Bayangkan kimo yang perlu Syukur lakukan 3 kali ganda lagi kuat dari sebelum ini.
Sekali buat kimo, Syukur terus dimasukkan ke ICU dengan ulser penuh di mulut, muntah darah dan sebagainya. Sedih hati sebagai ibu apabila melihat keadaan dia ketika itu. Tapi Syukur seorang yang kuat dan dia jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk melalui semua ini.
“Disebabkan dia tak boleh makan, jadi saya kisar bubur dan guna sringe suapkan dia. Bila dia tak boleh makan saya nangis dan terus dia cakap Mummy don’t cry Mami, I’m strong. Lepas tu dia sapu air mata di pipi saya,” cerita Hamidah.
Kanser Merebak Dalam Darah
“Arwah mula disahkan relapse pada bulan September tahun lalu di mana kansernya dapat di kesan dalam darah. Mula-mula kami pelik dia sakit pinggang. Tiga minggu lepas tu baru dapat tahu bila ambil darah yang kanser dia ada dalam darah sebanyak 50%. Dari mula dia sakit pinggang, dia tak boleh berjalan sehingga arwah meninggal.
Doktor beritahu kansernya tidak boleh dirawat lagi dengan kaedah kimoterapi kerana dia sudah banyak kali membuat rawatan tersebut. Ini kali kedua dia relapse. Dari situ kami rasa tertekan dan memang sedih sebab dia telah banyak melalui kimoterapi tapi masih tidak sihat. Tapi bila kami fikir, itu semua kuasa dari Allah.
Kami bangkit dan nekad akan buat yang terbaik untuk cari rawatan lain selain dari datang ke HKL untuk transfuse darah dan platelet. Dalam masa 3 bulan tu kami memang 100% uruskan dia. Alhamdulillah anak-anak lain beri sepenuh perhatian dan turut membantu menguruskan adik dengan penuh kasih sayang.
Semua adik-beradik rapat dengan adik mereka. Semua yang adik inginkan akan dituruti cuma masa 3 bulan tu kesihatan Syukur mula merosot. Setiap 3 hari blood count dia mesti drop dan akan ke HKL untuk masuk darah dan platelet. Kadang-kadang mulut keluar darah dan sentiasa sakit perut kerana hati dan limpa mula membengkak.”
Akhirnya Syukur pergi tinggalkan Mummy
Selesai rawatan tiba-tiba kanser Syukur menyerang kali ke-2 pada bulan September lalu sehingga dia meninggal dunia pada 26 November 2018 ketika berusia 13 tahun.
“Ketika itu kami sudah tak boleh buat apa lagi. Bila sakit, Syukur akan dibawa ke HKL. Pada dua minggu sebelum Syukur pergi buat selamanya, dia dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.
Bermula dari situ berat badannya turun kerana tiada selera makan dan tak boleh nak makan solid food. Dia hanya minum air dan makan bubur sahaja. Semasa akhir hayatnya, langsung dia tidak menunjukkan tanda yang akan meninggalkan kami Cuma dia selalu cakap yang dia saying dan rindukan Mummy dan Ayah.
Di awal dia sakit dia selalu cakap terima kasih kerana lahirkannya. Tiga jam sebelum dia meninggal masih bercakap lagi dan panggil ayah dan cakap adik sayang Ayah, adik sayang Mummy,” cerita Hamidah dalam nada sayu.
Hamidah menganggap Syukur anak yang sangat menyenangkan hati dan tak banyak mengeluh bila sakit. Arwah selalu minta Mummy dan Ayah serta keluarga mendoakan dia cepat sembuh tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami nampak dan rasa dia kritikal hanya beberapa jam sahaja, Allah permudahkan dia pergi. Memang senang,” akhiri Hamidah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahan semulajadi yang digunakan dalam kehidupan seharian sebenarnya boleh membantu merawat sakit. Cuma bagaimana cara digunakan itu bergantung kepada kesesuaian dan masalah penyakit yang dialami.
Selain makan ubat dan mendapat nasihat doktor, tak salah untuk cuba ikhtiar guna rawatan alternatif kerana ia juga boleh membantu.
Perkongsian dari seorang ibu, Puan Yatie Eimra yang membuat sendiri minyak bawang putih yang dicampurkan dengan daun sirih untuk merawat masalah batuk teruk anak dan suaminya boleh dicuba.
Masa anak & suami batuk teruk tempoh hari, selain makan ubat & jaga pemakanan saya gak selalu urut dada & belakang badan gunakan minyak bawang putih.
Sebelum ni bila Fydh batuk teruk, saya gunakan minyak bawang putih (+daun salam), dan layurkan daun sirih untuk diletak pada dada anak. Tapi sebenarnya bukan semua orang serasi gunakan cara layurkan daun sirih ni.
?Pertamanya, bagi anak yang kulit sensitif, daun sirih tadi akan menyebabkan ruam & gatal² pada kulit.
Fydh ni sendiri pun tak boleh letak lebih dari 30 minit.. Kalau x, memang akan jadi ruam & gatal pada bahagian lekapan daun sirih.
?Daun sirih ni sifatnya panas. Tak semua serasi/tahan panas daun sirih ni nak² kalau layurkan sirih & gunakan minyak panas/telon. Sebab tu sebaiknya gunakan minyak bawang putih/balsam bayi yang sederhana/tak terlalu panas untuk anak kecil.
Kalau korang pernah baca post saya tentang ayat² syifa’ sebelum ni, saya ada ceritakan yang mana saya dah mati akal & tak tahu nak buat apa untuk kurangkan batuk anak (walaupun dah makan ubat, batuk tetap non stop). Sebagai ikhtiar terakhir, saya gorengkan daun sirih dalam minyak bawang putih. Saya syukur sangat sebab anak serasi dengan minyak bawang putih yang dicampurkan daun sirih & batuk mula beransur² berhenti tak lama lepas tu..
Baru² ni disebabkan 1 rumah dah berjangkit demam & batuk, saya buatkan stok minyak bawang putih untuk kegunaan seisi keluarga. Macam biasa jugak, saya gunakan cara menggoreng hirisan bawang putih dalam minyak zaitun dengan api yang sangat perlahan. Bila buat minyak bawang putih, saya memang wajib tambahkan daun salam gak sebab sangat² membantu dalam masalah berkaitan pernafasan. Kali ni saya tambahkan bahan ke-4 iaitu daun sirih yang telah diramas². Daun sirih memang elok untuk meredakan selesema, batuk, asthma, sesak dada & jugak sakit perut (masalah pencernaan).
Alhamdulillah, bila gunakan minyak ni memang nampak perubahannya lebih cepat. Bila anak/suami terbatuk² jer, saya sapukan jer minyak ni pada dada & belakang badan (sebaik²nya urut sikit), batuk pun kurang secara beransur².. Sebelum tidur malam pun, sapukan dulu minyak ni pada bahagian dada, belakang & juga tapak kaki.. InsyaAllah anak tak batuk teruk sangat tengah² malam (selalunya batuk jadik lebih teruk waktu tengah malam sebabkan suhu yang lebih sejuk & posisi berbaring – kahak terkumpul banyak pada paru²)
Kalau ada yang alami masalah batuk berterusan & nak cuba buat minyak bawang putih dengan daun sirih, ni saya sertakan resipinya.. Mudah²an dapat dimanfaatkan bersama.. Apa² pun penyakit kita/anak, jangan lupa berdoa & minta kesembuhan padaNya sebab Allah jugalah yang Maha Menyembuhkan & kita sekadar berusaha (makan ubat, ikhtiar secara alternatif, dll).
Bahan²:
1 cawan (250 ml) minyak zaitun (sy guna extra virgin olive oil)
1 labu bawang putih
1-2 helai daun salam (segar/kering)
5-7 helai daun sirih diramas
Cara²:
1. Bawang putih dikupas kulit, dihiris nipis & dibiarkan seketika (5-10 minit).
2. Goreng daun salam & daun sirih dalam sedikit sahaja minyak zaitun hingga layu.
3. Masukkan bawang putih & tambahkan sikit lagi minyak (agak² tenggelam je). Panaskan dengan api yang sangat perlahan hingga garing.
4. Masukkan bahan² tadi ke dalam bekas kaca & tambah minyak zaitun selebihnya (minyak zaitun akan hilang khasiat dlm suhu terlalu tinggi, sebab tu guna sikit je utk goreng). Kacau agar sebati & biarkan suam.
⭐kesannya lebih efektif jika biarkan terendam semalam
⭐daun sirih/hirisan bawang perlu disimpam terendam minyak supaya tak berkulat. Sekiranya kuantiti minyak dah sikit, keluarkan daun sirih/hirisan bawang supaya minyak tak rosak.
⭐gunakan 3-5 helai jer dauh sirih jika daun bersaiz besar
Amalan penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, ia tidak juga susah! Asalkan anda tahu teknik yang betul, amalan ini dapat dilaksanakan dengan tenang dan dan lancar.
Bagi anda yang berazam mahu menyusukan bayi dengan susu ibu sehingga umurnya dua tahun, berikut adalah panduan penting yang perlu diambil peduli. Kalau nak berjaya lengkapkan penyusuan susu ibu, tip ini anda kena buat ya.
Sepanjang tempoh dua tahun ini, pasti akan ada cabaran-cabaran yang perlu ditempuh sehingga boleh menyebabkan anda jadi putus asa. Sistem sokongan di sekeliling anda banyak mempengaruhi kejayaan penyusuan susu ibu. Diri anda sendiri perlu siap secukupnya daripada sudut mental dan fizikal. Oleh itu, kena ada tekad dan kekalkan semangat.
Anda dan suami perlu merancang dari awal. Sejak sebelum kelahiran bayi. Tanamkan niat hanya mahu susukan bayi dengan susu ibu sebaik sahaja dia dilahirkan dan diteruskan sehingga umurnya dua tahun.
Kalau sudah pasang niat tetapi tidak tahu cara-caranya, susah juga. Jadi, anda perlu cari dan tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu. Baca artikel-artikel di internet, rujuk di blog-blog ibu menyusu, tanya kawan-kawan dan sertai forum penyusuan susu ibu.
Buku dan majalah yang mempunyai informasi tentang penyusuan susu ibu pun perlu dibaca. Bila ada ilmu, sudah pasti anda lebih faham dan yakin apabila berdepan dengan apa-papa pun masalah yang berkaitan.
Apabila tekad menyusukan bayi dengan susu ibu, jangan malu untuk berkongsi niat kepada suami, keluarga dan orang terdekat. Sokongan mereka penting!
Mungkin ada di antara mereka yang tidak begitu memahami tentang konsep penyusuan susu ibu. Tidak mengapa. Anda perlu teguh dengan pendirian dan ilmu yang telah anda kumpulkan. Dalam masa sama, kongsi ilmu yang ada pada anda.
Antara kelengkapan penting yang perlu ada apabila mahu menyusukan bayi ialah pam payudara, pad payudara, bantal menyusu, coli menyusu dan macam-macam lagi.
Apabila kelengkapan ini ada, proses penyusuan akan jadi lebih selesa dan mudah. Barulah seronok menyusukan anak. Walaupun begitu, tidak perlu membazir wang membeli yang bukan-bukan. Utamakan keperluan asas terlebih dahulu.
Semasa mengandung, sentiasalah berdoa semoga Tuhan permudahkan urusan mennyusukan anak. Bagi Muslim, boleh amalkan zikir Ya Matin. Caranya ambil segelas air dan baca Bismillah sama ada tiga, sepuluh atau 100 kali. Kemudian baca zikir Ya Matin 70 kali. Akhiri dengan selawat. Minum air itu dengan niat mahu menyusukan anak.
Selain daripada itu, amalkan juga surah Al-Hujurat. Ia adalah ikhtiar memperbanyakkan susu ibu.
Ibu menyusu perlu menjaga kesihatan fizikal. Jika tidak sihat mahupun badan penat, proses penyusuan akan jadi mencabar. Untuk itu, jaga pemakanan, rehat secukupnya, selalu rasa gembira dan bersikap positif.
Pastikan setiap kali waktu makan mesti ada buah, sayur, protein, karbohidrat dan air yang mencukupi. Ada baiknya, anda kurangkan ataupun elakkan makanan proses dan tidak berkhasiat.
Setiap hari, anda digalakkan untuk minum lebih kurang tiga liter air di samping mengamalkan makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu ibu.
Tertekan itu perkara biasa. Namun, penting untuk anda mengurus tekanan yang dialami. Jangan terlalu ikutkan hati. Ia boleh ganggu penghasilan susu ibu. Ada baiknya anda bertenang setiap kali berdepan masalah atau apa-apa jua jenis tekanan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!