
Tiada siapa menyangka satu ajakan sederhana daripada seorang anak kecil untuk ajak ayah solat Isyak bersama akhirnya menjadi antara kenangan terakhir mereka.
Malam sebelum Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, ditemukan maut di sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, kanak-kanak itu dikatakan menunjukkan tingkah laku yang sedikit berbeza daripada kebiasaannya.
Dia meminta untuk makan mi segera bersama telur cair sebelum mengajak bapanya menunaikan solat Isyak berjemaah.
Momen itu mungkin kelihatan seperti rutin biasa antara seorang anak dan ayah, namun kini ia menjadi kenangan yang pastinya sukar dilupakan oleh keluarga selepas Putri pergi buat selama-lamanya.
Lebih menyentuh hati, menurut neneknya, sebelum ini Putri tidak pernah mengajak bapanya untuk menunaikan solat bersama.
Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, berkata cucunya kelihatan berbeza pada malam Ahad sebelum kejadian.
Menurutnya, Putri meminta makanan yang diingininya sebelum ajak ayah solat bersama.
“Semalam (Ahad), dia berkelakuan lain sangat daripada biasa. Dia minta nak makan Maggi dengan telur cair, lepas itu dia ajak ayahnya sembahyang Isyak bersama-sama, sedangkan sebelum ini dia tak pernah ajak ayahnya sembahyang sekali.
“Cucu saya memang budak yang sangat baik dan bijak. Kalau kita ajar apa-apa, dia cepat sangat tangkap,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, semalam.
Tidak terlintas di fikiran keluarga bahawa ajakan Putri pada malam berkenaan bakal menjadi antara saat terakhir bapanya dapat meluangkan masa bersama anak kecil itu.
Keesokan paginya, suasana keluarga berubah apabila Putri tidak lagi berada di tempat kebiasaannya.
Kehilangan Putri hanya disedari kira-kira jam 9 pagi selepas Mahani selesai bersarapan. Ketika mencari cucunya di buaian, tiada sebarang sahutan diterima.
Mahani kemudian meminta bapa Putri mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum mereka akhirnya menemukan kanak-kanak itu di alur sungai.
“Hati saya rasa tak sedap apabila panggil dia dekat buaian tetapi tak ada sahutan. Kami terus cari dan jumpa dia dalam keadaan tertiarap. Ayahnya terus bergegas tarik dia keluar dari air,” katanya.
Sungai berkenaan terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa dan untuk sampai ke lokasi, mereka perlu melalui kawasan kebun yang tidak berturap.
Menurut Mahani, kanak-kanak di kawasan itu juga tidak pernah pergi ke sungai berkenaan bersendirian kerana lokasinya agak jauh dari rumah dan perlu melalui kawasan kebun.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor memaklumkan Putri pulang ke Tanjung Sedili bersama bapanya yang berusia 40 tahun.
Bapa Putri dilaporkan menetap dan berniaga kedai makan di Muar sebelum pulang ke kampung untuk mengambil ubat.
Suspek yang juga saudara kepada mangsa turut bersama mereka ketika pulang ke Tanjung Sedili.
“Suspek turut bersama mereka pulang ke Tanjung Sedili, malangnya suspek yang dipercayai kurang kewarasan bertindak di luar jangkaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, semalam.
Muszaidi turut menziarahi bapa mangsa di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili pada petang berkenaan dan menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa keluarga itu.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas disyaki mencampak Putri ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematiannya.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.30 pagi Isnin berhubung seorang lelaki yang mengamuk sambil bersenjatakan parang.
Suspek dipercayai terlebih dahulu mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum bertindak mengejar bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 40 tahun.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
“Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek dapat ditahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian Putri.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk proses bedah siasat.
Polis turut memaklumkan suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi. Suspek juga dijadualkan mengambil bekalan ubat di Hospital Kota Tinggi pada pagi kejadian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Buat seorang bapa, kenangan malam terakhir itu tentunya akan kekal lama dalam ingatan. Tiada siapa tahu bahawa itulah antara detik terakhir seorang ayah dapat bersama anak kecilnya sebelum segala-galanya berubah pada keesokan pagi.
Ajakan sederhana untuk bersolat bersama akhirnya menjadi satu kenangan yang membawa makna begitu besar selepas Putri pergi buat selama-lamanya.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!