Tindakan seorang bapa meninggalkan dua anak kandungnya yang juga anak istimewa tanpa sebarang pengawasan wajar, membawa dirinya ke muka pengadilan.
Thaha Abdul Latef, 39, seorang akauntan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan.
Foto sumber daripada BERNAMA
Menurut pertuduhan pertama, Thaha didakwa sebagai seorang bapa telah meninggalkan anak lelakinya lelaki berusia 10 tahun tanpa menyediakan apa-apa keperluan mencukupi untuk pengawasan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu.
Ads
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa telah melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun.
Ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norazlin Othman, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Ads
Menurut fakta pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Elmina Valley, Seksyen U16, Shah Alam sekitar jam 4 petang pada 15 Mac lalu. Thaha didakwa gagal menyediakan keperluan pengawasan sewajarnya kepada kedua-dua anaknya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, dengan syarat tambahan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai langkah kawalan.
Kes ini dijadualkan untuk sebutan semula pada 4 September 2025.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cuti sekolah yang sepatutnya dipenuhi gelak tawa dan aktiviti riang anak-anak bertukar menjadi episod duka apabila satu tragedi cuti sekolah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dalam kejadian di Kampung Permatang Tepung, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 12 tahun, dilaporkan terjatuh ke dalam parit besar ketika membantu adiknya, Muhammad Rayan Firrdaus, 9 tahun, yang terlebih dahulu terjatuh ke kawasan berair deras itu.
Menurut bapa mangsa, Abd Rahim Saidin, 40, kejadian itu amat sukar diterima lebih-lebih lagi apabila teringat kelakuan arwah yang dilihat berbeza malam sebelumnya.
“Malam kelmarin arwah begitu selera makan nasi dengan lauk sambal telur. Empat kali bertambah, sedangkan sebelum ini dia tidak kuat makan. Saya tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Abd Rahim berkata, anak sulungnya yang mesra dipanggil Abang keluar bersama kira-kira 10 rakan sekampung untuk menangkap ikan laga di kawasan parit besar berhampiran rumah mereka, berikutan paras air yang meningkat selepas hujan beberapa hari kebelakangan ini.
“Kawasan itu memang biasa mereka pergi. Tak pernah berlaku kejadian buruk sebelum ini,” katanya.
Namun, kegembiraan itu bertukar menjadi tragedi cuti sekolah apabila adik mangsa terjatuh ke dalam parit, menyebabkan arwah tanpa berfikir panjang terjun bagi menyelamatkan adiknya.
“Saya pelik dengan kelainan arwah malam itu. Rupanya Allah tunjukkan tanda terakhir. Ujian ini sangat berat, tapi saya reda,” katanya sebak.
Lebih meruntun perasaan, Abd Rahim mengakui masih menyimpan rasa terkilan terhadap satu perkara kecil yang kini menjadi kenangan paling pedih.
“Arwah merayu nak pakai kasut sekolah baharu warna hitam semasa majlis graduasi di sekolah. Ibunya yang belikan. Tapi saya tak benarkan, suruh simpan untuk buka sekolah nanti,” katanya.
Menurutnya, kasut itu sepatutnya dipakai pada hari persekolahan yang tidak pernah sempat tiba akibat tragedi cuti sekolah tersebut.
Parit berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa. Abd Rahim berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran sebelum bergegas ke lokasi.
“Penduduk kampung cuba mencari arwah dalam parit dengan arus yang deras. Mayat arwah ditemui kira-kira jam 7.15 malam selepas dua kali azan dilaungkan,” katanya.
Sementara itu, rakan mangsa, Amirul Hakimi Mahyuddin, 12, berkata dia sempat menarik tangan adik mangsa yang terjatuh, namun arwah segera terjun untuk membantu.
“Arwah masuk ke dalam parit semata-mata nak selamatkan adiknya. Tapi dia dibawa arus deras dan masuk ke bawah pembentung,” katanya.
“Saya sempat nampak tangan arwah sekali sebelum dia tenggelam. Arwah baik dan pandai berkawan,” tambahnya.
Menurut Amirul, sebelum kejadian, mereka berjaya menangkap kira-kira 30 ekor ikan laga, namun pengalaman hitam akibat tragedi cuti sekolah itu membuatkan dia berjanji untuk tidak lagi meneruskan hobi berkenaan.
Tragedi ini menjadi peringatan pahit buat ibu bapa agar sentiasa meningkatkan pengawasan anak-anak, khususnya ketika musim cuti sekolah, walaupun di kawasan yang dianggap biasa dan selamat.
Seorang abang pergi dalam keadaan paling mulia — meninggalkan dunia demi menyelamatkan darah daging sendiri.
Al-Fatihah buat Muhammad Alif Fahmi. Semoga keberaniannya menjadi saksi kasih seorang abang yang tiada nilainya.
Bila anak kecil balik dengan badan penuh lebam, ibu mana yang tidak menangis? Tapi lebih menyedihkan apabila laporan dibuat, siasatan diminta… akhirnya kes ditutup tanpa sebarang tindakan.
Inilah yang terjadi kepada ibu muda, Syaza Syamimi, yang masih setia menuntut keadilan buat anaknya, Syakir Ali, yang dipercayai menjadi mangsa dera di pusat jagaan kanak-kanak.
Segalanya bermula pada 17 Januari 2025, apabila Syaza menjemput anaknya dari pusat jagaan. Ketika mahu memandikan anak, dia terkejut melihat kesan lebam panjang dan kemerahan di belakang badan si kecil.
Esoknya, Syaza dan suami ke klinik swasta, tetapi doktor hanya memberikan ubat gatal. Tidak berpuas hati, mereka ke Hospital Sultanah Aminah dan doktor di sana mengesahkan lebam tersebut bukan disebabkan alergi, tetapi berkemungkinan besar akibat dipukul atau jatuh atas objek panjang.
Laporan polis dibuat segera di Johor Sentral, dan kes kemudian dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri. Pada 25 Februari 2025, laporan perubatan rasmi menyatakan bahawa memang wujud unsur penderaan.
Syaza juga telah:
✅ Menyerahkan bukti bergambar ✅ Menjalani pemeriksaan penuh X-ray ✅ Membuat laporan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ✅ Berulang-alik ke balai polis untuk bantu siasatan ✅ Bertanya perkembangan kes setiap bulan
Namun, tiada perkembangan diterima daripada pihak berwajib — sehingga 8 bulan berlalu.
Lebih menyakitkan, Syaza dimaklumkan bahawa rakaman CCTV tidak dapat diberikan kerana kononnya rosak akibat ribut petir dan sedang diselenggara.
Akhirnya, pada 5 Ogos 2025, Syaza menerima surat melalui PDF. Kandungan surat itu menyatakan:
“Tiada saksi untuk menyokong dakwaan. Tiada bukti kukuh. Tiada unsur jenayah. Oleh itu, kes ditutup dan tiada tindakan lanjut akan diambil ke atas mana-mana pihak.”
Syaza yang kecewa menyatakan bahawa dia sudah mengambil semua langkah berjaga-jaga sebelum memilih pusat jagaan untuk anaknya.
“Saya bukan main pilih. Saya buat lawatan, semak ulasan, dan tengok latar belakang pusat itu. Tapi sekarang, tiada satu pihak pun yang nak bertanggungjawab. Selama lapan bulan saya menunggu dengan penuh harapan. Tapi akhirnya anak saya tak dapat pembelaan.”
“Mohon doa semua. Semoga ada keadilan untuk Syakir Ali kami. Kalau bukan di dunia, semoga Allah balas dengan setimpalnya buat mereka yang zalim pada anak kecil yang tak mampu bersuara ini.”
Kes Syakir Ali ini membuka mata ramai ibu bapa. Anak kecil tidak mampu bercakap sepenuhnya untuk ceritakan apa yang berlaku. Tetapi tubuh mereka tak pernah menipu. Lebam bukan perkara biasa.
Sebagai ibu bapa, kita perlu:
✅ Sentiasa pantau keadaan fizikal anak selepas balik dari penjagaan ✅ Peka dengan perubahan tingkah laku anak ✅ Buat laporan segera jika ada tanda-tanda penderaan ✅ Simpan bukti (gambar/video) dan ambil laporan doktor ✅ Gunakan saluran rasmi dan sosial jika kes dipandang sepi
Setiap anak adalah amanah dan nyawa yang perlu dilindungi. Hari ini mungkin anak orang lain, esok mungkin anak kita. Jangan biarkan kes seperti ini terus berulang.
Buat semua ibu bapa, jangan takut bersuara. Jangan penat tuntut keadilan. Suara kita, perlindungan untuk anak-anak yang belum mampu bersuara.
Pa&Ma menyeru agar semua pihak bertanggungjawab lebih serius dalam isu penderaan kanak-kanak. Jangan tunggu sehingga nyawa melayang, baru kita ambil tindakan.
📞 Jika anda syak berlaku penderaan terhadap kanak-kanak, segera hubungi: ➡️ Talian Kasih 15999 ➡️ Lapor kepada JKM atau balai polis terdekat
Terlalu banyak sangat arahan dalam satu masa akan membuatkan anaktidak mendengar kata. Punca inilah yang membuatkan anak menjadi degil. Anak tidak mendengar kata boleh jadi puncanya dari kita sendiri, bila mana kita tidak banyak mendengar mereka bercakap-cakap.
Kita sebagai ibu bapa juga tidak banyak bercakap dengan anak-anak. Salah satu sebab mengapa anak tidak mendengar nasihat ke dua ibu bapa mereka bukan kerana mereka degil dan tidak mendengar kata. Tidak!
“Eh apa pula Ustazah, saya selalu bercakap-cakap dengan anak saya, tapi memang dia yang tak nak dengar cakap.. Degil! Berbuih mulut cakap baru nak jalan..!”
Ya, betul. Kita memang selalu bercakap dengan anak, tapi, pernah tak kita AUDIT apa yang kita CAKAP DENGAN ANAK-ANAK tu?
Maksudnya, adakah kita BERCAKAP BENDA YANG BETUL dengan anak-anak selama ini, iaitu benda yang anak-anak perlu dengar?
Atau kita sekadar cakap dan bercakap tanpa pernah audit apa yang kita cakap itu samada itu yang perlu anak dengar atau tak?
“Contohnya macam mana tu Ustazah?”
Contohnya, kita selalu cakap dengan anak-anak. Tapi asal kita bercakap saja dengan anak, kita fokus pada ARAHAN dan benda-benda yang kita ‘anggap penting’ sahaja.
“Kakak, pergi mandi. Kakak, jangan kacau adik. Kakak, kerja sekolah dah siap belum?”
“Kakak, ibu penat ni. Dah jangan nangis lagi..”
Dan KITA TERUS BERCAKAP DENGAN ANAK-ANAK TENTANG BENDA YANG PENTING!
Kerana kita rasa itu penting, maka kita cakap dengan anak-anak tentang perkara-perkara ‘penting’ itu SEPANJANG MASA!
Kena Tahu Isi Hati Anak
Walhal, sebenarnya BERCAKAP ‘perkara-perkara yang penting’ bagi seorang anak adalah sebenarnya ‘bercakap perkara-perkara yang tidak penting’ bagi diri kita!
“Kakak rasa cantik tak sikat baru kakak yang Hanim bagi semalam?”
“Ehhh… Kakak buat suara macam kataklaaa… Ongggg onggggg…!! Lucu ibu dengar!”
“Kakak… Comotnya makan! Sampai hidung kakak pun makan nasi jugak! Sedap sangat ke atau kakak yang lapar sangat?”
“Teddy bear kakak dah minum susu belum?”
Yes. ITU BENDANYA.Benda-benda remeh yang memang kita rasa tak sepenting memasak di dapur, sidai baju, pantau kerja sekolah anak-anak dan menguruskan rumahtangga, tetapi itulah yang SANGAT PENTING untuk MENGIKAT KETAATAN dan KEPATUHAN dalam diri anak-anak. Sehingga hatinya terikat untuk sentiasa menyenangkan kita, dan MENDENGAR KATA KITA.
“Apa kaitan perbualan dan cakap-cakap ‘tak penting’ tu dengan kepatuhan anak-anak dalam mendengar kata kita..?”
Begini..
Bila kita tanya soalan-soalan dan timbulkan perbualan ‘tak penting’ macam tu, anak-anak akan CENDERUNG, DIDORONG untuk MELUAHKAN RASANYA, PENDAPATNYA, DUNIANYA kepada orang yang dia paling cinta dan puja.
Hati dan perasaan, itu ibarat isi dalam gelasnya. Yang mesti dikosongkan dahulu, sebelum menerima ‘isi’ baru.
Apabila anak-anak dah kosongkan ‘gelas’ dia. Agak-agak boleh tak dia nak terima air dan muatan baru? Tentulah boleh!
Tapi kalau gelas dia sendiri dah penuh, kita nak isi dan tambah muatan baru, hasilnya tentulah melimpah dan tersia-sia!
Tak masuk dalam gelas, sebab itu anak jadi tak dengar cakap.
Sebab, kata-kata itu semuanya ibarat limpahan air ke dalam cawan yang sudah sedia penuh. Tak tersimpan malah terbuang!
Sebab itu, KOSONGKAN GELAS ANAK itu sangat penting sebelum anda sendiri tuangkan isi baru kepada mereka.
Dengar Luahan Anak
Belajar mendengar mereka, sebelum kita mahu didengari. Biar mereka luah, sebelum kita menambah!
Luahan cerita dan emosi anak-anak akan membuatkan anak-anak rasa tenang, lega, difahami, dihargai, dipercayai, DEKAT, RAPAT dengan insan yang paling penting dalam hidup.
Anak-anak yang CUKUP YAKIN DIRINYA DIDENGARI DAN DISAYANGI, takkan mempunyai sebab lain untuk dia bersikap degil, rebel dan tidak mendengar kata. GELAS DIA SUDAH KOSONG! DIA BERSEDIA UNTUK MENERIMA ‘ISI-ISI’ BARU DARI KITA!
Hasilnya nanti bila gelasnya kosong, dia akan SANGAT MUDAH BEKERJASAMA dengan kita dalam apa jua aktiviti yang melibatkan dirinya dan arahan dari kita.
InshaALLAH, bila kita bercakap benda yang betul dengan anak-anak dengan MENCUKUPI, anak-anak pun akan SANGAT MUDAH MENDENGAR KATA kita.
Jadi, cuba dulu. Ubah TOPIK APA yang kita cakap dengan mereka, PILIH TOPIK YANG MEMBANTU MEREKA MENGOSONGKAN ‘GELAS’ MEREKA dan inshaALLAH, lihatlah perubahan dalam diri anak-anak kita nanti.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.