AKE Grand Ihtifal & Concert 2025 Gegarkan IDCC Shah Alam, Detik Penuh Emosi Buat Ibu Ayah

Share

Hujung minggu lalu menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan buat ribuan ibu ayah apabila AKE Grand Ihtifal & Concert 2025 berlangsung meriah pada Sabtu dan Ahad, 13 dan 14 Disember di IDCC Shah Alam. Lebih 6,000 murid daripada lebih 23 cawangan Tadika Al Kauthar Eduqids dari Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka berhimpun dalam satu acara yang bukan sekadar konsert, tetapi penuh dengan emosi, makna dan kenangan manis.

Sejak awal pagi, IDCC Shah Alam dipenuhi langkah kecil dan wajah-wajah teruja kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa. Ada yang kelihatan comel dan segak dalam pakaian konsert, ada yang tidak henti-henti memegang tangan ibu ayah, menahan rasa gementar sebelum melangkah ke pentas besar. Bagi ibu bapa, melihat anak-anak bersedia untuk membuat persembahan sudah cukup untuk membuatkan hati tersentuh.

Majlis Berprestij Dengan Kehadiran Tetamu Kehormat

Majlis ini turut dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Hajah Hanafisah Haji Jais, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, serta dihadiri oleh Encik Mohd Shawani Ahmad Sabri, Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial.

Kehadiran tetamu kehormat ini memberi nilai tersendiri kepada program yang menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak serta pembinaan sahsiah dan keyakinan diri sejak kecil.

Tidak ketinggalan pastinya dua tunggak utama AKE, Dato’ Bakhtiar Aliff Ibrahim dan isteri, Datin Dr. (hc) Nor Fadilah Alias  yang setia meraikan anak-anak dipentas utama.

Acara seperti AKE Grand Ihtifal & Concert 2025 bukan sahaja menjadi platform persembahan, malah simbol sokongan berterusan kepada pembangunan potensi kanak-kanak secara holistik, melibatkan aspek akademik, emosi dan sosial.

Persembahan Anak-Anak, Detik Paling Menyentuh Hati

Sepanjang dua hari program berlangsung, kanak-kanak dari setiap sekolah tampil membuat persembahan dalam konsert utama. Setiap gerak langkah, nyanyian dan senyuman di pentas memperlihatkan keberanian serta keyakinan yang dibina hasil sokongan guru dan ibu bapa.

Bagi kebanyakan ibu ayah, inilah saat di mana mereka sedar anak kecil yang suatu ketika dahulu menangis saat ditinggalkan di sekolah kini mampu berdiri sendiri di hadapan ribuan mata. Detik ini menjadi satu momen refleksi perjalanan membesarkan anak yang penuh cabaran dan pengorbanan.

Tema Malaysian Culture & Heritage Curi Perhatian

Tema “Malaysian Culture & Heritage” menjadikan konsert ini lebih istimewa dan bermakna. Anak-anak tampil indah dengan pelbagai pakaian tradisional yang melambangkan kepelbagaian budaya Malaysia. Baju Melayu, kebaya dan songket menghiasi pentas, diserikan pula dengan busana tradisional India dan Cina.

Setiap pakaian yang dipakai membawa cerita tentang warisan, identiti dan perpaduan. Ia bukan sekadar persembahan visual, tetapi satu pembelajaran awal tentang menghargai kepelbagaian budaya dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Persembahan Sarat Nilai Budaya & Perpaduan

Persembahan yang dibawakan juga sarat dengan nilai budaya apabila anak-anak menyampaikan lagu Melayu dan tradisional, selain lagu daripada budaya India dan Cina. Ia menjadi medium pembelajaran yang menyeronokkan tentang saling menghormati, toleransi dan kebersamaan.

Sorakan dan tepukan tidak pernah putus setiap kali persembahan berakhir. Namun yang paling menyentuh hati ialah wajah ibu ayah yang menahan sebak, tersenyum bangga melihat anak-anak mereka berdiri dengan yakin di atas pentas.

Kenangan Manis Buat Ibu Ayah & Anak-Anak

Secara keseluruhannya, AKE Grand Ihtifal & Concert 2025 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu perjalanan emosi buat ibu ayah. Ia menjadi saksi kepada perkembangan anak-anak, dari langkah kecil yang ragu-ragu kepada keyakinan yang semakin mekar.

Satu memori indah yang akan dikenang, bukan sahaja oleh kanak-kanak, tetapi oleh setiap ibu bapa yang hadir dengan penuh kasih, bangga dan rasa syukur.

Published by
SRM