Keibubapaan

Cikgu Dedah Alasan Anak Tidak Hadir Sekolah Yang Betul, Ramai Ibu Bapa Terkejut “Urusan Keluarga” Tak Boleh Main Letak

Share

Cikgu Kongsi Alasan Munasabah Jika Anak Tak Hadir Sekolah

Bila sesi persekolahan dah bermula, rutin pagi pun kembali macam biasa. Kejut anak, siap uniform, sarapan, kejar masa, dan hantar ke sekolah. Tapi dalam seminggu tu, pasti ada juga hari yang anak tak dapat hadir.

Kadang sebab anak memang tak sihat, kadang ada urusan penting, dan ada masa juga anak tiba-tiba meragam atau beri alasan yang buat ibu bapa sendiri terdiam sekejap.

Cabaran sebenar ibu bapa bukan sekadar anak tak hadir sekolah, tetapi bagaimana mahu menyampaikan alasan anak tidak hadir sekolah dengan cara yang betul supaya pihak sekolah boleh merekodkan kehadiran secara tepat dalam sistem.

Cikgu Gja Kongsi Cara Betul Maklumkan Anak Tak Hadir Sekolah

Perkongsian ini dibuat oleh Nor Azizah Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Cikgu Gja, seorang guru pempengaruh yang aktif berkongsi info pendidikan di media sosial.

Dalam satu posting, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak sekadar menulis alasan umum dalam group kelas, sebaliknya perlu menjelaskan sebab sebenar kepada guru kelas secara peribadi.

Menurut beliau, frasa seperti “urusan keluarga” boleh digunakan untuk makluman awal, tetapi ibu bapa perlu menghantar mesej peribadi kepada guru kelas agar alasan sebenar dapat direkodkan dengan tepat dalam Sistem iDME.

“Urusan keluarga” tu ok untuk maklum awal terutamanya dalam group kelas. Tapi lepas tu, tolong PM guru kelas sebab sebenar ya. Supaya guru kelas boleh pilih alasan yang betul dalam Sistem iDME. Posting ni boleh simpan sebagai rujukan.”— Cikgu Gja

Kenapa Tak Boleh Sekadar Tulis “Urusan Keluarga”?

Ramai ibu bapa beranggapan ayat “urusan keluarga” sudah memadai. Namun hakikatnya, guru mempunyai tanggungjawab untuk memilih kategori yang tepat dalam sistem kehadiran murid.

Antara sebab utama kenapa guru perlukan maklumat yang lebih jelas ialah:

  • Untuk rekod kehadiran murid yang betul
  • Untuk mengelakkan salah kategori dalam sistem iDME
  • Untuk memantau keselamatan dan kebajikan murid
  • Untuk tindakan awal jika kes tidak hadir berlaku berulang

Kesilapan dalam memberi alasan anak tidak hadir sekolah

boleh menyebabkan rekod murid tidak tepat dan menyukarkan pihak sekolah membantu jika berlaku masalah sebenar.

Senarai Alasan Tidak Hadir Sekolah Dalam Sistem iDME

1) Masalah Kesihatan

Ini adalah alasan paling biasa dan diterima jika anak tidak sihat.

  • Demam, batuk, selsema, sakit tekak
  • Cirit-birit, sakit perut
  • Covid-19, HFMD, Influenza
  • Cacar air, denggi
  • Masuk hospital atau rawatan klinik

Contoh makluman ringkas: “Anak demam panas dan mendapatkan rawatan di klinik. Perlu rehat di rumah hari ini.”

2) Masalah Keluarga

Kategori ini sering disalah guna kerana ibu bapa hanya menulis ayat umum.

  • Kematian ahli keluarga terdekat
  • Menjaga ahli keluarga sakit
  • Krisis keluarga atau kecemasan
  • Balik kampung secara mengejut

Maklumat ini lebih sesuai disampaikan melalui mesej peribadi kepada guru kelas.

3) Bencana Alam

  • Banjir
  • Jerebu
  • Tanah runtuh
  • Cuaca ekstrem atau El Nino
  • Kemalangan dalam perjalanan

4) Ancaman Keselamatan

  • Kes kecurian atau kebakaran
  • Ancaman buli
  • Gangguan keselamatan
  • Ancaman binatang liar

Jika melibatkan keselamatan, pihak sekolah perlu dimaklumkan dengan jelas supaya tindakan segera boleh diambil.

5) Masalah Peribadi

  • Tekanan emosi atau trauma
  • Kesakitan akibat haid atau permulaan haid

Isu ini biasanya sensitif dan lebih sesuai disampaikan secara peribadi.

6) Ponteng Sekolah

  • Bangun lewat
  • Malas ke sekolah
  • Ketagihan gajet
  • Tidak menyiapkan kerja sekolah
  • Enggan hadir aktiviti kokurikulum

Jika berlaku, ibu bapa disarankan berbincang dengan guru bagi mengelakkan masalah berulang.

Maklum Awal Itu Penting, Jelaskan Itu Wajib

Perkongsian Cikgu Gja membuka mata ramai ibu bapa tentang kepentingan menyampaikan alasan anak tidak hadir sekolah dengan cara yang betul.

Maklum awal dalam group kelas memang digalakkan, tetapi mesej peribadi kepada guru kelas dengan sebab sebenar adalah langkah paling tepat.

Dengan cara ini, rekod kehadiran murid lebih teratur, kebajikan anak terjaga, dan ibu bapa tidak lagi keliru bila berdepan situasi anak tidak hadir ke sekolah.

Sumber: cikgu.gja

Published by
Nor Yusoff