“Nur Khairunnisa adalah mata dan tongkat kami,” kata Nur Suhaida Norwi, 30, ibu kepada murid Tahun Satu, Nur Khairunnisa Mohammad Haizir yang menjadi tular di laman sosial baru-baru ini.

Gelagat anak kecil itu menunjukkan padang, kelas, kantin dan persekitaran sekolah ketika minggu orientasi kepada ibu bapanya yang cacat penglihatan menyentuh hati warganet yang beranggapan murid Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Jalan Batu, Kuala Lumpur, seolah-olah dewasa sebelum usia.

Memahami kami buta

Nur Suhaida berkata, anak tunggalnya itu sangat memahami ‘kekurangan’ ibu dan bapanya terutama untuk bergerak ke mana-mana.

“Allah Bagi Nisa Untuk Pimpin Kami. Dialah Mata, Dialah Tongkat.” Luah Mak Ayah Buta

“Khairunnisa membaca papan tanda dan nombor kenderaan serta bertanya orang ramai dalam setiap urusan harian kami.

“Anak ini memang anugerah Allah, dia tahu dalam usia masih muda perlu berdikari dan berdiri sendiri untuk membantu kami yang buta,” katanya kepada Harian Metro.

Bercita-cita beli kereta besar

Bagi Mohammad Haizir Zakaria, 36, Nur Khairunnisa yang sudah mengenal huruf ketika usia lima tahun antara yang diharapkan untuk menaiki pengangkutan awam dan menempah perkhidmatan e-hailing untuk bergerak.

IKLAN

“Anak ini tahu kami tidak nampak tetapi tetap juga mahu menjaga kami, paling meruntun jiwa cita-citanya untuk membeli kereta besar dan bawa kami berjalan-jalan.

“Saya faham kenapa anak bercita-cita mahu membeli kereta, mungkin dia nampak kepayahan untuk kami bergerak,” katanya yang cacat penglihatan sejak kecil.

“Allah Bagi Nisa Untuk Pimpin Kami. Dialah Mata, Dialah Tongkat.” Luah Mak Ayah Buta

Sejak usia 4 tahun dah pandai bawa diri

Menurutnya, sejak berusia empat tahun, dia dan isteri sudah mengajar Khairunnisa untuk rajin bertanya orang ramai sekiranya memerlukan bantuan ketika mencari jalan.

“Bulan lalu, kami sekeluarga ke Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga di sana.

IKLAN

“Ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairunnisa tahu apa yang perlu dilakukan, dia segera ke kaunter tiket bertanyakan apa perlu dilakukan kerana kami buta. Dia memang peramah dan bertanggungjawab walaupun masih muda,” katanya.

Mohammad Haizir berkata, setiap hari dia dan isteri akan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Hang Tuah hingga Stesen Sultan Ismail untuk menghantar dan menjemput Khairunnisa daripada sekolah.

“Walaupun Khairunnisa nampak matang namun usianya tetap masih muda dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaganya,” katanya.

Dialah Mata Dan Tongkat Kami 

Sementara itu, guru kelas Nur Khairunnisa, Amira Nadwa Mohd Nasir, 28, berkata, dia tersentuh hati melihat anak muridnya yang begitu kuat dan bertanggungjawab walaupun baru berusia tujuh tahun.

“Jatuh air mata saya melihat seorang anak kecil, memimpin ibu bapanya yang tidak dapat melihat ke orientasi Tahun Satu pada 31 Disember lalu ketika hari pertama ke sekolah.

IKLAN

“Dia sendiri menulis nombor telefon ibu bapanya walaupun baru bertatih dan terbalik menulis, kuatnya dia walaupun terpaksa berdikari dalam usia terlalu muda,” katanya ketika dihubungi.

“Allah Bagi Nisa Untuk Pimpin Kami. Dialah Mata, Dialah Tongkat.” Luah Mak Ayah Buta

Amira Nadwa berkata, selesai orientasi, Khairunnisa memimpin ibu bapanya untuk menunjukkan kelas, padang dan kantin seolah-olah mereka dapat melihat.

“Masih terbayang di mata saya Khairunnisa menunjukkan ‘mak, sini kantin, ini padang sekolah’.

“Selepas orientasi, saya bersembang buat pertama kali dengan ibu bapanya semalam (kelmarin) ketika hari pendaftaran pertama sekolah.

“Masih terkesan ayat ibunya kepada saya apabila mengandaikan Khairunnisa adalah mata dan tongkat suami isteri berkenaan.

“Sememangnya murid ini boleh dijadikan inspirasi buat kita semua walaupun masih kecil tetapi mempunyai jiwa besar, mampu memimpin ibu bapanya ke mana saja mereka pergi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI