Membiasakan anak kecil dengan minuman manis sejak kecil tak elok kerana anak boleh ketagih dan mula tidak suka pada air putih. Bila berterusan dan anak makin besar, nak ubah tabiat tersebut lagi susah.
Melalui perkongsian dari Puan Mazliana Mazlan, dia cukup terkejut apabila ada seorang ibu bercerita kepadanya apabila si anak langsung tak mahu minum air putih selepas usia setahun akibat ketagih minuman manis. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada ibu bapa lain. Jika anak anda pun sukakan minuman manis tak terlambat lagi untuk mengubah tabiat tersebut.
Anak umur 5 tahun, tak pernah minum air putih kecuali setahun pertama sahaja dan sewaktu makan ubat.
Allahu.Terkejut Ummi dengar ibunya bercerita. Sampai Ummi ulang ‘tak penah langsung?’ sampai beberapa kali.
Ads
Air yang diminum selepas umur 1 tahun, hanyalah air manis. Di rumah, suka minum air sirap dan M***. Ke sekolah, suka bawak air teh o. Di sekolah, juga dihidangkan dengan air manis mengikut jadual harian.
Deria rasa lidahnya dah terbiasa dengan makanan minuman manis. Sehinggakan air putih tanpa rasa tidak dapat diterima oleh tekaknya.
Bukan itu sahaja, nasi juga hanya 1 – 2 mulut yang boleh ditelan. Mesti ayam goreng atau telur goreng menjadi lauk. Sayur dan buah? Juga direject.
Ads
Tidak salah Ummi katakan semua kesan ini, adalah sebab gula dan pemanis tiruan yang berlebihan telah terserap di dalam badan anak tadi.
Makanan dan minuman proses bukan saja tinggi kandungan gula, pemanis tiruan juga tidak ketinggalan. Semakin diamalkan makanan minuman proses, semakin susah untuk elakkan ketagihan makanan minuman manis pada anak.
Ads
Bila dah begini, apa saya boleh buat? Gantikan gula dan pemanis tiruan dalam makanan minuman proses anak, kepada makanan yang segar dengan menggunakan gula dan pemanis semulajadi yang dicipta Allah.
Madu
Daun stevia
Kurma
Puree epal
Gula versi lebih sihat dari gula putih – Gula tebu asli – Gula kelapa -Gula kabung -Gula mollasses
Cuba ya, kita sama-sama jaga makan minum anak-anak kita.Kerana apa? Kerana Allah telah amanahkan kita sebagai ibu dan ayah, untuk menjaga dan membentuk mereka sebaiknya.
Sekian dari Ummi Mazliana Mazlan.
Ibu anak 2 yang masih bertatih ke arah kehidupan sihat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak latih anak tidur awal ada pelbagai cara yang mudah boleh diikuti supaya anak tidak tidur lewat setiap hari. Penting bagi anak-anak tidur awal supaya tidak menjejaskan perkembangan dirinya. Latihan tidur awal ini penting supaya dapat mendisplinkan diri anak sebelum ke prasekolah nanti.
Menyedari kepentingan anak-anak tidur awal, perkongsian Puan Nabilah Mohamad boleh dijadikan panduan untuk ibu ayah mendidik anak-anak tidur awal dengan mudah.
Saya sebenarnya bukanlah pandai sangat dalam hal-hal keibubapaan. Almaklum, first time parents. Banyak lagi nak kena korek dan belajar.
Tapi anak ini sebenarnya setiap hari mengajar saya untuk cuba jadi ibu yang terbaik untuknya. Ianya tak mudah tapi tidaklah sesukar mana. Orang kata ‘bolehlaaaaa’.
Masa awal-awal dulu memang saya tak retilah nak suruh anak tidur awal ni. Saya biar je dia tidur ikut waktu dia.
Tapi ada sekali tu saya tengok live sharing Dr.Maryam. Dalam pukul 9 macam tu anak dia pergi kat ‘mommy’ dan ‘daddy’ bagi salam untuk masuk tidur. Pergi masuk tidur sendiri pula tu. MashaAllah, kagum!
Saya masih di peringkat ber’eksperimen’ sebenarnya. Tapi Alhamdulillah memang boleh nampak hasilnya kalau kita konsisten. InshaAllah, mudah-mudahan lepas ni anak saya pandai-pandailah nak tidur sendiri.
6 TIPS LATIH SI MANJA TIDUR AWAL
1. Rancang waktu tidur anak
Tips yang pertama ni sangat penting. Bermula dari anak bangun tidur pun kita patut dah plan nap time dia pukul berapa dan berapa lama, dan waktu tidur malam sepatutnya pukul berapa.
Macam saya memang dah latih anak tidur pukul 2-3 petang macam tu. Tidurlah dalam sejam atau lebih sikit. Dan janganlah bagi anak tidur lepas asar ke atas. Naya ja!
Lepas tu, cakap kat anak pukul berapa kita nak dia tidur malam. Contohnya saya cakap ‘malam ni Qisya tidur pukul 9 ya’. Cakap banyak-banyak kali biar dia boleh register dalam kepala malam nanti nak kena tidur awal. Kalau tak tepat pukul9 pun at least lebih kurang waktu tu jugaklah dia tidur.
2. Elak beri makanan manis dan bergula selepas pukul 7 malam
Saya percaya ramai juga di kalangan para ibu yang belum perkenalkan lagi makanan bergula kepada anak-anak sebelum usia 2 tahun. Jadi, tips ni mungkin tak terpakailah untuk mereka.
Tapi walaupun saya suka menjaga pengambilan gula, tapi saya dah bagi anak saya cuba rasa. Cuma junk food tu memang cuba elaklah sebolehnya. Jadi, kalau kita dah mula perkenalkan makanan bergula kepada anak, hadkan sampai sebelum pukul7 jela untuk dia makan. Sebab gula ni boleh buat anak jadi aktif.
Yela, dapat tenaga kan. Nak nak lagi kalau dah memang nak masuk waktu tidur sangat, A BIG NO-NO lah benda-benda manis ni.
3. Berikan mandian air suam untuk si kecil sebelum tidur
Yang ni kena bereksperimen jugaklah ya. Ada anak kecil lagi dah mandi lagi dia aktif. Tapi sebelum tidur kalau bagi mandian air suam sebenarnya dia cepat rasa mengantuk jugak. Sebab rasa selesa je. ‘Cozy’ je. Jangan lama sangat. Sekadar nak bagi dia rasa nyaman je.
4. Buat ‘massage’ untuk si manja dengan minyak ‘essential’
Lepas si manja dah mandi tu, bolehlah buat urutan sikit kat dia dengan essential oil yang sesuai untuk bagi anak tidur.
Antara essential oil yang sesuai adalah lavender dan roman chamomile. Saya kadang-kadang guna je face oil. Tapi saya macam pernah nampak orang jual minyak untuk bagi bayi senang tidur. Bolehlah mula cari ya.
5. Baby conditioning
Ok. Sebenarnya bagi urutan tu pun termasuk teknik ‘baby conditioning’ jugak. Selain itu, kita pun tambahlah pasangkan muzik beralun yang macam nak bagi tidur tu atau lebih afdhalnya bacaan ayat Quran. Kita bacakan untuk dia lebih nyaman untuk dia rasanya.
Lepas tu, tutup semua lampu jangan ada bagi sikit pun cahaya masuk. Cahaya handphone pun tak boleh. Maknanya, ibu-ibu kena bertahanlah sekejap ya. Inilah masanya pun kita nak bonding betul-betul dengan anak. Tengok muka dia bahagia tidur kat sebelah kita.
Kalau rumah jenis banyak nyamuk masuk, pasang dulu ubat nyamuk siap-siap. Pasanglah aircond ke kalau dia suka sejuk-sejuk. Sebab kita nak bagi anak tidur dengan nyaman sampai esok pagi. Kalau tiba-tiba pukul12 dia terbangun sebab nyamuk gigit atau panas, tak ke perit tu nak tidurkan balik?
6. ‘Ibu, konsisten dan bertabahlah!’
Memang bukan mudah nak latih anak kita tidur awal kalau kita baru nak bermula. Mencabar sungguh aih.
Malam pertama tu je saya ambil masa sejam lebih nak tidurkan dia. Langsung tak tengok handphone. Tawakkal ja kalau ada customer PM harap dia bersabar.
Memang kena fokus betul-betul nak bagi anak kita ni tidur. Kena buat hari-hari pulak tu.
Ada hari rasa nak give up tu biasa. Nak biar jela tidur pukul berapa pun. Tapi kita nanti kembali balik ‘ini semua untuk kebaikan anak jugak’.
Jadi, ibu-ibu yang kuat teruskan usaha kalau betul-betul nak mulakan disiplin tidur anak-anak. Sampai nanti dia dah ada ‘biological clock’ dia sendiri. Dia sendiri yang rasa nak tidur bila sampai waktu tidur dia yang kita latih.
InshaAllah, moga mudah semuanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mata adalah jendela kepada dunia — namun, bagaimana kalau jendela itu kabur, merah, dan menyakitkan? Sakit mata, walaupun kelihatan remeh, boleh memberi impak besar kepada kesihatan seharian, terutamanya bagi kanak-kanak yang aktif. Dalam video menarik terbitan Bintang Kecil bersama Adik Umar dan Doktor Hazlita, mereka mengupas tentang bagaimana sakit mata boleh berjangkit, langkah pencegahan, serta peranan penting ibu bapa dalam menjaga kesihatan mata anak-anak. Mari kita kupas lebih mendalam!
Sakit mata bukan sekadar rasa pedih atau merah biasa. Ia boleh berpunca daripada jangkitan bakteria, virus, ataupun alergi. Simptom-simptom awal seperti mata berair, berkelopak, atau terasa gatal patut diberi perhatian serius. Lebih membimbangkan, sakit mata boleh berjangkit melalui titisan air mata yang terkena permukaan atau melalui sentuhan tangan yang tidak bersih. Ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal ini agar rawatan segera boleh diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Ramai tidak sedar, sentuhan tangan ke mata yang kotor adalah antara penyebab utama penyebaran jangkitan! Berkongsi tuala, bantal, atau alat solek tanpa disedari boleh mempercepatkan penularan sakit mata dalam kalangan ahli keluarga. Melalui video ini, kita diingatkan bahawa penjagaan kebersihan adalah kunci utama. Ibu bapa disarankan melatih anak-anak mencuci tangan dengan sabun secara berkala dan mengelakkan amalan menggosok mata tanpa sebab.
Setiap 20 minit, rehatkan mata selama 20 saat dengan melihat objek sejauh 20 kaki.
Pendidikan bermula di rumah. Ajarkan anak-anak tentang pentingnya menjaga kebersihan tangan dan mata. Jadikan mencuci tangan sebelum makan dan selepas bermain sebagai rutin. Selain itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh dengan mengamalkan gaya hidup sihat: memakai cermin mata hitam di luar rumah, mengambil makanan tinggi vitamin A, dan mengadakan pemeriksaan mata berkala. Dengan pendedahan awal, anak-anak akan membesar dengan lebih berdisiplin dalam menjaga organ penting ini.
Menjaga kesihatan mata bukan hanya untuk keselesaan diri, tetapi juga untuk melindungi kualiti hidup jangka panjang. Mata yang sihat membantu anak-anak fokus dalam pembelajaran, aktif dalam sukan, dan menikmati dunia di sekeliling mereka dengan sepenuhnya. Dalam dunia serba digital hari ini, risiko keletihan mata semakin meningkat, dan peranan ibu bapa menjadi lebih penting dalam memantau penggunaan gajet anak-anak. Lindungi mata hari ini, demi masa depan yang lebih cerah!
Sakit mata bukan sahaja membawa ketidakselesaan, malah boleh menjadi jangkitan yang merebak pantas jika tidak dikawal. Melalui ilmu yang dikongsikan oleh Adik Umar dan Doktor Hazlita, jelas betapa pentingnya pendidikan kesihatan mata dipupuk sejak kecil. Ibu bapa adalah benteng pertama dalam menjaga kesihatan anak-anak — jadilah contoh yang terbaik. Ingat, mata adalah nikmat yang tak ternilai. Sayangilah mata anda, dan ajarkan anak-anak kita untuk menghargainya seawal mungkin.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!