Anak 7 Tahun Minta Lauk Ayam, Ibu Hilang Kawalan Hentak Dengan Kayu Penguli

Share

Kadang-kadang kita lupa, seorang ibu yang terlalu penat dan ‘burn out’ boleh sampai hilang kawalan diri.

Anak minta sesuatu yang kecil, tetapi kerana tekanan hidup dan emosi yang terbeban, ia jadi satu perkara besar yang akhirnya meragut nyawa.

Walaupun kisah ini bukan berlaku di Malaysia, ia wajar jadi pengajaran untuk semua. Amarah yang tidak dibendung mampu menukar sekelip mata hidup bahagia menjadi tragedi.

Dan akhirnya, anak yang dikandung 9 bulan, menjadi korban. Wajah seorang ibu yang kini dipalit penyesalan, pasti menanggung derita yang tiada penghujung.

Gambar hiasan

Menurut laporan media, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipukul ibunya menggunakan kayu penguli kerana meminta lauk bukan jenis vegetarian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Yatish Deshmukh berkata, suspek dikenali sebagai Pallavi Ghumde, 40, bertindak ganas selepas anak lelakinya, Chinmay Ganesh Ghumde, meminta untuk makan hidangan ayam.

Lebih memilukan, anak perempuannya yang berusia 10 tahun turut dipukul dan terpaksa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pallavi di tahan polis setelah memukul anaknya sehingga mati

Kejadian tragis itu berlaku di kawasan Kashipada, Palghar, Maharashtra, India. Jeritan mangsa yang kedengaran menggemparkan kawasan perumahan tersebut sebelum jiran segera menghubungi polis.

Pihak polis bersama pegawai jenayah daerah serta pegawai sub-bahagian bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat. Kes bunuh telah didaftarkan di Balai Polis Palghar dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Yatish berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Sumber: Sumber

Published by
Nor Yusoff