Berita

Ako Mustapha Dakwa Anak Jadi Mangsa Buli, Kesan Tapak Kasut Pada Badan

Share

Isu buli seakan tiada penghujungnya. Pastinya apabila berita mengenai hal ini menjadi tular, ia sudah tentu merobek hati setiap mereka yang bergelar ibu bapa. Terkini, siapa sangka anak Ako Mustapha  didakwa dibuli di sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kronologi Kes Anak Ako Mustapha Dibuli

Rentetan itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan tindakan awal sudah diambil susulan dakwaan anak Ako Mustapha dibuli hingga cedera akibat dipijak dan dipukul rakan sekolah.

JPWPKL dalam kenyataan berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat mengambil langkah perlu termasuk menghubungi ibu bapa dan penjaga murid yang terlibat, menjalankan siasatan dalaman menyeluruh serta melaporkan kes kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kesemua murid yang terbabit dalam kes itu juga dirujuk untuk menjalani sesi bimbingan dan kaunseling.

Tindakan Tegas JPWPKL

“JPWPKL memandang serius dan kesal terhadap kejadian salah laku buli membabitkan murid di sebuah sekolah sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

“JPWPKL menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pihak yang terlibat selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Kami juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa yang terlibat,” menurut kenyataan JPWPKL, hari ini.

Dalam pada itu, JPWPKL turut memaklumkan sudah merangka pelan intervensi bagi menangani kes buli secara menyeluruh dan berfokus.

Keadaan Mangsa: Anak Ako Mustapha Dibuli Hingga Cedera

Ako bersama Mika dan dua orang anak perempuannya.

Terdahulu, Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya, Mika yang berusia 10 tahun menjadi mangsa buli. Kejadian disedari selepas melihat kesan lebam dan kecederaan lain termasuk kesan tapak kasut pada badan anaknya.

Lima Murid Terlibat Dalam Insiden

Menurut Ako, kejadian yang menimpa anaknya itu hanya disedari selepas Mika pulang dari sekolah dan selesai mandi. Dimaklumkan  kejadian itu membabitkan lima murid iaitu dua murid senior dan tiga rakan sekelas.

“Anak saya sebenarnya sudah dibuli sejak tahun lalu lagi, tetapi tidak membabitkan sentuhan fizikal. Ketika itu saya sudah meminta guru kelas menyelesaikan isu itu, namun kali ini bertukar ke tahap sehingga mendatangkan kecederaan teruk kepada anak saya,” kata pelakon, Ako Mustapha.

Ako berkata, sebelum ini mereka hanya merosakkan barangan Mika sahaja, tetapi tahun ini dia mula perasan perubahan anaknya yang seperti tidak suka ke sekolah.

“Semalam, selepas anak pulang ke rumah dan selesai mandi, baru dia beritahu kena pijak, rambut digunting dan ada kesan tapak kasut selain badan berbirat dipukul rakan sekolahnya.

“Saya kemudian terus membawa anak ke klinik kesihatan di Setapak sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut.”

Menurut Ako, anaknya juga perlu menjalani pemeriksaan X-ray kerana bimbang ada kecederaan dalaman atau patah.

Anak Ada Tanda Trauma

Sementara itu, menerusi hantaran iG Story miliknya, beliau meluahkan kebimbangan terhadap keadaan anaknya, Mika, yang kini masih berada di hospital dan dipercayai menunjukkan tanda-tanda trauma.

Apa yang paling meruntun perasaan, menurut Ako, anaknya sudah mula menangis dan meracau ketakutan walaupun doktor belum sempat menyentuh untuk melakukan pemeriksaan. Reaksi spontan itu jelas menggambarkan ketakutan yang mendalam dalam diri seorang kanak-kanak kecil.

Sebagai ibu bapa, situasi seperti ini bukan mudah untuk dihadapi. Ako berkongsi bagaimana mereka terpaksa menenangkan anak, memujuk dengan kata-kata lembut bahawa doktor hanya ingin memeriksa dan tidak akan menyakitkan. Namun, dalam masa yang sama, hati sebagai ibu bapa tetap luluh melihat anak dalam keadaan begitu.

Dalam perkongsian sama, turut didedahkan bahawa terdapat kesan fizikal pada tubuh anaknya termasuk bengkak di tapak kaki serta kesan hentakan di bahagian perut. Keadaan ini menambahkan lagi kebimbangan terhadap kesihatan fizikal dan emosi si kecil.

Siasatan Polis Sedang Dijalankan

“Saya juga sudah membuat laporan polis dan pegawai penyiasat juga sedang menunggu laporan perubatan anak saya,” kata Ako

Katanya, guru kelas anaknya juga banyak membantu menguruskan kes anaknya selepas dimaklumkan semalam.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan kes anak Ako Mustapha dibuli di sekolahnya di Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilapor berkata menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kesedaran Masyarakat Terhadap Isu Buli

Kes seperti ini menunjukkan bahawa isu buli masih menjadi masalah serius dalam institusi pendidikan. Masyarakat diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan yang boleh mendedahkan identiti mangsa, khususnya kanak-kanak bawah umur.

Pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kes anak Ako Mustapha dibuli tidak berulang kepada pelajar lain.

Sumber: akomustapha ,   Berita Harian  Harian Metro

 

Published by
Nor Yusoff