Snek sering menjadi penyelamat ketika anak-anak lapar sebelum waktu makan utama, atau sebagai ganjaran yang menggembirakan. Namun, pemberian snek jika tidak dikawal boleh membawa kepada tabiat makan yang tidak sihat. Ramai ibu bapa ingin memberi yang terbaik buat anak-anak, tetapi tertanya-tanya berapa banyak itu terlalu banyak?
Kenapa Kena Berpada-pada dalam Pemberian Snek?
Pemberian snek tanpa kawalan boleh membawa kepada beberapa kesan negatif:
Mengganggu waktu makan utama – Jika anak sudah kenyang dengan snek, mereka mungkin tidak berminat untuk makan tengah hari atau malam.
Peningkatan risiko obesiti – Terlalu banyak kalori daripada snek manis dan berlemak boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan yang tidak sihat.
Tabiat makan yang tidak seimbang – Anak mungkin mula memilih makanan dan lebih suka snek daripada makanan sebenar yang lebih berkhasiat.
Masalah gigi – Snek manis seperti gula-gula dan coklat jika kerap diambil boleh menyebabkan kerosakan gigi.
Jenis Snek yang Sesuai untuk Anak
Tidak semua snek itu buruk. Pilihan yang bijak boleh menyumbang kepada pemakanan yang sihat:
Ads
Buah segar – Epal, pisang, tembikai, atau anggur boleh dipotong kecil untuk mudah dimakan.
Sayuran seperti lobak merah atau timun – Boleh dicicah dengan yogurt.
Bijirin penuh – Biskut oat, roti gandum penuh atau muffin buatan sendiri.
Tenusu – Yogurt tanpa gula tambahan, keju dalam jumlah sederhana.
Kekacang (untuk anak yang sudah cukup umur dan tiada alergi) – Sumber protein dan lemak baik.
Boleh Ke Bagi Snek Seperti Keropok, Jajan dan Sebagainya?
Snek seperti keropok, jajan, gula-gula atau air berkarbonat bukanlah “haram” diberi langsung, tetapi ia perlulah,
Dihadkan dari segi kekerapan dan kuantiti.
Diberi secara terkawal, contohnya hanya seminggu sekali atau ketika ada majlis tertentu.
Tidak dijadikan ganjaran utama – Elakkan memberi snek jenis ini sebagai upah untuk anak berkelakuan baik kerana ini boleh mencetuskan hubungan emosi dengan makanan tidak sihat.
Pilih versi yang lebih sihat jika ada – Contohnya keropok bakar berbanding goreng, atau jajan rendah natrium.
Kepentingan Mengawal Pengambilan Snek
Mengawal pengambilan snek membantu,
Ads
Membentuk tabiat makan sihat dari kecil.
Meningkatkan kesedaran anak tentang rasa lapar dan kenyang sebenar.
Membantu ibu bapa mengawal pemakanan harian anak dengan lebih mudah.
Mengelakkan masalah kesihatan jangka panjang seperti diabetes, obesiti dan masalah jantung.
Tips & Peranan Ibu Bapa dalam Pengurusan Snek
Berikut beberapa tip praktikal,
Ads
Tetapkan waktu khusus untuk snek – Contohnya snek pagi dan snek petang, elakkan ‘grazing’ sepanjang hari.
Sediakan pilihan sihat di rumah – Jika tiada jajan di rumah, anak akan lebih mudah menerima pilihan snek yang sihat.
Jadi contoh kepada anak – Ibu bapa juga perlu amalkan pemakanan sihat supaya anak belajar melalui pemerhatian.
Libatkan anak dalam penyediaan snek – Aktiviti ini menyeronokkan dan menggalakkan mereka untuk mencuba makanan baru.
Elakkan penggunaan snek untuk pujuk emosi – Seperti memberi coklat bila anak menangis; ini boleh membentuk tabiat makan emosional.
Snek bukan musuh dalam diet anak-anak, malah boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan yang sihat jika dipilih dan diberi dengan betul. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk corak pemakanan anak sejak dari awal. Dengan berpada-pada dalam pemberian snek, kita bukan sahaja menjaga kesihatan anak hari ini, tetapi juga membantu mereka membina hubungan yang baik dengan makanan untuk jangka panjang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh institusi keluarga di Malaysia melalui pelancaran Pakej KASIH MADANI 2.0. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail bersempena dengan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025. Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam membina keluarga bahagia dan berdaya tahan seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, cabaran sosial yang semakin kompleks menuntut pengukuhan peranan keluarga sebagai asas kepada keharmonian masyarakat. “Apabila keluarga kuat, masyarakat akan stabil, dan negara akan makmur,” tegas beliau.
Komitmen Kerajaan MADANI ke Arah Keluarga Sejahtera
Selaras dengan matlamat kerajaan membina masyarakat inklusif dan berdaya tahan, sebanyak RM4.1 bilion telah diperuntukkan kepada KPWKM melalui Belanjawan 2026. Peruntukan ini merangkumi pelbagai program berimpak tinggi seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), pendidikan keibubapaan, serta Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang menekankan keseimbangan peranan dan sahsiah keluarga.
Pakej KASIH MADANI 2.0: Dua Modul, Satu Matlamat
Dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama pakar akademik dan NGO, pakej ini menampilkan dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta dan Modul Kebapaan.
Modul Romantika Cinta memberi tumpuan kepada pasangan yang baru berkahwin melalui latihan komunikasi, pengurusan konflik serta penghayatan nilai kasih sayang dalam perkahwinan. Sementara itu, Modul Kebapaan pula memperkukuh peranan bapa sebagai pelindung dan peneraju keluarga, sejajar dengan tanggungjawab membimbing serta memberi teladan kepada anak-anak.
Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah menjelaskan bahawa pembangunan modul ini dirangka dengan pendekatan holistik yang sesuai dengan realiti keluarga masa kini.
“Kita mahu setiap pasangan dan bapa memahami bahawa kasih sayang bukan hanya tentang emosi, tetapi tentang tanggungjawab, komunikasi, dan kesediaan untuk mendengar. Keluarga yang saling memahami akan melahirkan masyarakat yang lebih harmoni,” ujar beliau.
November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK): Tradisi Unik Malaysia
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan sepanjang bulan November, satu inisiatif yang diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012. Tahun ini, sambutan NBKK 2025 diadakan pada 8 dan 9 November di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya, selepas majlis Kick-Off di Santubong, Sarawak pada Oktober lalu.
Objektif utamanya ialah mengarusperdana nilai kekeluargaan sebagai asas pembinaan masyarakat MADANI serta menggalakkan penglibatan menyeluruh melalui pendekatan Whole of Nation.
Penghayatan Nilai K.A.S.I.H dalam Kehidupan Berkeluarga
Tema tahun ini, “KASIH Keluarga, Bahagia Bersama”, mengajak masyarakat menghayati nilai K.A.S.I.H yang terdiri daripada Kasih sayang, Akhlak mulia, Sihat dan selamat, Ilmu, serta Harmoni.
Nilai-nilai ini menjadi teras pembentukan keluarga sejahtera: kasih sayang yang mengukuhkan komunikasi, akhlak mulia yang membentuk peribadi terpuji, kesihatan yang menjamin kesejahteraan, ilmu yang memperkasa daya saing keluarga, dan harmoni yang mewujudkan keamanan dalam masyarakat.
Menjana Kesejahteraan Negara Melalui Keluarga Bahagia
Melalui pelbagai program dan aktiviti ini, sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bukan sekadar meraikan kasih sayang dalam keluarga, tetapi juga memperkukuh kesedaran bahawa kesejahteraan negara bermula dari rumah. Menurut Ketua Pengarah LPPKN iaitu Dato’ Abdul Shukur Abdullah,
“Keluarga bukan hanya tempat kita dilahirkan, tetapi tempat nilai-nilai kemanusiaan disemai. Jika setiap keluarga bahagia, Malaysia juga akan bahagia.”
Tambah beliau lagi, pelaksanaan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi satu usaha strategik negara untuk memperkukuh dasar kekeluargaan secara menyeluruh.
“BKK diwujudkan sebagai satu platform untuk mengarusperdana dasar penerapan nilai kekeluargaan dalam masyarakat. Ia bukan sekadar kempen semata-mata, tetapi satu gerakan nasional untuk memperkasa keluarga sebagai teras pembinaan masyarakat MADANI,” jelas beliau.
Sambutan ini turut menggalakkan penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan Whole of Nation, melibatkan sektor kerajaan, swasta, komuniti, serta NGO bagi menjayakan aktiviti kesejahteraan keluarga di seluruh negara.
“Kita mahu setiap rakyat merasakan bahawa pembangunan keluarga adalah tanggungjawab bersama. Apabila nilai KASIH diterapkan di rumah, ia akan menjalar hingga ke peringkat komuniti dan seterusnya membentuk masyarakat yang saling menghormati, berakhlak dan harmoni,” ujar Dato’ Abdul Shukur.
Signifikan Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’
Mengulas tentang tema sambutan tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menjelaskan bahawa ia membawa makna yang cukup mendalam dan relevan dengan cabaran sosial masa kini.
“Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’ menuntut kita untuk kembali kepada asas iaitu kasih sayang dan saling menghargai. Nilai K.A.S.I.H yang diangkat bukan sekadar slogan, tetapi panduan hidup keluarga moden yang sering diuji oleh tekanan ekonomi, masa dan teknologi.”
Beliau turut menghuraikan bahawa lima elemen dalam akronim K.A.S.I.H iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat, Ilmu dan Harmoni merupakan nilai asas dalam membina keluarga seimbang.
“Apabila kasih sayang menjadi asas, akhlak mulia menjadi panduan, kesihatan dijaga, ilmu terus dipupuk dan keharmonian dipelihara, maka barulah terbentuk keluarga yang bahagia dan berfungsi. Inilah nilai yang ingin kita hidupkan kembali dalam setiap rumah tangga,” tambah beliau lagi.
Tahap Kesejahteraan Keluarga di Malaysia
Menyentuh tentang tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia, Dato’ Abdul Shukur berkata bahawa secara umum, keluarga di negara ini menunjukkan tahap ketahanan sosial yang baik, namun masih terdapat keperluan untuk memperkukuh aspek komunikasi dan keseimbangan peranan ahli keluarga.
“Kajian LPPKN menunjukkan ramai ibu bapa kini semakin sedar tentang kepentingan komunikasi dua hala dengan anak-anak, tetapi masih wujud jurang dalam mengurus tekanan emosi dan tanggungjawab domestik. Di sinilah peranan pendidikan keibubapaan dan modul seperti Romantika Cinta dan Kebapaan amat penting,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kesejahteraan keluarga bukan hanya diukur dari segi ekonomi, tetapi juga daripada kestabilan emosi, kesihatan mental, dan kemampuan keluarga menangani konflik dengan matang.
“Keluarga yang bahagia bukan bermakna tiada masalah. Tetapi keluarga yang sejahtera ialah mereka yang mampu berdepan masalah dengan penuh kasih dan tolak ansur,” jelas beliau dengan nada penuh makna.
Program Sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025
Berbicara tentang program tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menzahirkan rasa teruja dengan sambutan masyarakat terhadap pelbagai aktiviti interaktif yang dirancang.
“Tahun ini kita bawakan konsep Ekspo K.A.S.I.H, iaitu gabungan pameran dan aktiviti yang mengetengahkan elemen pendidikan kekeluargaan, gaya hidup sihat, dan kesedaran keselamatan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ruang pembelajaran santai untuk seisi keluarga,” ujarnya.
Antara tarikan utama termasuk KASIH Family Fun Run yang dijangka menarik penyertaan lebih 3,000 peserta, Bazaria Keluarga dengan jualan Rahmah dan Agro MADANI, serta pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti Petting Zoo, Santai Karom, dan Malam KASIH Keluarga.
“Kita mahu setiap pengunjung pulang dengan bukan hanya kenangan indah, tetapi juga ilmu dan inspirasi untuk menjadi ibu, ayah, anak atau pasangan yang lebih baik. Inilah matlamat sebenar sambutan ini untuk menjadikan nilai kekeluargaan sesuatu yang hidup, bukan sekadar disebut,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Biasanya ini akan berlaku bila anda ada anak lebih dari dua orang. Ada setengahnya ia tidak sengaja terjadi. Tanpa sedar anak sulung atau anak bongsu dapat banyak kelebihan. Sedangkan anak kedua atau mungkin anak tengah kurang di beri perhatian. Biarpun mungkin anak tersebut tidak berkata apa tetapi sebenarnya ada kesan buruk tanpa kita sedari. Ibu bapa perlu ambil perhatian ya!
Anak akan hilang rasa “memiliki” (sense of belonging) kepada keluarga seperti anak-anak lain. Dia rasa dia perlu berjuang dan melakukan lebih untuk dekat dengan keluarga kerana berasa diabaikan dan ‘tidak diingini’. Kadang-kadang, dia juga merasakan diapit di antara adik-beradik yang lain. Dia rasa tiada ruang untuk dirinya di dalam keluarganya!
2. Rendah diri
Merasakan bahawa dirinya tidak diingini dan mungkin mempunyai harga diri yang sangat rendah. Malah lebih buruk lagi, si kecil membina rasa “tidak diperlukan” dalam dirinya hingga boleh menjejaskan emosinya sehingga dewasa. Hal ini mempunyai kesan yang serius kepada pembangunan keseluruhannya. Dia akan mengalami perasaan rendah diri dalam proses pembesarannya. Keyakinan dirinya juga mungkin tipis kerana perasaan yang terlepas pandang oleh mama dan papanya
3. Suka menyendiri
Mempunyai personaliti introvert atau tidak suka bersosial. Mereka lebih cenderung menyendiri dalam apa-apa aktiviti. Mereka merasa seperti orang luar dalam keluarga. Oleh sebab itu mereka suka melakukan semua perkara sendiri seperti memakai pakaian sendiri, makan sendiri atau bermain sendirian. Suka menghabiskan masa dengan bersendirian kerana berasakan tiada orang mengendahkan dirinya. Dia cuba untuk mencipta dunianya sendiri dan bersandar pada diri sendiri untuk sokongan tanpa pertolongan orang lain khususnya ibu bapa.
4. Kecelaruan
Kanak-kanak ini juga akan jadi tidak jelas arah tuju. Terdapat banyak kekecewaan di dalam diri mereka dan mereka berjuang untuk mencari arah yang sebenar kehidupan mereka. Mereka tidak selesa untuk berhubungan rapat dan bermesra dengan ibu bapa dan adik-beradik mereka.
5. Kurang kepercayaan
Selalunya anak kecil akan percaya apa yang dikatakan oleh ibu dan ayahnya dan benar-benar bergantung kepada kedua-duanya. Tetapi tidak bagi si manja yang mengalami masalah ini. Mereka yang sudah menanamkan perasaan di abaikan dan tidak di sayangi dalam dirinya berasa sukar untuk mempercayai dan mendengar kata-kata orang lain. Ada kalanya mereka ini cenderung untuk keras kepala dan enggan mendengar pendapat orang lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu selalu rasa diri ni macam “super teacher” ajar anak jalan, makan sendiri, lipat baju, dan macam-macam lagi. Tapi pernah tak kita pause sekejap dan fikir, eh… sebenarnya hari ni kita belajar sesuatu daripada anak kita sendiri?
Yup. Anak yang kecil tu… banyak betul “tegur” kita tanpa suara tinggi, tanpa ceramah panjang. Tapi cukup buat kita tersentap.
Contohnya waktu pagi. Kita dah macam lipas kudung nak kejar masa, dia boleh relaks pakai stokin sambil nyanyi lagu Upin Ipin. Kita rasa nak meletup, tapi… eh, dia ajar kita satu benda: tenang tu indah. Kita ni yang selalu terlalu cepat sampai tak sempat nikmati momen.
Dan bila anak datang hulur lukisan conteng-conteng dia dan cakap, “Ni mama tengah masak,” walaupun tak serupa langsung… tapi hati terus lembut. Anak ajar kita untuk hargai usaha, bukan hasil. Dia nampak kita dan tu dah cukup buat kita rasa dihargai.
Waktu kita penat, mata pun nak pejam… si kecik tu datang peluk dan tanya, “Mama okay tak?” Adoii. Cair. Masa tu kita sedar, anak kecil pun tahu sayang. Dan mereka sayang kita tanpa syarat walau kita belum mandi, rambut serabai, suara tadi baru tinggi sikit 😅
Dan part paling menusuk bila kita marah, tapi anak tetap datang peluk. Tetap panggil “Mamaaaa…” sambil senyum. Masa tu rasa nak nangis pun ada. Anak ajar kita,
“Tak apa mama marah, saya tetap sayang mama.”
Kadang kita rasa gagal sebab tak sempat buat semuanya perfect. Tapi anak tak minta perfect pun. Dia cuma nak mama yang hadir, yang peluk bila dia takut, yang senyum bila dia buat lawak pelik-pelik tu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...