
Anak bakal melangkah ke Darjah 1 tahun depan tetapi masih belum lancar membaca? Situasi ini pastinya membuatkan ramai ibu ayah mula risau, lebih-lebih lagi apabila memikirkan sama ada anak mampu mengikuti pembelajaran di sekolah nanti.
Masalah anak belum lancar membaca sering menjadi kebimbangan ibu bapa apabila usia persekolahan semakin hampir. Ada yang bimbang anak akan ketinggalan berbanding rakan sebaya. Tidak kurang juga yang mula mencari pelbagai kaedah supaya anak cepat mengenal huruf, mengeja dan membaca.
Namun, ibu ayah jangan terlalu panik! Membaca merupakan satu proses pembelajaran yang memerlukan masa, kesabaran dan pendekatan bersesuaian dengan perkembangan anak.
Menurut Puan Ashikin Hashim, Pengetua Genius Aulad Saujana Utama, ibu bapa perlu memahami bahawa setiap anak mempunyai tahap perkembangan berbeza. Apa yang penting, jangan terlalu mendesak sehingga anak hilang keseronokan untuk belajar.
Anak Belum Lancar Membaca, Apa Ibu Ayah Perlu Buat?
Puan Ashikin berkongsi beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu anak menguasai kemahiran membaca sebelum memasuki alam persekolahan.
1. Jangan terlalu panik
Anggap keadaan ini sebagai cabaran positif. Daripada terlalu risau, lebih baik ibu ayah memberi tumpuan kepada usaha membantu anak secara berperingkat.
2. Cari kaedah pembelajaran yang sesuai
Jika tadika menyediakan pembelajaran dalam talian, usahakan supaya anak dapat mengikutinya. Ibu ayah juga boleh mendapatkan bantuan tutor di rumah jika berkemampuan atau mengajar sendiri anak mengikut kesesuaian masa.
3. Sediakan bahan pembelajaran
Jika memilih untuk mengajar sendiri, sediakan buku belajar membaca menggunakan kaedah fonik atau suku kata, alat bantu mengajar dan senarai aktiviti yang boleh merangsang minat anak.
4. Perhatikan perkembangan anak
Kenal pasti sama ada anak menghadapi kesukaran pembelajaran atau perkembangan. Jika terdapat kebimbangan, dapatkan penilaian daripada doktor atau ahli terapi.
Anak yang boleh berkomunikasi, memahami arahan dan mengurus rutin harian sendiri mempunyai asas kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam proses belajar membaca.
Umur 4 Hingga 6 Tahun Masih Belum Boleh Membaca, Normal Ke?
Menurut Puan Ashikin, perkara pertama yang perlu diperhatikan ialah sama ada anak langsung belum boleh membaca atau sebenarnya sudah mula mengenal beberapa perkataan.
Ibu ayah juga perlu melihat kemahiran lain seperti bercakap, memahami arahan, memakai pakaian, berkawan dan mengurus diri.
Jika anak mempunyai kemahiran tersebut tetapi masih belum lancar membaca, jangan terus melabelnya sebagai lambat atau tidak pandai.
Anak kecil memerlukan masa untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Mereka bukan robot yang mampu menguasai semuanya secara serentak.
Puan Ashikin turut berkongsi pengalaman tiga anaknya yang mula membaca pada usia berbeza. Anak pertama boleh membaca ketika berusia empat tahun, anak kedua pada usia lima tahun, manakala anak ketiga hanya lancar ketika berusia tujuh tahun.
Beliau juga pernah mendapatkan pandangan seorang ahli terapi cara kerja yang menyebut penghujung Darjah 1 sebagai antara waktu untuk menilai kebimbangan sekiranya anak masih belum boleh membaca langsung.
Bagaimanapun, ibu ayah tidak perlu menunggu sehingga usia tersebut untuk mendapatkan bantuan sekiranya terdapat tanda kesukaran pembelajaran atau perkembangan.
Jika anak belum lancar membaca walaupun sudah mendapat latihan yang bersesuaian, ibu ayah boleh berbincang dengan guru untuk mengenal pasti kesukaran yang dihadapi dan menentukan sama ada penilaian lanjut diperlukan.
Jangan Terlalu Fokus Membaca Sampai Lupa Kemahiran Lain

Puan Ashikin mengingatkan bahawa membaca bukan satu-satunya kemahiran penting yang perlu dikuasai anak.
Beliau pernah mempunyai murid yang belum lancar membaca tetapi berani tampil di pentas, mampu menghafal skrip, menghormati guru dan mempunyai belas ihsan terhadap rakan.
Ini membuktikan bahawa anak turut melalui perkembangan penting dari aspek sosial, emosi dan keyakinan diri.
Malah, apabila memasuki sekolah baharu, anak juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan guru, rakan dan persekitaran.
Justeru, jangan terlalu cepat menyalahkan anak atau sekolah apabila kemajuan membaca belum seperti yang diharapkan.
Nak Anak Cepat Kuasai Membaca? Fahami 5 Perkara Ini Dahulu
Sebelum memulakan latihan membaca, Puan Ashikin menekankan lima perkara penting yang perlu difahami ibu ayah.
Pertama, jangan tergesa-gesa. Berikan anak ruang dan masa untuk belajar mengikut kemampuan mereka.
Kedua, jangan membandingkan anak. Setiap anak mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri, termasuk antara adik-beradik.
Ketiga, fahami bahawa membaca ialah satu proses. Kemahiran ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang melalui pembelajaran dan latihan berterusan.
Keempat, jangan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada tadika. Guru merupakan pemudah cara, tetapi ibu ayah ialah guru pertama dan rumah merupakan tempat pembelajaran utama anak.
Kelima, terus berdoa dan berusaha. Mohon kekuatan serta ilmu daripada Allah SWT dalam mendidik anak, selain mendapatkan bantuan pakar apabila diperlukan.
Teknik Ajar Anak Membaca, Tak Semestinya Kena Menghadap Buku!
Ramai ibu ayah beranggapan latihan membaca mesti dilakukan dengan buku setiap hari. Hakikatnya, menurut Puan Ashikin, terdapat pelbagai aktiviti menyeronokkan yang boleh membantu anak.
Jika anak belum lancar membaca, ibu ayah boleh mencuba pendekatan yang lebih santai melalui komunikasi, permainan dan aktiviti harian tanpa menjadikan sesi pembelajaran sebagai satu tekanan.
1. Banyakkan Komunikasi Dengan Anak
Mulakan komunikasi sejak bayi. Biasakan bercakap dan berinteraksi dengan anak ketika bermain, memasak, membeli-belah, memakai pakaian atau dalam perjalanan.
Pada masa sama, elakkan kebergantungan kepada gajet yang boleh mengurangkan peluang interaksi dua hala.
2. Beri Anak Peluang Bermain
Bermain membantu anak mengumpul kosa kata, membina ayat, bertanya soalan, menjawab dan berinteraksi dengan orang sekeliling.
Melalui aktiviti bermain, anak sebenarnya sedang membina kemahiran bahasa yang menjadi asas kepada pembelajaran membaca.
3. Bacakan Buku, Bukan Paksa Anak Membaca
Ibu ayah boleh membacakan buku cerita kepada anak walaupun mereka belum mengenal huruf.
Aktiviti ini membantu memperkaya kosa kata, menambah pengetahuan am dan mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak.
Ketika membaca bersama, ibu ayah juga boleh menunjukkan gambar, menyebut nama objek atau mengajak anak meneka jalan cerita. Aktiviti ringkas seperti ini memberi peluang kepada anak untuk mengenali perkataan tanpa perlu dipaksa mengeja setiap ayat.
4. Berbual Sebelum Anak Tidur
Manfaatkan waktu sebelum tidur untuk berbual atau bercerita secara santai.
Ketika anak berada dalam keadaan tenang, ibu ayah boleh berkongsi cerita, memberikan nasihat dan menggalakkan anak meluahkan perasaan.
5. Belajar Membaca Daripada Persekitaran
Jangan hanya bergantung kepada buku latihan. Gunakan bahan harian seperti papan tanda jalan, tajuk akhbar, label barangan, poster dan senarai barang untuk memperkenalkan perkataan.
Kaedah ini membolehkan anak mengenali perkataan dalam kehidupan sebenar sambil belajar secara santai.
Contohnya, ketika membeli-belah, ibu ayah boleh menunjukkan perkataan mudah pada bungkusan makanan atau meminta anak mencari huruf yang sudah dikenalinya. Tidak perlu menjadikan setiap aktiviti sebagai ujian, sebaliknya beri peluang kepada anak belajar melalui pengalaman.
Kunci Anak Lancar Membaca, Sabar Dan Konsisten!
Kesimpulannya, Puan Ashikin menekankan empat aktiviti asas yang perlu diamalkan sejak kecil, iaitu berbual, bercerita, membacakan buku dan bermain.
Melalui aktiviti ini, anak dapat mengumpul kosa kata, membiasakan diri dengan pelbagai bunyi perkataan dan membina asas bahasa sebelum mempelajari suku kata.
Ibu ayah perlu ingat, kemahiran membaca memang penting tetapi jangan sampai anak tertekan atau hilang keyakinan diri.
Walaupun anak belum lancar membaca menjelang Darjah 1, usaha yang konsisten, sokongan guru dan pendekatan pembelajaran yang sesuai boleh membantu anak mengembangkan kemahiran ini secara berperingkat.
Teruskan usaha secara konsisten, hormati proses pembelajaran anak dan didik mereka dengan penuh kasih sayang.
Sumber: Puan Ashikin Hashim

sekarang!
