Disleksia ialah satu keadaan di mana kanak-kanak mengalami masalah berkaitan keupayaan membaca, mengenal huruf, mengeja, menyebut suku kata, mengingat semula perkataan yang rumit dan mengingati memahami susunan ayat atau kata.
Kanak-kanak yang berumur tiga hingga empat tahun menunjukkan tanda-tanda awal disleksia sebelum mereka mula membaca. Ini kerana disleksia boleh menjejaskan pelbagai kemahiran bahasa yang menjadi asas kepada proses pembacaan. Berikut adalah beberapa tanda-tanda yang anda perlu kenal pasti.
#1 BERCAKAP SEPERTI BAYI
Kanak-kanak yang disyaki mengalami disleksia akan menyebut perkataan dengan salah sebagai contoh ‘almari’ menjadi ‘lamari’. Manakala penguasaan bahasanya juga kurang daripada rakan-rakan sebayanya yang lain dan dia juga kurang bercakap. Hal ini kerana disebabkan oleh perkembangan bahasa yang tertunda.
#2 MENGALAMI MASALAH MEMANGGIL SESUATU DENGAN NAMA YANG BETUL
Si manja akan mengalami masalah untuk menterjemahkan apa yang anda katakan. Misalnya jika anda memintanya memberikan sudu, dia akan berikan sudu. Ini berlaku kerana kanak-kanak disleksia mengalami masalah untuk mengenal pasti nombor, warna dan abjad. Disleksia mempengaruhi cara otak memproses bahasa. Ini akan menyebabkan si kecil mengalami masalah untuk menamakan sesuatu objek dengan tepat.
Ads
#3 MASALAH DENGAN PERKATAAN YANG MEMPUNYAI RIMA YANG SAMA
Perkataan yang mempunyai rima yang sama seperti “papan”, “lapan”, “lipan”, memang akan menyebabkan ia dikenal pasti kanak-kanak disleksia. Mereka sukar untuk mengenal pastinya dan sering kali tertukar kerana susah untuk memecahkan perkataan kepada suku kata yang berbeza bunyinya.
Ads
#4 TIDAK MAMPU MENGIKUTI ARAHAN
Apabila anda memintanya mengambil jaket dan kasut, dia hanya akan datang membawa kasut sahaja. Kanak-kanak disleksia tidak boleh memproses arahan yang kompleks. Mereka boleh mengikuti arahan yang pendek dan ringkas serta perlu sentiasa diingatkan. Ini kerana mereka hanya menangkap arahan yang diberikan pada awal atau akhirnya sahaja.
Namun semua kanak-kanak disleksia mempunyai gejala yang sama. Antara gejala awal yang biasa dikesan pada kanak-kanak peringkat sekolah adalah menulis huruf terbalik, tertukar suku kata, tertinggal huruf, tertinggal perkataan, tidak minat dalam tugasan memerlukan membaca dan menulis, sukar mengenal waktu dan tertukar maksud perkataan.
Ibu bapa kerap menyalah tafsirkan disleksia sebagai developmental delay. Ia adalah satu stigma yang perlu diperbetulkan kerana disleksia adalah masalah yang berkaitan dengan neurological, tiada kaitan dengan IQ. Kanak-kanak disleksia biasanya mempunyai IQ yang normal, bahkan mempunyai kecenderungan dan bakat semulajadi yang istimewa dalam bidang lain seperti seni, kemahiran dan sebagainya.
PENGESANAN AWAL
Apabila ibu bapa melihat ciri-ciri yang meragukan seperti di atas, lakukan pengesanan awal dengan segera. Pengesanan awal penting bagi membolehkan penilaian dibuat dan penyesuaian dibuat terhadap kaedah mengajar dan belajar bagi kanak-kanak ini serta dalam proses rangsangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sukar nak faham perangai anak umur 2 tahun terutama bila mereka tantrum. Tapi ayah terutamanya jangan cepat marah sebaliknya kena sabar dan pujuk si kecil.
“Kenapa tak dengar cakap papa ni. Kan papa suruh diam. Jangan nangis lagi. Degil ya!” marah si ayah pada anaknya berusia 2 tahun yang buat perangai lepas tu sengaja menangis kuat-kuat.
Mesti ramai ayah yang bersikap begini kan? Menggunakan kuasa veto seorang ayah untuk mengawal si anak yang baru berusia tak lebih 3 tahun daripada berbuat nakal. Kekerapan si kecil buat perangai dan kuat mengamuk, benar-benar menguji kesabaran ayah. Tapi puas dimarah dan dipukul, anak tetap tak makan saman. Betulkah cara didikan tersebut?
Dia agak terkejut kerana selama hari ini dia menyangkakan anaknya yang dulu baik dan mendengar kata, sudah mula degil dan macam biadap pun ada katanya.
Nampak bulat mata si ayah-ayah tu. Soalannya yang seterusnya pula; “sampai bila fasa ni Ibu?” Ibu menerangkan bahawa fasa ini boleh jadi sekejap jer iaitu hingga anak 3 tahun jika ibu bapa dan orang yang mendidiknya bijak mengendalikan fasa ini dengan baik.
Jangan cepat melabel anak itu dengan label yang buruk sebab itu akan membawa kepada identiti diri anak itu dan pada usia 3 tahun, anak itu akan mengambil identiti yang sering diulang terhadap dirinya. Contoh, ‘budak degil, hiperaktif, jahat, nakal dan segala yang sewaktu dengan itu!
“Tak boleh marah ke Ibu?” tanyanya lagi…” marah berpatutanlah jika perlu sangat api perlu faham anak pada usia ini belum faham pun.
Jika ada benda bahaya ambil sahaja dia dari situ dan tunjukkan benda yang selamat. Jika dia meronta, pegang jer dan sooth him, jangan kita pulak sama nak naik berang. Memang anak pada usia ini akan menangis bila disekat anginnya. So, just expect that without thinking anak itu degil atau anda ayah atau ibu yang bodoh.
It is just a phase so chill a little bit.
“Zaman dulu mak ayah tak pun sibuk akan fasa ni? Ada juga yang berkata begitu.” sambungnya lagi. Jawapan Ibu, “siapa kata?”
“Sayang ingat ke macamana sabar emak ayah kamu mendidik? Mungkin ingat sikit-sikit ayah dukung atas bahu bawak pergi tengok burung, buah etc. Itu bukankah cara si ayah mengalihkan pandangan supaya sayang tak menunjukkan tantrum. Emak ayah dulu pun tahu dan ramai di antara mereka sangat sabar. Mereka sering berkata…ala budak…kan? ada jugalah yang tak tahu dan tak sabar. Itulah yang anak-anak mereka kemudiannya ada masalah emosi sikit dan mungkin banyak. Nak pilih contoh yang mana?” tanya Ibu kepada yang bertanya tadi.
Termenung jugalah para ayah muda yang prihatin tu. Kata-kata akhir seorang tu… “Eh, banyak kena tahu ni….besar tanggung-jawab ni.” Nanti Ibu cerita lagi boleh?” Ibu mengangguk bersyukur.
Ibu senyum bersyukur dalam hati Ibu mendoakan mereka. Inilah contoh para ayah yang sentiasa mahu memperbaiki diri demi kesejahteraan anak-anak dan isteri dan mereka ini tahu peranan besar mereka mendidik dan membentuk Ummah.
Faham fasa anak kecil
Pada usia dua tahun atau lebih atau kurang sikit, merupakan masa yang paling mencabar ibu bapa. Seperti yang Ibu selalu katakan sebelum ini. Jika bijak ibu bapa kendalikan perangai anak-anak kecil itu semasa ini, InsyaAllah, akan lebih mudah menguruskan mereka bila sudah remaja nanti.
Tantrum yang sering ditunjukkan anak-anak kecil masa ini adalah cetusan-cetusan perasaan, rasa tidak selesa atau tak puas hati. Kadang-kadang tu, hanya sebab tak pandai makan dengan sudu pun dah boleh menyebabkan mereka mengamuk.
Kenapa?
Sebab pada usia ini dia nak buat macam orang dewasa tapi motor skil belum mahir. Itulah yang menyebabkan dia kecewa. Malah dia ingat dia dah dewasa pun.
Relaks, jangan cepat nak melenting bila dia jatuhkan sudu ke, apa ke. Kita pun jatuhkan sudu dan buat macam tak pandai makan dengan sudu juga…pasti dia terheran and tantrum terhenti.
Pada usia ini anak-anak hanya ada Attention dia belum ada Intention (niat).
Pada usia ini anak-anak tidak ada niat buat sesuatu kerana sesuatu. Contohnya, dia tidak menangis sebab nak beri ayah-mama pening! Dia tiada niat begitu pun!
Bila kita faham akan perkara ini, maka untuk menghalang anak-anak dari terus mengamuk kerana hendakkan barang atau nak menghalang anak dari pergi ke tempat yang bahaya. Wujudkan sesuatu yang akan menarik perhatiannya dengan LEBIH lagi.
Mengapa tak elok kita marah terlebih pada mereka bila mereka show tantrum?
Sebab anak-anak kecil ni memang tak faham lagi dan bila kita marah terlebih, yang akan jadi adalah mereka menjadi lebih degil atau takut macam kura-kura masukkan kepalanya. Oleh itu bila dia dah usia besar sikit, maka kedegilan yang ketara akan menjadi-jadi atau penakut dan tak confident yang teruk akan melanda anak itu. Penat nak tarik dia nak belajar ke, nak buat apa-apa ke.
Jangan risau bila kita layan dengan baik anak itu tetap tantrum. Bila dia nak menangis dan tantrum, kita beri dia peluang asal jangan membahayakan diri. Kita boleh duduk dekat dengannya, atau bawa dia ke tempat lain dan basahkan mukanya sambil sebut “Ayah faham sayang letih…ni ayah dukung and peluk!”
Wahai ayah-ayah semua, gentlemen dan amazingnya anda jika anda bersabar begini. You show a higher level of leadership dan anak itu akan belajar akhlakmu.
Orang akan kata kita manjakan anak. Itu orang yang tak faham mengenai perkembangan kanak-kanak! Kita tak perlu ikut kata-kata mereka. Bayangkan anak tu baru 2 tahun, kecil tu, dah nak ditengking dan dipukul bagai hanya kerana dia menangis kerana letih atau kecewa toys kena rampas ke. Sepatutnya, kita bimbing dia macamana nak kendalikan frustration dia dan bukan kita pulak yang frustrated dengan anak kita yang comel tu.
Ibu mendoakan agar sayang semua akan bertambah bijak dan sabar mendidik anak-anak.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untuk melatih anak berfikir sejak kecil terdapat pelbagai cara antaranya melakukan aktiviti diluar rumah. Ini kerana otak kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal antara 0 hingga enam tahun amat aktif berfikir. Selain bermain dengan barang permainan yang merangsang minda, ibu ayah perlu biarkan anak-anak melakukan ktiviti-aktiviti diluar rumah (outdoor activities). Ia penting untuk membentuk pemikiran si kecil manja.
Oleh itu, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneroka dunia sekeliling dengan bebas. Ikuti enam aktiviti diluar rumah yang boleh membantu anak anda untuk mula berfikir secara aktif lagi produktif.
Berdasarkan perkongsian, Dr Airil Haimi Mohd Adnan yang merupakan Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, ada enam aktiviti yang boleh anak lakukan untuk merangsang anak berfikir.
Aktiviti 1
‘Lawatan sambil belajar’ ke mana sahaja
Saya pasti mama dan papa semua tahu manfaat aktiviti seperti ini. Aktiviti lawatan sambil belajar bukan hanya membuat si kecil teruja, malah kita orang dewasa ini pun teramat suka kalau kita diberi peluang untuk melawat tempat-tempat yang baru sambil menambah pengalaman yang sedia ada. Untuk si kecil anda, lawatilah tempat-tempat yang ada berdasarkan kemampuan. Tidak semestinya anda membawa si kecil itu terbang ke tempat peranginan di luar negara sahaja! ‘Lawatan sambil belajar’ ke pasar basah, ke zoo berdekatan, ke taman bunga atau tempat-tempat ‘biasa’ lain juga pasti memberi kesan positif ke arah pembentukan minda si kecil.
Aktiviti 2
Bermain lasak di kawasan yang sesuai
Kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal amat senang jika diberi peluang untuk melompat, memanjat, berayun, berlari dan melakukan pelbagai aktiviti lasak lagi. Mereka mungkin akan jatuh dan luka, pada masa yang sama semua ini pasti memberikan pengalaman hidup kepada mereka yang amat perlu untuk pembinaan fakulti pemikiran. Minda yang aktif lagi produktif adalah kesan dari aktiviti bermain lasak, misalnya bermain di padang permainan dengan kanak-kanak lain. Lebih elok jika ada kanak-kanak lain bersama kerana si kecil kesayangan papa dan mama juga akan belajar bersosial dengan cepatnya. Tapi, pastikan si kecil diselia, ya! Janganlah benarkan dia bermain bersendirian.
Aktiviti 3
Beriadah sambil memerhati dan bercerita
Aktiviti riadah tidak semestinya melibatkan aktiviti lasak berlari ke sana dan ke mari sahaja, atau melibatkan perjalanan jauh ke luar negara yang akan melibatkan kos yang tinggi. Antara aktiviti yang amat disukai oleh si kecil adalah yang berbentuk pemerhatian dan penceritaan. Bersama mama atau bersama papa (selalunya bersama dengan papa), bawalah si kecil bersiar-siar di tempat baharu atau tempat yang mungkin sudah pernah dilawati. Kemudian ajak si kecil memerhati keadaan sekeliling sambil bercerita mungkin tentang haiwan atau serangga yang dilihat, bunga-bungaan, pohon-pohon atau apa-apa sahaja!
Aktiviti 4
Temancahaya bulan purnama
Selalunya, si kecil pada peringkat usia praformal akan berasa takut kepada kegelapan. Oleh itu, aktiviti yang dilakukan pada waktu malam seperti ini amat perlu demi untuk menghilangkan rasa takut itu. Aktiviti di bawah cahaya bulan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, asalkan ditemani oleh orang dewasa. Untuk papa serta mama yang berkemampuan, apa kata laburkan sedikit wang gaji untuk memberi teleskop? Bukan mahal pun harga teleskop sekarang ini. Aktiviti memerhatikan bulan dan bintang pasti membuat si kecil teruja! Nah, siapa tahu kalau-kalau aktiviti ini bakal melahirkan seorang ahli astronomi seperti Ibnu al-Haytham atau Galileo Galilei.
Aktiviti 5
Bermain berdasarkan imaginasi
Kalau disebut sahaja aktiviti di luar rumah, pastinya kita akan terfikir tentang aktiviti bermain bukan? Sebabnya mudah, kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui aktiviti bermain. Aktiviti bermain yang memerlukan imaginasi tinggi sudah pasti memberi kesan yang amat positif kepada pembentukan pola pemikiran pada awal usia kanak-kanak. Kotak kadbod kosong yang besar lagi kuat, kain selimut yang sudah tidak digunakan, malah apa sahaja boleh digunakan untuk aktiviti berbentuk pembinaan. Jika ada ruang, rumah di atas pokok atau khemah di tepi rumah anda juga boleh menjadi tempat untuk melatih imaginasi tahap tinggi dalam minda si kecil tersayang.
Aktiviti 6
Aktiviti berbentuk pencerapan aktif
Kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal bukan hanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi, mereka kuat memerhatikan keadaan sekeliling mereka melalui deria mata dan telinga. Ambil peluang keemasan ini untuk membantu melatih kebolehan mencerap, mengamati sambil membuat rumusan. Sebagai contoh, ketika melihat haiwan melintas di depan rumah, minta si kecil mengira sebanyak mungkin haiwan yang dia lihat. Aktiviti berbentuk kesenian juga boleh dicuba dengan membantu si kecil melukis dan mewarna sesuatu yang dilihat di luar rumah anda. Yang pasti apa sahaja yang dilakukan akan membawa kesan yang positif dalam pembinaan minda dan fakulti kognitif atau pemikiran si kecil anda pada hari muka.
KESIMPULAN
Nyata, kanak-kanak dalam usia sebegini memerlukan pengalaman yang banyak untuk membentuk pola pemikiran awal mereka. Pengalaman yang banyak lagi berguna bukan hanya terbentuk di dalam rumah, di taska atau dalam kelas tadika sahaja. Pengalaman-pengalaman awal yang akan membantu membentuk pemikiran yang logik, rasional, kreatif dan divergen sebenarnya lebih banyak tertumpu kepada aktiviti di luar rumah, khasnya untuk peringkat usia pendidikan praformal.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak kecil terutamanya bayi sering memasukkan jari atau alat permainan ke dalam mulut. Jika alat permainan dan permukaan tempat si kecil bermain tidak bersih, bakteria dan virus pasti mudah berpindah kepada bayi.
Perkara ini sering diambil ringan oleh para ibu bapa. Alat permainan yang kotor boleh meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus pada kanak-kanak.
Membersihkan alat permainan seharusnya dijadikan rutin kepada para ibu bapa sama seperti membasuh kereta mahupun mop lantai rumah.
Berapa Kerap Anda Perlu Membersihkan Alat Permainan Si Kecil?
– Ia terpulang kepada ibu bapa berapa kerap alat permainan itu hendak dibasuh. Anda tidak perlu menyusahkan diri membersihkannya setiap hari. Namun, adalah baik jika alat permainan anak anda dibersihkan pada masa yang tertentu seperti;
– Apabila alat permainan kelihatan kotor (contoh: makanan tumpah pada alat permainan, atau dibawa main keluar rumah)
– Anak anda baru sembuh daripada sebarang jangkitan seperti selsema atau cirit birit. Dikhuatiri alat permainannya masih dicemari dengan bakteria/virus yang menyebabkan anak anda sakit
– Kanak-kanak lain memasukkan alat permainan anak anda ke dalam mulut mereka
– Setiap hujung minggu/bulan
Kaedah Membasuh Alat Permainan
Alat permainan keras (diperbuat daripada plastik)
Kaedah 1
– Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
– Bilas dengan air bersih
– Keringkan dan lap dengan wet wipe tissue
Kaedah 2
– Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
– Rendam di dalam *air yang dicampur peluntur selama 10-20 minit
– Bilas dengan air bersih dan keringkan
Alat permainan yang mempunyai bateri/diperbuat daripada kayu atau besi/permainan bersaiz besar
– Lap permukaan luar menggunakan span sabun
– Kemudian lap menggunakan kain lembap yang telah direndam *air yang dicampur peluntur dan keringkan
*Cara mudah sediakan air campuran peluntur:
Campurkan 1 sudu (15 ml) peluntur untuk setiap 1 liter air.
Peluntur yang telah dicampurkan air pada jumlah yang betul adalah selamat untuk digunakan sebagai cecair pembersih alat permainan. Klorin pada peluntur akan tersejat dengan cepat semasa dikeringkan.
Alat permainan lembut/kapas/kain
Sebilangan alat permainan boleh sahaja dibasuh menggunakan mesin basuh.
Sekiranya ia tidak sesuai dibasuh menggunakan mesin, rendam dengan air sabun, bilas dan keringkan di bawah cahaya matahari.
Permainan yang sukar dibersihkan atau terlalu kotor eloklah dibuang sahaja untuk mengelak pembiakan kuman.
Membiasakan si kecil mempunyai bantal atau selimut busuk juga sebaiknya tidak perlu diamalkan. Ini kerana, kotoran bakteria akan berkumpul pada bantal dan selimut dan ia sebenarnya boleh mengundang jangkitan. Untuk anak yang mempunyai bantal/selimut busuk, basuhlah sekali-sekala terutamanya apabila ia kelihatan kotor.
Tip Lain Menjaga Kebersihan Alat Permainan
Simpan permainan di dalam bekas tertutup yang bersih setiap kali selepas main
Sebaiknya, setiap anak mempunyai permainan sendiri. Kurangkan berkongsi permainan terutamanya patung mainan fabrik
Permainan yang tidak boleh dibasuh seperti plastisin perlu diganti apabila ia sudah lama digunakan kerana bakteria pasti sudah berkumpul di dalamnya
Kotak pasir perlu diganti secara berkala dan ditutup jika tidak digunakan untuk mengelakkan haiwan liar mengotorkan pasir tersebut
Sekiranya ada permainan yang kelihatan kotor, jangan campurkan bersama permainan bersih. Asingkan ia sebelum dibasuh
Jadikan aktiviti membersihkan alat permainan sebagai salah satu rutin kerja rumah. Ibu bapa perlu bijak dan prihatin terhadap kesihatan anak-anak. Kesihatan keluarga bermula daripada persekitan rumah yang bersih.
Sumber: zuriat.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aktiviti mewarna bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak. Ketahui bagaimana ia membantu meningkatkan fokus, kreativiti, kemahiran motor halus, koordinasi serta keyakinan diri anak.