
Nama Dr. Amalina Che Bakri bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak zaman remajanya, beliau sudah dikenali sebagai pelajar cemerlang yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan tertinggi SPM ketika itu.
Kini, figura inspirasi ini kembali menjadi tumpuan selepas berkongsi detik manis menerima sijil PhD (Doctor of Philosophy) di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, Dr. Amalina menulis penuh kesyukuran:
“Received my PhD certificate today, Alhamdulillah. ..”
Namun di sebalik kejayaan akademik itu, ada kisah kehidupan yang sangat menyentuh hati perjalanan seorang wanita, seorang isteri, dan seorang ibu yang tetap teguh mengejar impian walau berdepan cabaran besar.
Ketika menuntut PhD, Dr. Amalina bukan sahaja sibuk dengan penyelidikan klinikal dan penulisan tesis, malah dalam tempoh itu jugalah beliau menemui cinta, berkahwin dengan jejaka British, Alexander Charles, pada 31 Mac 2021, dan kini bergelar ibu kepada dua orang anak comel.
Katanya, perjalanan menyiapkan PhD bukan sekadar tentang data dan ujian makmal, tapi juga tentang pengalaman menjadi ibu berjaga malam menyusukan anak, mengurus rumah tangga, dan tetap hadir bekerja walaupun kurang tidur.
“Ada malam saya perlu tenangkan bayi yang demam sambil risau tentang tarikh akhir penulisan tesis. Ada pagi saya ke hospital dengan hanya dua jam tidur. Tapi semua itu membuatkan perjalanan ini lebih bermakna.”
Lebih menyentuh hati apabila beliau mendedahkan bahawa sewaktu menyiapkan viva dan tesis terakhir, beliau sedang mengandungkan anak kedua.
“Setiap bab dalam tesis PhD saya ditulis seiring dengan bab baru dalam kehidupan saya sebagai seorang ibu.”
Dalam perkongsian itu juga, Dr. Amalina mengingatkan semua wanita terutama ibu-ibu bekerja dan yang sedang menuntut ilmu bahawa kita tidak perlu memilih antara keluarga dan impian.
“To all the women (especially mothers), juggling work, studies, and family, it is possible. You don’t have to be perfect. Just keep going, one step at a time.”
“You don’t have to choose between your dreams and your family. You can grow both, with love, courage, and perseverance.”
Penelitiannya pula memberi manfaat kepada ramai wanita lain apabila beliau menumpukan kajian kepada wearable technology untuk membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara.
Benarlah kata orang, wanita mampu melakukan segalanya apabila disulami kasih sayang, semangat dan sokongan keluarga. Kisah Dr. Amalina ini menjadi bukti bahawa seorang ibu tidak perlu sempurna, cukup sekadar terus berjuang — sedikit demi sedikit, langkah demi langkah.
Sumber: dramalinabakri