Anak kalau dengan ayah semua dengar & cepat nak buat. Ibu jangan rasa kecil hati atau putus asa, ini mungkin puncanya.
Ibu dan bapa mempunyai perbezaan personaliti yang ketara. Seorang bapa lebih bersahaja, ringkas dan sporting manakala ibu pula lebih teliti. Justeru, ini menyebabkan anak-anak lebih menyukai personaliti bapa mereka berbanding ibu.
Perkongsian daripada ibu ini di Facebook mendapat perhatian warganet. Ia mendapat lebih 1,800 reaksi dan 1.800 perkongsian. Berikut perkongsian beliau;
Topik kali ni tentang kenapa anak-anak kalau bapak cakap sekali, terus dia dengar. Tapi kalau mak cakap, sampai berbuih mulut, mata terjegil, telinga berasap pun dia belum tentu nak ikut.
Akhirnya, kuliah kami membawa kepada beberapa rumusan.
#1.Bapa suka main dengan anak
Betul tak? Yang suka layan anak main siapa? Bapak. Suami kami orang ni la.
Walau cengey kot mana pun bapak, dia juga lah yang sabar layan anak main. Dari main lasak-lasak sampailah ke main masak-masak. Bapak yang main.
Mak pergi mana masa ni?
Buat kerja rumah.?
Dikala bapak layan anak main bayblade, mak jemur baju. Dikala bapak layan anak main Saidina, mak lipat baju. Dikala bapak layan anak main cikgu-cikgu, mak cuci jamban.
Jadi, siapa best?
Bapak!
#2. Dengan bapa apa nak pun dapat, dengan mak semua tak boleh
Suami aku jenis bawa anak pergi kedai DIY, kemudian keluarkan pekeliling, “Ambik mainan yang bernilai RM20 ke bawah. Abah tunggu sini. 10 minit lagi jumpa kat sini semula”.
Maka, anak aku dengan penuh gembira akan cari mainan seperti yang diluluskan bajet poket abah dia. Tapi diiringi rasa tanggungjawab juga.
“Bawah 20 ringgit”. “Jumpa lagi 10 minit”.
Diberi kepercayaan adalah satu perasaan besar dan bangga dalam diri anak-anak. Anak suka orang percaya dia. Dia akan balas kembali dengan rasa percaya yang sama.
Cuba kalau mak~~
“Eh, tu dah ada”. “Mahal sangat tu”. “Tu takda faedah”. “Tak payah, baik bagi mak beli sayur”.
Habis, siapa best? Bapak!
Ads
#3. Bapa enjoy the momment, mak fikir 20 tahun akan datang
Ayah tak banyak fikir akibat.
Sekarang, masa sekarang.
Anak nak tolong bakar sampah, jom!
Anak nak mandi lambat, takpa.
Anak nak makan megi, sekali sekala.
Anak tidur pakai seluar jeans, ok.
Kalau mak ni~~
Bila anak memanjat, kita takut jatuh kepala pecah. Karang anak perempuan nak main beyblade, kita takut dia jadi tomboi. Jap lagi anak nak main basikal kat luar rumah, kita takut nanti kena langgar.
Serba tak boleh.
Jadi, siapa best?
Bapak!
# 4. Bapa jarang marah, sebab tu sekali sekala marahnya berkesan
Budak-budak ni adalah sejenis makhluk yang bijak. Dia pandai latih diri ikut keadaan.
Kalau dah hari-hari mak marah, anak pun imun dah. Tak kisah. Dah biasa. Ayah-ayah ni kan jarang nak marah. Sesekali marah, anak memang la takut. Sebabnya, ada impak.
Jadi, siapa best?
Bapak!
Ads
#5. Bila marah, bapaktak membebel. Mak kalau boleh nak bagi ceramah sampai malam
Bapak ni lelaki. Lelaki ni vocab dia sikit. Cakap yang perlu je. Jadi, arahan dia ringkas dan tepat. 10 kali kena ulang pun, tetap masih ringkas lagi. Dah dia memang jenis tak banyak cakap.
Mak pun gitu juga. Tapi, biasanya cuma sampai suruhan ke 3. Kalau ke 4, haaaa… tunggulah kau. Cair la taik telinga kau lepas tu.
Jadi,siapa best?
Bapak!
#6. Emosi bapa konsisten
Jarang kita dengar bapak naik angin kalau dia cakap dengan anak. Dengan muka kering-kering macho, bapak masih boleh berada di fasa emosi yang sama. Dia mampu tenang sampai ke sudah.
Mak cepat nak naik angin. Pasalnya satu la aku rasa, kita ni banyak benda lain nak buat. Nak cepat. Payah nak tunggu-tunggu ni. Tak sabor!
#7. Bapa tak banyak drama
Mana ada pernah dengar bapak kata~~
“Kamu ni tak kesian kat abah ke?”.
“Sampai hati kamu tak dengar”.
“Kamu tak sayang abah ke?”.
Mana ada!
Dia bukan kisah pun.
Ads
Kita la tu yang banyak drama tu. Sikit-sikit nak kecik hati. Sikit-sikit nak touching. Sikit-sikit nak merajuk. Anak taknak makan ikan goreng kita pun nak sedih.
Ceit!
Jadi, siapa best?
Bapak!
Dan secara psikologinya~~
Budak-budak ni akan dengar, ikut, patuh dan taat pada sosok yang dia senangi dan menyenangi dia.
Yang main dengan dia, layan dia, boleh kawtim dengan dia, boleh bagi apa dia nak, boleh berlebih kurang, boleh buat dia seronok.
Sebab tu di usia begini~~
Dia dengar cakap cikgu.
Dia suka nak main dengan kawan.
Sebab golongan ni tak macam mak.
Lebih dari guru disiplin kadang tu.
Jadi salahkah kita?
Tak!
Kita adalah penstabil keadaan.
Ying-Yang.
Kalau semua boleh, tak bagus juga.
Kalau semua sporting, rosak juga.
Kalau semua nak ikut, bahaya juga.
Jadi adakah kita tak best?
Tak!
Kitalah mak yang best dalam tak best!
Asal jangan jadi naga selalu sangat dah
la mak. Takut lubang idong kau berasap. Huduh tau!?
Anak Hebat Bermula Dengan Sokongan Hebat: Inspirasi Daripada Kisah Zafry
Setiap anak lahir dengan potensi luar biasa, tetapi untuk potensi itu berkembang, ia memerlukan baja kasih sayang dan sokongan tanpa syarat daripada ibu bapa. Dalam dunia sukan yang kompetitif hari ini, kisah adik Zafry dari program BK Fantastik oleh saluran Bintang Kecil membuka mata kita tentang pentingnya kepercayaan dan dorongan keluarga. Meskipun pernah merasai kegagalan, Zafry bangkit dengan semangat yang lebih membara, membuktikan bahawa keajaiban terbesar seorang anak terbit daripada keyakinan ibu dan ayah yang tidak pernah padam.
Sokongan Tanpa Syarat Dalam Setiap Langkah
Sejak temu bual lalu, hidup Zafry tidak banyak berubah secara drastik, melainkan kini ada yang mengenalinya di luar dan memberi kata-kata semangat. Namun bagi seorang atlet muda, perubahan yang paling berharga bukanlah populariti, tetapi keyakinan dalaman yang terus dipupuk. Zafry baru sahaja menamatkan saingan di Kejohanan Merentas Desa peringkat Negeri Selangor (MSS Selangor), dan kini beliau fokus bersedia untuk acara olahraga yang bakal berlangsung Jun ini. Di belakang setiap langkahnya, ibu dan ayah terus meniupkan semangat — tanpa mengira menang atau kalah, mereka sentiasa berada di sisi.
Dalam perjalanan sebagai atlet muda, kegagalan bukan sesuatu yang asing. Zafry akui, apabila kalah, beliau membayangkan harapan besar daripada jurulatih dan ibu bapanya. Kata-kata ibunya yang berbunyi,
“boleh rasa sedih seketika, tetapi mesti bangkit lebih kuat”,
menjadi mantera yang menguatkan langkahnya semula. Ini bukti betapa pentingnya sokongan emosi dalam membentuk mentaliti juara dalam diri anak-anak. Tanpa dorongan ini, ramai anak mungkin memilih untuk berhenti di pertengahan jalan.
Mengimbangi Impian dan Tanggungjawab
Dalam kesibukan mengejar impian besar untuk suatu hari nanti mewakili Malaysia, rutin harian Zafry tetap seimbang. Selepas tamat waktu sekolah, beliau akan berlatih, sambil ibu dan ayah memastikan pelajaran tidak tercicir dan rehat tetap cukup. Ini menunjukkan bagaimana ibu bapa berperanan besar dalam membantu anak-anak mengurus masa dengan bijak, tanpa mengorbankan kesejahteraan emosi dan akademik mereka. Walaupun Zafry hanya mendapat tempat keenam dalam kejohanan baru-baru ini dan tidak berjaya ke peringkat MSSM, beliau tetap berazam untuk kembali lebih kuat tahun hadapan.
Inspirasi Yang Membara Dalam Diri
Apabila ditanya siapa yang menjadi sumber inspirasinya, Zafry tanpa ragu menyebut nama jurulatihnya, Coach Izzuan, yang sabar membimbing dan memberi nasihat agar sentiasa memberikan yang terbaik. Namun, tiada siapa yang lebih dekat di hati selain ibu dan ayahnya, yang tetap teguh di sisi — menjadi pelindung ketika jatuh, dan penyokong ketika bangkit. Inspirasi inilah yang membuatkan Zafry ingin pula memberi sokongan tanpa berbelah bagi kepada rakan-rakan lain untuk mencapai impian mereka.
Pesanan Zafry untuk semua kanak-kanak yang pernah gagal amat mengharukan:
“Jangan mengalah, sentiasa berlatih. Bila rasa nak berhenti, ingatlah masih ramai yang tidak berpeluang seperti kita.”
Kata-kata ini bukan sekadar nasihat, ia lahir dari hati seorang anak yang sudah memahami erti sebenar perjuangan. Dengan sokongan padu ibu bapa dan tekad yang membara, tidak mustahil impian Zafry untuk mengharumkan nama Malaysia satu hari nanti akan menjadi kenyataan. Sesungguhnya, anak-anak seperti Zafry mengingatkan kita bahawa di balik seorang juara, ada keluarga yang percaya tanpa syarat, yang sentiasa menjadi cahaya dalam setiap langkah perjuangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kita selalu risau anak tak dengar kata tapi dalam masa yang sama kita lupa sebenarnya kita kena risau anak-anak sedang tengok kita.
“Kenapa degil sangat ni? Susah nak dengar cakap ibu dengan ayah hah?” tengking si ibu pada anak kecilnya yang baru berusia 4 tahun dan berlari sana sini di tempat awam.
Kita selalu harapkan anak-anak dengar kata. Setiap arahan dan larangan ibu dan ayah mesti dipatuhi. Kalau boleh kita tak mahu anak-anak jadi nakal dan tak tahu duduk diam.
Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa anak kecil memang sifat semula jadinya suka bermain dan sangat aktif. Mereka adalah amanah dari Allah yang mesti dididik sebaik-baiknya.
Mungkin nasihat daripada Ustaz Ebit Lew ini mampu membantu kita yang selalu cepat naik tangan dan naik angin dengan sedikit kenakalan anak-anak kecil.
Seorang bertanya saya ustaz, tanya ibu bapa ini, kami sedih sebab anak saya 2 orang terlalu nakal. Seorang 5 tahun dan seorang 3 tahun. Dia selalu memalukan saya depan ramai orang. Dia jatuhkan apa sahaja barang yang dia pegang. Dia pukul adiknya. Dia berebut barang dengan semua orang. Dia menjerit kuat-kuat. Saya selalu tak tahan dan cubit dia kuat-kuat. Tapi rasa bersalah pula rasanya..tapi memang saya tak boleh sabar…sebab dosa saya dulu-dulu ke. Memang perangai kami ke dulu-dulu..
Ustaz boleh baca doa apa-apa untuknya…
Anak-anak harta paling mahal
Allah sayang puan. Sebenarnya anak-anak ini rahmat Allah yang besar dalam hidup kita. Merekalah harta kita yang paling mahal dan berharga dunia dan akhirat.
Anak-anak apa sahaja mereka buat sebenarnya mereka dahagakan belaian kasih sayang ibu bapanya. Mereka hanya ingin perhatian atau masa kedua ibu bapanya. Tulah kadang-kadang ibu memberi masa dengan baik. Tapi bapa pula tiada masa langsung buat anak-anak. Lebih malang anak menjadi mangsa geram suami isteri yang bergaduh atau stress.
Ya Allah…Membesarkan anak-anak di zaman mencabar ini memerlukan keduanya suami isteri bersama-sama belajar ilmu, berkasih sayang, bersama-sama berdakwah dan mendidik, bersama-sama menangis malam dalam tahajud meminta rahmat Allah.
Bersama-sama memberi masa buat anak-anak. Bagi anak-anak ‘love’ = ‘time’ masa yang berkualiti..lagi banyak beri masa dan perhatian lagi kita sayang mereka.. Kita selalu pandang telefon tapi lupa pandang wajah anak-anak…bagaimana keadaan mereka..Allah…maafkanlah kami semua.
Lupa beri masa pada anak
Kita sayang mereka tapi lupa beri masa. Sehingga anak-anak tak belajar erti cinta dan sayang dari ibu bapa. Anak-anak yang cergas dan aktif sebenarnya ialah Daie Allah bila besar nanti. Merekalah bakal jadi seperti Usamah b Zaid ra. Siapa tahu dialah menjadi ketua jemaah orang Islam yang menyebabkan Allah tinggikan kalimah Allah. Kembalikan kegemilangan zaman hidupnya Rasul saw.
Jangan mengukur kejayaan mereka dengan pelajaran semata-mata. Sebab kita tak tahu rupanya anak kita bakal Allah hidupkan Islam di seluruh dunia. Menjadi matahari hidayah. Sangkaan ibu bapa doa yang paling kuat buat anak-anak. Hargailah kebaikan mereka.
Jika orang lain pandang rendah anak kita. Kita kecil hati. Tapi paling sedih jika ibu bapa sendiri pandang rendah pada anaknya….doakanlah mereka..tadah tangan selalu sebab kita semua tak pandai didik anak. Kita berusaha yang terbaik. Tapi kita benar-benar memerlukan pertolongan Allah. Ya Allah, betapa diriku sayang anak-anakku. Kau sayangilah mereka. Kasihilah mereka. Jadikan mereka matahari hidayah seperti sahabat rhum.
Sebut nama Allah dan Rasul sentiasa
Anak-anak memang perlu tempat untuk bermain. Umur sehingga 7 tahun umur mereka dilayan dan dituruti. Hidupkan amalan Ta’lim dalam rumah setiap hari paling kurang setengah jam. Rahmat penuh dalam rumah yang ada majlis Ta’lim. Nama Allah dan Rasul saw disebut. Anak dapat sifat dengar dan taat..bawalah mereka bersama duduk Ta’lim.
Sebelum tidur dengar kisah Nabi dan sahabat. Cerita pada mereka sebelum tidur.. Cuba lihat di keliling kita ramai orang yang berjaya hari ini dulu sangat banyak bawa masalah tetapi ibubapa mereka tak pernah putus asa dari didik dan doakan anak-anaknya.
Ingat satu pesanan orang tua-tua. Jangan terlalu risau anak tak dengar kata kita. Tapi risau anak-anak kita sedang tengok kita. InsyaAllah ada rahmat semua tu. Supaya kita sedar kita berhajat pada Allah. Saya sendiri pun tak pandai dan anak-anak masih kecil.
Hanya rahmat Allah yang kita harapkan..rahmatnya dulu yang selamatkan kita. Allah jugalah yang akan selamatkan anak-anak kita.Bacalah doa surah Al-Ahqaf ayat 15 insyaAllah anak kita bakal jadi Daie dan orang yang menghargai Islam ini. Yang cinta Allah dan sayang umat Nabi saw.
Si kecil yang genap umur 2 tahun sering dikaitkan dengan banyak kerenah atau ‘terrible twos’. Istilah ‘orang putih’ menyebut tingkah laku anak dua tahun sebagai ‘terrible twos’ memperlihatkan betapa mencabarnya kelakuan mereka yang sukar diramal.
Sesiapa yang ada anak umur dua tahun, perasan tak perubahan sikap yang berlaku kepada anak anda? Transisi daripada bayi menjadi kanak-kanak membuatkan kerenah dan tingkah laku mereka sangat menguji kesabaran papa dan mama.
‘Terrible twos’ adalah peringkat normal dalam perkembangan anak kerana dalam usia dua tahun mereka berjuang antara pergantungan mereka pada orang dewasa dan keinginan untuk berdikari. Si kecil bergelut dengan emosi yang mereka sendiri tak tahu untuk mengawalnya – seminit anak anda mungkin menangis dan kemudian seminit lagi dia boleh ketawa.
Memerhatikan perkembangan anak menjadi satu pengalaman mengujakan dan menggembirakan tetapi bila “tidak” mendominasi tatabahasa mereka, menjadi ibu bapa boleh menjadi sesuatu yang tertekan (kadangkala).
Kalau ini anak pertama anda, peringkat ini adalah fasa baru kepada kalian berdua, memahami apa yang membuatkan kecelaruan kelakuan si kecil boleh menjadi langkah awal mengubah ‘terrible twos’ menjadi ‘terrific twos’.
Kenapa tunjuk perangai?
Papa dan mama kena faham apa punca amukan si kecil, walaupun agak menjengkelkan tetapi cuba jangan ‘melawan’ dengan mereka. Kanak-kanak usia ini sedang belajar untuk berdikari. Mereka sedang melalui perubahan kepintaran, sosial, kemahiran dan emosional .
Keinginan mereka untuk melakukan semua perkara sendiri menjadi semakin kuat sebaik mereka tahu jangkaan mematuhi peraturan oleh papa dan mama.
Menurut Mayo Clinic, kanak-kanak ‘membuat perangai’ kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan jelas dan mengawal emosi sendiri. Mereka sedang belajar untuk mengatasi pelbagai perkara dalam satu masa: kekecewaan mereka, kemahiran berkomunikasi, berdikari, kawalan diri dan emosi.
Di sini ialah 10 tip bagaimana mengawal diri anda semasa tempoh perkembangan kritikal anak anda.
1. Simpan emosi anda
Kalau emosi anda sendiri “ke laut”, emosi anak anda pun sama. Amukan mereka akan lebih cepat surut sekiranya ibu lebih bertenang.
2. Elakkan tunjuk perangai
Anda boleh elakkan kemarahan si kecil dengan cara memberi lebih perhatian kepada kelakuannya. Si kecil membuat perangai bila dia penat, lapar atau tak dapat apa yang dikehendaki. Jadi elakkan daripada perkara tersebut sebelum anak buat perangai.
3. Rancang hari anda
Bila ada anak kecil anda kena jadi ibu yang bijak merancang. Sentiasa ceriakan harinya dengan pelbagai aktiviti dan pastikan perut anak sentiasa kenyang serta cukup tidur. Jangan sekali-kali petik suis meragamnya. Anda juga yang pening kepala nanti.
4. Biarkan mereka atau alihkan mereka
Bila anak anda sedang mengamuk, biarkan sehingga dia bertenang. Cara ini dapat elakkan anda melaksanakan tindakan yang berasaskan kemarahan. Biarkan anak menangis dan mengamuk memang agak memalukan (terutama di tempat awam), tetapi ia bukan bermakna anda ibu bapa yang ‘teruk’.
Sekiranya si kecil tak berhenti mengamuk di tempat awam, alihkan mereka ke tempat yang lebih senyap seperti dalam kereta dan peluk mereka hingga berhenti menangis dan mengamuk. Bincang tentang apa yang berlaku. Mereka mungkin tak faham apa yang anda cakapkan, tetapi mereka tidak akan belajar sekiranya anda tak mengajar .
5. Ajar berdisiplin
Disiplin sentiasa menjadi perkara utama dalam mendidik anak. Ia boleh mengajar mereka tentang perkara yang selamat dan perbezaan antara baik dan buruk serta bagaimana mengawal kehidupan mreka. Berikan mereka dua pilihan yang mana keduanya ada implikasi positif dan negatif. Contohnya, “Adik nak kemas mainan, atau nak kena denda?”
Memberi mereka pilihan dapat membantu mereka pemahaman bagaimana hendak buat keputusan dan berhadapan dengan akibatnya. Ibu bapa elak daripada membuat ugutan bila mereka benarkan anak untuk memilih. Kanak-kanak memang bijak. Walaupun mereka belum boleh bercakap, mereka faham banyak perkara.
6. Yakinkan semula mereka
Sentiasa beritahu anak yang anda sayang mereka terutama bile mengajar tentang disiplin. Bimbing mereka dengan cara menerangkan bagaimana mereka boleh menangani situasi lebih baik dengan bertenang. Lambat laun, kasih sayang dan keyakinan anda mengajar mereka bagaimana untuk meluahkan perasaan melalui tutur kata berbanding perbuatan.
7. Belajar alih perhatian si kecil
Kanak-kanak menetapkan apa yang mereka mahu, tetapi mereka kurang kemahiran memberitahu kepada anda. Perkenalkan sesuatu yang baru terhadap fokus mereka. Sesuaikan dengan keperluan mereka, dan jangan mengandaikan anda tahu apa yang mereka mahu. Jadi kreatif! Bila anda tidak pasti apa yang anak kehendaki, alihan kepada benda lain yang menarik perhatian.
8. Jadi konsisten
Konsistensi membangkitkan kestabilan dan jaminan. Kanak-kanak bertindak balas lebih baik bila mereka tahu apa yang dijangkakan.
9. Puji mereka
Puji anak bila mereka buat sesuatu dengan baik atau hanya kerana anda sayangkan mereka. Mereka adalah si kecil yang sangat suka membantu. Ambil peluang daripada sikap positif itu, dan beritahu anak betapa baiknya mereka menolong papa dan mama.
10. Perubahan bila perlu
Buat perubahan kalau perlu atau ambil langkah berjaga-jaga akan membantu meringankan minda anda. Bila si kecil boleh mencapai apa sahaja, membuka setiap almari dan menyepahkan isinya di seluruh bilik, masa untuk mengemas dan rasa kecewa yang dihadapi akan menguasai anda berbanding momen mengasihi dan mengajar anak.
Bersabarlah dalam membesarkan anak usia dua tahun. Fasa ini akan berlalu pergi juga nanti. Membuat perangai atau ‘tantrums’ akan berkurangan apabila kemahiran bahasa dan motor mereka semakin berkembang. Anda dan anak akau semakin kurang rasa kecewa apabila anda mengajarnya cara memberitahu apa yang dikehendaki dan diperlukan tanpa perlu buat perangai.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.