Berita

Anak Dijangkiti Impetigo Selepas Bermain di Indoor Playground, Ibu Kongsi Pengalaman Cemas

Share

Seorang ibu tidak menyangka kunjungan ke sebuah indoor playground yang kelihatan bersih dan selesa boleh membawa risiko jangkitan impetigo apabila anak perempuannya disahkan mengalami masalah kulit sejurus pulang dari lokasi berkenaan.

Menerusi perkongsian wanita itu di Threads, kegembiraan membawa anak bermain di premis tersebut bertukar menjadi pengalaman menakutkan apabila anaknya mula menunjukkan perubahan ketara pada kulit dalam tempoh singkat selepas bermain.

Kulit Kemerahan & Melepuh, Anak Jadi Trauma

Menurut ibu berkenaan, beberapa bahagian kulit anaknya mengalami kemerahan dan kekeringan yang ketara. Lebih membimbangkan, terdapat kesan melepuh di bahagian belakang leher yang menyebabkan anaknya berasa sakit, tidak selesa dan trauma.

Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal kanak-kanak itu, malah memberi kesan emosi apabila anak menjadi takut untuk bermain dan lebih sensitif setiap kali melihat perubahan pada kulitnya.

Ibu itu turut meluahkan rasa bersalah kerana tidak menyangka tempat permainan tertutup yang kelihatan bersih boleh menjadi punca jangkitan impetigo kepada anaknya.

 

View on Threads

 

Apa Itu Impetigo?

Impetigo atau lebih dikenali sebagai kudis api merupakan jangkitan kulit yang disebabkan oleh bakteria Staphylococcus aureus. Penyakit ini berbeza daripada kudis buta dan sangat mudah menjangkiti bayi serta kanak-kanak, terutama melalui sentuhan kulit secara langsung atau permukaan yang tercemar.

Jangkitan impetigo lazim berlaku dalam persekitaran yang melibatkan sentuhan ramai kanak-kanak seperti taska, sekolah dan indoor playground. Sistem imun kanak-kanak yang masih berkembang menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan ini.

Antara ciri-ciri jangkitan impetigo termasuk:

  • Bermula dengan tompok kemerahan pada kulit
  • Bertukar menjadi lepuh atau kudis sebelum pecah
  • Membentuk keruping lembap berwarna kekuningan
  • Mudah merebak jika digaru atau disentuh

Walaupun tidak berbahaya jika dirawat awal, jangkitan impetigo boleh menyebabkan ketidakselesaan serius, jangkitan berulang serta parut kekal jika diabaikan.

Indoor Playground Nampak Bersih, Tapi…

Ibu berkenaan turut menekankan kepentingan tahap kebersihan di indoor playground memandangkan ia menjadi tumpuan ramai kanak-kanak setiap hari. Permukaan permainan seperti gelongsor, kolam bola, mainan lembut dan kawasan tertutup boleh menjadi medium pembiakan bakteria jika tidak disanitasi secara konsisten.

Dalam persekitaran berhawa dingin, bakteria penyebab jangkitan impetigo boleh bertahan lebih lama jika kebersihan tidak dijaga dengan rapi.

Antara langkah yang dicadangkan kepada pemilik premis termasuk:

  • Menjalankan sanitasi menyeluruh di seluruh kawasan permainan secara berkala
  • Memastikan peralatan permainan sentiasa bersih dan bebas bakteria
  • Memantau kebersihan bilik mandi serta kawasan berkaitan air
  • Menggalakkan ibu bapa dan kanak-kanak membasuh tangan sebelum dan selepas bermain

Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu mencegah jangkitan impetigo, malah menjadikan pengalaman bermain lebih selamat dan selesa untuk semua pihak.

Gambar Hiasan

Peringatan Buat Ibu Ayah

Perkongsian ini menjadi pengajaran penting buat ibu bapa agar sentiasa memantau keadaan kulit anak selepas bermain di kawasan awam, walaupun lokasi tersebut kelihatan bersih dan selesa.

Pakar kesihatan turut menasihatkan agar anak yang mempunyai luka kecil, gigitan serangga atau masalah kulit sedia ada dielakkan daripada bermain di kawasan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan impetigo.

Peringatan Pa&Ma: Impetigo mudah merebak. Sekiranya anak menunjukkan tanda-tanda jangkitan kulit seperti kemerahan, lepuh atau kudis luar biasa, segera dapatkan rawatan doktor. Pemeriksaan awal dan penjagaan kebersihan mampu mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Anak sihat, ibu ayah lebih tenang. Jangan ambil ringan soal kebersihan tempat permainan anak.

BACA LAGI : Tanggungjawab Ibu Bapa Indoor Playground: Tolong Jangan Lepas Tangan, Keselamatan Anak Bukan Main!

Sumber: Threads @juniframita / Hello Doktor

FT Image: Threads @juniframita

Published by
Nana