
Hati ibu ayah mana yang tidak sedih apabila anak yang masih kecil diperlakukan sehingga mengalami kecederaan dan berdarah. Lebih mengejutkan, kejadian ini berlaku ketika baru enam hari sesi persekolahan bermula.
Kisah menyayat hati ini tular di media sosial selepas seorang bapa meluahkan kekecewaannya apabila anak lelakinya yang baru memasuki Tahun 1 didakwa ditampar rakan sekolah hingga hidung berdarah.
Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, syedrosliofficial, lelaki berkenaan berkongsi kronologi kejadian yang menimpa anaknya sehingga mengundang perhatian ramai.
Tanpa diketahui punca sebenar kemarahan, murid perempuan itu dikatakan telah menampar muka anaknya hingga menyebabkan pendarahan.
Pihak sekolah kemudiannya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan Guru Besar memaklumkan bahawa satu siasatan dalaman akan dijalankan.
Bapa mangsa turut memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu demi mendapatkan keadilan buat anaknya.
“Saya juga bertanya kepada Guru Besar sama ada pihak sekolah mempunyai CCTV, namun dimaklumkan tiada kerana kekangan bajet,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan alasan kekangan bajet yang diberikan, sedangkan peruntukan besar disalurkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, keselamatan murid sepatutnya menjadi keutamaan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sangat penting bagi mencegah kejadian tidak diingini serta menjadi rujukan jika berlaku insiden.
Dalam laporan media, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa anaknya kini masih trauma akibat kejadian tersebut.
“Anak saya masih trauma dan enggan ke sekolah selepas hidungnya berdarah ditampar seorang murid perempuan ketika ingin ke tandas sekolah,” kata Syed Rosli Syed Harman, 50.
Kejadian itu hanya disedari beliau dan isterinya selepas dihubungi pihak sekolah sekitar jam 3 petang pada Isnin lalu.
Selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, Syed Rosli bersama isterinya terus bergegas ke sekolah di Ampang Jaya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Anaknya kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan dan diberikan cuti sakit selama dua hari oleh doktor.
Guru Besar turut memaklumkan bahawa murid terlibat akan ditukarkan kelas bagi menjaga keharmonian selain merancang pertemuan dengan ibu bapa murid terbabit.
Namun buat masa ini, Syed Rosli memilih untuk menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.
Beliau berharap agar pemasangan CCTV dapat dilaksanakan di semua sekolah bagi membantu pemantauan dan memberi keadilan kepada semua pihak.
“CCTV amat penting kerana boleh dijadikan rujukan semula. Saya berharap KPM akan segera memasang CCTV di semua sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.
@syedrosliofficial Kita tuntut setiap darah yang keluar dari badanmu wahai anakku #sekolah #sktamannirwana #kementerianpendidikanmalaysia @Kementerianpendidikanmalaysia @Ahmad Zahid Hamidi @Anwar Ibrahim @Fadhlina Sidek @PDRMsiaOfficial ♬ Kita Usahakan Lagi – Batas Senja
Sumber: syedrosliofficial