Keibubapaan

Anak Genius Usia 3 Tahun Dah Hafal Surah & Kuasai 3M, Ibu Ini Buka Mata Ramai Tentang RPM

Share

Anak Genius Usia 3 Tahun Jadi Perhatian Ramai Ibu Bapa

Minggu ini memang hangat diperkatakan apabila isu berkaitan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 menjadi perhatian ramai, khususnya cadangan yang menyatakan anak seawal usia 6 tahun boleh memasuki Darjah 1.

Cadangan ini secara tidak langsung membuka perbincangan besar dalam kalangan ibu bapa. Ada yang menyokong kerana melihatnya sebagai satu langkah progresif dalam sistem pendidikan negara. Namun tidak kurang juga yang risau, terutamanya dari sudut kesediaan emosi dan mental anak-anak kecil.

Walau apa pun pandangan yang timbul, kebanyakan ibu bapa percaya setiap usaha Kementerian Pendidikan Malaysia pastinya lahir daripada niat yang baik untuk memberi ruang anak berkembang mengikut potensi masing-masing.

Perkongsian Ibu Tentang Anak Genius Usia 3 Tahun Ubah Perspektif

Apa yang menarik perhatian ramai ialah satu perkongsian tular daripada seorang ibu, di facebook miliknya, Dya Zainal

yang memilih untuk melihat isu RPM ini dari sudut positif. Menurutnya, ibu ayah tidak seharusnya cepat salah faham kerana kemasukan ke Darjah 1 pada usia 6 tahun bukan paksaan, sebaliknya satu pilihan berdasarkan kesediaan anak.

Bagi dirinya, keputusan itu dibuat kerana dia melihat sendiri potensi luar biasa anaknya sejak kecil. Seawal usia 3 tahun, anaknya sudah menunjukkan perkembangan yang jauh mendahului usia.

Anak genius usia 3 tahun ini sudah mula mengenali asas pembelajaran, hafal surah-surah pendek, belajar membaca, mengenal huruf dan menguasai asas 3M lebih awal berbanding rakan sebaya.

“Kalau Tahun Ni Adam 6 Tahun, Saya Pilih Hantar Masuk Tahun 1”

Sejujurnya, kalau tahun ini Adam berusia 6 tahun dan ada pilihan untuk masuk Tahun 1, saya memilih untuk hantar Adam ke Tahun 1.

Kenapa? Sebab saya melihat sendiri perkembangan pembelajaran Adam seawal usia 3 tahun.

Dia mula buat Kumon, mula hafal surah, membaca, kenal huruf dan asas 3M itu dia kuasai lebih awal daripada usia sebenar. Adam pernah tak mahu ke sekolah ketika umur 5 tahun kerana dia bosan dengan latihan dan aktiviti yang dia sudah tahu.

Dia juga budak pertama yang habiskan satu buku matematik walaupun tahun belum habis, malah sempat ajar kawan-kawan dalam kelas. Masa umur 5 tahun, saya pernah minta guru CIC berikan worksheet umur 6 tahun dan kadang-kadang saya sendiri sediakan worksheet tambahan dalam begnya.

Cepat Siap, Cepat Bosan, Fokus Lebih Lama

Adam cepat menyiapkan tugasan, cepat bosan dengan aktiviti seperti mewarna dan padanan huruf. Matematik asas tambah tolak dua angka juga sudah tidak mencabar untuknya.

Tahap fokusnya boleh melebihi 30 minit apabila belajar atau membuat latihan. Dia boleh siapkan workbook umur 5 hingga 6 tahun dalam masa sehari sahaja.

Kini dia berada dalam minggu transisi Tahun 1. Apabila melihat buku sekolahnya, dia hanya berkata, “Senang sangat mama.”

Kreativiti Anak Genius Usia 3 Tahun Ini Menyerlah

Di sekolah, kerana siap awal, dia mula mencipta sendiri handbag, dompet dan kapal terbang menggunakan kertas warna, gunting dan gam. Apabila ditanya bagaimana dia tahu buat semua itu, jawapannya sangat polos, “Its all in my brain.”

Masuk Tahun 1 seawal usia 6 tahun adalah satu pilihan dan sangat bergantung kepada kesediaan anak. Sebagai ibu bapa, kita sepatutnya memerhati tahap pemahaman anak dan menilai sama ada mereka bersedia menerima pembelajaran formal lebih awal.

Jika itu yang terbaik untuk anak, mengapa tidak? Jika anak belum bersedia, tadika tetap satu pilihan yang sangat baik.

Setiap Anak Berbeza, Jangan Bandingkan

Gambar AI

Perkongsian ini jelas menunjukkan satu perkara penting, setiap anak berkembang dengan cara dan kadar yang berbeza. Ada anak genius usia 3 tahun yang cepat tangkap, fokus lama dan cepat bosan dengan aktiviti mudah. Ada juga anak yang memerlukan lebih masa untuk bermain dan membina keyakinan diri.

Sebab itulah apabila kerajaan membuka pilihan seperti ini, ia sebenarnya memberi ruang kepada ibu bapa membuat keputusan berdasarkan keperluan anak, bukan tekanan masyarakat.

Jika anak menunjukkan perkembangan awal, kemasukan ke Darjah 1 pada usia 6 tahun mungkin membantu mereka lebih terarah dan seronok belajar. Jika tidak, tadika bukan kelemahan, malah sangat penting untuk perkembangan emosi dan sosial.

Apa pun pilihan ibu ayah, yang paling utama ialah anak membesar dengan bahagia, stabil dan mendapat pengalaman pembelajaran yang sihat.

Sumber: Dya Zainal

Published by
Nor Yusoff