Kisah Sayu Aish: Anak Kecil Derita Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC)

Share

Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu selain melihat anak kecil yang dahulu ceria, berlari dan memanggil namanya, kini hanya mampu terlantar tanpa daya. Itulah ujian berat yang dilalui oleh Siti Nur Shafiqa Suraini, 31 tahun, seorang suri rumah, apabila anak sulungnya Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3 tahun, disahkan mengalami Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) sejenis kerosakan otak teruk akibat jangkitan Influenza A.

Dari Anak Ceria Menjadi Terlantar Dalam Sekelip Mata

Menurut Sinar Harian

, sebelum jatuh sakit, Aish merupakan kanak-kanak yang aktif, bijak dan petah. Menurut ibunya, anak kecil itu sudah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna walaupun baru berusia tiga tahun.

“Malam itu dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi kira-kira jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius. Kami terus bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil,” cerita ibu ini penuh sebak.

Setibanya di Jabatan Kecemasan, suhu badan Aish mencecah 41 darjah Celsius dan bacaan oksigen pula menurun mendadak. Keadaannya semakin kritikal hingga doktor menempatkannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

“Hari pertama di PICU, oksigen masih tak stabil dan kaki dia tiba-tiba lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otaknya rosak akibat Influenza A. Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya lagi.

Kerosakan Otak Disebabkan ANEC Tinggalkan Kesan Kekal

Selepas sebulan bertarung nyawa di PICU, keadaan Aish akhirnya stabil. Namun ujian itu meninggalkan kesan besar pada dirinya. Kini, Aish tidak lagi mampu bercakap atau bergerak seperti dulu. Dia hanya mampu menunjukkan reaksi melalui mimik muka sedih, gembira atau letih.

@doubleaish2223 #influenza #kesaninfluenza #fyp #vaksininfluenza #anec ♬ bunyi asal – Ibu Aish♥️

“Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira. Setiap dua jam saya beri susu dan ubat ikut masa. Ayahnya pula yang dukung dan mandikan setiap hari,” jelas Siti Nur Shafiqa.

Anak kecil yang dahulunya riang kini memerlukan bantuan sepenuhnya untuk makan, mandi dan bergerak. Doktor juga mengesahkan Aish sebagai OKU fizikal, dan perlu menjalani rawatan susulan dengan lima pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit. Selain itu, Aish menjalani empat jenis terapi penting — fisioterapi, terapi bahasa, cara kerja dan rehabilitasi.

Kos Rawatan ANEC & Harapan Ibu Bapa

Menurut ibunya lagi, kos terapi agak tinggi dan menjadi cabaran utama keluarga kecil ini. “Terapi luar mencecah RM150 untuk 20 minit setiap sesi. Di hospital kerajaan, hanya dapat dua atau tiga bulan sekali. Kami ada dapat bantuan JKM RM500 untuk OKU terlantar, tetapi masih belum cukup menampung semua kos rawatan dan pemulihan,” katanya.

Namun di sebalik segala kepayahan, kasih dan doa ibu ini tidak pernah terputus. Setiap hari beliau terus berharap agar Aish dapat kembali merasai nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dahulu. “Semoga Muhammad Aish Irfan kembali pulih dan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu,” titipnya penuh pengharapan.

Harapan Buat Pejuang Kecil ANEC

Bagi yang ingin membantu keluarga kecil ini, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun TikTok ‘IbuAish’ milik Siti Nur Shafiqa. Setiap doa, setiap huluran walau kecil nilainya amat besar ertinya buat perjuangan kecil Aish untuk kembali sihat. Kisah ini mengingatkan kita bahawa penyakit seperti Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) bukan sekadar cabaran kesihatan, tetapi perjuangan kasih antara ibu dan anak yang tidak pernah berakhir.

Published by
Nana