Sama seperti bersekolah, bermain dan berkawan, melibatkan anak-anak dengan tugas harian di rumah juga penting. Bahkan sangat penting untuk membantu perkembangan kognitif, psikologi, dan emosi. Melakukan tugasan kecil di rumah dapat membantu kanak-kanak belajar tentang erti realiti kehidupan sebenar. Merekan perlu tahu dan perlu terlibat dalam melakukan kerja-kerja rumah untuk menjaga diri sendiri, keluarga dan rumah. Ia bermula dari rumah bak kata bijak pandai melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Anak Kecil Lagi, Biasalah Sepah” Jangan Biasakan Sepah, Kena Ajar Anak Kemas Lepas Main Walaupun 1 Mainan!

Antaranya tugasan kecil adalah seperti mengemas alat permainan, menyediakan pakaian sebelum mandi, menyidai tuala di tempat yang betul selepas menggunakannya, mahupun mengemas katil.

Pentingnya Melibatkan Anak Pada Tugasan di Rumah (Household chores)

Terdapat segilintir ibubapa yang tidak mahu mengajar kemahiran hidup seharian. Akhirnya, anak-anak ini mempunyai keterbatasan untuk berfungsi pada tahap yang sesuai dengan usia. Contohnya, anak yang berusia 5 tahun tidak mampu mengemas mainannya sendiri selepas bermain. Si anak tadi hanya bermain dan meninggalkan mainan bersepah tanpa dikemas sebelum beredar melakukan aktiviti lain. Si ibu yang akan mengemas mainan tanpa mengajak si anak melakukannya bersama.

Daripada sudut Islam, pendidikan merupakan satu bentuk pelajaran bagi kognitif, fizikal dan roh dalam melahirkan insan yang berperikemanusiaan, berakal dan berakhlak. Ibn Khaldun telah membahagikan ilmu kepada dua bentuk: fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini mejelaskan bahawa Islam bukan hanya mementingkan pencapaian intelektual semata-mata bahkan perlu dilengkapi dengan ilmu lain.

Banyak perkara yang menakjubkan yang boleh dirungkai apabila kita melatih anak-anak melakukan tugasan kecil di rumah. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang mempunyai set tugasan mempunyai harga diri yang lebih tinggi dan lebih mampu menangani kekecewaan. Kualiti ini menyumbang kepada kejayaan yang lebih besar apabila mereka berada di sekolah.

“Anak Kecil Lagi, Biasalah Sepah” Jangan Biasakan Sepah, Kena Ajar Anak Kemas Lepas Main Walaupun 1 Mainan!

IKLAN

Kemahiran komunikasi dan berunding. Komunikasi boleh menjadi lisan mahupun bukan lisan. Contohnya, berbincang dengan tugasan secara verbal (lisan) atau memberikan senyuman sebagai tanda setuju atau gembira (bukan lisan).Komunikasi boleh menjadi berkesan atau tidak berkesan.

Apabila si anak terlibat dalam tugas, ia memberi anak pengalaman kemahiran berkomunikasi dengan jelas. Si anak belajar mendengar arahan dengan jelas. Selain itu, anak-anak dapat berunding, bekerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan. Ibu bapa perlu sentiasa memberikan peluang untuk berunding dengan si anak. Jangan pernah mendominasi dalam membuat keputusan kerana ini akan membuat si anak memberontak dan enggan melakukan tugasan. Jadikan setiap tugasan sebagai win-win situation.

Apabila ibu bapa berkomunikasi dan berunding dengan berkesan dengan anak, mereka menunjukkan rasa hormat. Kanak-kanak kemudian mula merasa bahawa mereka didengar dan difahami oleh ibu bapa mereka.

Sikap Positif. Penglibatan dalam tugasan harian mengajar kanak-kanak tanggungjawab dan mengambil alih tugas. Meminta anak-anak bertanggungjawab terhadap tugas mereka dapat meningkatkan rasa diri mereka bertanggungjawab dan amanah. Anak-anak akan merasa lebih berkemampuan dan dipercayai dalam menyelesaikan tugas mereka.

Menyelesaikan tugasnya dan melakukannya dengan baik akan meningkatkan rasa harga dirinya serta memberinya rasa kecekapan. Ia menanamkan sikap positif seperti sabar, bertolak ansur, simpati dan empati di dalam diri anak-anak. Jangan pernah memandang rendah atas bantuan yang anda perolehi daipada sepasang tangan kecil!

IKLAN

Firman Allah s.w.t yang mafhumnya: “Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu- bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) “(Surah Luqman: ayat 14)

Ayuh, mulakan hari ini!

Model Peranan (Role-Modelling). Selain mempunyai keyakinan bahawa penting untuk memiliki dan melatih anak menyelesaikan tugas, sikap ibu bapa sendiri itu jauh lebih mustahak. Sikap ibu bapa mampu mencorakkan sikap anak anda seterusnya meningkatkan kemungkinan kerjasama dalam menyelesaikan tugasan. Contohnya, ajak anak membuang sampah bersama, mencuci kereta bersama, menvakum rumah bersama, ataupun memotong satur bersama. Pastikan setiap ahli keluarga menjalankan tugas. Jangan pernah ada yang curi tulang. Tunjukkan teladan yang baik kepada anak. Bukanlah menjadi hak mutlak ibu bapa untuk memerintah dan mengarahkan anak melakukan tugasan daripada A sehingga Z sedangkan si ibu atau ayah hanya duduk di sofa bersama telefon pintar. Ibu bapa mesti turun padang melakukan tugasan bersama. Ungkapan hikmah dan bijak dalam pepatah Melayu “bapa borek anak rintik” – harus diingat anak-anak kita akan memerhati dengan teliti, melihat apa yang kita lakukan.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.”

Bersesuaian dengan umur. Sebaiknya mulakan dengan memilih tugas yang sesuai dengan usia dan kebolehan anak. Perlu diingat tugasan yang terlalu sukar boleh mengecewakan bahkan berbahaya. Tugas yang terlalu mudah pula mudah membosankan. Sebagai contoh, bagi anak berusia di bawah 2 tahun, ibu bapa boleh mulakan dengan tugasan seperti mengemas mainan. Tugasan ini menghantar mesej yang penting – sumbangan, kerjasama, kebersihan, dan kekemasan amat diperlukan untuk mencipta persekitaran dan suasana gembira. Ingatlah bahawa tidak semua kanak-kanak sama. Dikala anak dapat menangani tugasan mereka dengan mudah, yang lain mungkin memerlukan lebih banyak masa dan kesabaran. Bersiapsiagalah untuk memberi bantuan kepada mereka apabila diperlukan.

IKLAN

Rasulullah S.A.W bersabda: “Kegiatan anak pada masa kecilnya akan menambahkan akalnya pada waktu dia besar.” (Riwayat Tirmidzi).

Aktiviti yang melibatkan seluruh keluarga. Penting untuk memikirkan tugas yang membuat anak terlibat dalam mengurus keluarga secara keseluruhan. Tugasan seperti membentang sejadah sebelum solat berjemaah, mengatur meja makan atau bergotong-royong membersihkan laman rumah. Tugasan ini cenderung memberi anak rasa tanggungjawab dan penyertaan dalam tugasan seluruh keluarga dan bukan sebagai bentuk hukuman. Didik juga anak supaya sentiasa membantu ibu bapa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: ayat 23)

Jelas dengan tugas. Melakukan tugas dengan rela dan ikhlas memerlukan penilaian matang, kurang impulsif, dan lebih banyak kesedaran mengenai perspektif keperluan orang lain. Anak-anak tidak dilahirkan dengan sifat-sifat ini. Perkembangan mereka berbeza dan beransur-ansur. Jadi, mereka perlu jelas dengan tugas mereka. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh melakukannya bersama sebelum anak dapat melakukannya sendiri. Ibu bapa perlu meletakkan rutin kepada anak agar mereka mudah ingat akan tugasan mereka. Adalah perkara biasa untuk si anak mempunyai perasaan ingin tahu semua perkara. Maka, jelaskan mengapa mereka melakukan tugasan tersebut. Ini membantu kanak-kanak mempunyai pemikiran rasional dan penaakulan yang baik. Contohnya, “Baju yang kotor perlu dimasukkan ke dalam bakul. Jangan biarkan baju bersih dan kotor bercampur. Baju kotor dah ada kuman yang kita tak dapat lihat. Dan agama kita ajar kita sentiasa menjaga kebersihan.” Harus diingat, leteran tidak membantu perkembangan penaakulan dan pemikiran rasional malah membantutkannya.

Beri dorongan. Beri motivasi dan dorongan kepada anak secara berterusan. Sekiranya dia merasakan dia membantu ibu bapa dengan menyelesaikan tugasannya, dia akan merasa lebih ikhlas melakukannya. Sebaliknya, mereka mungkin berasa terpaksa atau lebih buruk sekiranya mereka melihatnya sebagai hukuman. Pujian juga penting. Pujilah kerja dan usaha anak yang baik agar dia terus merasa bertanggungjawab dan gembira. Contohnya, “Wow! Cantik dan kemas anak mama susun buku-buku di rak buku ni.” Dan sertai dengan pelukan. Pelukan juga satu bentuk pujian tetapi mampu memberi impak yang besar pada anak. Ganjaran juga perlu diberikan secara berkala untuk menunjukkan usahanya dihargai. Bawalah anak ke restoran kegemaran atau menonton wayang kegemaran.

Baginda Nabi SAW telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti agar dapat melahirkan generasi yang taat kepada Allah SWT. Sepertimana yang Baginda Nabi SAW sabda di dalam hadith Baginda yang bermaksud: “Bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga empat belas tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia empat belas tahun ke atas.”

Kredit: Dr. Rahimah Saimin
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI