Anak kelas pendidikan khas, bapa tak pernah rasa malu, bangga pencapaian anak. Seorang bapa membuktikan kasih sayang sejati tidak mengenal batasan apabila beliau tidak pernah merasa rendah diri memiliki anak istimewa yang mengikuti kelas Pendidikan Khas.
Anak Kelas Pendidikan Khas, Bapa Tak Pernah Rasa Malu, Bangga Pencapaian Anak
Sanusi Ali, seorang penasihat jualan kenderaan, meluahkan rasa bangga terhadap anak keduanya daripada empat beradik, Muhammad Hazem Sanusi yang kini berusia 13 tahun. Muhammad Hazem didiagnos dengan Disleksia ketika berusia 10 tahun oleh pakar perubatan.
Sanusi, 52, yang membesarkan anak-anaknya sebagai bapa tunggal setelah kehilangan isteri beberapa tahun lalu, berkongsi perjalanan anaknya yang istimewa itu.
“Hazem mula disahkan menghidap Disleksia ketika dia berumur 10 tahun. Saya segera mendaftarkannya di sekolah yang menyediakan kelas Pendidikan Khas bagi membantunya,” katanya.
Muhammad Hazem telah meraih Anugerah Tokoh Kokurikulum untuk Program Pendidikan Khas Integrasi sesi akademik 2024/2025. Beliau memenangi pingat emas dalam acara 100 meter lelaki bawah 12 tahun dengan catatan masa 14.87 saat.
Selain itu, Hazem turut menyertai pelbagai kejohanan seperti pertandingan petanque Pendidikan Khas jemputan antara daerah Kulim, Kedah, serta kejohanan merentas desa dan olahraga Pendidikan Khas untuk acara 400 meter dan 800 meter.
Walaupun berdepan kekurangan, Hazem tetap bersemangat mengambil bahagian dalam kem jati diri di peringkat sekolah, menunjukkan minatnya yang mendalam terhadap aktiviti sukan.
Ads
Sanusi turut menggunakan media sosial sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dan menyedarkan masyarakat mengenai potensi anak-anak istimewa. Beliau percaya bahawa setiap anak istimewa berhak diberikan peluang untuk mengembangkan bakat dan minat mereka sepenuhnya.
“Tiba-tiba menangis kuat dan terus diam. Ingatkan tiada apa-apa serius tetapi Allah lebih menyayangi anak kecil ini.” Hati ibu mana yang tak sedih, anak yang ditunggu selama 7 tahun kini dah kembali ke penciptaNya.
Tambah pula dia satu-satunya anak yang menceriakan pasangan suami isteri. Hanya sempat bersama 3 tahun lebih saja, takdir Allah tiada siapa dapat menolaknya.
Menerusi perkongsian di FB Mr Wan Cai Official, berkongsi kisah yang cukup sedih mengenai pemergian anak syurga buat ibu ayah ini.
7 tahun menunggu cahaya mata. Pulangnya seorang anak tunggal kepada Maha Pencipta.
Sayang tidak semestinya memiliki.
Reda walau tersakiti. Jatuh air mata melihat seorang ayah menunaikan bakti terakhir buat anaknya.
Sebak melihat kasih seorang ibu membawa kesyurga. Bayangkan kesedihan yang dilalui oleh mereka.
10 tahun melayari bahtera perkahwinan. Dikurniakan cahaya mata selepas 7 tahun menanti. Kebahagiaan yang hadir sudah terhenti.
Anak yang dikasihi kini telah pergi. Hanya kenangan selama 3 tahun 6 bulan tersimpan rapi.
Allahuakbar! Jasad terbujur kaku ini dikenali dengan dengan nama panggilan adik fazly.
Baru berusia 3 tahun 6 bulan dan anak tunggal dalam keluarganya.
Asbab kematian jatuh ketika main motosikal mainan
Punca kematiannya asbab terjatuh sewaktu sedang bermain motosikal mainan bateri.
Berkemungkinan kepalanya mengalami kecederaan dalaman akibat hentakan kuat ketika terjatuh.
Kejadian malang yang menimpa adik Fazly berlaku pada 16 ogos sekitar 08.00 pagi.
Ketika itu adik fazly sedang bermain motosikal mainan tersebut dengan ditemani oleh ibunya dihadapan rumah.
Adik fazly dikatakan terjatuh ke belakang dari motosikal menyebabkan kepalanya terhantuk dilantai simen.
Selepas terjatuh adik fazly berteriak menangis seperti menahan kesakitan yang amat sangat.
Si ibu yang panik terus mendapatkan adik fazly untuk melihat kesan kecederaan yang dialami oleh anaknya.
Si ibu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang ada dikepala adik Fazly. Namun adik fazly dikatakan tiba-tiba berhenti dari menangis dan tidak sedarkan diri.
Si ibu yang panik cuba memanggil nama anak kesayangannya itu sambil mengoyangkan tubuh badannya.
Tetapi adik Fazly tidak menunjukkan sebarang tindak balas walaupun si ibu memanggil namanya.
Si ibu yang ketakutan telah menghubungi suaminya yang ketika itu sedang berkerja.
Si suami yang pulang kerumah menjadi semakin panik bila melihat keadaan anaknya.
Adik Fazly terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang setelah si bapa tiba dirumah.
Jantung terhenti selepas 20 minit terima rawatan
Dalam perjalanan ke hospital pasangan suami isteri ini tidak putus-putus berdoa. Mereka berharap adik Fazly dapat diselamatkan. Mereka mahu melihat adik Fazly membesar seperti kanak-kanak yang lain.
Kerana bagi mereka adik Fazly adalah kunci kebahagiaan dalam keluarganya. Si bapa yang membawa adik fazly tiba dibahagian kecemasan hospital sekitar pukul 10.00 pagi.
Adik Fazly bergegas dibawa masuk ke dalam wad kecemasan untuk dirawat. Namun pasangan suami isteri ini menerima perkhabaran duka.
Anak kesayangan mereka tidak dapat diselamatkan. Jantung adik Fazly terhenti setelah 20 minit menerima rawatan.
Waktu kematiannya dicatit pukul 10.20 pagi bertarikh 16 ogos 2022. Si ibu dan si bapa tidak dapat menahan sebak.
Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh kini sudah tiada. Jasad adik fazly telah dibawa ke unit forensik untuk diambil ujian saringan covid-19 sebelum dibedah siasat.
Punca kepada kematian adik Fazly masih lagi dalam siasatan.
Ibu bapa adik Fazly telah dimaklumkan oleh pihak doktor forensik. Ujian makmal akan mengambil masa sebelum punca sebenar kematian adik Fazly diketahui.
Lalu ibu bapa adik fazly telah menghubungi talian hotline kami. Mereka mahu mendapatkan bantuan pengurusan untuk jenazah anaknya.
Kami menyatakan kesediaan untuk membantu. Sudah semestinya kami tidak akan menolak.
Membantu pengurusan terakhir untuk adik fazly adalah tanggungjawab kami. Adik fazly adalah satu amanah kiriman Allah.
Jadi kami harus tunaikan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin. Dan Alhamdulillah adik fazly telah kami uruskan cara yang paling sempurna.
Buat ibu dan bapa adik fazly. Banyakkan bersabar. Redakan pemergian anak tunggal mu itu. Allah memilih adik Fazly kerana Allah sayang. Ada hikmah disetiap ketentuan yang berlaku.
Salam takziah dari kami unit khas van jenazah. Al-Fatihah buat adik fazly!
Sepanjang tempoh berpantang, emosi seorang wanita haruslah dijaga sebaiknya agar tidak dipengaruhi aura negatif yang membuatkannya meroyan. Suami harus memainkan peranan yang penting pada waktu ini, untuk memastikan si isteri tidak merasa terbeban.
Orang sekeliling juga harus lebih prihatin dan peka dengan perasaan ibu dalam pantang. Jangan sesuka hati bercakap tanpa berfikir atau buat apa-apa yang boleh mengguris hati si ibu. Seperti yang dikongsikan oleh wanita ini, dia mengalami gila meroyan sewaktu berpantang kerana tiada yang mengambil berat tentang dirinya.
Assalamualaikum semua. Nama aku Sharifah, berumur 36 tahun. Aku nak kongsikan cerita aku berpantang anak ketiga tahun lepas. Tidak semua yang tahu tentang cerita ni, tapi aku terpanggil untuk berkongsi dengan korang semua. Hal ini betul-betul memberi kesan kepada aku.
Untuk wanita yang sudah melahirkan anak, pasti tahu betapa penatnya selepas tu kan? Sama lah macam aku, tambah pula aku dah ada tiga orang anak sekarang. Yang dua orang tu pun tak adalah besar mana. Yang sulung 5 tahun, adiknya 3 tahun. Dapat pula baby baru.
Korang boleh bayangkan macam mana anak-anak kecil ni, selalu nak melekat dengan aku. Walaupun ayahnya ada, tetap nak duduk dengan aku. Aku bahagia tapi kadang-kadang letih juga. Seminggu pertama selepas aku bersalin baby ketiga ni, aku berpantang sendiri. Cuma panggil tukang urut datang rumah.
Suami pun cuma dapat cuti 10 hari, jadi lepas seminggu dia kata baik aku pantang di rumah emak dia. Aku ni anak yatim, adik-beradik pun tak ada perempuan. Emak aku meninggal dunia waktu anak kedua aku berumur setahun. Sebelum anak ketiga ni, memang aku berpantang di Temerloh, rumah Ummi dan Ayah aku.
Emak mertua aku beria-ia minta suami hantar aku ke rumah dia. Kesian kat aku katanya. Dengan anak-anak kecil lagi, mana nak berpantang pulak. Sebenarnya aku tak selesa juga, tapi aku fikirkan emak mertua aku dan bersungguh-sungguh nak jaga aku, tak sampai hati nak tolak.
Suami aku pun happy sebab katanya takdelah dia risau sangat kalau aku dah balik kampung. Kalau tidak susah juga sebab dia susah nak tengokkan aku kalau dia dah start bekerja. Jadi, kami pun sama-sama balik ke kampung emak mertua aku di Perak.
Aku bukanlah orang yang cerewet sangat, tak ada masalah nak duduk ramai-ramai. Tapi dalam waktu berpantang ni, jujurnya aku tak selesa. Untuk pengetahuan korang, di rumah mertua aku ni ada adik suami aku dan keluarganya yang tinggal sekali. Anak dia ramai. Ada 5 orang semuanya.
Korang boleh bayangkan, budak-budak kecil kalau bermain kan? Bising dan terpekik-pekik. Aku tak ada masalah sangat, tapi bila ada baby ni. Susah dia nak tidur. Jadi dia asyik meragam. Mana taknya, baru nak lelap ada yang melompat, menjerit dan main baling-baling barang.
Sepanjang aku di rumah mertua aku, sebenarnya tak banyak yang mereka ni tolong. Aku tetap kena mandikan anak-anak aku sendiri. Masak lauk pantang pun aku buat sendiri. Sebab kadang-kadang susah nak masak, aku kirim pada bapa mertua aku belikan oat. Senang sikit nak makan, letak susu suam campur kurma pun dah boleh bagi aku kenyang.
Aku boleh berpantang sendiri, tak perlu orang bantu sangat. Tapi aku harapkan mereka ni lebih peka. Kadang-kadang tu sampai 2-3 pagi anak-anak adik ipar aku ni tak tidur lagi. Susah aku nk tidurkan anak-anak aku, sebab keadaan yang bising.
Penat sangat aku rasa. Tapi tak ada siapa yang faham. Aku bertungku pun sendiri. Nasiblah ada ayah mertua aku. Dia yang panaskan tungku dan beri pada aku. Dia juga yang masakkan air panas untuk aku buat mandian herba. Kadang-kadang dia masakkan aku singgang ikan atau lauk pantang yang mudah-mudah.
Bila dia tolong, emak mertua aku sound dia. Katanya tak payah manjakan sangat, nanti badan jadi lembik. Tak sempat tua, selalu sakit. Sedih sangat sebenarnya, sebab aku teringat. Dia yang beria-ia minta suami hantar aku ke rumah dia. Sebab senang nak jaga, tapi bila dah ada kat sini, lain pula jadinya.
Kadang-kadang hati jahat aku ni terfikir, lagi senang kalau pantang sendiri. Penat-penat pun tak makan hati. Adik ipar pun selalu perli-perli. Dia kata, dia anak ramai pun boleh jaga sendiri. Tak ada nak minta orang tolong. Ya Allah, sedih sangat aku rasa.
Aku ada beritahu pada suami, untuk ambil aku dan anak-anak. Aku tak mahu burukkan keluarga dia, jadi aku kata aku rindukan dia. Anak-anak pun rindu. Tapi dia pula kata tunggulah sampai habis pantang sebab lagi terjaga di sana. Jadi aku malas nak cakap apa-apa dah, saya ikut saja.
Sampailah satu hari, anak sulung aku ambil air di dapur. Lepas tu terjatuh dan tumpah. Adik ipar aku nampak dan marahkan dia. Yang sedih tu, dia cubit anak aku. Sampai berbekas. Aku sendiri pun tak pernah cubit anak, paling banyak marah saja. Lepas tu dia boleh marahkan aku, kata tak pandai jaga anak.
Malam tu nak tidur, berendam air mata. Aku tak tahu sampai bila aku mampu bertahan duduk rumah emak mertua aku ni. Agaknya, waktu ni dalam keadaan lemah macam ni, mudahlah aku dipengaruhi benda-benda tak elok. Aku terdengar suara. Suara tu minta aku ambil baby dan hempaskan ke lantai.
Aku tak nak buat. Suara tu kata, kalau buat akan selesai semua masalah. Hati aku pun senang. Tak susah pun, hempas je baby tu. Serius, waktu ni aku tak tahu apa nak buat. Tapi aku nampak ada benarnya kata suara tu. Lagi pula waktu tu, baby aku asyik menangis.
Aku angkat baby aku, aku bawa keluar. Aku ke ruang tamu. Waktu tu ayah mertua dengan suami adik ipar aku tengah bersembang. Aku tak tahu apa aku fikir. Aku berdiri depan mereka. “Korang semua benci aku kan? Benci anak aku kan? Aku bunuh budak ni, senang hati korang semua!”. Aku tak sedar langsung.
Yang aku tahu aku rebah. Macam tu je. Mujurlah ada biras aku. Dia yang sambut aku waktu nak jatuh tu (kata ayah mertua aku). Anak aku pula ayah mertua aku sempat rampas dari aku. Ya Allah, aku meroyan ke?
Waktu aku terjaga tu, ada seorang bidang kampung yang ayah mertua ku panggil. Kebetulan makcik ni jenis pandai mengubat juga. Kata dia, aku meroyan. Dia tanya, kenapa sampai meroyan. Waktu tu aku tengok muka emak mertua aku lain. Macam bersalah. Aku pun beritahu makcik bidan tu, mungkin aku letih dan rindukan suami aku. Sebab tu terbawa-bawa.
Alhamdulillah lepas makcik bidan tu balik, aku rasa segar sikit. Emak mertua dan adik ipar aku minta maaf pada aku. Bila mereka minta maaf tu kan, aku rasa macam ringan beban aku. Aku menangis sebab aku rasa lega. Rasa macam semua masalah hilang.
Lepas kejadian tu, emak mertua aku layan baik. Semua keperluan aku dia sediakan. Adik ipar aku pun tolong jagakan anak-anak aku. Ya Allah, mujur waktu syaitan merasuk aku tu, ada ayah mertua dan biras aku. Kalau tidak, mungkin baby aku dah tak ada sekarang.
Suami aku tahu aku meroyan, cuma dia tak tahu sebab apa. Aku tak ceritakan semua pada dia. Cukuplah dia tahu aku jadi macam tu sebab penat dan rindukan dia. Aku tak nak burukkan sesiapa, lagipun tu emak dan adik dia. Janji mereka dah berubah tu pun aku dah cukup bersyukur.
Sekarang ni baby aku yang diberi nama Baby A pun dah berusia 7 bulan. Alhamdulillah, dia sihat-sihat je. Aku bersyukur dikurniakan suami yang baik dan keluarga mertua pun baik-baik. Aku anggap apa yang berlaku ni ada hikmahnya, aku sayangkan keluarga suami aku. Emak dia, emak aku. Aku doakan hubungan kekeluargaan kami ni akan bahagia sampai bila-bila.
Untuk korang yang ada masalah waktu berpantang, jangan jadi macam aku. Berceritalah dengan orang, jangan pendam sendiri. Takut nanti meroyan. Ibu berpantang ni fragile, mudah sangat terganggu. Aku doakan supaya urusan korang ketika berpantang dipermudahkan. Aamiin..
Untuk berkongsi sebarang cerita atau pengalaman anda, boleh klik KONGSI CERITA.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi isteri yang bekerja atau suri rumah kedua-duanya memerlukan pengorbanan. Tidak ada yang kurang isteri bekerja dan suri rumah saling diperlukan oleh keluarga.
Menyelusuri cabaran rumah tangga, hanya suami isteri yang rasa. Air mata, harta, masa dan kudrat tercurahkankan tanpa mengenal penat lelah. Asalkan masih bersama-sama melihat anak membesar di depan mata.
Suami yang mahu isteri menjadi suri rumah atau terus bekerja perlu mempunyai perkiraannnya. Berbincang suami isteri terlebih dahulu dan bertanya orang lain mungkin boleh memberikan keputusan yang tepat selain melakukan istikharah yang Maha Esa. Bila hati sudah tekad dan segala usaha serta tawakal dilakukan segalanya akan dipermudahkan.
Bapa ini berkongsi pengalamannya sendiri di mana isteri menjadi suri rumah. Mengharungi ujian dalam rumah tangga tatkala isteri menjadi suri rumah diceritakan sendiri berdasarkan apa yang telah dilalui. Kisah benar yang boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa yang lain.
Sebelum saya bermula, penulisan ini bukan bertujuan untuk membandingkan antara suri rumah sepenuh masa dan isteri yang bekerja.
Harapan saya adalah untuk memberi sedikit sebanyak perkongsian mengenai kehidupan kami sebagai keluarga yang mempunyai “setup” atau set peranan suami bekerja dan isteri suri rumah sepenuh masa. Kita berikan nama set keluarga ini sebagai “keluarga suri rumah”.
Kesenangan yang saya maksudkan di sini bukan bersenang – lenang seperti orang kaya, tetapi cukup sekadar sentiasa mempunyai wang untuk berbuat sesuatu. Jika anda tidak ingin melepaskan keadaan sebegini dan fokus anda ingin menyediakan wang yang secukupnya untuk masa depan diri sendiri dan keluarga, mungkin anda akan tidak menyukai kehidupan keluarga suri rumah.
Akan tetapi, jika anda lebih fokus kepada masa berkualiti bersama keluarga, sentiasa bersama suami dan melihat anak – anak membesar setiap masa, keluarga suri rumah akan menjadi dunia yang sangat indah buat anda dan pasangan walaupun terdapat banyak kekurangannya nanti.
Ada satu perkara penting dan utama yang boleh saya katakan kritikal di dalam persediaan untuk menjadi satu keluarga suri rumah, iaitu hutang peribadi suami atau isteri. Hutang ini bakal menentukan sama ada keluarga itu mampu atau tidak mampu untuk menjadi keluarga suri rumah.
Kebiasaannya sebelum berkahwin, bakal suami akan tersedia mempunyai hutang sama ada kereta atau rumah atau pinjaman peribadi / pelajaran. Sudah tentulah lelaki itu mampu membayar hutang – hutang ini apabila hidup sendiri. Tetapi apabila sudah berkahwin, segala – galanya akan berubah. Kos kehidupan akan menjadi lebih tinggi dan tanpa di sedari, yang mampu akan menjadi tidak mampu.
Masalah akan datang jika bakal isteri JUGA mempunyai hutang, ini bagi saya adalah satu keadaan di mana pasangan ini TIDAK MAMPU untuk menjadi keluarga suri rumah.
Ini kerana, dua sumber hutang adalah amat sukar untuk diselesaikan oleh satu sumber kewangan. Bakal suami ada kereta, bakal isteri pun ada kereta. Dua hutang kereta yang perlu dibayar. Jika si isteri menjadi suri rumah, agak mustahil bagi si suami untuk membayar hutang kedua – dua kereta setiap bulan.
Dalam pemerhatian saya, pasangan yang baru berkahwin jarang sekali mahu melepaskan kereta mereka. Jadi mereka terus menjadi keluarga yang mempunyai dua kereta dan dalam masa yang sama mengeluh tidak mampu untuk menjadi keluarga suri rumah.
Jika betul – betul ingin membina keluarga suri rumah, salah seorang perlu berkorban.Sama ada bakal suami atau bakal isteri. Gunakan 1 kereta sahaja. Mungkin 1 lagi kereta boleh digantikan dengan motor juga jika mahu. Pokok pangkalnya ialah meminimumkan hutang terkumpul itu. Jika hutang dapat diseimbangkan dengan pendapatan suami, pasangan itu akan mampu menjadi keluarga suri rumah.
Amat penting sekali kita mempunyai minda yang positif. Perlu setkan dalam minda suami dan isteri, apa yang biasa ada dahulu mungkin tidak ada lagi. Contohnya, kuasa membeli isteri akan banyak berkurangan. Jika sebelum ini si isteri boleh membeli apa yang dimahukan pada bila – bila masa sahaja, kemungkinan besar ia akan menjadi amat terhad. Kebergantungan kewangan akan disandarkan kepada suami 100%. Jika anda dapat setkan minda kepada situasi ini sebelum bermula menjadi suri rumah sepenuh masa, ianya akan menjadi mudah.
Di sini, suami perlu memainkan peranan yang lebih penting. Suami perlu sedar yang isteri bakal mengharapkan suami dari semua segi. Keperluan diri si suami perlu sama atau kurang dari keperluan isteri. Tidaklah menjadi satu kesalahan jika meletakkan keperluan isteri di hadapan. Sebagai contoh, keperluan asas seperti tv, telefon bimbit, dan internet. Ya, pada masa kini, telefon bimbit dan internet boleh saya katakan yang ianya suatu keperluan asas.
Kenapa perlu sediakan semua ini? Kerana kita akan menjaga seorang isteri, bukan seorang pembantu rumah. Takkan kita nak mereka termenung tengok dinding sementara tunggu kita balik kerja? Sediakan kemudahan untuk digunakan isteri supaya mereka berasa selesa dan tidak bosan. Ini antara perkara yang perlu diusahakan walau bagaimana cara sekalipun. Jika ada kekurangan di bahagian ini, percayalah yang anda akan sedikit sebanyak menyeksa pasangan anda.
Keperluan peribadi Isteri juga jangan diabaikan. Keperluan alat solek dan kecantikan diri perlu dijaga. Sebulan atau dua bulan sekali perlu bawa isteri ke Guardian atau Watson untuk mereka membeli barang keperluan diri mereka. Biasakan diri dengan cleanser, scrub, toner dan moisturizer.
Penjagaan diri dan rambut juga perlu diberi perhatian. Hair treatment sebenarnya adalah satu perkara yang penting. Jangan hanya tahu mengadu rambut gugur yang banyak di rumah jika anda tidak membawa isteri ke salon sekali sekala.
Jangan pula lupa, sediakan juga peralatan dan barangan dapur yang cukup. Saya cadangkan, beli peralatan dapur di Mr. D.I.Y kerana di sana lebih murah dan banyak pilihan. Adalah satu kekecewaan apabila si isteri mahu menyumbang sesuatu tetapi tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.
Persediaan minda juga amat kritikal kepada suami. Perlu sedar, perlu redha dan perlu berubah. Kalau dahulunya sebelum kahwin, kita selalu lepak bersama kawan di mamak, kita perlu kurangkan aktiviti ini dan fokus kepada isteri. Sepatutnya selepas kahwin, kepentingan kawan sepatutnya tidak melebihi kepentingan isteri. Ini paling penting di dalam keluarga suri rumah.
Cuba lepak dengan isteri pula. Jadikan isteri kawan anda. Luangkan masa yang lebih bersama mereka. Isteri hanya ada suami, jadi suami perlu hanya ada isteri. Jika suami mahukan masa bersama kawan sekali – sekala tidak menjadi masalah sebenarnya. Cuma, isteri juga perlukan masa bersama kawan sekali – sekala. Berilah mereka ME TIME supaya hidup mereka tidak sentiasa terkongkong dan stress.
Jika suami tidak mahu berubah, tolong jangan sekali – kali fikir untuk jadi keluarga suri rumah. Anda tidak layak dari segi mentaliti. Anda akhirnya akan membuli dan menghambakan isteri anda nanti.
Kita sebagai suami sepatutnya perlu bersyukur. Kita sudah ada seorang insan yang sudi menjadi teman hidup kita selama – lamanya. Insan itu juga telah melepaskan segala – galanya untuk kita. Untuk berada bersama kita sentiasa, menunggu setia kepulangan kita dari kerja dan menguruskan kehidupan kita. Jika ini masih tidak cukup, saya ucapkan selamat berjaya kepada kehidupan keluarga anda.
Bagi suami, ini dari pengalaman saya sendiri. Tiada apa yang lebih bahagia apabila pulang dari kerja, disambut dengan jeritan kegembiraan anak dan isteri. Semasa kita keletihan seharian bekerja, jeritan mereka sudah boleh di dengari saat memasukkan kunci ke tombol pintu rumah.
Pelukan penuh kasih sayang dari anak dan isteri boleh menghapuskan semua masalah yang sedang melanda biarpun hanya dalam beberapa saat. Bila merasakan sendiri betapa rindunya anak dan isteri kepada kita walaupun hanya berpisah tidak sampai setengah hari, bakal memberi keyakinan diri yang tinggi kepada anda.
Hubungan sesama ahli keluarga juga akan bertambah erat. Ibu dan anak menghabiskan masa seharian bersama. Sudah tentulah banyak yang boleh dipelajari oleh anak dan banyak kerenah anak yang boleh dilayan oleh ibu. Ini hasil dari masa yang banyak tersedia untuk keluarga.
Suami juga akan menjadi lebih terurus kerana banyak keperluan peribadi boleh disediakan isteri. Contohnya dari segi pakaian dan makan minum. Baju kerja bergosok tersedia setiap hari, makanan yang dimasak sendiri oleh isteri terhidang setiap kali waktu makan tiba. Boleh saya katakan, tiada masakan yang lebih menyelerakan dari masakan isteri sendiri. Setiap suapan di selangi dengan kesyukuran kerana kebahagiaan ini. Dan disebabkan ini, tidak mustahil suami di dalam keluarga suri rumah akan berisi sedikit. Hehe..
Percaya atau tidak, keluarga suri rumah mempunyai kadar stress yang rendah. Tekanan hanya akan datang dari pengurusan kewangan dan penyediaan keperluan keluarga sahaja. Tekanan terkumpul keluarga di tempat kerja berkurang 50%, tekanan pergi dan balik kerja juga akan berkurang 50%. Ini kerana, hanya seorang sahaja yang keluar bekerja.
Di dalam pengamatan saya, isteri suri rumah sepenuh masa bakal mencungkil bakat yang ada di dalam diri mereka. Sebagai contoh, ada ipar saya yang pandai menjahit dan ada juga yang pandai berniaga termasuklah isteri saya sendiri. Tidak mustahil perkara ini boleh terjadi jika mendapat dorongan dan sokongan yang penuh dari suami. Yang penting, semua perkara dibawa berbincang dengan baik.
Sudah tentulah kelebihan paling utama menjadi suri rumah ialah anda akan menjaga anak anda sendiri dan tidak perlu menghantar anak supaya dijaga oleh orang lain. Menjaga budak kecil bukanlah perkara yang mudah. Saya tidak mahu menghuraikan secara panjang mengenai perkara ini untuk menjaga sensitiviti semua pihak. Cukup sekadar menyatakan yang menjadi suri rumah mempunyai kelebihan di bahagian ini.
Ini yang paling utama. Tahap kewangan keluarga yang lebih rendah dan kuasa membeli yangkurang. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Kira perlu sedar, 1 sumber kewangan pastilah kurang dari dua sumber kewangan.
Apa yang diperlukan oleh pasangan ialah redha dan faham akan keadaan keluarga sendiri. Jika anda tahu kedudukan anda, pasti anda dapat mengubati hati yang tersentuh apabila melihat keluarga lain di sekeliling dapat berbelanja lebih dari anda.
Berhentilah membanding – banding. Bersyukur dengan apa yang ada. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Percayalah, apa yang anda kurang di bahagian ini, anda lebih di bahagian lain. Jangan gusar jika keluarga rakan anda dapat beli kereta baru. Tetapkan dalam hati, In Shaa Allah akan sampai satu hari anda juga akan ada kereta baru. Sementara itu, bersyukurlah dan bersabarlah. Rezeki tidak pernah salah alamat.
Satu perkara yang boleh saya katakan berada di kawasan kelabu ialah perancangan keluarga. Anda tahu kemampuan perbelanjaan keluarga. Jadi, adalah lebih baik anda merancang keluarga anda. Betul, zuriat itu membawa rezeki. Tetapi kita perlu realistik. Jika setiap bulan nak beli susu anak pun masalah, takkanlah anak yang tak sampai setahun sudah kita nak bagi adik? Itu hanya pendapat peribadi saya. Rezeki kalau ada jangan ditolak. Cuma apa yang boleh kita kawal, kita cuba kawal.
Ini hasil maklumbalas di media sosial. Ada orang di sekeliling suri rumah yang beranggapan, wanita yang menjadi suri rumah sepenuh ini adalah malas dan ingin hidup senang kerana tidak mahu bekerja.
Sesiapa yang pernah ada anggapan begini, saya nasihatkan, cuba jadi suri rumah semasa anak – anak masih kecil. Dari luaran nampak seperti banyak masa. Tapi realitinya tidak.
Masa di rumah akan dipenuhi dengan melayan karenah anak – anak. Membuat kerja – kerja rumah dan sebagainya. Anda perlu jadi sendiri untuk merasai betapa tidak cukup masanya suri rumah sebenarnya untuk diri mereka sendiri. Baru sahaja mahu terlelap, anak menangis meminta itu ini. Baru sahaja mahu merebahkan badan untuk berehat, baru teringat dapur belum dikemas.
Saya merasainya sendiri apabila isteri saya mengalami alahan yang teruk baru – baru ini dan saya terpaksa mengambil alih tugas menguruskan rumah. Semangat mengemas rumah pada pagi hari hancur lebur apabila ianya bersepah semula di waktu petang. Saya ingatkan pagi dah sapu bersih boleh tahan sampai besok, rupanya tidak. Perlu diulangi proses itu untuk mengekalkan rumah yang kemas dan bersih. Saya insaf.
Di atas sebab ini juga, suami kepada suri rumah ialah yang paling utama untuk tidak mempunyai persepsi yang tidak baik terhadap isteri suri rumah. Tolong jauhkan ayat seperti “awak buat apa seharian kat rumah? Pinggan tak basuh, rumah tak bersapu, saya penat kerja, awak mengangkang je”. Rasa sakitnya bila mendengar ayat ini tidak boleh digambarkan.
Buat suri rumah semua. Jangan ragu – ragu akan keputusan anda. Anda telah melakukan yang terbaik. Tidak semua orang mampu menjadi seperti anda. Cuba cungkil bakat anda untuk menambah pendapatan keluarga tanpa perlu keluar bekerja.
Sejak berkahwin, saya dan isteri telah mencuba pelbagai cara untuk menambah pendapatan kami. Kami pernah berniaga tudung, kuih raya, sandwich, nasi lemak, meatballs dan makanan lain termasuklah perniagaan jus kesihatan, air jagung dan akhirnya sekarang kami menjual pencuci muka.
Jangan pernah jemu dan putus asa. Berusahalah semampu yang boleh. Bersikap positif sesama pasangan. Isteri perlu yakin yang suami sedang melakukan apa yang termampu untuk menampung keluarga. Suami juga perlu percaya yang isteri sentiasa sedia untuk membantu suami demi keluarga yang tercinta.
Boleh saya katakan, pernah tiada seurat emas pun yang tinggal di badan isteri saya satu masa dahulu. Semuanya dikorbankan demi membantu saya. Saya menjadi amat tersentuh apabila memikirkan keadaan itu dan amat sedih sehingga mengalirkan air mata apabila isteri menyatakan suka terhadap bentuk barang kemas yang dia nampak sambil berkata “nanti kita ada duit kita beli ye sayang, jangan risau, sayang ok.”
Percayalah yang hati saya meraung sekuat – kuatnya apabila mendengar ayat itu. Saya rasakan saya seorang suami yang gagal. Seorang insan yang teruk kerana menjadi penyebab keadaan ini terjadi. Saya faham bagaimana seorang wanita sayangkan barang kemasnya.
Tetapi saya tidak berdaya pada masa itu. Kami teramat memerlukan untuk meneruskan kehidupan kami dan anak – anak. Sampailah satu tahap bila isteri saya perasan air mata saya yang berlinangan menyebabkan sehingga kini, isteri saya tidak lagi bercerita mengenai barang kemas.
Akhir kata, yakinlah dengan keputusan anda. Bersedialah untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Kurangkan berhutang semasa bujang. Sentiasa pandang ke hadapan. Utamakan rumah dari kenderaan.
Toleransi, kerjasama, hormat – menghormati dan faham – memahami amat penting. Perbanyakkan dorongan, sentiasa yakinkan pasangan yang ini adalah pilihan yang paling tepat.
Anda suami isteri akan melalui saat yang paling indah dalam kehidupan. Percayalah kerana saya sedang melaluinya.
Oh ya, kepada bakal suami dan suami, berhentilah merokok. Banyak yang anda boleh berjimat. Rumah pun boleh beli. Saya tak bohong.
Sebagai ibu bapa sudah tentu kita ingin anak kita mempunyai imaginasi yang tinggi serta kreatif. Kemahiran berfikir secara kreatif boleh dipupuk sejak dari kecil...