
Gambar Hiasan AI
Video tular seorang kanak-kanak perempuan duduk di tepi jalan bersama adiknya sambil memegang botol susu mengundang pelbagai reaksi netizen. Tapi siapa sangka, rupanya mereka keluar rumah sendiri ketika si ayah sedang tidur!
Menurut kenyataan rasmi daripada Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, kanak-kanak terbabit keluar rumah sendiri di kawasan Garden Avenue, Seremban 2 ketika ibu mereka sedang bekerja manakala si ayah pula sedang tidur.
Menurut laporan Kosmo, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang prihatin dan terus bertindak membawa dua beradik itu ke Balai Polis Seremban 2 bagi tujuan perlindungan dan pengesahan identiti.
Syukur alhamdulillah, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan atau tanda mencurigakan pada tubuh kanak-kanak berkenaan. Pihak polis juga berjaya mengesan ibu bapa mereka, yang merupakan warga Myanmar. Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan semula kepada keluarga setelah siasatan awal dijalankan.
Rakaman selama 12 saat itu yang memaparkan dua beradik kecil di tepi jalan nyata mengundang simpati. Ada yang menitiskan air mata, tak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap kecuaian ibu bapa yang dianggap “tidak bertanggungjawab.”
Namun menurut Mohamad Hatta, PDRM akan terus memantau dan menjalankan siasatan demi keselamatan serta kebajikan kanak-kanak tersebut. Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes ini telah diselesaikan.
Buat mak ayah, ini bukan kali pertama kita dengar kes anak keluar rumah diam-diam. Tapi bila anak kecil tanpa pengawasan berada di tepi jalan besar, risikonya sangat tinggi! Satu langkah silap boleh membawa maut.
Kita tahu, penat urus anak, kerja tak tentu masa, suami isteri sama-sama cari rezeki. Tapi langkah keselamatan mesti diutamakan:
🔒 Pastikan pintu berkunci rapi, ada mangga tambahan
👶🏻 Pasang child lock atau alat keselamatan tambahan di pintu & tingkap
📱 Letakkan nombor kecemasan di tempat mudah capai
Dalam pada kita marah dan kecewa, jangan lupa berterima kasih kepada insan-insan prihatin yang segera membantu. Tanpa mereka, mungkin kes ini tak berakhir sebaik ini.
Moga kisah ini membuka mata semua pihak tak kira warganegara mana bahawa keselamatan anak bukan perkara remeh. Jangan tunggu sesuatu yang buruk berlaku baru nak ambil tindakan.