
Jangkitan dan demam adalah perkara biasa dalam kehidupan anak kecil. Namun, apabila anak kerap demam berulang atau demam tidak sembuh lebih daripada tiga minggu, ia mungkin menjadi isyarat kepada sesuatu yang lebih serius.
Ibu bapa perlu lebih peka terutamanya jika demam berpanjangan disertai tanda lain seperti bengkak atau ketulan luar biasa di tangan, kaki, atau mana-mana bahagian badan yang semakin membesar tanpa sebab yang jelas.
Walaupun kebanyakan kes melibatkan jangkitan biasa, dalam situasi tertentu, anak kerap demam berulang boleh menjadi salah satu simptom awal kanser kanak-kanak yang tidak boleh diabaikan.
Sistem imun kanak-kanak masih dalam proses matang, sebab itu mereka lebih mudah mendapat jangkitan. Namun, jika demam berlaku terlalu kerap, berlarutan lama atau tidak menunjukkan respon terhadap rawatan biasa, pemeriksaan lanjut sangat disarankan.
Demam yang berulang bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal anak, malah memberi tekanan emosi kepada ibu bapa yang sentiasa risau akan keadaan anak.
Selain anak kerap demam berulang, antara simptom lain yang perlu diberi perhatian termasuk sakit sendi, mudah lebam, pendarahan hidung atau gusi, serta penampilan pucat.
Ada kalanya perubahan ini hanya disedari oleh orang luar atau saudara terdekat kerana ibu bapa sudah terbiasa melihat keadaan anak setiap hari.
Dr Eni Juraida Abd Rahman, Pakar Hematologi Pediatrik dan Onkologi di sebuah hospital swasta terkenal, menjelaskan bahawa kanser kanak-kanak boleh menunjukkan tanda yang berbeza-beza dan selalunya tidak spesifik.
Walaupun anak kerap demam berulang selalunya disebabkan jangkitan biasa, demam yang berpanjangan atau berulang memerlukan pemerhatian rapi serta ujian lanjut bagi mengenal pasti puncanya.
“Setiap kanser mempunyai tanda tersendiri, dan ada juga penyakit lain yang menunjukkan simptom sama tetapi bukan kanser,” jelas beliau.
Apabila kanak-kanak disyaki menghidap kanser, ibu bapa disarankan untuk menjalani semua ujian yang diperlukan bagi mengesahkan diagnosis. Penerimaan awal ibu bapa amat penting supaya rawatan dapat dimulakan tanpa kelewatan.
Rawatan kanser kanak-kanak biasanya melibatkan gabungan pembedahan, kemoterapi dan dalam sesetengah kes, radioterapi.
Setiap rawatan mempunyai kesan sampingan tersendiri. Sebelum rawatan bermula, ibu bapa akan diberi penerangan lengkap tentang kesan ubat terhadap organ penting seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, serta sistem saraf dan otak.
Sesetengah ubat juga berpotensi menjejaskan kesuburan kanak-kanak lelaki. Oleh itu, keluarga akan dimaklumkan lebih awal supaya bersedia dari segi emosi dan perancangan jangka panjang.
Kanak-kanak yang bebas penyakit selama beberapa tahun boleh dianggap sembuh, namun rawatan susulan jangka panjang tetap diperlukan bagi memantau kesan sampingan rawatan.
Berita baik untuk ibu bapa, kadar pemulihan kanser kanak-kanak semakin meningkat dengan rawatan moden.
Dr Eni menekankan bahawa pemerhatian awal ibu bapa terhadap perubahan kecil pada anak amat penting. Apabila anak kerap demam berulang disertai tanda lain yang mencurigakan, tindakan pantas boleh meningkatkan peluang pemulihan dengan ketara.
Sumber: Berita Harian