Perasaan risau pasti timbul bila melihat anak lelaki suka bermain permainan untuk kanak-kanak perempuan. Puas dipujuk dan alih perhatian si cilik untuk bermain permainan yang sesuai dengan kanak-kanak lelaki ternyata mereka tak petah dan akan berbalik semula bermain dengan anak patung dan alatan memasak. Keadaan tersebut ada ketikanya kelihatan lucu namun sebagai ibu pasti terbit perasaan risau dengan anak lelaki yang semakin membesar itu.

Tak usah risau atau gusar dengan keadaan tersebut, saat mereka bermain dengan permainan yang dianggap feminin, anak lelaki anda masih tetap maskulin. Ini caranya:

Anak Lelaki Suka Permainan Budak Perempuan Bukan Tak Macho. Mak Ayah Ada Peranan Sendiri Bagi Anak Faham Personaliti Mereka

Bermain masak-masak

Memasak sebenarnya bukanlah pekerjaan yang feminin kerana dalam dunia hari ini ramai tukang masak dan chef terdiri daripada orang lelaki. Jadi ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan oleh ibu bapa. Ajak si kecil anda menonton filem Chef yang mengisahkan seorang ayah yang menjadi chef di sebuah trak makanan miliknya dan ketika cuti sekolah dia akan mengajak anak lelakinya untuk membantu. Selain itu anda juga boleh ajak si kecil anda menonton program realiti masakan seperti Masterchef Junior yang memaparkan kanak-kanak memasak tanpa mengira gender.

Bermain dengan anak patung

Bermain dengan anak patung memang sukar untuk anda larang tambahan lagi jika anak anda bermain dengan kawan perempuan atau kakak mereka. Dengan bermain anak patung, anak anda sebenarnya akan memiliki pengalaman untuk mengasuh dan menjaga bayi. Apa yang perlu anda tegaskan adalah peranan mereka sebagai seorang lelaki atau ayah kepada anak patung tersebut supaya mereka tidak keliru dengan personaliti mereka kelak.

Anak Lelaki Suka Permainan Budak Perempuan Bukan Tak Macho. Mak Ayah Ada Peranan Sendiri Bagi Anak Faham Personaliti Mereka

IKLAN

Main pondok-pondok

Kanak-kanak lelaki dan perempuan memang suka bermain pondok-pondok kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama. Mereka juga boleh menerokai kreativiti mereka dengan membuat sendiri rumah mereka daripada kusyen, kain atau bantal yang ada. Mereka juga belajar untuk memastikan rumah mereka bersih dan baik. Apa yang perlu ditekankan untuk anak lelaki adalah mereka perlu membuat kerja-kerja seperti pembaikan atau mengangkat barang-barang berat yang ada dalam rumah permainan mereka. Meskipun hal tersebut boleh juga dilakukan oleh kanak-kanak perempuan, tapi kanak-kanak lelaki yang lebih sesuai untuk lakukan itu semua.

Mendandan

Seperti juga dengan chef, pendandan rambut juga ramai terdiri daripada kalangan lelaki. Oleh itu tak jadi masalah untuk si kecil anda suka mendandan sama ada diri sendiri, kawan-kawan atau mendandan anak patung mereka. Apabila anda juga termasuk dalam permainan mereka bertegaslah mengatakan rambut anda mahu dipotong atau dandan oleh abang kacak itu dan bukan dengan kakak cantik. Anda juga boleh membawa mereka ke kedai dandanan rambut yang majoriti pemotong rambutnya adalah lelaki. Di tempat itu, anak anda boleh melihat sendiri bagaimana sikap dan personaliti pendandan rambut lelaki.

Berbelanja dengan wang

Selain bermain masak-masak, mendandan dan bermain anak patung, kanak-kanak juga suka bermain dengan wang. Bukan perempuan sahaja yang suka membeli-belah kan, lelaki pada zaman kini juga suka dengan aktiviti sedemikian. Untuk menegaskan peranan anak lelaki anda dalam berbelanja mengikut gendernya, anda boleh minta mereka menjadi seorang ayah dan minta mereka membeli barang-barang keperluan rumah. Atau jadi pemilik restoran yang melayan pelanggan dan seterusnya mengambil bayaran daripada anda sebagai pelanggan tentunya menyeronokkan.

IKLAN

Anak Lelaki Suka Permainan Budak Perempuan Bukan Tak Macho. Mak Ayah Ada Peranan Sendiri Bagi Anak Faham Personaliti Mereka

Tegaskan gender mereka

Sebagai ibu bapa, ketegasan anda perihal sikap yang perlu ada oleh anak lelaki bukan sahaja ketika mereka bermain, malah dalam aktiviti seharian lain juga. Memberi komen atau pujian yang menghasilkan kesedaran tentang gender mereka seperti, “Wah, kuatnya anak mama ni, boleh tolong mama angkat bakul kain.” Pasti memberikan impak yang bagus untuk si kecil anda.

Selain itu, dedahkan mereka dengan aktiviti lasak di luar rumah seperti bermain bola, berlari bersama kawan-kawan di taman permainan tentu juga menyeronokkan mereka. Jika ada kesempatan anda boleh libatkan mereka dengan kelab seperti taekwondo, silat dan sebagainya.

IKLAN

Sebaiknya hindarkan anak anda daripada menonton rancangan televisyen yang boleh membuatkan mereka keliru akan personaliti sebenar seorang lelaki yang banyak dipaparkan pada hari ini.

Peranan ayah juga penting, ajaklah anak lelaki anda bermain bersama kerana daripada ayahlah anak-anak belajar tentang dunia lelaki. Ia juga boleh merapatkan lagi hubungan antara anak dan ayah.

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI