Setiap ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak mereka – cukup makan, belajar rajin, sihat tubuh badan. Tapi bagaimana kalau anak kita sebenarnya sedang ‘dihisap hidup-hidup’ oleh parasit yang tak nampak di mata kasar? Cacing bukan ancaman baru, tapi masih ramai ibu bapa muda yang menganggap ia sebagai isu kecil. Hakikatnya, jangkitan cacing boleh berlaku tanpa simptom yang jelas dan memberi impak besar terhadap kesihatan, tumbesaran dan perkembangan mental anak.
Kenapa Anak Mudah Dijangkiti Cacing?
Kanak-kanak sangat aktif dan sifat ingin tahu mereka buat mereka mudah terdedah. Mereka sentuh tanah, bawa tangan ke mulut, berkongsi makanan, dan tak sedar di situlah pintu masuk cacing ke dalam tubuh.
Cara utama cacing masuk ke tubuh anak termasuk:
Melalui kulit – berjalan tanpa kasut di tempat tercemar
Melalui mulut – makanan/minuman yang tidak bersih
Melalui tangan kotor – tak basuh selepas main, sebelum makan
Melalui haiwan peliharaan – bulu atau najis yang tercemar
Kajian menunjukkan bahawa lebih 20% kanak-kanak di Malaysia berisiko dijangkiti cacing, terutamanya di kawasan berpendapatan rendah dan persekitaran kurang bersih.
Tanda-Tanda Anak Anda Mungkin Dijangkiti Cacing
Kadang-kadang simptomnya sangat umum, jadi mudah kita abaikan.
Berikut tanda-tanda yang patut buat kita berjaga-jaga:
Anak mengadu sakit perut berulang, terutama waktu malam
Gatal di bahagian punggung – cacing keluar waktu malam bertelur
Kurang selera makan atau terlalu kuat makan, tapi berat tak naik
Anak cepat letih, murung atau tak aktif bermain
Perut buncit, walaupun tubuh kurus
Gangguan tidur – tak lena, selalu menangis waktu malam
Kerap sakit tanpa sebab jelas – imuniti menurun
Ads
Tip: Kalau anak selalu kena ‘ulser mulut’, gatal di punggung, dan ada lingkaran gelap bawah mata – ini juga tanda tak langsung.
Kesan Jangka Panjang – Jangan Tunggu Sampai Terlambat
Cacing dalam tubuh anak bukan sekadar buat mereka sakit perut. Ia menyerap nutrien penting yang sepatutnya digunakan untuk tumbesaran dan perkembangan otak.
Antara kesan jangka panjang termasuk:
Masalah pembelajaran – susah fokus, lambat tangkap pelajaran
Anemia kronik – pucat, letih, risiko pengsan
Kurang selera makan kronik – berat dan tinggi tak seimbang umur
Lambat bercakap atau kurang sosial (terutama anak kecil)
Imun badan lemah – mudah jatuh sakit
Ramai ibu bapa hanya sedar selepas anak sudah alami masalah perkembangan fizikal dan mental, sedangkan puncanya ‘sekecil’ jangkitan cacing yang dibiarkan lama.
Ads
Rawatan: Mudah Tapi Ramai Tak Buat
Ubat cacing mudah didapati di klinik dan farmasi – tetapi perlu ikut dos dan jadual.
Ambil ubat setiap 6 bulan sekali (dua kali setahun)
Pastikan semua anak (dan orang dewasa jika perlu) dirawat serentak
Gunakan ubat berasaskan mebendazole atau albendazole, ikut nasihat doktor
Nota: Tak semua produk sesuai untuk anak bawah umur tertentu – dapatkan nasihat profesional perubatan sebelum beri ubat.
Ads
Pencegahan: Tugas Ibu Bapa Yang Tak Boleh Ambil Mudah
Langkah pencegahan sangat penting.
Basuh tangan anak dengan sabun sebelum makan dan selepas tandas
Gunakan alas kaki bila bermain luar rumah
Masak makanan sehingga betul-betul masak
Basuh buah dan sayur dengan bersih sebelum makan
Didik anak tak main najis haiwan, jangan kongsi tuala, selimut
Pantau anak selepas bermain di luar – mandi dan bersihkan kuku
Bersihkan mainan anak selalu, terutama yang dibawa ke luar rumah.
Jangan Sampai Menyesal
Cacing bukan sekadar isu ‘budak kampung’, tapi realiti diam-diam yang boleh berlaku pada mana-mana anak — tak kira latar belakang.
Sebagai ibu bapa, kita tak boleh leka. Lindungi anak dari dalam, bukan sekadar luar. Badan sihat, otak cerdas, hati tenang – semua bermula dari langkah kecil: ambil peduli kesihatan dalaman mereka.
Jangan tunggu cacing keluar dari najis baru nak bertindak. Jadikan rawatan dan pencegahan sebagai rutin keluarga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu bapa yang ada anak kecil, dinasihatkan untuk sentiasa lebih alert jika anak demam. Ini kerana pelnagai kemungkinan boleh berlaku jika badan anak terlampau panas. Antara yang biasa berlaku adalah sawan demam.
Sawan demam berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas, aktiviti sel otak terganggu yang menyebabkan pesakit hilang kesedaran, badan, tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.
Selain itu, keadaan kekejangan badan akan disusuli dengan pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Jadi sangat penting untuk ibu bapa bawa anak untuk rawatan segera.
Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang ibu, Cik Puan Ammy, demam sawan yang berlaku pada anak perempuannya, Mahsuri benar-benar memberi trauma buatnya dan suami.
Kisah ni berlaku tahun 2019 dan saya kongsi kembali untuk bacaan ibu bapa agar dapat menjadi panduan sekiranya anak tiba-tiba diserang sawan ketika demam supaya tidak panik seperti saya dan suami.
Demam Sawan
Sejak semalam ramai rakan dan ahli keluarga mesej bertanyakan tentang keadaan Mahsuri. Bila, bagaimana dan kenapa Mahsuri boleh terkena sawan demam… Bukan niat nak menyepi tapi masih dalam keadaan terkejut. Hari ini bila perasaan dah tenang, saya cuba menceritakan apa yang berlaku dan puncanya. Di kesempatan ini juga saya kongsikan sedikit sebanyak panduan yang diberi oleh doktor jika menghadapi anak yang mengidap #Sawan_Demam.
1-2 Ogos 2019 adalah satu malam yang amat panjang untuk saya sekeluarga… Malam yang tidak sanggup kami lalui lagi kerana setiap saat hanya berhujan dengan deraian air mata… Mengharap doa dimakbulkan kerana sedar diri ini tidak terlalu sempurna disisiNya… Allahu Akbar.
Ia bermula pada petang Rabu. Mahsuri tiba-tiba demam tetapi tidak terlalu panas. Dia aktif seperti biasa. Saya hanya memberi ubat demam kepadanya dan seperti selalu membawa dia berniaga. Di tempat niaga, dia juga aktif. Makan apa yang ingin dia makan dan main apa yang dia ingin main. Saya tidak terlalu risau memandangkan setiap kali Mahsuri demam ianya tidak akan lama, sehari dua ia akan ‘kebah’.
Habis niaga, jam 11 malam kami sampai dirumah. Mahsuri masih demam. Rutin harian saya, setelah sampai dirumah saya pasti akan mandikan Mahsuri apatah lagi jika dia tidak sihat. Saya pasti akan mandikannya berkali-kali dalam satu malam. Tetapi tidak pada hari ini, mungkin kerana pada waktu itu saya terlalu penat tambahan pula dia nyenyak tidur, maka saya tangguhkan untuk esok pagi.
Entah kenapa, malam tu saya rasa tidak sedap hati untuk tidur di dalam bilik. Saya bawa Mahsuri tidur diruang tamu. Dia sedar dan minta makan. Kebetulan abangnya juga sedang makan. Setelah beberapa suap Mahsuri makan, dia minta untuk menonton ABC Song (youtube). Dia juga aktif seperti biasa.
Mata terbeliak, badan kejang
Jam 2 pagi… Semuanya bermula disini. Saya terbangun dari tidur kerana rasa seperti digigit (Mahsuri breast feeding). Selalunya dia tidak pernah menggigit. Saya alihkan mukanya dan betapa terkejutnya saya bila dapati matanya telah ke atas dan seluruh badanya kejang. Saya menjerit sekuat hati memanggil suami yang tidur dibilik. Nasib baik menyebelahi saya kerana memilih tidur diruang tamu kerana terang. Jika saya tidur di bilik pasti tidak nampak keadaan Mahsuri kerana gelap.
Suami bergegas bangun dan mendakap Mahsuri. Alhamdulillah badannya kembali lembut dan matanya kembali normal. Tetapi ianya bertahan selama beberapa minit sahaja, badannya yang lemah tadi tiba-tiba menggigil dan dia mengetap giginya. Tanpa berlengah lagi, kami terus membawanya ke hospital. Sewaktu di dalam kereta, saya lihat bibirnya biru dan matanya sudah tertutup, badannya juga sudah terkulai.
Ya Allah… Pada waktu itu hanya tuhan sahaja tahu perasaan kami. Tanpa berlengah lagi, saya mencengkam mulutnya yang terkatup rapat dengan kuat dan memasukkan jari terlunjuk saya bagi membantu Mahsuri bernafas. Terbukanya mulut Mahsuri, banyak air liur yang berbuih keluar mengalir. Mahsuri kembali kejang.
Walaupun bergitu kami lega kerana Mahsuri masih bersama kami. Dalam perjalanan kami tempuhi satu sekatan jalan anggota PDRM. Suami sedaya upaya bunyikan ‘hon’ banyak kali sambil kami menjerit “tolong tuan… Anak saya sawan…”
Berkali-kali supaya kereta dihadapan ketepi untuk memberi laluan kepada kami. Alhamdulillah PDRM telah memberi kerjasama yang baik dan amat kami hargainya. Sepanjang jalan, pada tiap kali Mahsuri berhenti menggigit dan terkulai, saya akan menggoncang tubuhnya sekuat hati sambil memanggil namanya berharap dia ‘respon’.
“Sayang… gigit mama sayang… Jangan berhenti… Gigit kuat-kuat”
Setiap kali Mahsuri sedar dia akan kembali kejang dan bergetar. Surah Al Fatihah tidak berhenti berkumandang dari mulut suami. Kalimah syahadah juga tidak berhenti saya bisikkan ketelinganya. Pagi itu terasa perjalanan kami ke hospital sangatlah jauh walaupun jalan raya lengang. Saya tidak tahu berapa lajunya suami saya memandu namun saya masih berasa kereta itu bergerak amat perlahan sehingga saya memaksa suami memandu dengan lebih laju.
Setibanya di hospital (HTJ Seremban), Mahsuri disambut oleh beberapa orang pegawai perubatan dan terus ke zon merah. Letak sahaja Mahsuri dikatil, jari saya segera dilepaskan oleh doktor dari mulut Mahsuri. Luluhnya hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan bergitu. Saya tidak pernah melihat suami saya menggigil seteruk itu. Kasihnya seorang bapa. Melihat keadaan kami yang tidak tenang. Doktor meminta kami bertenang dan menunggu diluar sementara mereka memberi rawatan kepada Mahsuri.
Tubuh bergetar, mata terpejam kemas
Kami akur… Sepanjang masa kami berdoa mohon kepada Allah Swt agar diberi kesempatan kepada kami menjaga Mahsuri lagi. Berapa minit kemudian, kami dipanggil untuk menceritakan pada awal Mahsuri demam sehinggalah Mahsuri mendapat sawan demam atau dikenali sebagai #Febrile_Seizure. Saya merenung Mahsuri yang tidak sedarkan diri. Tubuh kecil itu bergetar dan matanya pejam kemas. Saya mengusap lembut kepalanya. ” Auciii… Auciii sakit ya… Mama baba ada Sayang…”
Saya bisikkan ke telinganya dengan lembut.
1 jam lebih di ’emergency room’, Mahsuri kembali tenang. Tubuhnya tidak lagi bergetar. Doktor mengatakan dia sedang berehat. Mahsuri ditolak ke ‘ward’ untuk rawatan selanjutnya. Semasa menunggu Mahsuri sedar saya didedahkan oleh pegawai perubatan mengenai sawan demam. Apa itu sawan demam. Apabila suami ‘up status’ di FB mohon kawan2 bantu mendoakan Mahsuri, rupanya ramai para kenalan mengalami nasib yang sama dengan kami. Ada juga yang tidak berpengalaman bertanya bagaimana ia menyerang, tanda-tanda sebelum ia menyerang dan bagaimana cara untuk merawatnya sementara ke hospital. Di sini saya kongsikan sedikit sebanyak keterangan doktor kepada saya.
Apa itu #Sawan_Demam_(Febrile_Seizure)
Ianya disebabkan oleh demam panas d kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Berbeza dengan #Sawan_Babi_(Epilepsi) ianya adalah sawan yang berulang-ulang tanpa disebabkan oleh demam.
2.5% drpd kanak2 normal boleh menghidap sawan demam. Tanda-tandanya…
📌 Badan terasa panas.
📌 Badan dan kaki tegang.
📌 Kaki dan tangan tersentak2 tanpa ransangan.
📌 Mulut berbuih.
📌 Terberak atau terkencing.
📌 Tertidur dan tdk sedarkan diri seketika. Apabila sedar kelihatan bingung dan kembali aktif.
📌 Kebanyakan berlaku melebihi suhu badan 38.5°c dan pada hari pertama demam.
Apa harus dilakukan…?
1. Ibu dan ayah perlu bertenang.
2. Iringkan anak kesisi badan (mengiring ke kiri).
3. Rendahkan kepalanya agar cecair yg ada dalam mulut mengalir keluar.
4. Jika anak mengetap gigi, jangan masukkan sesuatu objek atau jari kedalam mulut anak bimbang akan tercekik atau tercucuk.
5. Lap seluruh badan menggunakan air paip bukan air sejuk bg mengawal panas badan.
6. Jika sawan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi dan segeralah bawa ke hospital.
Jika demam berpanjangan.
Berikan ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen utk menurunkan demam. Mandi atau lap badan dengan air paip bukan air sejuk sekerap yg boleh. Bagi anak minum air sejuk, ini dpt membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.
Alhamdulillah… 2 Ogos… Jam 9 pagi Mahsuri sedar dari tidur, ayat pertama keluar dari mulutnya adalah…
“Hai… Hello mama…”
Sambil melambai tanganya… Ya Allah… Leganya hati saya… Terima kasih Allah kerana meminjamkan Mahsuri kepada kami dan memberi kesempatan kami menjaganya lagi…
Masalah gigi berlapis sering dipandang enteng oleh masyarakat umum. Perkara ini perlu dititikberatkan kerana kelak, ia boleh menyebabkan masalah karies gigi dan masalah gusi bengkak.
Tahukah anda bahawa masalah gigi berlapis boleh disebabkan oleh gigi susu? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sebelum kita menyelami bagaimana gigi berlapis boleh terjadi, mari kita kenal terlebih dahulu dengan pesona utama artikel ini, gigi susu. Walaupun gigi mula tumbuh ketika bayi berusia di antara 6 ke 12 bulan, hakikatnya, ia mula terbentuk pada 6 minggu fasa kehamilan.
Usia bagi pertumbuhan gigi susu adalah berbeza bagi setiap bayi maka jika anak anda masih tidak mempunyai gigi seawal 6 bulan, usah khuatir. Biar lambat, asal selamat.
Apa itu enamel, dentina dan pulpa?
Terdapat perbezaan yang agak ketara jika dibuat perbandingan di antara struktur gigi susu dan gigi kekal. Secara umumnya, jumlah gigi susu yang bakal tumbuh apabila anak anda berusia 1 tahun adalah sebanyak 6 batang. Ketika anak anda berusia 3 tahun, seharusnya kesemua 20 batang gigi susu telah pun tumbuh.
Jika dibuat perbandingan secara fizikal, gigi susu kelihatan lebih kecil dan putih manakala gigi kekal kelihatan lebih besar dan berwarna krim atau putih kekuningan.
Gigi kekal juga mempunyai bilangan yang lebih banyak iaitu sebanyak 32 batang berbanding dengan gigi susu yang hanya sebanyak 20 batang. Pada sudut anatomi, perbezaan di antara keduanya dapat dilihat pada ketebalan lapisan enamel (luar), dentina (tengah) dan pulpa (dalam).
Gigi susu mempunyai lapisan enamel dan dentina yang agak nipis berbanding dengan gigi kekal membuatkan karies gigi lebih mudah untuk merebak ke lapisan pulpa. Oleh sebab itulah karies gigi kelihatan lebih teruk pada gigi kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa.
Lapisan pulpa gigi mengandungi banyak urat saraf dan salur darah yang memberikan nutrisi kepada gigi. Gigi susu mempunyai lapisan pulpa yang agak besar berbanding dengan gigi kekal.
Ini meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan urat saraf dalam situasi trauma memandangkan ia juga mempunyai lapisan luar yang nipis.
Memastikan keteraturan gigi kekal
Jika dilihat pada fungsi asas gigi susu, ia penting bagi membantu proses penghadaman yang baik buat anak-anak anda. Fungsinya adalah sama dengan gigi kekal iaitu untuk mengigit, mengoyak dan melumatkan makanan. Fungsi ini penting bagi memastikan nutrisi makanan dapat diserap masuk ke dalam tubuh badan.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keteraturan susunan gigi kekal. Gigi susu kebiasaannya akan patah secara semula jadi dan digantikan dengan gigi kekal pada usia sekitar 6 tahun.
Sebelum daripada usia tersebut, gigi yang patah akan digantikan dengan gigi belakang bagi mengisi kekosongan di hadapan. Keadaan ini akan menyebabkan susunan asalnya menjadi tidak teratur seterusnya mengakibatkan kekangan ruang di antaranya untuk gigi kekal tumbuh.
Kesannya, gigi kekal akan tumbuh sama ada di hadapan atau di belakang gigi sedia ada menjadikan gigi anda kelihatan berlapis. Gigi yang berlapis akan memberikan kesan negatif terhadap keyakinan diri anak-anak anda memandangkan keteraturan gigi penting dalam aspek penampilan diri.
Bayangkan jika anak anda diejek dan dipulaukan oleh rakan-rakannya hanya disebabkan oleh masalah gigi berlapis. Ini akan menurunkan tahap keyakinan anak anda untuk menjalinkan hubungan sosial.
Selain itu, ia juga memudahkan proses pengumpulan plak yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat karies gigi dan penyakit gusi bengkak (gingivitis).
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa yang menyebabkan “Karies Gigi Botol Susu” atau lebih dikenali dengan Early Childhood Caries?
Menurut Doktor Digi, Dr Azila Mohd Kassim, sebab utama ialah kerana gula yang terkandung dalam makanan ringan seperti coklat, lollipop malah susu formula boleh terhakis di gigi anak anda.
Jika anak anda mempunyai kebiasaan tidur atau berjalan-jalan dengan botol susu ia boleh menyebabkan gula sering disimpan di mulut anak anda.
Proses risikonya seperti berikut:
⚡Gula yang senang dijajah oleh bakteria-bakteria
⚡Bakteria boleh menghasilkan Asid
⚡Asid boleh menyumbang kepada kerosakan gigi
Ingat ya anak anda memerlukan gigi susu yang sihat untuk mengunyah makanan dan bercakap. Jadi bukan orang dewasa sahaja kena check gigi, anak-anak kecil pun kena periksa gigi juga.
Tak comel takpa janji gigi tak hitam🤗
CEGAH KARIES GIGI SUSU
1. Mulakan memberus gigi anak anda apabila gigi pertama sudah tumbuh.
2. Gunakan ubat gigi berflorida
• Secalit nipis umur kurang 2 tahun
• Sebesar saiz kacang ‘pea’ 2-5 tahun,
• 2 minit x 2 kali sehari
3. Jangan biarkan anak anda tidur sambil menghisap botol susu.
4. Jangan kongsi sudu/garpu atau merasa makanan sebelum menyuap kepada anak anda.
5. Elakkan gula ke dalam botol susu.
6. Pantau tahap pengambilan gula dan kekerapan pengambilan makanan ringan.
7. Tidak terlalu awal untuk membawa anak anda untuk menjalankan pemeriksaan gigi.
8. Pastikan pemeriksaan gigi dilakukan sebelum kanak – kanak berumur satu tahun.
9. Jika anak anda mengalami sakit gigi atau bengkak sila dapatkan rawatan segera.
Amaran METMalaysia meramalkan hujan berterusan di enam negeri sehingga 8 Disember. Ketahui tip keselamatan penting untuk melindungi anak-anak ketika cuaca buruk.