Meraung melalak hentak-hentak kaki. Kadang-kadang sampai guling-guling mengamuk. Kadang-kadang tu, macam dirasuk pun ada. Geram dan risau melihatnya.
Ni kisah Adik Aqif bila tak dapat apa yang dia nak.
Kalau dekat rumah boleh tahan lagi, ni dekat shopping mall. Bila dimarah, dia marah balik. Bila dibiar, tak berhenti juga. Ibu ayah tak tahu nak sorok mana dah muka depan orang ramai.
Stress Mummy nya. Umur baru 3 tahun lebih dah pandai nak melawan. Jalan pintas memang kena MARAH terus. Terdetik di hati, dulu elok je, comel..
Kenapa tiba-tiba jadi macam ‘hulk’ pulak ni? Siapa yang ajar dia buat macam tu? Tengok kawan-kawan kat taska ke? Ke ada orang bagi tengok tv cerita ganas-ganas?
Mummy & Papa tak ajar pun macam ni
“Ya Allah, di manakah salahku dalam mendidik anak ini? Ampunkanlah dosaku. Ini kah yang dimaksudkan dunia akhir zaman, anak menjadi Tuan? Kembalikan lah anakku menjadi comel dan periang. Aamiin ya Rabb”
Ads
Ada ibu ayah yang alami situasi yang lebih kurang sama?
Jika ada, mungkin boleh belajar macam mana ibu muda ini Puan Safira (bukan nama sebenar) bantu kawal emosi dirinya & anaknya yang berusia 3 tahun lebih setelah amalkan teknik praktikal dari tips FIRST CLASS PARENTS (versi Audio-Parenting Bijak Pro) ini.
Bila anaknya ibarat macam ‘melawan’, tetap mengamuk nak apa yang diinginkan walaupun ibu ayah tak bagi.
1. Beliau terus tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan diulangi sebanyak 3 kali. Sambil zikir menenangkan diri.
2. Kemudian, beliau bayangkan saat pertama kali pegang Aqif sewaktu Aqif baru lahir.
Ads
3. Dikuatkan pula ingatannya pada azam yang terlahir semasa mendakap Aqif pertama kali itu; bahawa beliaulah yang akan mendorong dan membantu Aqif memahami liku-liku dunia hingga dia dapat menjadi insan yang hebat dan cemerlang!
4. Kemudian, dengan tenang, Puan Safira melutut di sebelah Aqif dan memegang lembut tangan kecil itu. Aqif cuba menepis, tetapi ibunya yang kini amat tenang dan penuh kasih sayang terus memeluk tubuh kecil itu tanpa berkata apa-apa… Dakapan lembut penuh makna itu umpama air yang disimbah ke api membara.
Tangisan Aqif bertukar dari marah kepada sedih. Memahami signal itu, ibunya bisik perlahan… “Mummy faham… Mummy sayang Aqif…”. Tangisan Aqif mula reda…
Itu sahaja yang telah Puan Safira lakukan untuk meredakan ‘hulk’ yang tiba-tiba muncul pada anaknya.
Ads
(walaupun mendapat kebenaran berkongsi cerita, Ibu tidak mengguna nama sebenar demi menghormati).
Kunci yang ingin Ibu kongsikan di sini ialah,
“We communicate from State to State”.
Keadaan diri kita merupakan faktor utama dalam komunikasi kita. Bukan perkataan mahupun tipu helah. Oleh kerana Puan Safira benar-benar memahami kunci ini, beliau dapat membawa anaknya kepada ‘keadaan tenang’ yang beliau inginkan. Bagaimana? Dengan ‘menjadikan dirinya tenang’ dahulu.
Ibu harap ibu ayah yang alami situasi yang sama telah dapat satu kunci besar daripada perkongsian ini. Ibu doakan kita semua dapat sama-sama amalkan. Amiin.
Dengan satu teknik je pun dah dapat bantu ibu muda tersebut berusaha menjadi FIRST CLASS PARENT sejak anak masih kecil.
Ibu nak ingatkan ya, bersungguhlah elak marah, ugut, kurung, maki hamun sebab efek jangkamasa panjangnya amat buruk. Malahan, jika dibiarkan reaksi begitu menjadi tabiat, dan gagal bantu sebelum usia anak cecah 4 tahun, sikap tu boleh menjadi kekal. Na’uzubillah
Dalam kehidupan setiap insan pasti ada seorang wanita yang bergelar ibu. Di samping suami pula ada wanita disebut isteri. Pendek kata, wanita bergelar ibu dan isteri, kedua-duanya adalah insan hebat yang dianugerahkan oleh Allah kepada setiap insan di muka bumi ini. Sebab itu, ada pepatah Melayu yang menyebut ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’.
Sebagai suami anda patut tahu apa yang boleh buat isteri bahagia. Elakkan dari menyakiti hati isteri. Perkongsian dari seorang suami, Abu Hurairah Asifa wajar dijadikan panduan.
Bila hantar isteri setiap pagi ke tempat kerja, kadang rasa kesian sangat. Sepatutnya, bukan dia yang memikul tanggungjawab dan mencari rezeki ni. Tapi, isteri tetap mahu membantu meringankan beban dalam setiap usaha dan kerja hari-hari.
Kadang, melihat para isteri yang bekerja ni, yang sedari awal pagi bangun dan siapkan anak-anak, pastikan sarapan suami walau secawan kopi, petang pula berlari berhimpit dalam lrt, meredah hujan dan panas lagi.
Betapa kuatnya wanita hari ini hidup dan terus hidup lagi. Maka, sebagai suami, ada cara untuk kita bantu dan hiburkan para isteri. Yang membuatkan mereka akan terus hidup dan akan membahagiakan diri serta anak-anak kita nanti.
Ini tipnya:
Hari ni, kita sebagai suami dan isteri, bukan lagi pasangan yang biasa. Kita di uji dan di sakiti hari-hari. Dengan tekanan dan sara hidup yang gila, dengan ujian di tempat kerja, soal anak yang hari-hari menambah sakit kepala, dan soal pasangan kita yang berubah dan menyakiti hati dengan sikapnya.
Jadi, apakah jalan keluarnya? Apa sikap dan cara kita mendepaninya?
Hanya dengan kembali menjadi hamba. Hamba yang banyak memberi dari meminta. Yang terus berjuang dari mengeluarkan pedang dan ajak berperang. Rumahtangga itu tempat untuk kita mengusahakan bahagia.
Panggillah Allah membela rumahtangga kita. Panggillah Rasulullah memberkati rumahtangga kita. Ingatlah, dosa kita, yang menjarakkan kita. Dosa itu, lebih besar dari salah dan silap pasangan kita.
Semestinya bercuti merupakan aktiviti yang amat disukai oleh kanak-kanak. Mana tidaknya, inilah masa untuk mereka bersuka ria! Lazimnya percutian pendek seperti satu hari dua malam atau dua hari tiga malam merupakan kelaziman buat mereka yang mempunyai keluarga.
Namun tempoh itu akan meninggalkan ‘igauan ngeri’ jika ada anak-anak mula ‘buat hal’. Bagaimanapun ada caranya untuk mengelak atau mengendalikan anak-anak seumpama ini semasa bercuti atau melancong.
Sebelum memulakan perjalanan, anda telah membuat perancangan yang rapi tempat atau lokasi secara tepat yang bakal dilawati. Tempat yang dilawati mestilah selamat dan cuaca yang tidak terlalu panas atau sejuk. Lokasi sama ada pusat peranginan, taman tema, pantai atau air terjun.
Tempat penginapan ditempah lebih awal. Perjalanan yang jauh menjadikan kanak-kanak mudah letih. Keadaan akan menjadi lebih tidak terkawal sekiranya anda tidak dapat menyediakan segera tempat untuk mereka berehat dan melakukan aktiviti yang disukai semasa sampai di tempat yang dituju.
Jelaskan kepada anak bahawa biar di mana pun mereka berada, peraturan tetap ada, sekalipun pergi bercuti. Oleh itu, jelaskan beberapa peraturan yang ditetapkan semasa bercuti misalnya tidak membuang bising di lobi hotel, tidak berebut semasa mengambil makanan semasa di hotel dan beberapa peraturan lain. Malah sentiasa mewujudkan ‘peraturan’ sebelum bergerak sesuatu tempat yang ingin dilawati. Dalam masa yang sama anda boleh menyelitkan beberapa peraturan yang perlu diikuti semasa percutian tersebut.
Aktiviti yang dirancang tidak terlalu padat. Makin kurang aktiviti yang di rancangan makin kurang tekanan pada anak. Percutian adalah sesuatu yang menggembirakan anak-anak. Oleh itu, jangan jadikan ia sesuatu mimpi ngeri buat anak anda.
Sekiranya anda merancang untuk melancong dalam jangka masa yang lama dan jauh, mulakan dengan membawa anak melancong dalam tempoh masa yang pendek. Tujuannya adalah untuk melihat sikapnya sama ada mudah menerima perubahan atau tidak. Kesan daripada itu, anda akan ketahui tindakan yang boleh diambil bagi membantu mengawal tingkah lakunya.
Sediakan minda anak untuk berjalan jauh atau melancong. Sekurang-kurangnya seminggu sebelum perjalanan bermula. Berbincang dengan anak tentang percutian dan tunjukkan gambar tempat yang bakal dikunjungi. Secara tidak langsung mereka akan mempunyai perasaan gembira untuk pergi bercuti dan sentiasa mendengar arahan anda.
7. Sedia kamera
Beri anak kamera untuk kegunaan mereka sendiri. Banyak terdapat di pasaran kamera yang murah dan senang digunakan. Tingkah laku yang tidak diingini dapat dialih bila kanak-kanak sibuk mengambil gambar yang dilihatnya atau yang diminatinya. Kesibukan dengan aktiviti baru ini membuatkan mereka ceria sepanjang percutian.
Bawa bersama mainan yang digemarinya Anda memasukkan mainan tersebut dalam beg kecil. Mudah untuk anda mencarinya apabila diperlukan oleh anak anda. Mainan yang digemari akan dapat membantu mengalih perhatian anak anda daripada menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini.
Bagi anak yang lebih besar, anda boleh sediakan permainan muat turun di tablet anak anda. Pastikan juga anda telah memasukkan beberapa permainan atau program yang mencukupi serta menarik. Namun hadkan permainan ini kerana kanak-kanak tidak digalakkan melihat skrin tablet dalam tempoh yang lama.
Sepanjang perjalanan anak memakai pakaian yang selesa. Pakaian tersebut sebaik-baiknya mudah ditanggalkan dan fabrik yang tidak terlalu panas atau sejuk. Ia juga tidak terlalu ketat atau longgar supaya mudah untuk bergerak dengan aktif. Cara ini mengelak anak meragam disebabkan rasa panas dan tidak selesa.
Kadang kala anak-anak mula membuat perangai atau tidak dengar cakap apabila mula berasa lapar. Bawa bekalan makanan ringan, buah-buahan dan roti yang secukup sepanjang perjalanan. Jika perlu bawa beg tahan sejuk supaya anak-anak dapat minum minuman yang sejuk semasa perjalanan.
12. Kotak pertolongan cemas
Pelbagai ubat-ubatan ada dalam kotak pertolongan cemas termasuk ubat demam dan sebagainya. Juga jangan lupa membawa ubat yang sepatutnya terutamanya jika anda mempunyai anak-anak yang mempunyai jadual pengambilan ubat-ubatan.
13. Elak makanan manis
Semasa perjalanan elak daripada memberi gula-gula atau makanan manis pada anak. Pemberian gula hanya akan membantu merangsang kanak-kanak aktif. Ia akan membuat anak anda sukar dikawal seperti tidak duduk diam terutama sekali bagi anak yang berusia satu hingga empat tahun.
Sekiranya anda melancong ke tempat yang belum pernah anda kunjungi, anak anda mungkin akan mengalami kejutan daripada segi makanan. Mereka mungkin tidak selesa dengan ‘makanan baru’ itu. Akibatnya anak tidak mahu makan. Situasi lapar boleh menyebabkan anak tidak selesa dan menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini. Jadi untuk mengatasi masalah ini, anda harus bersedia dengan makanan yang dimasak sendiri atau makanan yang biasa dimakan oleh anak.
Memulakan perjalanan pada waktu malam adalah digalakkan. Waktu malam adalah waktu tidur buat anak-anak. Situasi ini juga dapat membantu mengelakkan anak anda dari bosan semasa berada dalam perjalanan.
16. Melancong dengan minda terbuka
Semasa melancong anda dan anak mungkin akan bertemu dengan perkara atau peristiwa yang di luar dugaan anda. Jangan cepat membuat kesimpulan yang negatif tentang sesuatu yang bertentangan dengan budaya sendiri. Jangan cepat menilai dan cuba sedaya mungkin mencari perkataan yang boleh mengalih rasa ketakutan atau tidak selesa anak anda.
17. Persekitaran tenang
Melancong ke tempat yang sesak dengan orang ramai membuatkan anak tidak berasa selesa. Cara ini membuatkan anak berasa rimas. Bawa anak ke kawasan yang tenang, nyaman dan damai. Itulah percutian buat anak. Jika anda bercadang untuk membeli belah di kawasan yang sesak, seharusnya tinggal sementara anak di hotel.
18. Tidak ke kedai permainan
Jika anda dalam percutian bajet. Elakkan membawa anak singgah ke kedai permainan atau cenderahati yang berdekatan dengan hotel. Kebiasaan harga yang di tempat seumpama ini agak mahal. Cara ini mengelak anak meragam apabila permintaannya tidak dipenuhi.
19. Lokasi lawatan
Pergi bercuti memang menjadi kegemaran kanak-kanak. Namun tempat lawatan atau aktiviti lebih berbentuk orientasi kekeluargaan dan kanak-kanak. Jangan lupa, kawasan yang menawarkan kolam renang dan taman permainan tema. Kanak-kanak pastinya sepanjang hari berseronok dan gembira.
20. Dalam pesawat
Jika anda memilih untuk menaiki kapal terbang untuk ke destinasi percutian, anak akan mengalami perubahan tekanan dalam kapal terbang semasa berlepas atau mendarat. Ia mungkin akan membuatkan mereka meragam atau menangis dan menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini. Oleh itu, tip untuk mengelak daripada berlaku ialah berikan sesuatu untuk diminum atau berikan lollipop pada anak yang lebih besar.
21. Beg kecil
Jika anda mempunyai beberapa orang anak yang masih kecil, masukkan pakaian setiap anak-anak ke dalam plastik secara berasingan sebelum anda memasukkan kesemuanya dalam beg besar anda. Keadaan ini akan memudahkan dan mempercepatkan tindakan anda semasa mengurus anak kecil tersebut. Dan secara tidak langsung dapat mengelakkan anak daripada menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini.
22. Berhenti rehat secukupnya.
Sekiranya anda melakukan perjalanan hampir separuh hari dengan menggunakan kereta, anda perlu singgah berehat, sekurang-kurangnya dua jam sekali. Kanak-kanak memerlukan masa antara 15 hingga 30 minit untuk menghilang rasa letih, lenguh dan juga untuk bermain seketika sebelum anda meneruskan semula perjalanan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu bapa yang mula mencari tadika yang terbaik untuk anak-anak bagi persiapan untuk masuk ke tadika pada tahun hadapan. Menurut Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Bustam Kamri yang merangkap Dekan Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengakui bahawa tadika yang bagus dan berkualiti mendidik kanak-kanak membaca terletak kepada kemahiran guru yang mengajar.
Tadika yang mahal belum tentu dapat hasil yang dikehendaki oleh ibu bapa yang mengharapkan anaknya boleh membaca.
TADIKA KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA
Di negara kita terdapat dua jenis tadika iaitu tadika bantuan kerajaan iaitu kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Biasanya kelas prasekolah ini terdapat di dalam kawasan sekolah rendah. Ibu bapa perlu mendaftar lebih awal di prasekolah berkenaan.
Selain itu ibu bapa boleh memilih kelas tadika yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Masyarakat dan Luar Bandar iaitu kenali sebagai tabika KEMAS. Biasanya tadika ini berada di kawasan luar bandar. Manakala tadika anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berada di kawasan bandar.
Penubuhan tadika KEMAS dan tadika JPNIN bertujuan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah . Oleh kerana prasekolah dan tadika ini anjuran kerajaan maka yuran yang dikenakan amat minima sesuai dengan kemampuan keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun tadika swasta tetap gunapakai sistem pembelajaran berlandaskan Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekiranya ibu bapa berkemampuan dan tidak mahu menghantar anaknya ke tadika bantuan kerajaan, mereka boleh memilih menghantar anak ke tadika swasta.
Biasanya pengusaha tadika akan mengenakan yuran pada setiap kanak-kanak dan kadar yuran tidak sama pada setiap tadika. Perbezaan yuran bergantung pada keadaan di tadika.
8 TIP BANTU ANAK
Dr Bustam menyenaraikan lapan cara seharusnya pihak tadika lakukan. Apabila sudah tahu mengenai lapan panduan ini, ibu ayah, boleh tanya kepada pihak tadika, bagaimana corak pembacaan di tadika.
1.Aktiviti membaca di tadika hendaklah dipelbagaikan supaya dapat merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca.
2.Cara pendekatan mengajar membaca juga penting untuk menghasilkan kanak-kanak yang boleh membaca dan memahami apa yang dibaca.
3.Kaedah membaca secara menyeluruh, fonetik atau membaca terus hendaklah disesuaikan dengan latar belakang kanak-kanak yang berbeza.
4.Masalahnya kadangkala pihak guru yang mengajar tidak sedar dan menganggap semua kanak-kanak adalah sama minat, kebolehan, keupayaan dan pencapaiannya.
5.Bahan bacaan yang disediakan oleh tadika hendaklah dapat menarik perhatian kanak-kanak. Pemilihan bahan bacaan hendaklah disesuaikan dengan peringkat umur, minat dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai latar belakang.
6.Membaca hendaklah disusuli dengan aktiviti yang mempunyai perkaitan dengan bahan yang dibaca dan memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.
7.Persekitaran membaca di rumah adalah penting sebagai lanjutan aktiviti belajar membaca di tadika. Ibu bapa dinasihatkan mengambil tahu dengan bertanya pengalaman kanak-kanak kegiatannya semasa di tadika.
8.Berikan galakkan kepada anak untuk terus membaca. Ibu bapa jangan merasa kecewa apabila anaknya belum boleh membaca. Dijangka semua kanak-kanak apabila telah mencapai kematangan dalam lingkungan usia sembilan tahun boleh membaca dengan lancar sekiranya diberi bimbingan yang sesuai mengikut keperluan kanak-kanak.
Pilih Guru Berkelayakan
Setiap kelas prasekolah akan menggunakan kurikulum yang sama di seluruh negara. Begitu juga dengan kelas tadika anjuran kemas dan jpnin juga menggunakan kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran malaysia. Guru-gurunya pula mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka ini terlatih khusus dalam mengajar kanak-kanak di tadika. Kurikulumnya dibina bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
Bezanya kebanyakan guru yang mengajar di tadika KEMAS dan JPNIN berkelulusan diploma pendidikan awal kanak-kanak. Mereka juga mendapat latihan khusus untuk mengajar kanak-kanak di tadika.
Manakala guru-guru di tadika swasta pula datang daripada pelbagai kelayakan akademiknya. Pengusaha tadika yang berkemampuan akan mengaji guru yang berkelulusan sarjana muda dan juga diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Tadika mahal atau tidak bergantung kepada sistem pembelajaran di tadika itu. Jika tadika itu murah yurannya, tetapi guru-gurunya berpengalaman sudah tentu banyak ilmu pendidikan yang boleh digunapakai untuk mendidik kanak-kanak. Yang penting, pastikan tenaga pengajarnya berkualiti dan mempunyai sijil dalam pendidikan awal kanak-kanak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...