Berdepan situasi anak susah tidur malam pastinya boleh mewujudkan pelbagai masalah terutamanyaberkaitan tumbesaran si kecil. Namun usah bimbang, kerana ada cara tidurkan anak yang susah tidur boleh anda cuba.
Mengapa anak susah tidur malam?
Si kecil menangis dan meragam setiap kali dibawa ke bilik tidurnya. Apabila tiba di atas katil pula, pelbagai permintaan yang diingininya – semata-mata untuk mengelak daripada tidur.
Mengapa keadaan ini boleh terjadi sedangkan sudah seharian mereka bermain?
Ini umumnya keadaan biasa bagi anak dengan isu sukar tidur malam atau dalam istilah perubatan disebut Sleep Regression – boleh meliputi waktu tidur siang atau malam.
Mereka biasanya akan menahan diri daripada tidur walaupun letih, disebabkan beberapa perkara seperti:
Takut kehilangan sesuatu terutamanya adik-beradik yang lebih tua biasanya beroleh ‘keistimewaan’ untuk tidur lebih lewat
Rasa takut pada kegelapan
Mengalami masalah untuk melakukan transisi daripada kesibukan siang kepada rutin malam yang lebih perlahan
Penting untuk mengatasi keadaan anak susah tidur malam
Anak kecil memerlukan tempoh tidur antara 11-14 jam sehari. Ia penting untuk memastikan anak mendapatkan waktu rehat di siang dan malam hari yang mencukupi. Ini kerana anak yang tidak mendapatkan tidur yang diperlukan oleh badan dan minda yang sedang membesar akan lebih kerap meragam dan mudah naik angin.
Mewujudkan tabiat tidur yang sihat dan mengelakkan sebarang rintangan waktu tidur pada si kecil mungkin mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi percayalah ia adalah langkah penting perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk kebaikan anak-anak.
Cara atasi anak susah tidur malam
Situasi anak menolak apabila disuruh tidur adalah lumrah. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba:
Ads
Konsisten dengan jadual bangun tidur
Mengikut jadual harian boleh menyebabkan anak menjadi letih pada masa yang sama setiap hari, jadi pastikan anda mematuhi jadual ini sebaik mungkin – walaupun pada hujung minggu.
Elakkan daripada menunggu anak berada dalam keadaan terlalu letih sebelum tidur.
Biarkan anak aktif waktu siang dapat bantu anak susah tidur malam
Biarkan si kecil aktif – berlari keliling taman, bermain atau melakukan apa sahaja untuk membolehkan mereka membakar tenaga secukupnya pada siang hari. Ini menjadikan anak lebih mudah tidur apabila tiba waktunya.
Cipta rutin waktu tidur yang santai Jadikan waktu tidur sebagai waktu yang amat dinantikan anak dengan mewujudkan rutin menenangkan seperti bercerita, mendodoikannya dan memperbanyakkan pelukan dan ciuman.
Bantu si kecil berehat, antara cara tidurkan anak yang susah tidur Matikan semua gajet dan peranti, elakkan anak menonton televisyen, malapkan lampu dan mainkan lagu lembut serta menenangkan dalam sejam sebelum waktu tidur supaya fasa peralihan tidak begitu dramatik.
Lakukan perkara yang sama – tetapi dalam versi lebih pendek dan diubahsuai – untuk tidur siang.
Berikan masa mencukupi untuk rutin tidur Pastikan rutin tidur – mandi, membaca buku, memeluk dan memberikan ciuman – dapat diselesaikan sebelum waktu tidur anak. Jika sebaliknya, anda mungkin perlu memulakan rutin tidur lebih awal agar tidak melepasi waktu tidur mereka.
Galakkan anak tidur sendiri dengan kesayangannya
Jika anak mempunyai bantal atau selimut kesayangan, teddy kegemaran atau mungkin menginginkan sentuhan peribadi ibu seperti baju T yang anda pakai pada hari tersebut, biarkan mereka untuk tidur bersamanya.
Ads
Mempunyai objek kesayangan atau kegemaran di sisi boleh membantu anak susah tidur malam untuk melelapkan mata.
Tidak perlu memaksa anak pejamkan mata segera
Sekiranya anak sudah berbaring di atas katil, anda tidak perlu memaksanya untuk lena dengan segera. Biarkan mereka mendapat mood untuk tidur – mungkin dengan mendengar lagu, membaca buku atau berbual dengan mainan kesayangan.
Anak susah tidur malam? Jangan mengalah!
Anak mungkin akan menangis apabila anda meninggalkan mereka di dalam bilik tidur. Elakkan daripada terus pergi memeriksa keadaannya dengan segera. Tahan keinginan anda itu.
Tunggu 5-10 minit sebelum kembali ke bilik anak, tenangkan mereka dan berikan tepukan lembut di belakang badan sebelum berlalu pergi. Anak menangis lagi? Ulangi proses yang sama sehingga mereka tertidur.
Tindakan pantas
Ada anak yang susah tidur malam akan cuba keluar daripada bilik tidur. Jika ini berlaku, bawa mereka kembali dengan segera. Ulangi sekerap yang perlu. Jangan bertindak balas dengan perlakuan mereka – jadilah sebosan yang mungkin. Ini kerana anda pastinya tidak mahu anak berfikir bahawa mereka akan memperolehi ganjaran jika keluar daripada bilik tidur.
Ads
Tenangkan anak yang mengalami mimpi ngeri
Jika anak terbangun kerana mimpi ngeri, tenangkan dirinya dan yakinkan segalanya dalam keadaan okay. Segera bawa mereka kembali ke bilik tidur. Anda juga boleh memberikan pelukan atau tepukan lembut pada belakang badan mereka. Tetapi jangan benarkan mereka tidur di bilik anda kerana mereka boleh menjadikan ia sebagai tabiat.
Berikan ganjaran untuk atasi isu anak susah tidur malam
Jika semua cara tidurkan anak yang susah tidur tidak berjaya, beralihlah kepada sistem ganjaran. Mulakan dengan carta pelekat dan anugerahkan bintang emas untuk setiap waktu tidur tanpa masalah. Berikan sebarang ganjaran jika anak memperolehi 5 bintang. Ulangi langkah yang sama tetapi kali ini untuk 10 bintang pula.
Walaupun pada permulaan ia mungkin sukar untuk dilakukan, namun mengamalkan rutin tidur yang baik adalah penting untuk tumbesaran si kecil. Tetapi percayalah apabila anak sudah terbiasa, anda tidak perlu lagi untuk ‘berperang’ dengan mereka apabila tiba waktu tidur.
Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz
Buat pertama kalinya BINTANG KECIL membawa anda menyaksikan kisah magisnya ciptaan Allah di samping mendekati kehidupan para sahabat nabi dan tokoh ilmuwan di dalam siri Hikayat 1001 Malam yang disokong sepenuhnya dari TATEH. Saksikan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini istimewa bersama PU RIZ dan team BK Squad di Youtube Channel Bintang Kecil bermula 1 Ramadan pada jam 6.30 petang. Jangan ketinggalan! Follow @bintangkecil #bintangkecilmy #bintangkecil #1001Malam
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mungkin sebutannya kedengaran ‘comel’ namun ‘nenen’ atau ‘bebird’ bukanlah perkataan yang sesuai digunakan untuk bercakap tentang alat sulit kepada anak anda.
Kelak, mereka perlu mempelajari mengenainya, maka tidak perlulah ‘sorok-sorok’ berkenaan dengan hal tersebut.
Penggunaan perkataan lain untuk menerangkan perihal alat sulit boleh membawa padah kepada perkembangan psikologi dan seksual si kecil. Jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, baca artikel ini.
Kenapa perlu ajar anak tentang alat sulit?
Penderaan kanak-kanak merupakan isu yang sentiasa dipandang serius oleh masyarakat. Tanpa ajaran yang betul tentang alat sulit dan sentuhan selamat, anak anda lebih terdedah untuk menjadi mangsa penderaan seksual.
Kebanyakan pakar perkembangan kanak-kanak bersetuju bahawa topik alat sulit seharusnya diajarkan kepada si kecil ketika berusia 3 tahun atau lebih awal. Lakukannya ketika anda sedang memandikan mereka, ketika memakaikan pakaian atau jika mereka ada mengadukan soalan.
Hakikatnya, ramai ibu bapa yang sering mengelak daripada menjawab persoalan tersebut dan memberikan respons seolah-olah ia perkara yang memalukan. Namun anda harus faham bahawa itu bukan kaedah yang betul. Antara sebab mengapa anda tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu adalah:
Anak anda akan mempelajari berkenaan dengan alat sulit dan perkara berkaitan dengan seks pada usia awal. Lebih baik lagi jika maklumat tersebut datang daripada anda dan bukannya, rakan-rakan atau rancangan televisyen.
Anda bukan sahaja harus membincangkan tentang alat sulit dengan si kecil, malah batasan perhubungan terhadap kemaluan tersebut. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengetahui nama sebenar alat sulit mempunyai risiko yang rendah untuk menjadi mangsa dera seksual. Konsepnya mudah, jika anda tidak mengajar anak tentang alat sulit, tiada perbincangan berkenaan dengan batasan akan dilakukan.
Reaksi anda terhadap persoalan yang dikemukakan berkenaan dengan alat sulit akan menentukan tahap kepercayaan si kecil terhadap anda. Anda perlu menunjukkan contoh terbaik kepada anak anda. Beritahu mereka jika terdapat masalah, luahkan kepada anda tidak kiralah apa jua topik sekalipun
Bagaimana cara mudah untuk bercakap dengan si kecil tentang alat sulit?
Seperti perkara lain, terdapat teknik yang boleh anda amalkan bagi memudahkan komunikasi di antara anda dan si kecil berkenaan dengan topik seksual.
1. Elakkan daripada menggunakan gelaran pelik ketika bercakap tentang alat sulit
‘Bebird’, ‘burung’, ‘nenen’ atau ‘telur’ bukanlah gelaran yang elok digunakan apabila bercakap mengenai alat sulit.
Anda perlu memupuk rasa selesa dalam kalangan anak apabila membicarakan tentang alat sulit dengan cara menggunakan perkataan yang betul seperti ‘zakar’, ‘buah zakar’, ‘payudara’ atau ‘faraj’.
Jika gelaran ‘comel’ digunakan, ia boleh menjejaskan tahap kefahaman anak anda apabila mereka mula membincangkan berkenaan dengan sentuhan selamat yang telah diterapkan dalam kurikulum prasekolah.
Pastikan mereka menggunakan perkataan yang betul. Jika berlaku sebarang komplikasi (sakit atau didera) kelak, mereka boleh menerangkan dengan lebih jelas kepada doktor atau pihak terlibat.
2. Beri si kecil kebebasan untuk memilih apa yang mereka mahu untuk tubuh mereka
Jangan paksa anak anda untuk lakukan perkara yang mereka tidak suka. Pastikan mereka tahu bahawa mereka mempunyai pilihan terhadap sesuatu. Bagaimana cara untuk anda lakukan perkara tersebut?
Daripada anda cakap “peluk papa/mama” yang berbentuk arahan, minta izin mereka “Papa/mama nak peluk, boleh?”. Anda merupakan pelindung kepada anak anda. Jika balik beraya, di saat berjumpa dengan saudara mara, pastikan tiada yang memaksa untuk peluk atau cium anak anda.
Pada tahap umur tertentu, pastikan mereka menjaga batasan lelaki dan perempuan dan jika berlaku pergaduhan atau gurau senda melampau, hentikannya dengan kadar segera.
3. Pastikan mereka memahami konsep sentuhan selamat
Mungkin ada di antara kita yang tidak memberitahu berkenaan dengan sentuhan selamat kepada anak-anak. Namun, di tadika, kebiasaannya mereka akan didedahkan dengan konsep tersebut. Bagaimana caranya untuk anda memastikan bahawa mereka faham akan konsep yang diajar?
Tanya kepada mereka setelah pulang dan pastikan apa yang mereka jelaskan betul. Jika tidak, anda perlu membetulkan konsep tersebut. Sentuhan selamat merupakan perisai kepada anak-anak untuk mengetahui jika sesuatu interaksi fizikal itu normal atau tidak.
Ia boleh membantu mengurangkan risiko si kecil mengalami penderaan seksual.
Kanak-kanak perlu diberitahu berkenaan dengan alat sulit dan perkara berkaitan dengan seks pada usia muda. Ia bukan sahaja dapat memberikan gambaran awal malah melindungi mereka daripada jenayah penderaan atau rogol kanak-kanak.
Jika anda tidak pasti berkenaan dengan bagaimana cara terbaik untuk menerangkan perihal ini kepada anak, rujuk pakar kesihatan. Pendidikan awal terhadap kanak-kanak dapat membentuk kesihatan psikologi dan seksual yang sihat kelak.
Berenang adalah salah satu aktiviti kegemaran ramai kanak-kanak. Kanak-kanak gemar berendam di dalam air yang sejuk dan bermain dalam kolam renang seharian. Akan tetapi, berenang bukan hanya untuk suka-suka. Dengan latihan yang betul, anak anda akan mendapat pelbagai manfaat termasuk dari segi kesihatan dan kecergasan sehinggalah kesejahteraan mental dan kelangsungan hidup.
1. Keselamatan
Penyebab utama untuk menghantar anak anda belajar berenang adalah untuk keselamatan mereka. Kejadian lemas ialah salah satu punca utama kematian kanak-kanak, terutamanya anak kecil yang berumur 1 hingga 4 tahun. Dengan belajar berenang, anak anda boleh belajar skil menyelamatkan diri penting semasa berada di dalam air ataupun apabila terjatuh ke dalam air. Jadi, amat penting untuk anda mendaftar anak ke kelas renang atau mengajar mereka berenang sejak awal lagi.
2. Hiburan
Kedua, kebanyakan kanak-kanak berkeras supaya anda mengikut mereka berseronok di dalam kolam renang. Jadi, amat penting untuk menyiapkan anak anda supaya selamat semasa percutian anda baik di dalam kolam renang, laut ataupun tasik. Daripada menghalang anak mendekati sebarang tempat yang dekat dengan air (dan pada masa yang sama anda mungkin telah menyekat kehidupan sosial mereka), anda boleh menjadi ibu bapa yang proaktif dan biarkan anak anda belajar berenang dahulu. Apabila anak anda telah mempelajari skil renang yang diperlukan, anda boleh berhenti daripada berasa bimbang jika membiarkan mereka bermain dengan rakan mereka di dalam air.
3. Kesihatan
Akhir sekali, berenang adalah sukan yang sesuai untuk semua peringkat umur. Jika anda ajar anak anda bagaimana untuk berenang semasa umurnya masih muda, dia tentu akan ingat kemahiran tersebut dan boleh terus mempraktikannya. Senaman di dalam air juga amat baik untuk golongan tua memandangkan ia boleh membantu mengurangkan ketidakupayaan dan menggalakkan fungsi fizikal dan mental. Disebabkan berenang hampir tidak mendatangkan risiko, ia dikira sebagai sukan yang selamat untuk warga tua. Jadi, daripada mengambil risiko terjatuh disebabkan berlari ataupun berbasikal, lebih baik jika anak anda berlatih berenang.
Setiap kanak-kanak perlu belajar untuk berenang seawal mungkin untuk mengembangkan kesihatan mental dan fizikal mereka. Oleh sebab berenang mempunyai banyak peringkat, anak anda boleh berlatih berenang sehingga dewasa dan mendapat manfaat daripadanya. Dengan mengajar anak berenang semasa mereka masih muda, anda boleh memberikan mereka peluang untuk mengembangkan banyak skil dalam hidup mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tarikh 14 April 2025 akan terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih mesra dikenali sebagai...