
Setiap anak mempunyai minat dan kecenderungan tersendiri dalam menentukan hala tuju pembelajaran mereka. Ada yang gemar melukis, bermain alat muzik atau aktif bersukan. Namun, berbeza dengan anak kembar kepada angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd Yunos, iaitu Sheikh Adam, yang menunjukkan minat mendalam terhadap matematik dan algebra sejak usia lapan tahun.
Baru-baru ini, tular di laman Threads apabila Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi video yang menunjukkan Adam begitu teruja mempelajari algebra, walaupun usianya masih di sekolah rendah. Dalam perkongsian tersebut, Dr. Sheikh mendedahkan bagaimana anak lelakinya itu sanggup menggeledah bilik kakaknya, Bella, semata-mata mahu mencari buku matematik dan algebra untuk dibaca sendiri.
“Ini Adam, penggemar algebra. Banyak kali dia menggeledah bilik Bella (kakak) mencari buku matematik, algebra, trigonometri, bulatan dan pemfaktoran. Dia melakukannya sendiri dan sentiasa ingin tahu mencari ilmu. Dia akan mencari bantuan saya jika perlu, Alhamdulillah,” tulis Dr. Sheikh.
Minat mendalam terhadap dunia angka ini bukan sesuatu yang biasa bagi kanak-kanak seusianya. Lebih mengagumkan, anak Sheikh Muszaphar minat algebra bukan sekadar untuk keseronokan, tetapi telah membuktikan kecemerlangan apabila memenangi pingat perak dalam Pertandingan Matematik Olympiad (OMC) peringkat antarabangsa pada awal Oktober lalu.
Selain bijak dalam akademik, Adam turut pernah menerima Anugerah Ikon Murid Cemerlang dan Tulisan Tercantik 2024, menunjukkan keseimbangan dalam kemahiran kognitif dan kreatifnya. Sebagai ibu bapa, Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina dikenali dengan pendekatan pembelajaran aktif dan menyeronokkan di rumah.
Mereka memberi kebebasan kepada anak-anak untuk meneroka minat masing-masing, sambil terus memberikan bimbingan dan sokongan. Pendekatan ini jelas menunjukkan bahawa minat dan bakat anak boleh dipupuk sejak kecil apabila diberikan ruang dan galakan yang betul. Dalam kes Adam, minat terhadap algebra lahir daripada rasa ingin tahu dan dorongan semula jadi untuk memahami sesuatu dengan lebih mendalam.
Walaupun sering dianggap sebagai subjek sukar, algebra sebenarnya memainkan peranan besar dalam kemajuan dunia moden. Ia menjadi asas kepada pelbagai bidang penting seperti sains, kejuruteraan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem komputer. Menariknya, perkataan “algebra” sendiri berasal daripada karya ilmuwan Islam terkenal, Al-Khwarizmi, melalui bukunya Al-Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabala
yang ditulis pada abad ke-9.Dari sinilah lahir pelbagai formula dan teori moden yang digunakan hingga ke hari ini. Minat seperti yang ditunjukkan oleh anak Sheikh Muszaphar minat algebra ini membuktikan bagaimana ilmu klasik terus menjadi asas kepada kemajuan sains dan teknologi moden.
Kisah Adam menjadi inspirasi buat ibu bapa agar terus menyokong minat anak-anak tanpa paksaan. Apabila anak diberi peluang untuk meneroka dunia ilmu mengikut kecenderungan mereka, mereka akan belajar dengan penuh semangat dan rasa seronok.
Siapa tahu, minat mendalam Adam terhadap algebra hari ini mungkin menjadi langkah pertama menuju masa depan yang cemerlang dan mungkin suatu hari nanti bakal menjadi pakar sains atau jurutera hebat negara. 🌟
Pa&Ma mengucapkan tahniah buat Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina kerana berjaya membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan semangat ilmu yang tinggi. Kisah anak Sheikh Muszaphar minat algebra ini wajar dijadikan inspirasi buat semua ibu bapa moden untuk terus memupuk kecintaan terhadap ilmu sejak kecil.