Ibu bapa yang mempunyai anak lelaki sulung beruntung kerana dia boleh diharap untuk melindungi adik-adiknya apabila sudah besar. Bagaimana pula dengan anak sulung perempuan, adakah adik-adiknya nanti tidak boleh bergantung kepada kakak yang paling tua? Jangan pandang sebelah mata akan keupayaan seorang kakak. Banyak yang mereka boleh buat dan kemampuan mereka ada kalanya menjangkaui apa yang ibu bapa fikirkan.

Artikel Menarik: [Anak Sepahkan Rumah, Buat Bising Itu Satu Nikmat. Mereka Dah Besar, Kita Pula Rindu]

Anak sulung perempuan biasanya lebih prihatin dan penyayang. Rasa kasih kepada adik-adiknya tidak diselindungkan. Dia tanpa segan silu akan mencurahkan rasa sayangnya terhadap adik-adik. Mempunyai anak sulung perempuan akan memupuk sifat penyayang dalam diri adik-adiknya. Selain itu, dengan adanya kakak sulung rasa empati akan terbentuk dengan mudah dalam diri anak-anak anda yang lain.

Jika anak pertama anda adalah perempuan, bagus! Biasanya anak perempuan cepat dalam kemahiran bersosial. Lumrahnya mereka secara natural lebih sensitif terhadap emosi serta ekspresi seseorang. Kakak sulung juga akan mengajak adik-adiknya untuk berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain.

Artikel Menarik: [Banyakkan Berdoa, Lancarkan Proses Bersalin. Ustaz Azhar Kongsika Bacaan Untuk Ibu ‘Tunggu Masa’]

Sebab itulah, kalau dibiarkan kanak-kanak perempuan bermain di taman misalnya, mereka lebih mudah berkawan berbanding budak lelaki. Kanak-kanak lelaki yang membesar bersama kakak dan adik perempuan lebih mudah bersosial dan mempunyai kelebihan untuk membina hubungan dengan kawan perempuan ketika mereka di sekolah.

Dengan adanya kakak sulung, bukan sahaja kemahiran sosial bagus bahkan keyakinan diri juga tinggi. Abang atau adik lelaki lebih banyak bersembunyi di sebalik perwatakan serius atau misteri dan menzahirkan kasih sayang dengan melindungi adik-adiknya. Kakak sulung juga begitu, tetapi mereka lebih lantang dan tidak gentar untuk menyuarakan pendapat mereka.

Artikel Menarik: [Bayi Ada 5 Jenis Tangisan. Kalau Mama Papa Boleh Bezakan Senanglah Nak Jaga]

Semakin mereka menginjak dewasa, anak perempuan mempunyai semangat yang tinggi. Mereka lebih cenderung untuk mempertahankan adik-adik mereka dan memastikan setiap orang dalam keluarga rapat antara satu sama lain. Lihat saja bila adik-adiknya bergaduh, jarang sekali kita lihat kakak sulung berpihak pada sebelah pihak.

Kebiasaannya, dia akan berusaha untuk memujuk adik-adiknya untuk berbaik dan sanggup merayu kepada ibu atau ayah untuk memberi ganjaran kepada adik-adik jika mereka ‘berkawan’ semula. Kakak sulung memang pandai memujuk dan selalunya dia selalu positif.

Walaupun orang kata mulut anak perempuan ni becok, tetapi jika adik-adiknya ada masalah, dialah pendengar setia. Dia juga tidak akan sesekali bercerita kepada orang lain perihal yang dia ketahui. Sebagai contoh, adik dimarahi ayah kerana nakal. Adik mengadu pada kakak dan ayah ternampak. Cubalah bertanya pada kakak apa yang adiknya beritahu, dia takkan buka mulut (biarpun ayah umpan dengan gula-gula kegemarannya!).

Biar apa pun jantina anak pertama anda, bersyukurlah. Kedua-duanya anugerah terindah dari Allah SWT. Setiap anak ada telatah dan perangainya sendiri. Kemampuan dan kelebihan anak-anak juga berbeza antara satu sama lain. Baik kakak mahupun abang (anak pertama), sebagai ibu bapa sudah tentu kita boleh mengharapkan mereka suatu hari nanti.