Anak Tak Duduk Diam & Kuat Mengamuk, Caranya Bagi Dia Main Sampai Penat

Share

Anak tidak kira lelaki dan perempuan ada yang aktif dan mudah mengamuk, ada yang jenis banyak cakap. Bermacam jenis karakter yang muncul seiring perkembangan usia. Ibu bapa perlu faham bagaimana menghadapi setiap tahap untuk memanipulasi mereka. Lebih elok & berkesan daripada pukul & marah!

Perkongsian daripada Puan Maryam Jamadi ini boleh dijadikan panduan. Tidak dinafikan  adakalanya ibu bapa akan memarahi anak sedangkan ada cara lain yang boleh dilakukan untuk memanipulasi keadaan. Tidak rugi mencuba kaedah dan tip ini, mama papa pun tidak akan rasa penat dan stres.

CARA MEMANIPULASI ANAK

Anak saya nakal.
Anak saya tak mendengar kata.
Anak saya suka bongkar almari.
Anak saya melawan cakap saya.
Anak saya suka berlari.
Anak saya suka sepahkan rumah.
Anak saya suka main air.
Anak saya sudah pandai menipu.

Isu ini memang sangat normal bagi mak ayah yang mempunyai anak yang berumur sekitar 6 bulan hingga 12 tahun. Bagi yang ada anak aktif memang pening kepala asyik nak mengemas rumah. Baru kemas 10 minit, dah sepah balik. Bila orang datang rumah, masa inilah kelam kabut campak semua barang! ?

FITRAH ANAK  BERMAIN, JANGAN DITENGKING & DIHUKUM

Memang fitrah budak-budak untuk bermain, saya tak kata kita boleh benarkan sahaja anak nak main apa. Tapi yang sedihnya bila anak seusia setahun sudah dihukum, ditengking, dipukul dan diperlekehkan.

Semakin anak meningkat dewasa, semakin susah untuk dikawal. Betullah pepatah “anak kecil ini umpama kain putih, kita yang mencorakkan mereka”. Salah mereka atau salah kita mendidik anak?

Sebelum anak pandai memanipulasi kita, lebih baik kita belajar macam mana untuk memanipulasi mereka. Fahami perkembangan emosi mereka dahulu, barulah mak ayah boleh bertindak selaras dengan umur mereka.

PUKUL ANAK, EMOSI MEREKA BOLEH TERGANGGU

Ada orang kata “budak budak bukan ingat pun kita pukul atau marah mereka”. Memang mereka tak ingat tapi jangan terkejut yang yang otak mereka simpan segala memori pahit ini dan perkembangan emosi mereka terganggu. Tak hairanlah, kes buli di sekolah tak pernah lenyap sebab perkembangan emosi mereka tidak stabil dan akhir menyebabkan masalah sosial di masa akan datang.

Pengalaman mereka masa kecil akan mempengaruhi perkembangan emosi dan sosial (Cohen and others, 2015). Emosi dan sosial memang sangat berkait rapat untuk kemahiran sosial untuk mereka belajar meluahkan perasaan, cara berkawan, cara bercakap dan sebagainya. Jadi bagi saya penting untuk mak ayah fahami setiap tahap perkembangan psikososial anak sebelum menghukum anak:

TAHAP PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL
Oleh: Erik Erikson

1. Selepas lahir hingga umur setahun+ (Trust vs Mistrust)

Tahap ini adalah fasa untuk dapatkan kepercayaan anak (trust). Jagalah dia dengan penuh kasih sayang. Tunjuk kasih sayang dengan perbuatan, belaian, senyuman dan cakap kita sayang mereka. Fasa ini yang bahayanya jika tak dapat kepercayaan mereka, akan ada masalah psikososial seperti kuat memberontak dan tantrum (mistrust). Selalunya terjadi bila mereka rasa “kurang” kasih sayang.
*Rujuk post “Jangan Biarkan Mereka Menangis” :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1383185041735052&id=100001307091103

2. Umur 18 bulan hingga 2-3 tahun (Autonomy vs shame/doubt)

Jika fasa sebelum ini kita “menang” kepercayaan mereka maka fasa seterusnya akan mudah bagi ibu bapa untuk mengawal anak. Selalunya fasa ini bermula apabila anak sudah pandai berjalan, bercakap dan berminat untuk buat semua sendiri. Fasa dimana anak suka “mengemas” sepahkan semua barang, bongkar almari baju dah lipat, berlari kesana kesini, pantang bilik air terbuka terus main air, nampak kolam air terus nak terjun, nampak apa-apa ada sahaja nak membebel tanya itu ini dan sebagainya. Orang tua kata “panjang akal ada je nak dibuatnya”. ?

Fasa ini sangat kritikal untuk mak ayah belajar kawal situasi. Fahami keperluan mereka, contohnya

A) SUKA BUAT SEPAH

Kalau yang jenis suka sepahkan barang.
Boleh cuba letak 1 sudut barang untuk disepahkan. Kalau suka main baju, letaklah satu bukit baju dekat situ. Kalau suka main pinggan mangkuk, letaklah pinggan dekat situ. Bagi dia main sampai penat dan bosan. Ajak dia mengemas sekali, jenis ini memang suka ikut mak ayah buat apa semua nak join sekali. Ajar dia kemas mainan sendiri, masuk baju kotor sendiri dalam bakul, susun mangkuk cawan, belikan penyapu kecil macam di Daiso dan sebagainya. Ada ciri- ciri anak yang rajin bantu mak ayah kemas rumah nanti?

B) AKTIF MEMANJAT, BERLARI & MELOMPAT

Kalau yang jenis suka memanjat, berlari atau melompat.
Kena rajin bawa ke taman, salurkan “energy” dengan cara yang betul. Kalau malas nak bawa ke taman sebab panas, boleh bawa pergi shopping mall utk dia explore sekeliling, luangkan masa sekejap untuk bagi dia “lead” untuk dia rasa berkuasa atas diri sendiri. Ikut sahaja mana dia pergi. Mana yang suka lompat atas katil takut katil rosak, beli trampoline atau beli katil buruk bagi lompat sampai penat. Mana tahu dah besar jadi pelompat galah, pelari pecut Malaysia nanti. ?

C) ANAK SUKA BERCAKAP & BERTANYA

Kalau yang jenis suka potpet bising setiap masa.
Selalu ajak menyanyi bersama sambil menari. Layankan kepochi dia tu jangan abaikan, bila dia tanya itu ini cuba jawab juga walaupun tengah sibuk sebab sel sel otak sedang berhubung dengan pesat. Jangan cakap tak elok depan dia, 10 saat je dah pandai ikut. Untung anak banyak cakap, mana tahu dah besar boleh jadi pengacara tv, politician atau peguam terkenal ?

D) ANAK AKTIF, TAK DUDUK DIAM

Kalau yang jenis tak reti diam, lagi-lagi bila pergi rumah orang ada sahaja nak dibuatnya contohnya conteng kusyen orang, pecahkan pasu atau bunga, buka peti ais rumah orang lain, masuk bilik orang lain dan sebagainya.

Anak jenis ini memang suka explore sekeliling, dia tertanya-tanya kalau tolak pasu ini apa akan jadi? Apa dalam laci? Apa dalam bilik? Apa dalam peti ais? Untuk mengelakkan mak ayah jadi “tarzan” atau “hulk” di rumah orang eloklah bawa mainan sendiri dari rumah. Kalau mainan baru lagi bagus untuk yang suka menconteng eloklah bawa kertas dan pen. Alihkan perhatian dia, bawa “busy book” dari rumah. Boleh google je cara untuk buat “busy book” ok?

D) ANAK SUKA MAIN AIR

Kalau yang jenis suka main air, bagilah dia main sekejap masa mandi. Belajar cedok-cedok air dalam baldi ke baldi lain. Atau beli kolam renang kecil muat dalam toilet, mandi dalam tu tapi tak boleh lepas pandang, kena sentiasa tengok dan rajin-rajinlah bawa anak pergi berenang kalau ada masa ?

Jika kita selalu layankan keperluan berdikari (Autonomy) mereka, anak akan membesar dengan sihat fizikal dan emosi.
Jika kita terlampau sekat ini tak boleh dan itu tak boleh, kesannya anak akan membesar menjadi seorang yang tak ada jati diri, tak ada pendirian, tak ada kenyakinan diri, penakut dan tak nak mencuba benda baru (Shame/Doubt).
Tapi kena ingat, dalam kita memberi kemahuan mereka perlu juga bertegas kalau melibatkan masalah tingkah laku.Kesimpulannya, mak ayah perlu tahu cara untuk memanipulasi anak sebelum anak memanipulasi kita. Semua masalah tingkahlaku lagi mudah dibendung dan dielakkan jika kita tahu macam mana perkembangan emosi dan sosial anak berkembang mengikut umur.

Teori ini ada 8 tahap, yang saya kongsikan ini cumalah 2 tahap (lepas lahir sehingga umur 3 tahun). Kalau ada banyak permintaan untuk umur 3 keatas, saya akan cuba kongsikan di post yang lain ye.

Semoga bermanfaat, terima kasih.

Sumber: Maryam Jamadi

IKLAN