Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar sendiri. Anak bermain dan bergurau terlalu kasar. Anak umur 6 tahun masih memegang pensil menggunakan 5 jari. Anak tak mahu makan dengan sendiri walaupun semasa umur 5 tahun.
Masalah di atas adalah masalah biasa bagi anak yang mempunyai masalah terhadap sensitiviti deria sendi. Deria sendi tidaklah sepopular seperti deria visual, auditori, rasa, sentuhan dan bau tetapi deria ini sangat penting dalam setiap urusan kita seharian.
Nak ambil barang, nak buka pintu, nak seluk beg ambil dompet, nak pakai baju dan seluar, nak makan, nak garu belakang badan dan lain-lain. Semua aktiviti yang menggunakan anggota badan menggunakan deria ini.
APA ITU DERIA SENDI?
Deria sendi (propioception) adalah deria yang memberi info kepada otak di mana anggota badan kita berada. Setiap kali kita menggerakkan badan (tangan atau kaki), setiap kali itu juga kita akan menggunakan deria sendi untuk memberi input kepada otak untuk mengawal pergerakan anggota badan dan berapa tekanan yang sepatutnya.
Bayi selepas lahir akan rasa badannya seperti “terawang-awangan”, mereka tidak sedar keberadaan tangan dan kaki menyebabkan mereka tidak pandai mengawal pergerakan anggota badan disebabkan deria sendi yang “belum cukup kuat” ataupun “belum cukup develop”. Jika kita tidak merangsang deria sendi dari awal ia akan menyebabkan masalah di masa akan datang terutamanya skil urus diri (makan, pakai dan buka baju) malah akan menyebabkan masalah akademik juga.
Anak yang ada masalah deria sendi selalu disalah erti kan dengan malas, lembab atau “hyper”. Mereka tak nak pun dilahirkan atau “dibesarkan” ada masalah deria sendi. Ya, faktor persekitaran memang boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah apabila anak dibesarkan dalam keadaan yang terlalu “manja” dan tak diberi peluang untuk berdikari sendiri.
Semua benda mak ayah nak buatkan, semua benda nenek atuk nak “tolong” buatkan sampai anak dah ada mindset “tak perlulah belajar berdikari, orang lain akan jaga badan ini”. Jangan terkejut jika saya katakan, kebanyakan anak yang “malas” untuk belajar (pakai baju seluar, makan sendiri, menulis) adalah berpunca dari sikap mak ayah yang terlalu memanjakan anak dengan “membantu” benda yang tidak sepatutnya dalam urusan seharian.
Kalau bawah 2 tahun, masih diterima lagi. Tapi kalau umur 6 tahun? Tepuk dada tanya minda.
PUNCA ANAK “MALAS”
Anak susah nak belajar pakai baju dan seluar?
Setiap kali anak mencari lubang baju atau lubang seluar tak jumpa, kadang-kadang masuk tangan dalam lubang kepala, kadang-kadang 2-2 kaki masuk dalam 1 lubang seluar.
Berjuta kali cuba tak dapat, mak ayah dah bising-bising sebab nak cepat. Anak stres terus tak nak buat. Mak ayah stres terus pakaikan.
Macam mana nak pakai sendiri kalau deria sendi tak cukup kuat untuk “merasa” sesuatu tanpa melihatnya?
Anak bermain dan bergurau terlampau kasar.
Niat nak bergurau dengan kawan atau adik, tetapi gurauan bertukar jadi drama air mata apabila orang lain takut nak bermain sama. Orang lain gurau cuit sikit-sikit, dia tolak dan pukul “kaw kaw” macam bertinju betul.
Macam mana nak bermain sama, kalau tak pandai mengawal “tekanan” cuitan, pukulan, tolakan dan sepakan?
Memegang pensil menggunakan 5 jari di umur 6 tahun.
Sebenarnya skil memegang pensil tidak perlu diajar atau dipaksa, ia adalah secara semula jadi.
Semakin deria sendi anak “kuat”, semakin dia akan membetulkan jari-jarinya sendiri semasa memegang pensil. Dari 5 jari ke 4 jari seterusnya 3 jari dan skil menulis ada tahapnya untuk setiap umur anak. Tidak perlu terlalu taksub untuk mengajar anak menulis di awal usia dan memaksa anak menulis menggunakan 3 jari sebelum umurnya sebenar.
Anak gunakan 5 jari kerana deria sendi belum cukup kuat untuk mengawal tangan semasa menulis, maka memerlukan lebih sokongan.
Kini, banyak sangat produk-produk untuk mengajar anak memegang pensil dengan betul. Tapi sampai bila nak guna? Gunakan alat bantuan memang bagus untuk membantu tetapi kalau tidak disusuli dengan rangsangan deria sendi tiada gunanya kerana anak tetap akan cepat penat semasa menulis disebabkan perlu “effort” lebih untuk mengawal jari.
Sebenarnya banyak sangat masalah-masalah harian yang akan timbul disebabkan masalah deria sendi. Nampak kan betapa pentingnya deria sendi dalam hidup anak kita?
TIP MERANGSANG DERIA SENDI
Belajar skil urus diri.
Normal fasa anak umur 18 bulan hingga 3 tahun akan teruja untuk melakukan semuanya sendiri termasuklah pakai buka baju, makan sendiri, belajar memegang pensil dan sebagainya. Gunakan fasa ini dengan baik untuk melatih anak menguasai skil urus diri yang secara tak langsung merangsang dan “menguatkan” deria sendi.
Sokong dan beri pujian setiap kali anak berjaya buat sendiri. Selesaikan penguasaan skil ini sehingga anak umur 4 tahun.
Ini adalah tahap normal skil urus diri untuk anak umur 4 tahun:
Bebas diaper + pakai baju seluar sendiri + makan dengan sendiri+ pakai kasut dan stokin dengan sendiri + kemas mainan + mandi dan keringkan badan sendiri + berus gigi sendiri dll
Main conteng-conteng.
Sebenarnya sejak bayi bawah umur 1 tahun, mak ayah dah boleh beri dan dedahkan dengan pensil. Bukan untuk belajar menulis atau mewarna ya, hanya untuk conteng-conteng dan belajar mengawal tangan dan jari. Conteng bukan hanya di kertas, tetapi di atas pelbagai permukaan. Bukan hanya menggunakan pensil, malah boleh juga krayon, kapur dll.
Kalau menggunakan pensil, beri yang jenis pendek dan “gemuk” demi keselamatan dan membantu anak mengawalnya. Kalau takut anak conteng dinding atau perabot, boleh cat dinding menggunakan “cat kalis conteng” ataupun beri pensil warna yang boleh dipadam.
Sebenarnya tak menjadi masalah kalau mak ayah beri pengawasan penuh setiap kali anak memegang pensil.
Merangkak.
Fasa merangkak sangat penting untuk bayi, semasa merangkak bayi secara semulajadinya akan merangsang deria sendi di tangan dan jari yang sangat diperlukan untuk mereka belajar mengawalnya seharian terutamanya skil urus diri dan skil motor halus.
Kurangkan atau elakkan menggunakan walker, sokong anak merangkak dengan merangkak bersama anak.
Yang mana anak berjalan cepat dan kurang fasa merangkak boleh kerapkan bermain kejar-kejar secara merangkak dengan anak ya.
Urutan dan pelukan.
Pendapat saya, urutan adalah wajib untuk bayi bawah 12 bulan, banyak sangat manfaat urutan dalam perkembangan bayi yang saya sudah selalu kongsi di post saya sebelum ini. Anak membesar hanya sekali, 80% perkembangan otak anak adalah semasa umur 0-2 tahun.
Anak akan cepat belajar jika ibu ayah turut serta mengajar dan bagus untuk perkembangan minda anak-anak anda. Hakikatnya anak belajar, meniru apa yang dilihat dan sentiasa bersemangat untuk mengetahui semua perkara. Itulah definisi si manja pada usia ini. Seperti Amanda, enam tahun, yang suka untuk mencuba sesuatu yang baru. Terbaru dia ingin berbasikal dengan menggunakan hanya dua tayar. Dalam permulaan proses belajar, dia kerap kali terjatuh dan kecewa. Namun, mamanya Suria sentiasa memberikan semangat agar tidak berputus asa.
Demikian adalah peranan penting yang dimainkan oleh mama dan papa. Anda mempunyai peranan besar dalam memupuk sikap pantang menyerah kalah dalam diri si manja terutamanya ketika menghadapi cabaran yang sengit atau saat-saat genting.
1.Respons positif
Anak-anak akan mengaplikasikan pengajaran dengan lebih cepat dan berkesan jika ibu bapa turut sama belajar di samping mereka dan mempraktikkan apa yang telah ditunjuk ajar. Sebagaimana pepatah keluarga yang makan bersama, akan kekal bersatu. Keluarga adalah sokongan yang paling kuat kepada semangat dan jati diri si manja.
Berhati-hati ketika memberi maklum balas kepada si manja kerana ia amat memberikan kesan kepada pengukuhan kepercayaan terhadap dirinya sendiri. Cara memberikan respons kepada pertanyaan atau percubaan anak yang gagal perlulah khusus. Anda perlu membantu memperbaiki kemahirannya, berikan bimbingan dan dorongan. Bukannya menyindir dan memarahinya.
Anda juga perlu mengelakkan daripada memberi komen yang menyerang personaliti atau watak anak. Sebaliknya berikan tumpuan kepada tingkah laku. Sebagai contoh, ketika bermain badminton, berikan nasihat seperti “Cuba angkat tangan dengan lebih tinggi. Pasti adik boleh memukul bulu tangkis”, dan bukan “Kenapa adik pukul bola macam tu?!” Ingat! anak boleh membuat perbandingan melalui tona suara dan cara penyampaian kritikan anda.
2.Rendahkan jangkaan
Anda perlu banyak bersabar dan sentiasa ingat bahawa anak baru mula belajar dan membiasakan diri dengan sesuatu kemahiran. Jangkaan yang tinggi menyebabkan kesukaran kepadanya. Anda perlu melihat dan menilai sesuatu dari sudut pandangan si manja dan menyesuaikannya dengan tahap jangkaan yang ingin disasarkan.
Semakin banyak yang diharapkan daripada anak, lebih cenderung baginya menemui kegagalan.
Elakkan mengukur kejayaan anak berasaskan tafsiran diri sendiri. Sebaliknya, kenal dan perakui kejayaan dari sudut pandangan anak. Biarkan dia belajar memperbaiki diri melalui kesilapan.
3.Berpuas hati dan yakin
Anda boleh memupuk nilai murni dalam diri anak pada usia muda agar dia membesar dengan yakin terhadap pencapaian yang dimiliki. Antaranya dengan mengajarnya mencari jalan penyelesaian apabila berhadapan halangan tetapi elakkan daripada memberi penyelesaian secara langsung kepada. Beri dia kuasa untuk mengambil tindakan sendiri. Hal ini akan melatihnya menyusun strategi, mekanisme kesan-akibat, merancang dan berfikir sebelum bertindak.
Biar dia tahu, mama dan papa turut berkongsi matlamat yang sama iaitu tidak menyerah kalah dan bangkit sebagai juara. Dalam proses ini, anda perlu cuba memahami apa yang si manja alami apabila dia sedang belajar untuk bertahan dalam mengharungi kekecewaan. Hal ini adalah penting baginya untuk belajar bahawa dia tidak akan sentiasa dapat apa yang dicita-citakan. Ingatkan anda bahawa anda akan tetap berada di sisinya walau apa pun hasilnya.
Si manja juga perlu diajar untuk berhenti jika perlu. Anda perlu mengetahui tahap kemampuan anak dan mencadangkan rehat dalam percubaan menguasai sesuatu skil yang sukar. Jika dalam cuba untuk berbasikal, si manja mengalami kecederaan, maka berhenti seketika. Usah terlalu memaksa.
Menerima kegagalan dan kelemahan diri memerlukan ketabahan dan kekuatan emosi. Ketabahan juga bermakna berlatih untuk memperbaiki diri. Anda boleh berkongsi kisah kejayaan semasa kecil dahulu dengan menceritakan semula kepada si manja. Dengan cara ini, anda boleh membuktikan bahawa si kecil berjaya setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan berlatih dengan konsisten.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernahkah anda mendengar kata-kata yang mengatakan, bayi yang menghisap ibu jari menandakan bahawa dia akan mendapat adik baharu? Ketepikan dahulu kesahihan hal tersebut, kerana kita akan meneliti satu lagi perkara yang lebih penting. Adakah hisapan jari memberikan kesan yang baik atau buruk kepada bayi dan anak-anak anda? Ketahui selanjutnya di sini.
Adakah hisapan jari perkara yang normal?
Hisapan jari oleh bayi atau kanak-kanak adalah satu perkara yang normal bagi mereka. Malah, kebanyakan hasil ujian ultrasound turut menunjukkan bahawa bayi dalam kandungan menghisap jari mereka sebelum mereka dilahirkan. Ia adalah satu tabiat yang telah terbentuk sejak di dalam janin. Keinginan mereka untuk menghisap jari adalah berpandukan naluri semula jadi dan mereka akan berhenti menghisapnya apabila mereka berumur sekitar 2 hingga 4 tahun. Walau bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang terus menghisap jari sehingga melepasi umur 5 tahun, mereka berisiko untuk mendapat masalah berkaitan pergigian. Apakah lagi kesan-kesan yang lain?
Merisikokan kesihatan
Bagi kanak-kanak yang suka menghisap jari, tabiat tersebut akan berpotensi merosakkan kuku jari. Ini akan menyebabkan kecacatan dan jangkitan pada kuku. Bagi yang terus menghisap jari walaupun telah berumur 5 tahun keatas, ia akan menyebabkan masalah pada gigi dan lelangit mulut.
Masalah percakapan
Kanak-kanak yang banyak menghisap jari akan mempunyai masalah halangan percakapan, dan percakapan tertangguh (speech delay). Selain itu, kanak-kanak yang menghisap jari berpotensi menjadi mangsa ejekan kanak-kanak lain akibat daripada sosial stigma yang wujud. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak kehilangan sikap yakin diri.
Apakah cara yang sesuai untuk menggalakkan anak saya menghentikan hisapan jari?
Anda boleh mencuba beberapa teknik mudah seperti di bawah yang boleh membantu anak anda menghentikan tabiat tersebut.
Galakan positif
Puji anak anda dan berikan sedikit ganjaran kepada mereka jika mereka menghentikan hisapan jari.
Kenal pasti faktor pencetus
Sekiranya anak anda menghisap jari sebagai respon kepada stres, bertindaklah dengan mengenal pasti isu sebenar dan wujudkan ketenangan kepada mereka. Anda boleh menenangkan mereka dengan cara pelukan atau kata-kata semangat.
Berikan teguran lembut
Sekiranya anak anda mula menghisap jari tanpa sengaja dan tidak bertujuan untuk menarik perhatian, berikan teguran secara sopan dan lembut untuk dia menghentikannya. Jangan sesekali memarahi, mengkritik atau menghukum anak anda.
Jangan terus memarahi anak anda sekiranya mereka suka menghisap jari. Ini kerana kanak-kanak masih dalam proses pembelajaran dan tidak mengetahui apakah perkara yang patut dan tidak patut untuk dilakukan. Siapa tahu, mungkin juga anda pernah menghisap jari anda sendiri semasa kecil, malah mungkin lebih lama dan teruk berbanding anak anda.
Dalam dunia moden yang penuh dengan godaan pembelian atas talian, iklan digital, dan kemudahan transaksi tanpa tunai, keupayaan mengurus kewangan bukan lagi kemahiran untuk orang dewasa sahaja. Sebaliknya, ia adalah asas penting yang perlu dipupuk sejak anak-anak masih di bangku sekolah rendah. Ibu bapa bukan sahaja perlu bijak mengurus bajet keluarga, tetapi turut bertanggungjawab mendidik anak agar celik kewangan dan tahu nilai wang.
Berikut ialah panduan yang merangkumi lima segmen penting bagi membantu ibu bapa mendidik anak-anak tentang perbelanjaan dan bajet harian, agar mereka membesar sebagai pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Kenapa Anak Perlu Dididik Tentang Perbelanjaan Sejak Kecil
Ramai yang menyangka pendidikan kewangan hanya sesuai diajar apabila anak sudah remaja atau dewasa. Namun, hakikatnya kanak-kanak mula membentuk tabiat kewangan seawal usia 7 tahun. Jika mereka tidak faham konsep nilai wang dari kecil, mereka lebih cenderung untuk:
Bersikap boros
Sukar membuat keputusan pembelian
Tidak menghargai usaha ibu bapa mencari rezeki
Dengan pendedahan awal, anak lebih mudah memahami bahawa wang datang dari kerja keras dan ada hadnya.
Kepentingan Celik Kewangan Untuk Ibu Bapa dan Anak
Apabila ibu bapa celik bajet dan mengamalkannya secara konsisten, anak-anak secara tidak langsung akan mencontohi. Antara kepentingannya:
Untuk ibu bapa: Membantu merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih baik, elak pembaziran, dan beri contoh baik kepada anak.
Untuk anak-anak: Menjadi pengguna yang bijak, pandai menilai keperluan vs kehendak, dan lebih bertanggungjawab bila menerima duit.
Bila anak tahu cara mengurus duit, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan tren viral atau tekanan rakan sebaya untuk membeli sesuatu yang tidak perlu.
Tips Praktikal Ajar Anak Urus Duit
Berikut beberapa langkah yang boleh ibu bapa amalkan:
a. Beri Duit Poket Mengikut Bajet
Tetapkan jumlah harian/mingguan dan beritahu kenapa jumlah itu diberikan. Elakkan beri lebihan tanpa sebab.
b. Ajar Guna Sistem Sampul atau Balang
Bagi anak simpan duit dalam 3 kategori: Simpan, Belanja, dan Sedekah. Ini ajar mereka bahagikan duit secara seimbang.
c. Libatkan Anak Dalam Bajet Keluarga
Contoh: Bawa mereka membeli barang dapur dan beritahu had bajet. Ajar buat pilihan berdasarkan harga dan keperluan.
d. Beri Tugas Kecil Berbayar
Bukan tugas harian seperti mengemas bilik, tapi kerja tambahan seperti bantu siram pokok atau lipat kain. Ini ajar mereka duit perlu diusahakan.
e. Guna Permainan Simulasi
Gunakan permainan papan seperti “Monopoli” atau aplikasi kewangan mesra kanak-kanak untuk bantu mereka faham konsep pelaburan, simpanan dan hutang.
Keburukan Jika Anak Tidak Didedahkan Dengan Ilmu Kewangan
Jika ibu bapa abaikan pendedahan awal ini, risiko yang mungkin berlaku:
Anak mudah terpengaruh untuk berbelanja boros.
Tidak tahu beza antara keperluan dan kemahuan.
Cenderung berhutang apabila dewasa.
Tidak menghargai usaha ibu bapa mencari rezeki.
Kurang kesedaran tentang simpanan dan keselamatan kewangan masa depan.
Ini bukan sahaja menyusahkan anak kelak, malah boleh memberi beban kepada ibu bapa sendiri apabila anak terlalu bergantung secara kewangan.
Bezakan Keperluan dan Kemahuan: Latih Anak Buat Pilihan
Salah satu kemahiran terpenting dalam bajet ialah mengenal pasti beza keperluan dan kemahuan. Ibu bapa boleh gunakan contoh harian:
Keperluan
Kemahuan
Makanan tengah hari di kantin
Jajan tambahan di koperasi sekolah
Kasut sekolah yang rosak
Kasut berjenama terkini
Buku kerja tambahan
Alat tulis edisi khas
Latih anak tanya pada diri sendiri sebelum beli:
“Adakah saya perlukan ini sekarang?”
“Kalau saya tak beli, adakah saya akan susah?”
Soalan mudah ini boleh ubah cara mereka buat keputusan, dari impulsif kepada rasional.
Mendidik anak tentang kewangan bukan semata-mata beri mereka wang, tetapi membimbing mereka untuk bijak menguruskan setiap sen. Ia bermula dari rumah, dari teladan ibu bapa, dan dari komunikasi terbuka tentang nilai dan bajet.
Dengan pendedahan awal dan konsisten, anak-anak bukan sahaja jadi pengguna bijak, tapi lebih bersedia menghadapi dunia sebenar yang penuh dengan cabaran kewangan. Ibu ayah pun akan lebih lega, sebab tahu anak tidak mudah hanyut dengan godaan gaya hidup yang berlebihan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.