Masalah kurang pendengaran di kalangan bayi tidak nampak di mata kasar. Bayi boleh mendengar sejak dalam rahim ibu. Bunyi yang didengar akan dihantar ke otak dan ditafsir. Proses ini amat kompleks. Otak bayi yang baru lahir ibarat span yang menyerap air. Semua bunyi dan perkataan yang didengar akan disimpan. Apabila sampai masanya perkataan tersebut akan dikeluarkan.
Kanak-kanak berisiko mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan ialah kanak-kanak yang mengalami masalah kurang pendengaran sejak lahir.
Di antara penyebab masalah kurang pendengaran sejak lahir ialah bayi yang lahir pra-matang, sakit kuning berlanjutan, bayi yang lahir kurang berat badan dan komplikasi semasa proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui. Bayi yang bermasalah kurang pendengaran berisiko mengalami kelambatan bahasa dan pertuturan.
Bayi akan tersenyum apabila mendengar bunyi yang disukai. Peringkat ‘bersuara’ atau ‘mengagah’ menyusuli apabila bayi mula mengeluarkan bunyi ‘uuuu’ atau ‘aaaa’. Apabila berumur lapan bulan ke atas, bayi akan mula membebel menggunakan suku kata tidak bermakna seperti ‘babababa’ atau ‘mamama’.
Bayi yang bermasalah kurang pendengaran akan mula membebel juga. Ini kerana pada peringkat permulaan, semua bayi, sama ada bermasalah pendengaran atau tidak, mula mengeksplorasi peti suara dan bahagian mulut.
Tetapi, bagi bayi yang mengalami masalah pendengaran, peringkat membebel ini singkat dan seterusnya, bayi akan berhenti membebel kerana mereka tidak dapat mendengar bunyi suara sendiri dan bunyi persekitaran dengan jelas. Perkataan pertama yang selalunya muncul apabila kanak-kanak berumur antara 12 – 18 bulan mungkin seperti “mama” yang ditujukan untuk ibunya sahaja tidak akan muncul.
Salah satu tanda anak anda mungkin mengalami masalah kelambatan pertuturan dan bahasa ialah apabila tiada perkataan pertama yang bermakna muncul apabila anak berumur antara 12 hingga 18 bulan. Melakukan ujian pendengaran ke atas kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda lambat bercakap adalah sangat penting.
Kebanyakan kanak-kanak berumur 18 bulan biasanya boleh ikut arahan menunjuk anggota badan seperti “tunjuk mata” dan “tunjuk hidung” apabila telah diajar. Perkataan yang boleh disebut juga meningkat di antara 10 hingga 25 perkataan.
Antara umur 18-24 bulan, kanak-kanak sudah boleh mengenal objek harian seperti permainannya dan mencantum dua perkataan contohnya ‘nak air’.
Antara umur 24-36 bulan, perbendaharaan kata bertambah dan kanak-kanak mula menggunakan ayat yang panjang.
Kaitan Masalah Pendengaran dengan Lambat Cakap
Ujian pendengaran di kalangan bayi, kanak-kanak dan orang dewasa hanya boleh dijalankan oleh Pegawai Audiologis yang bertauliah. Kini hospital-hospital negeri seluruh Malaysia mempunyai Pegawai Audiologis yang bertanggungjawab melakukan ujian pendengaran.
Ads
Bagi bayi yang berisiko tinggi mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjalankan saringan pendengaran setelah dirujuk oleh doktor. Jika saringan pendengaran tersebut gagal, ujian penilaian akan diteruskan untuk mengenal pasti tahap keterukan masalah pendengaran.
Pepatah dulu kala ada mengatakan kalau pekak mesti bisu. Kenyataan tersebut adalah kurang tepat, kerana apabila seseorang bayi dilahirkan kurang pendengaran, biasanya tiada kelainan pada peti suara dan bahagian mulutnya.
Bayi boleh menangis dengan kuat dan menyusu seperti bayi lain. Tetapi, oleh kerana bayi tidak dapat mendengar bunyi pertuturan dan bunyi-bunyi persekitaran, maka otaknya tidak mendapat rangsangan awal bahasa. Apabila tiada bahasa diserap ke dalam otak maka kuranglah perkataan yang dikeluarkan atau mungkin juga bayi tidak akan bercakap.
Masalah kurang pendengaran yang dialami sejak lahir dikenali masalah pendengaran pre-lingual atau kongenital, manakala masalah kurang pendengaran yang diperoleh selepas kanak-kanak boleh bercakap dikenali sebagai masalah pendengaran post-lingual
Umur kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran adalah penting kerana masa kritikal kanak-kanak memperoleh bahasa ialah sejak lahir hingga tiga tahun.
Kebolehan otak menyerap bahasa sangat pantas pada umur tersebut. Sekiranya kanak-kanak tidak dapat mendengar kerana masalah kurang pendengaran kongenital, maka proses pemerolehan bahasa kanak-kanak akan terbantut.
Memandangkan betapa pentingnya pendengaran kepada pemerolehan bahasa, ibu bapa digalakkan membawa bayi untuk menjalani ujian pendengaran bagi memastikan proses perkembangan bahasa berterusan sejak lahir.
Apabila kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjelaskan tentang jenis masalah pendengaran dan tahap keterukannya. Bagi masalah pendengaran yang bersifat sementara iaitu jenis konduktif, Audiologis akan merujuk kanak-kanak ke doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jika jenis masalah pendengaran bersifat kekal iaitu sensorineural, biasanya Pegawai Audiologis akan mencadangkan pemakaian Alat Bantu Pendengaran (ABP).
Ads
ABP adalah selamat digunakan dan bertujuan untuk membantu kanak-kanak mendengar bunyi persekitaran dan bunyi pertuturan. ABP perlu dipakai sepanjang masa kecuali waktu tidur dan mandi.
Kanak-kanak dengan ABP perlu menghadiri sesi Terapi Pertuturan berkala supaya dapat belajar memahami bunyi-bunyi yang didengar melalui ABP dan menggunakan bahasa dan pertuturan dalam komunikasi harian.
Penting bagi ibu bapa untuk mempunyai pemahaman yang mendalam berkaitan ABP dan isu yang berkaitan ABP untuk memastikan ABP yang dipakai oleh kanak-kanak memberikan kebaikan yang sesuai dan berterusan (Robert, W.,1999).
Kanak-kanak yang memakai ABP akan dirujuk oleh Pegawai Audiologis ke program Terapi Pertuturan. Terapi Pertuturan akan dikendalikan oleh Patologis Pertuturan-Bahasa yang bertauliah.
Patologis Pertuturan-Bahasa berperanan membuat penilaian perkembangan bahasa dan pertuturan di kalangan kanak-kanak. Selepas membuat penilaian, program Terapi Pertuturan yang bersesuaian dengan tahap keterukan masalah bahasa dan pertuturan kanak-kanak akan ditetapkan.
Program Terapi Pertuturan adalah berkala dan mungkin merangkumi jangka masa yang panjang mengikut keperluan pesakit. Ia merupakan program yang memerlukan komitmen berterusan daripada ibu bapa dan kanak-kanak.
Program Terapi Pertuturan bagi kanak-kanak dengan masalah pendengaran adalah untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti di bawah:
-Kemahiran pra-pertuturan
-Kemahiran memori-visual
-Kemahiran mendengar
-Kemahiran mengenal pasti bunyi
-Kemahiran menghasilkan suara
-Kemahiran menghasilkan perkataan awal
Sumber: Syahrulikram, M. & Azizah, N. (2007)
Ads
Semua kemahiran di atas perlu dilatih kepada kanak-kanak yang menggunakan ABP.
Penggunaan ABP yang konsisten dan latihan yang berterusan di rumah membantu kanak-kanak bercakap untuk tujuan sosial dan akademik. Masalah lambat cakap yang disebabkan oleh masalah pendengaran pre-lingual boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan yang serius.
Intervensi awal perlu dijalankan bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran. Seawal umur kurang dari enam bulan, bayi yang dikesan mengalami masalah pendengaran perlu mengikuti program Terapi Pertuturan.
Aktiviti untuk meningkatkan kemahiran pra-pertuturan di antaranya ialah membuat kontak mata (eye-contact), tumpuan perhatian, meniru, mengambil giliran dan bermain dengan cara yang sesuai mengikut umur.
Kemahiran memori-visual penting untuk meningkatkan tumpuan dan koordinasi mata-tangan. Aktiviti seperti meniru binaan blok mainan dan mencari padanan set kad gambar yang sama akan menjadikan kanak-kanak seronok bermain sambil belajar.
Kemahiran mendengar perlu diasah untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap wujudnya bunyi-bunyi persekitaran dan pertuturan. Kemahiran mengenal pasti bunyi dilakukan dengan mengajak kanak-kanak membezakan nada bunyi dan kekuatan bunyi yang didengar.
Kemahiran menghasilkan suara dan perkataan awal adalah asas kepada penggunaan ayat yang lengkap untuk berkomunikasi.
Kemahiran awal komunikasi perlu seiring dengan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Masalah kurang pendengaran yang tidak dikesan atau lambat dikesan akan mengakibatkan proses belajar bahasa dan bercakap terganggu.
Komplikasinya ialah proses komunikasi secara pertuturan terganggu dan pada jangka masa panjang menjejaskan kebolehan akademik kanak-kanak tersebut.
Semua ibu bapa disarankan supaya membawa anak mereka untuk membuat ujian pendengaran sama ada dengan inisiatif sendiri atau diarahkan berbuat demikian.
“Awak keluar dulu”. Itulah ungkapan terakhir isteri yang maut dalam kereta terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Sedenak, malam tadi.
Redzuan Jamil, 28, berkata, beliau ditarik keluar orang ramai daripada cermin kereta bahagian penumpang belakang, cuba menyelamatkan isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin atau dikenali sebagai Azi, 28.
“Cubaan saya memecahkan cermin depan kereta dan memecahkan pintu penumpang depan tidak berjaya dan isteri tersepit di tempat duduk depan.
Redzuan cedera di muka akibat melecur namun dia sangat ralat tidak berjaya menyelamatkan isterinya itu. – Kredit: Metro
“Ketika itulah tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.
“Saya tidak merasa bahang panas api, malah isteri juga tidak memanggil nama saya, selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dulu,” katanya.
Sementara itu, bapa wanita maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi, hanya mampu mengalirkan air mata apabila melihat video tular kemalangan ngeri itu.
Tak sanggup tengok video kemalangan
Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang kelihatan sugul berkata, beliau tidak sanggup melihat video berkenaan sehingga habis apatah lagi mendengar jeritan serta rintihan menantunya, Reduan Jamil, 28.
“Hati saya luluh dan menggigil apabila dimaklumkan Azi (Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28) maut apabila terperangkap dalam kereta yang terbakar.
“Apabila dimaklumkan Azi dan suami terbabit kemalangan, kami sekeluarga menyangkakan kemalangan biasa.
“Namun apabila ahli keluarga menunjukkan video tular kereta dinaiki Azi marak terbakar, lemah longlai badan saya, malah isteri, Saliah Hood, 56, amat terjejas kerana rapat dengan anak.
“Bagaimanapun, perasaan saya dan isteri terubat apabila dimaklumkan pihak berkuasa memaklumkan jenazah Azi ditemui dalam keadaan duduk sempurna walaupun kereta dinaikinya hangus terbakar,” katanya sebak ketika ditemui.
Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.
Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.
Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan empat kenderaan, di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan, Arah Selatan, berhampiran Sedenak.
Ketika kejadian, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.
Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenalpasti.
Hilang penghibur keluarga
Sementara itu, Kamalul Arifin berkata, Azi yang juga anak keempat daripada lima beradik adalah seorang yang periang, peramah dan suka menghiburkan keluarga.
Katanya, Azi juga seorang pemurah kerana setiap bulan akan membelikan pelbagai ubatan untuk dirinya dan isteri tanpa gagal.
“Saya pernah nak membayar semula ubat yang sentiasa dibelikannya, namun Azi enggan menerima wang yang diberikan sebaliknya meminta saya menyimpannya untuk keperluan lain,” katanya.
Berdoa ketika berada di Mekah untuk dapat anak
Tambah Kamalul lagi, dia, isteri, Azi dan suaminya baharu pulang dari menunaikan umrah Rabu lalu. Itulah juga impian Azi kerana mahu berdoa bagi mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin.
“Azi sangat gembira ketika di Makkah dan sempat membeli buah zuriat sebagai usaha mendapatkan anak,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir Azi menghubung dirinya dan isteri adalah dua hari lepas bagi memaklumkan dia dan suami akan pulang ke kampung.
“Saya terkilan dan ralat, Azi pulang ke kampung dalam keadaan begini akhirnya,” katanya.
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Biasanya ibu berpantang takut makan ayam selepas bersalin. Pemakanan yang berkhasiat memainkan peranan yang penting dalam tempoh berpantang bagi ibu. Bagi ibu yang menitikberatkan pemakanan yang sihat dalam tempoh berpantang pasti sekali akan berhati-hati dalam memilih makanan. Namun begitu, para ibu tidak boleh mengabaikan sumber protein kerana ia merupakan sumber yang baik dalam proses berpantang.
Fakta Ayam dan ikan merupakan sumber yang baik bagi protein, vitamin dan garam mineral. Ibu yang sedang berpantang memerlukan banyak protein. Sumber protien seperti ayam, ikan, telur dan kekacang amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan. Protien berfungsi untuk pembentukan tisu-tisu badan yang membantu luka untuk sembuh.
Ibu-ibu juga boleh mempelbagaikan menu semasa berpantang. Menu yang sama boleh membuatkan ibu berpantang cepat jemu dan tidak berselera.
Tiga resepi yang menarik serta berkhasiat yang dikongsi oleh Bonda Rozita amat menyelerakan serta mudah disediakan khas untuk wanita selepas bersalin. Resepi yang mudah ini juga boleh dipraktikkan oleh golongan bapa untuk isteri mereka.
Sambil melihat Bonda Rozita berceloteh berkongsi resepi-resepi berpantang yang menarik dan menyelerakan, ibu-ibu juga boleh mendengar tip daripada beliau tentang khasiat-khasiat yang terdapat dalam setiap masakanya. Selamat mencuba!
Anak anda memerlukan pelbagai sumber makanan untuk mendapat cukup nutrisi bagi perkembangan giginya. Selain kumpulan makanan utama, dengan menambah lebih makanan super dalam diet anak anda akan menyediakan lebih mineral, vitamin, serat, dan lemak sihat untuk perlindungan gigi mereka. Artikel ini menyediakan 5 makanan baik untuk gigi kanak-kanak.
Sayuran crunchy
Jika anda mencari makanan kunyahan ‘semula jadi’, mungkin sayuran crunchy atau rangup (seperti lobak mentah, kubis bunga, kacang hijau, daun saderi atau snap kacang) adalah pilihan yang sesuai. Sayur-sayuran ini mempunyai tekstur kasar semula jadi yang membantu mengikis keluar sisa plak yang tidak diperlukan selepas anak anda memberus gigi. Ibu bapa perlu menyediakan sayuran seperti ini sebagai snek atau pencuci mulut dan menggalakkan kanak-kanak untuk kerap mengunyah sayuran ini.
Buah-buahan kaya dengan vitamin C
Bagi mencegah gingivitis yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria dalam mulut kanak-kanak, jadi anda perlu menyediakan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C dalam makanan harian anak anda. Terdapat banyak jenis buah yang kaya dengan vitamin C yang mudah anda dapati di pasar seperti oren, buah limau, kiwi, cantaloupe, betik, dan beberapa jenis buahan lain. Di samping itu, beri juga adalah salah satu buah yang paling berkhasiat dan lazat yang boleh dimakan setiap hari. Beri seperti strawberi, raspberi atau beri hitam bukan sahaja merupakan pencuci mulut yang sedap, bahkan juga adalah buah yang sangat kaya dengan nutrien dan antioksida. Beri dan buah kaya vitamin C lain boleh membantu menghapuskan bakteria dalam mulut dan membekalkan kolagen sihat untuk gusi anda.
Kekacang dan bijian
Jika anak anda berusia 3 tahun ke atas, anda boleh berikannya makan bijian seperti biji bunga matahari dan biji chia. Bijian ini adalah sumber mineral hebat, mengandungi lemak baik, protein dan serat. Ia juga menyediakan lemak semula jadi yang menyalut gigi dan membantu melindungi gigi daripada bakteria. Bijian Grind pula sangat lazat dan mudah dimakan sebagai snek, ditaburkan pada salad, serta dijadikan pencuci mulut yang menyelerakan. Juga, anda boleh menambah bijian dan kekacang semasa membuat kek untuk seisi keluarga anda. Minyak semula jadi yang ada dalam bijian membantu menguatkan enamel gigi. Malahan, sesetengah bijian juga menyediakan kalsium. Bijian dan kekacang ini disarankan untuk disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan kerosakan.
Gula-gula getah tanpa gula
Jika anda terlalu sibuk untuk menyiapkan buah atau sayur, anda boleh mempertimbangkan untuk memberi anak makan gula-gula getah. Kebanyakan gula-gula getah dibuat bagi membantu mengeluarkan plak dan meningkatkan antibodi semula jadi dalam mulut anak anda. Selain itu, dengan mengunyah gula-gula getah tanpa gula selepas makan boleh membantu anak anda mengelakkan kerosakan gigi dan masalah nafas berbau.
Produk tenusu
Produk tenusu tanpa gula tambahan adalah perlu untuk gigi kanak-kanak. Contohnya, keju akan merangsang penghasilan saliva atau air liur sementara kalsium di dalamnya membantu menggantikan mineral terlarut resap dari gigi oleh asid. Produk tenusu kegemaran kanak-kanak seperti susu, yogurt, dan aiskrim tanpa gula juga menyediakan kalsium dan fosfat. Susu diperkaya adalah penuh dengan vitamin D, yang membantu tubuh kanak-kanak memproses kalsium dengan berkesan.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.