Anggota Polis Sempat Jemput Anak Di Sekolah Sebelum Maut Dirempuh Penjenayah

Share

Pemergian anggota polis, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, ketika menjalankan tugas di Taman Golf, Alor Setar, merentap jiwa ramai.

Dirempuh suspek pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, bapa kepada empat cahaya mata itu rupanya baharu ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas berkhidmat di Unit Peronda Motosikal (URB).

Bapa kepada empat anak itu dirempuh suspek kes pecah rumah yang cuba meloloskan diri, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut Ketua Polis Kedah, CP Adzli Abu Shah.

Isterinya, Nur Azhanis Mohd Yusoff, menyifatkan arwah sebagai lelaki yang tidak pernah culas dengan tanggungjawab, malah sangat disenangi keluarga serta rakan setugas.

“Dia pernah cakap agak bimbang dengan tugas barunya. Tapi dia tetap jalankan amanah dengan penuh dedikasi,” kongsi isteri Allahyarham, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36.

 

“Walaupun sibuk dengan kerja, arwah tetap ambil anak dari sekolah. Itu memang rutin dia sebagai seorang ayah yang penyayang.”

“Hari Selasa dia balik lewat dari kerja. Saya dah tidur sebab esok pagi nak kerja. Tapi semalam, sebelum kejadian, dia sempat ambil anak dari sekolah macam biasa

“Dia suka tolong keluarga, mentua, semua orang. Dia memang baik. Tak ada langsung tanda-tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sebak.

Lebih menyayat hati, anak sulung mereka, Akif, hanya dimaklumkan tentang kematian bapanya selepas tiba di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira jam 6.30 petang.

“Papa pesan jaga solat, jangan tinggal solat. Kali terakhir saya jumpa papa masa dia jemput saya balik sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari

“Lepas tu papa hantar saya balik rumah. Saya dan seorang lagi adik ikut mak kawan ke Aman Sentral.

“Sebelah petang, ada anggota polis datang ambil saya di Aman Sentral. Saya ingatkan papa yang suruh saya balik rumah sebab ada kawan papa yang meninggal.

Sementara itu, empat suspek telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 457 kerana pecah rumah.

Difahamkan, ketika itu, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul dirempuh sebaik sahaja turun dari bahagian pemandu kereta.

Pasangan ini telah berkahwin selama 12 tahun dan dikurniakan empat cahaya mata.

Sumber: Sinar Plus

Published by
Nor Yusoff