Berita

Angkara Pertengkaran Ibu Bapa, Bayi Maut Selepas Dilempar

Share

Tiada siapa menyangka, tangisan kecil yang selalu mengisi rumah itu akhirnya menjadi yang terakhir.

Seorang ibu hanya mampu memeluk tubuh anaknya yang kaku, selepas detik hitam meragut nyawa si kecil dalam keadaan yang begitu memilukan.

Seorang bayi lelaki berusia satu tahun lapan bulan dilaporkan maut selepas dipercayai menjadi mangsa keganasan yang dilakukan oleh bapanya sendiri dalam satu kejadian tragis.

Peristiwa menyayat hati itu berlaku ketika kedua ibu bapa bayi berkenaan terlibat dalam pertengkaran di rumah sewa mereka di Kelurahan Manembo Nembo Atas, Kecamatan Matuari, Kota Bitung, Sulawesi Utara, pada Ahad lalu.

Menurut ibu mangsa, Adelia Alow, 20, pergaduhan dengan suaminya, Fadli Ali, 30, berpunca daripada tekanan isu kewangan keluarga.

Dalam keadaan emosi tidak terkawal, suspek didakwa telah melempar bayi kecil itu ke arah katil.

“Dia melempar anak saya ke katil… lepas itu dia terus kejang dan sukar bernafas,” luah Adelia dalam nada pilu.

Panik melihat keadaan anaknya, Adelia segera cuba memberikan pertolongan cemas dengan menepuk tubuh bayi serta melakukan bantuan pernafasan. Namun, segala usaha itu tidak mampu mengembalikan nafas si kecil.

Lebih memilukan, bayi malang yang dikenali sebagai Zavier Ali itu difahamkan mempunyai penyakit jantung yang telah disahkan sebelum ini, menjadikan keadaannya lebih rapuh.

Kini, kes berkenaan sedang disiasat pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, termasuk menyusun semula kronologi kejadian.

Suspek telah ditahan dan sedang menjalani pemeriksaan di Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Bitung.

“Ya, suspek masih dalam pemeriksaan,” kata Ketua Unit PPA, Ipda Petrus Palendeng.

Walaupun tragedi ini berlaku di luar negara, ia tetap wajar dijadikan pengajaran buat kita semua bahawa kemarahan yang tidak dikawal, ditambah tekanan hidup, mampu membawa kepada penyesalan yang tidak berpenghujung.

Dalam sekelip mata, nyawa insan paling tidak berdosa boleh terkorban. Semoga kita lebih berhati-hati dalam mengurus emosi, demi melindungi mereka yang paling kita sayang.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Nor Yusoff