Ardell Aryana Sertai Global Sumud Flotilla 2.0, Tangisan Anak-Anak Iringi Pemergian!

Share

Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana tekad sekali lagi menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Ardell yang turut sama ditemani rakan aktivisnya, Haroq berlepas semalam sambil ditemani oleh suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Suasana penuh emosi jelas terpancar apabila keluarga tercinta melepaskan pemergiannya dengan doa dan harapan yang tidak putus.

Restu Suami Iringi Perjalanan Misi Global Sumud Flotilla 2.0

Menerusi perkongsian suaminya, Nadzmi Adwa, dia reda dengan pemergian isterinya itu sekali lagi namun mengharapkan impian Ardell untuk membantu rakyat Gaza termakbul.

“Selamat pergi dan kembali kepada saya dan anak-anak ya,” tulisnya sayu.

Suami kepada dua cahaya mata ini juga turut mendoakan agar usaha murni Global Sumud Flotilla 2.0 kali ini dipermudahkan.

“Saya dan anak anak dan keluarga kita semua tunggu awak balik ya.

Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Gaza kali ini. Luruskan niat awak. Kami sentiasa mendoakan awak.

Semoga Allah redha dengan usaha awak membantu ummah dan Semoga Allah permudahkan awak dan semua yang terlibat,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mengundang sebak ramai pihak yang mengikuti perjalanan hidup pasangan ini. Sokongan moral daripada keluarga menjadi kekuatan utama buat Ardell dalam meneruskan misi kemanusiaannya.

Pergerakan Delegasi Malaysia Dalam Global Sumud Flotilla 2.0

Selain Ardell, penyanyi dan aktivis terkenal, Heliza Helmi serta adiknya, Hazwani Helmi turut terlibat dalam misi kemanusiaan ini. Penyertaan mereka menunjukkan bahawa golongan selebriti juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kemanusiaan global.

Difahamkan, setakat ini sebanyak empat kumpulan delegasi Malaysia untuk Global Sumud Flotilla 2.0 sudah pun berlepas bagi menjayakan misi kemanusiaan ini.

Terdahulu, kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 melancarkan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 12 April ini bermula dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Semangat Kemanusiaan Yang Tidak Pernah Padam

Penyertaan Ardell Aryana dalam Global Sumud Flotilla 2.0 bukanlah kali pertama, namun ia tetap mencerminkan keazaman yang luar biasa dalam membantu golongan yang memerlukan.

Keberanian dan ketabahannya menjadi inspirasi kepada ramai, terutamanya dalam dunia yang sering diuji dengan pelbagai konflik dan krisis kemanusiaan.

Semoga perjalanan Ardell dan semua yang terlibat dalam Global Sumud Flotilla 2.0 dipermudahkan dan mencapai matlamat yang diimpikan.

Published by
SRM