
Usahawan dan influencer yang dikenali kerana selalu meratukan isterinya, Prince Syed, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila tampil menyumbangkan set perabot lengkap untuk 30 buah rumah golongan kurang berkemampuan. Nilai keseluruhan sumbangan tersebut mencecah RM129,000!
Menurut Prince Syed, pada awalnya beliau hanya bercadang untuk menyumbang perabot kepada 10 keluarga sahaja. Namun, selepas melihat sambutan dan permintaan yang tinggi, beliau nekad untuk menambah jumlah rumah penerima menjadi 30 buah sekaligus.
Apa yang lebih menarik, sumbangan ini bukan sekadar satu dua barang, tapi satu set lengkap untuk menghias sebuah rumah. Setiap rumah menerima sofa, meja makan, katil, almari dan pelbagai kelengkapan lain, seolah-olah berpindah ke rumah serba baharu!
Kesemua perabot yang disumbangkan ini dibeli daripada kedai perabot terkenal, RBL Perabot Gemilang di Ulu Tiram. Prince Syed turut berkongsi pengalamannya memborong perabot di kedai tersebut, dan bagaimana beliau memastikan setiap barang berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan penerima.
Tindakan mulia Prince Syed ini menerima pujian meluas daripada netizen. Ramai yang meluahkan rasa kagum dan terharu, apatah lagi apabila melihat betapa bersungguhnya beliau turun padang dan terlibat sendiri dalam proses pemilihan serta penghantaran perabot.
Dalam satu perkongsian, Prince Syed menyatakan bahawa niatnya hanyalah ingin memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan. Baginya, kalau ada rezeki lebih, tak salah untuk berkongsi dan menggembirakan orang lain. “Bukan soal jumlah, tapi keikhlasan,” katanya ringkas.
Melihat usaha Prince Syed, ramai yang menyeru agar lebih ramai influencer dan individu berpengaruh di media sosial tampil membantu masyarakat, bukan sekadar mengejar kandungan viral semata-mata. Prince Syed dilihat sebagai contoh terbaik dalam menggunakan platform untuk tujuan kebaikan.
@prince.syed.shahid Shopping perabot RM 129K sahaja , untuk nak bagi pada orang yang memerlukan , asalnya nak beli untuk 10 rumah jer , pastu tak sangka lak harga murah kat @RBL PERABOT GEMILANG ULU TIRAM ♬ original sound – Prince Syed Couture