
Asid folik sering dianggap remeh tapi sebenarnya ‘penyelamat’ utama bagi wanita yang sedang merancang kehamilan atau sudah berbadan dua. Ramai tidak tahu, apabila tubuh kekurangan asid folik, risiko bayi mengalami kecacatan pada saraf tunjang (neural tube defect) boleh meningkat dengan ketara. Jangan pandang ringan pil kecil ini, kerana kesannya sangat besar terhadap perkembangan bayi dalam kandungan.
Menurut Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan, keadaan anencephaly iaitu kecacatan serius apabila bayi tidak membentuk tengkorak dan sebahagian otak dengan sempurna sering dikaitkan dengan kekurangan pengambilan asid folik oleh ibu ketika hamil.
Kebiasaannya, anencephaly dapat dikesan melalui imbasan ultrasound apabila doktor melihat bentuk kepala janin yang tidak normal. Dalam sesetengah kes, ukuran lilit kepala juga tidak dapat diambil kerana struktur kepala bayi tidak terbentuk seperti sepatutnya.
Struktur sistem saraf bayi berasal daripada satu struktur bernama neural plate
. Pada hari ke-28 selepas persenyawaan, neural plate ini akan terlipat dan menutup membentuk struktur berbentuk silinder yang dinamakan neural tube. Masalah berlaku apabila struktur ini gagal menutup dengan sempurna, menyebabkan terjadinya kecacatan neural tube.Terdapat beberapa jenis kecacatan neural tube yang utama iaitu anencephaly, spina bifida dan encephalocele. Ketiga-tiga keadaan ini boleh dicegah melalui pengambilan asid folik mencukupi sebelum dan semasa awal kehamilan.
Dalam kes anencephaly, bayi kehilangan tulang tengkorak sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya. Apabila tulang tengkorak tidak terbentuk, sebahagian otak turut hilang atau menjadi sangat kecil. Bayi juga mungkin menunjukkan ketidaknormalan pada muka dan leher.
Keadaan ini dipercayai berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran. Doktor sendiri mengakui masih banyak aspek yang belum difahami sepenuhnya. Statistik menunjukkan anencephaly berlaku dalam 6 kes bagi setiap 10,000 kelahiran di seluruh dunia.
Anencephaly boleh dikesan ketika pemeriksaan ultrasound
seawal 11–14 minggu kehamilan. Jika dilakukan lebih awal daripada 11 minggu, tulang tengkorak mungkin belum terbentuk sepenuhnya dan sukar untuk mengenal pasti kecacatan. Ketika pemeriksaan terperinci antara 18–21 minggu, doktor biasanya dapat mengesahkan keadaan ini dengan jelas.Dalam sesetengah kes, pemeriksaan perlu diulang beberapa kali bagi memastikan diagnosis yang tepat.
Malangnya, tiada rawatan bagi bayi yang mengalami anencephaly. Bayi dengan kecacatan ini biasanya tidak dapat hidup selepas dilahirkan, dan kebanyakan meninggal dunia dalam kandungan atau beberapa jam selepas kelahiran. Hanya sebilangan kecil yang mampu bertahan selama beberapa hari sahaja.
Oleh itu, semua wanita disarankan mengambil asid folik 400mcg sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil sehingga minggu ke-12 kehamilan. Langkah ini terbukti dapat mengurangkan risiko kecacatan neural tube pada bayi.
Bagi wanita yang mempunyai diabetes sebelum hamil atau pernah melahirkan bayi dengan anencephaly, dos asid folik yang lebih tinggi (5mg sehari) disarankan. Dos ini perlu diambil tiga bulan sebelum merancang kehamilan seterusnya bagi mengurangkan risiko berulangnya kecacatan neural tube
.Pasangan yang pernah mempunyai anak dengan anencephaly juga digalakkan berjumpa dengan genetic counsellor untuk berbincang tentang risiko dan langkah pencegahan pada masa depan.
Menurut Dr. Muhammad Izzat, usaha pencegahan ini adalah bentuk ikhtiar yang dianjurkan. Walaupun segala ketentuan adalah di tangan Allah, mengambil asid folik sebelum hamil merupakan langkah bijak untuk memastikan kehamilan yang sihat dan bayi dilahirkan sempurna.
“Betul, kalau dah makan sebaldi asid folik sekalipun kalau Allah dah takdirkan baby anencephaly, memang akan dapat juga. Tapi kita perlu ikhtiar sebelum berserah dan tawakkal,” katanya.
Sumber: Muhammad Izzat