Keibubapaan

Atikah Suhaime Akui Sistem Imun Lemah Sejak Jadi Ibu, Hilang Suara Sejak Puasa!

Share

Pelakon jelita, Datin Atikah Suhaime mendedahkan dia kini berdepan masalah kesihatan apabila kehilangan suaranya secara tiba-tiba selepas baru beberapa hari berpuasa.

Pemilik nama penuh Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, itu mengakui situasi tersebut tidak pernah berlaku sepanjang hidupnya dan ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa bimbang dalam dirinya.

Tambah ibu kepada si comel, Lyla Mulan Teh ini, keadaan kesihatannya dilihat semakin berubah sejak dia bergelar seorang ibu.

Imun Agak Lemah, Kerap Sakit

Ibu cantik manis ini merasakan sistem imun badannya kini tidak sekuat dahulu dan mudah diserang penyakit walaupun hanya perkara kecil.

“Saya kehilangan suara. Baru beberapa hari puasa. Sejak jadi ibu, sistem imun saya agak lemah, sikit-sikit sakit.

“Dulu puasa sambil buat siaran langsung (live) jual ubat gigi okay saja,” kongsinya.

Tambah Atikah lagi, dia mengakui kini dirinya tidak punya masa untuk berehat dan menghabiskan waktu untuk dirinya sendiri. Situasi ini jelasnya membuatkan lebih mencabar.

Peminat Kongsi Tip

Perkongsian tersebut dibuat menerusi Threads dan pantas mendapat perhatian ramai peminat yang turut bersimpati dengan keadaan dialaminya.

Kehilangan suara pastinya memberi kesan besar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan komitmen kerja serta tanggungjawab harian.

“Tolong kongsi tips macam mana nak dapatkan suara saya semula dalam kadar segera?

“Saya tiada masa untuk berehat. Saya perlukan penawar atau ubat yang bagus,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengambil peluang berkongsi pelbagai petua tradisional dan moden bagi membantu memulihkan suara yang hilang. Selain mendoakan kesembuhan buat Atikah, ada yang mencadangkan agar dia memperbanyakkan minum air suam, mengurangkan bercakap buat sementara waktu serta mendapatkan rawatan doktor sekiranya keadaan berlarutan.

Tidak kurang juga yang menyarankan agar Atikah berkumur dengan air garam untuk melegakan tekak dan membantu mengembalikan suaranya. Petua tersebut sememangnya sering diamalkan bagi merawat sakit tekak atau masalah suara serak.

Terdahulu, Atikah yang mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Datuk Lokman Teh selamat melahirkan cahaya mata sulungnya pada 8 Mac 2025 di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Sumber: Threads

Published by
SRM