Mulianya hati Datin Rebecca Nur Al-Islam apabila mengambil anak angkat perempuan yang dilahirkan 8 Disember lalu.
Bayi perempuan yang diberi nama Nur Aurora Riana Norazam penyeri baru dalam hidup ahli keluarganya selepas kelahiran, Nor Ahmet Al-Reaggan, yang dilahirkan 18 Julai lalu.
Menerusi instagramnya, keterujaan memiliki Nur Aurora adalah pemberian yang sangat berharga dari Allah SWT.
Saya perkenalkan pada dunia, inilah anak perempuan saya Nur Aurora Riana Nor Azam
Ahmet dah dapat adik baru. Ahmet dan Aurora kembar (tahun yang sama lahir)
Rebecca juga menjelaskan, mempunyai anak yang ramai adalah satu rezeki yang Allah nak bagi. Mummy akan jaga Aurora sama seperti abang dan kakak yang lain.
Rebecca juga berkongsi, Aurora seolah-olah tak sabar nak jumpa mummy kerana tarikh sepatutnya dia lahir adalah Januari 2019 dan proses kelahirannya juga sangat mudah kerana lahir di rumah.
Ads
“Semuanya kuasa Allah dan Dia lebih mengetahui segalanya. Mummy juga sangat lega apabila doktor mengesahkan Aurora sangat sihat dan kuat,” jelasnya.
Kini Rebecca dah memiliki 8 orang anak dengan perkahwinannya bersama suaminya Dato’ Norazam lima orang, manakala dua anak dengan hasil perkahwinan suaminya terdahulu serta Aurora yang terbaru.
Benarlah kata orang, anak ramai bukan sahaja rumah makin meriah, tetapi rezeki pun sentiasa murah.
Sumber: ig rebeccanuralislamahmad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pendemik sekaligus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk dan sangat membimbangkan.
Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar begitu meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia. Sehingga ke hari ini lebih 118,000 orang di 114 negara telah dijangkiti Covid-19 dan telah meragut 4,291 nyawa, malah angka tersebut dijangka terus meningkat.
Justeru itu, dalam mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut, langkah-langkah pencegahan amatlah disarankan kepada orang ramai. Salah satunya adalah dengan kerap mencuci tangan sama ada menggunakan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
Tapi mungkin ada yang tertanya-tanya apakah boleh menggunakan hand sanitizer yang beralkohol semasa melalukakn solat. Apakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya.
Ketahui penerangan yang terperinci oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tentang persoalan ini.
Soalan
Assalamualaikum Dato. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato. Terima kasih
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (Pencuci Tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (Pencuci tangan) itu sendiri.
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alcohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (Pencuci Tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Menuru jumhur ulama alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”
Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALCOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kesimpulan
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (Pencuci Tangan) semasa melakukan solat adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Perasaan rindu pada anak syurga yang telah pergi buat selamanya sukar dipadam dari dalam hati seorang ibu yang tabah melalui dugaan. Puan Hamidah Tajuddin berkongsi pengalaman membesarkan anak Sindrom Downnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser Leukimia.
Sepanjang kehamilan tiada sebarang masalah membuatkan dia dan suami menyangka segalanya berjalan lancar. Sehinggalah tiba hari melahirkan bayi, baru diketahui anaknya mengalami pelbagai komplikasi seperti jantung berlubang, jaundis yang teruk, jangkitan paru-paru dan yang paling terkejut disahkan Sindrown Down.
“Selepas melahirkan, suami hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu hal sebenar. Dia hanya cakap anak okey. Esoknya saya hairan kerana menunggu suami datang tetapi tak kunjung tiba. Lalu doktor yang bertugas memberitahu hal tersebut. Waktu itu sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perasaan ketika itu. Bayangkan 13 tahun yang lalu, masalah Sindrom Down tidak terlalu ketara dibandingkan dengan sekarang.
Jadi saya rasa tak boleh nak hadapi dan uruskan anak ketika itu. Sampaikan darah tinggi saya naik dan ditahan di wad sedangkan sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis. Bukan kerana saya menolak takdir tetapi saya tidak tahu bagaimana nak uruskan anak istimewa ini.
Apabila petang baru suami sampai dan dia cakap memang dah tahu anak kami istimewa. Dulu waktu saya mengandung 7 bulan, suami ada mengerjakan umrah dan di depan Kaabah, terlintas bayangan anak. Tetapi suami tak ceritakan pada saya. Hanya selepas anak kami lahir baru dia cerita.
Dua hari saya tak pegang atau tengok anak ketika itu. Sehingga suami suruh ambil dan susukan anak. Dia nak saya rasakan apa perasaan sebagai seorang ibu. Terus saya menangis dan apabila memangku Muhammad Syukur, rasa kasih sayang seorang ibu tiba-tiba ada. Saya dakap dan cium dia dengan sepenuh hati,” ujar ibu kepada Muhamad Syafiq, Muhamad Syauqi, Muhamad Syaqir, Farah Shuhada, Farah Shahida dan Muhamad Syukur.
Umur 5 tahun sudah boleh membaca
Ketika dalam pantang tiada masalah menjaga bayi kerana anaknya sangat baik cuma Syukur lebih banyak tidur berbanding menyusu menyebabkan payu daranya bengkak.
“Saya tak pantang sangat sebab keluar masuk hospital kerana Syukur kena jaundis yang teruk. Satu hari kawan suami datang dan beritahu dia juga ada anak istimewa dan katanya tak ada masalah untuk menguruskan mereka.
Jadi saya tetapkan azam dalam masa 5 tahun saya nak all out dengan anak. Saya sekolahkan dia umur 6 bulan di Kiwanis Down Syndroem Foundation. Selepas 44 hari pantang, saya ke Kiwanis, dan ke IJN serta Persatuan Sindrom Down Malaysia. Di Kiwanis ramai anak-anak yang sama dengan anak saya. Daripada situ, semangat saya kian bertambah cuma saya sedih sebab anak orang lain hanya bermasalah Sindrown Down, anak saya siap ada jantung berlubang lagi.
Umur 1 tahun 7 bulan anak saya menjalani pembedahan dan nampak lubang di jantungnya membesar. Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya. Selain itu saya juga bawa anak ke sekolah khas. Anak-anak istimewa ini susah untuk bercakap dan ambil ambil masa, jadi saya tidak harapkan sekolah semata-mata.
Sebaliknya di rumah pun saya ajar anak. Anak-anak istimewa ini lebih mudah dan cepat tangkap kalau kita gunakan Bahasa Inggeris. Saya guna flash card kerana ia sangat membantu. Malah, waktu dalam pantang lagi saya sudah praktikkan. Umur 5 tahun anak saya sudah boleh membaca,” ujar Hamidah yang memberitahu tak perlu kos tinggi jika ibu bapa kreatif, sebaliknya dia menggunakan manila kad untuk buat sendiri flash card.
Anak didiagnos kanser
Reda dan mampu menerima anaknya Sindrown Down, sekali lagi ujian melanda pasangan ini bila mana Syukur didiagnos menghidap kanser .
“Waktu bersekolah di Putrajaya ketika umurnya 7 tahun, tiba-tiba Syukur demam. Waktu itu rasa sesuatu tak kena. Kami bawa ke hospital selepas nampak tanda bintik-bintik merah dan lepas ambil darah, doktor tengok keputusan darahnya rendah dan itu petanda ada kanser. Selepas keluar result doktor beritahu Syukur ada penyakit Leukimia.
Ketika di dalam ambulans nak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya bisik pada diri mulai hari ini, bermulalah episod anak saya sebagai pesakit kanser. Sudahlah dia sindrown down, sekarang bertambah penyakit lain. Bermula dari hari itu, Wad KK3, HKL ibarat rumah kedua kepada saya.
Di wad kanser, rupanya ramai kanak-kanak yang menghidapi pelbagai jenis kanser. Saya berkenalan dengan ramai ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak dan kami seperti satu keluarga dan saling menyokong antara satu sama lain. Ramai juga dari ibu bapa ini yang berdepan dengan pelbagai masaalah semasa anak-anak mereka menerima rawatan di HKL.
Jadi, daripada situlah saya tubuhkan kumpulan sokongan kerana kasihan dengan ibu bapa yang masih muda dan tiada sumber kewangan. Dalam masa yang sama mahu beri mereka kekuatan dan tertubuhlah Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS)” ujar Hamidah sambil memberitahu sambutan diterima baik dan setakat ini sudah ada hampir 500 orang ahli di dalam kumpulan tersebut.
IQ tinggi
Setiap kali anaknya masuk wad, hati ibu gundah gulana dan sentiasa berdoa supaya Tuhan masih panjangkan umurnya dan beri kesempatan pada dirinya untuk membesarkan anak syurga itu.
Walaupun Syukur tidak bersekolah, tetapi tahap IQnya cukup tinggi. Tanyalah apa sahaja pasti Syukur boleh jawab. Malah, dia juga pandai Google sendiri tanpa perlu diajar. Waktu umurnya masuk 11 tahun, doktor beritahu kansernya sudah tiada dan sebagai ibu memang gembira dan bersyukur tak terkata.
“Tapi, kegembiraan itu tak panjang apabila Syukur lagi sekali diserang kanser pada usia 12 tahun. Tuhan mahu menduga kami lagi dan doktor cakap tiada harapan. Bayangkan kimo yang perlu Syukur lakukan 3 kali ganda lagi kuat dari sebelum ini.
Sekali buat kimo, Syukur terus dimasukkan ke ICU dengan ulser penuh di mulut, muntah darah dan sebagainya. Sedih hati sebagai ibu apabila melihat keadaan dia ketika itu. Tapi Syukur seorang yang kuat dan dia jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk melalui semua ini.
“Disebabkan dia tak boleh makan, jadi saya kisar bubur dan guna sringe suapkan dia. Bila dia tak boleh makan saya nangis dan terus dia cakap Mummy don’t cry Mami, I’m strong. Lepas tu dia sapu air mata di pipi saya,” cerita Hamidah.
Kanser Merebak Dalam Darah
“Arwah mula disahkan relapse pada bulan September tahun lalu di mana kansernya dapat di kesan dalam darah. Mula-mula kami pelik dia sakit pinggang. Tiga minggu lepas tu baru dapat tahu bila ambil darah yang kanser dia ada dalam darah sebanyak 50%. Dari mula dia sakit pinggang, dia tak boleh berjalan sehingga arwah meninggal.
Doktor beritahu kansernya tidak boleh dirawat lagi dengan kaedah kimoterapi kerana dia sudah banyak kali membuat rawatan tersebut. Ini kali kedua dia relapse. Dari situ kami rasa tertekan dan memang sedih sebab dia telah banyak melalui kimoterapi tapi masih tidak sihat. Tapi bila kami fikir, itu semua kuasa dari Allah.
Kami bangkit dan nekad akan buat yang terbaik untuk cari rawatan lain selain dari datang ke HKL untuk transfuse darah dan platelet. Dalam masa 3 bulan tu kami memang 100% uruskan dia. Alhamdulillah anak-anak lain beri sepenuh perhatian dan turut membantu menguruskan adik dengan penuh kasih sayang.
Semua adik-beradik rapat dengan adik mereka. Semua yang adik inginkan akan dituruti cuma masa 3 bulan tu kesihatan Syukur mula merosot. Setiap 3 hari blood count dia mesti drop dan akan ke HKL untuk masuk darah dan platelet. Kadang-kadang mulut keluar darah dan sentiasa sakit perut kerana hati dan limpa mula membengkak.”
Akhirnya Syukur pergi tinggalkan Mummy
Selesai rawatan tiba-tiba kanser Syukur menyerang kali ke-2 pada bulan September lalu sehingga dia meninggal dunia pada 26 November 2018 ketika berusia 13 tahun.
“Ketika itu kami sudah tak boleh buat apa lagi. Bila sakit, Syukur akan dibawa ke HKL. Pada dua minggu sebelum Syukur pergi buat selamanya, dia dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.
Bermula dari situ berat badannya turun kerana tiada selera makan dan tak boleh nak makan solid food. Dia hanya minum air dan makan bubur sahaja. Semasa akhir hayatnya, langsung dia tidak menunjukkan tanda yang akan meninggalkan kami Cuma dia selalu cakap yang dia saying dan rindukan Mummy dan Ayah.
Di awal dia sakit dia selalu cakap terima kasih kerana lahirkannya. Tiga jam sebelum dia meninggal masih bercakap lagi dan panggil ayah dan cakap adik sayang Ayah, adik sayang Mummy,” cerita Hamidah dalam nada sayu.
Hamidah menganggap Syukur anak yang sangat menyenangkan hati dan tak banyak mengeluh bila sakit. Arwah selalu minta Mummy dan Ayah serta keluarga mendoakan dia cepat sembuh tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami nampak dan rasa dia kritikal hanya beberapa jam sahaja, Allah permudahkan dia pergi. Memang senang,” akhiri Hamidah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siti Saerah Tarudin, penyanyi dan adik kepada Datuk Sri Siti Nurhaliza berjaya menurunkan berat sebanyak 17kg selepas 6 minggu bersalinkan anak keempatnya. Wow!
Dia yang bersalin pada 12 Disember 2018 melahirkan bayi perempuannya telah memuatnaik video yang memaparkan perbualan antaranya dan doktor.
Hasil pemeriksaan mendapati Saerah turun sebanyak 17kg! Beratnya sebelum bersalin ialah 88kg dan selepas 6 minggu bersalin beratnya telah turun ke 71kg hasil daripada kawalan pemakanan. Doktor bagaimana pun menasihatkan Saerah untuk turut melakukan senaman.
sitisairahtarudin Hari ni ibu check up… Doktor @yuliarifuddin yang terperanjat berat badan turun.. ? terima kasih @natalismothercare ❤️
Doktor & para peminat Saerah turut kagum dengan penurunan berat badan Saerah dan turut memberikan sokongan kepadanya untuk terus menjalani penurunan berat badan secara sihat.
Mama papa jangan lupa saksikan rancangan TV Pa&Ma Musim Ke-3 Selasa ini,29 Januari 2019 dengan tajuk Stres Di Kalangan Kanak-Kanak pada jam 12 tengah hari & ulangannya 9 malam. Banyak kupasan menarik tentang stres di kalangan kanak-kanak akan dikongsikan untuk anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu bapa masih tak tahu sebenarnya anak-anak di bawah umur 17 tahun boleh menikmati tambang KTM Komuter secara percuma menerusi program Kad RailLife.