“Merajuk teruk nampaknya anak aku yang seorang tu. Aku ada tersalah cakap ke masa marah dia tadi? Ish, tapi takkan marah sikit pun tak boleh. Apa tips komunikasi dengan anak supaya dia lembut hati ya?”
Sebagai ibu bapa, biasanya kita menganggap apa yang kita lakukan adalah betul dan bertujuan untuk mengajar anak-anak. Tapi sebenarnya tentu ada masa kita terlepas pandang terhadap beberapa perkara yang mungkin memberi kesan kepada jiwa anak-anak, terutamanya dalam hal berbicara.
PAKAR PSIKOLOGI LARANG IBU BAPA GUNAKAN 7 AYAT INI PADA ANAK
Mari kita semak semula dan cuba fahami kenapa para psikologis melarang ibu bapa menggunakan ayat-ayat ini.
1. “JANGAN KACAU MAMA, PERGILAH MAIN DEKAT SANA.”
Sebagai ibu bapa, kita tak dapat lari daripada berasa letih. Tentulah ada masanya kita menginginkan sedikit ‘me time’ dan tidak mahu diganggu. Tetapi, seeloknya cari masa yang sesuai dan jangan asyik terus-menerus memberitahu si anak supaya menjauhi anda.
Menurut Suzette Haden Elgin, founder di Ozark Center for Language Studies, anak-anak akan mentafsirkan mesej tersebut dengan mempercayai bahawa anda tidak berminat untuk bercakap dengan mereka. Malah, sehingga mereka besar nanti lebih sukar untuk mereka meluahkan perasaan dan menganggap tiada gunanya mereka berkongsi apa-apa dengan anda.
Maka, jika anda benar-benar kesuntukan masa atau sedang stres untuk bermain dengan anak, beritahu mereka dengan baik dan set kan masa lain untuk ‘temujanji’ tersebut. Biasanya mereka boleh dilatih untuk menunggu. Tapi ingat, janji mesti ditepati ya!
2. “SIKIT-SIKIT MENANGIS. CENGENG BETUL KAMU NI.”
Setiap anak mulanya belajar berkomunikasi dengan menangis. Mereka memerlukan sedikit masa untuk bertutur menggunakan perkataan dan menjelaskan emosi dengan baik kerana kebolehan tersebut perlu dilatih.
Ads
Seeloknya, jika anak menangis peluklah dia dengan erat. Sambil itu, ajarkan anak untuk menjelaskan apa yang berlaku. Terangkan padanya bahawa melalui kata-kata, anak dapat memberitahu apa yang diingini dengan lebih jelas dan cepat berbanding menangis. Dengan cara ini, mereka juga belajar mengendalikan emosi dengan lebih terkawal.
3. “JANGANLAH TAKUT-TAKUT, KAMU KAN ANAK LELAKI.”
Tidak kiralah anak lelaki atau perempuan, ibu bapa perlu faham bahawa setiap manusia mempunyai perasaan – apatah lagi anak kecil yang masih belum tahu-menahu tentang dunia luar. Mereka masih kecil dan tentulah ada banyak perkara yang mereka tak tahu. Unfamiliarity ini tentunya menimbulkan rasa curiga, bimbang, dan takut dalam banyak hal. Jadi, kenapa perlu mereka menyembunyikan perasaan sendiri dan dipaksa menjadi ‘lelaki’?
Sebuah artikel dalam Psychology Today menerangkan bahawa perbuatan menghalang anak lelaki untuk menangis, memaksa mereka menjadi ‘macho’, kuat, dan sebagainya boleh memberi implikasi buruk kepada kesihatan mental si anak. Dikhuatiri dengan cara ini, mereka akan menjadi seorang yang lebih agresif, kurang sifat empati, dan menyalahgunakan kekuatan fizikal mereka.
4. “TENGOK ANAK AUNTY TU. BARU 4 TAHUN DAH PANDAI MEMBACA. KAMU DAH NAK MASUK SEKOLAH MASIH MERANGKAK-RANGKAK.”
Ibu bapa mana yang tak teringin tengok anaknya naik ke pentas, hebat di padang, menang anugerah, dan sebagainya. Kadangkala, secara tidak sedar, kita membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain yang lebih hebat. Walaupun tidak bertujuan membuat anak kecil hati, sebenarnya pada saat itu kita sudahpun menjatuhkan semangatnya.
Anak kita mungkin telah mencuba sedaya-upaya. Malah, segala usaha dilaburkan demi membuat kita bangga dan gembira. Apabila ayat sedemikian meluncur dari mulut orang yang paling disayangi dan dipercayai, tentulah mereka akan berasa sangat kecewa dan hilang keyakinan diri. Bahkan mereka mungkin akan takut mencuba lagi pada masa akan datang.
Ads
5. “MARI SINI BIAR MAMA BUATKAN.”
Niat kita memang murni kerana kita rasa tak selesa tengok anak terkial-kial melakukan sesuatu perkara. Tapi, pertolongan ini boleh bertukar menjadi sesuatu yang buruk jika ia menjadi rutin dan kerapkali ditawarkan terlalu awal sehingga tidak memberi peluang langsung kepada anak untuk cuba menyelesaikan sesuatu hal.
Myrna Shure, seorang profesor psikologi di Drexel University dan penulis buku Raising a Thinking Child berpendapat bahawa sikap ini akan mempengaruhi sifat independence iaitu kemandirian anak. Jadi, jangan ‘curi peluang’ anak untuk mengerahkan usahanya sendiri melainkan mereka benar-benar buntu dan terpaksa meminta pertolongan.
6. “KENAPA DEGIL SANGAT NI?”
Orang selalu cakap, ‘panggilan itu adalah doa’. Secara saintifiknya, penjelasannya mungkin boleh kita kaitkan dengan situasi yang dijelaskan oleh Maureen Smith menerusi Telegraph. “Apabila kita memanggil anak dengan gelaran ‘degil’ atau ‘nakal’, perkataan itu akan terakam oleh otak bawah sedarnya sehingga membuatnya percaya bahawa dia adalah anak yang benar-benar ‘degil’ atau ‘nakal’.”
Sepatutnya, apabila anak melakukan sesuatu yang salah, kita boleh katakan, “Mama tak suka cara kamu bermain dengan kasar.” Ayat sebegini lebih positif, tepat, dan tidak ‘melabel’ seseorang dengan gelaran tertentu.
Ads
7. “SIAPA BUAT KAMU MENANGIS? MARI SINI ABAH PUKUL DIA…”
Biasanya ini dilakukan kepada anak-anak kecil. Contohnya anak menangis kerana bergaduh dengan adik-beradikyang lain. Atau ada juga gelagat ibu bapa yang memukul tembok atau batu kerana membuat anak jatuh.
Menurut psikologi, sebaiknya cara ini tidak diteruskan kerana sikap seperti ini hanya akan membuat anak kita mudah menyalahkan pihak lain pada setiap kejadian.
Jika anak terjatuh, katakan padanya bahawa rasa sakit yang dirasakan adalah kerana geseran kakinya dengan tanah yang keras. Dia perlu berhati-hati semasa berjalan supaya tak jatuh. Atau, berjalan di atas rumput yang lembut supaya tidak sakit apabila jatuh. Dengan ini, anak belajar untuk menghadapi sesuatu situasi yang sukar tanpa perlu mencari salah sesiapa.
Kesimpulannya menjadi ibu bapa sememangnya meletihkan dan memerlukan kesabaran khusus. Penting untuk ibu bapa mengajarkan anak tentang emosi dan kejujuran sejak kecil melalui bahasa yang mudah difahami.
Jika dibiasakan begini, anak akan mampu mengenalpasti pelbagai perasaan yang menimpanya sehingga mereka mampu memilih tindakan yang sesuai dengan nilai-nilai positif yang anda praktikkan sendiri.
Dapur sering dianggap sebagai ‘zona larangan’ untuk anak-anak kecil disebabkan risiko keselamatan seperti api, pisau, dan peralatan panas. Namun, dapur sebenarnya boleh menjadi tempat pembelajaran yang sangat berharga dan menyeronokkan bagi anak-anak jika diberi peluang dan bimbingan yang betul. Aktiviti memasak bukan sahaja melatih kemahiran praktikal tetapi juga membantu perkembangan mental dan emosi anak. Dalam dunia yang semakin sibuk, memberi ruang kepada anak-anak untuk mencuba memasak adalah satu langkah positif yang boleh membentuk mereka menjadi individu yang berdikari dan kreatif. Artikel ini memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk berani membuka pintu dapur kepada anak-anak walaupun wujud stigma tentang bahaya, dengan harapan dapat menyemarakkan minat dan kemahiran memasak sejak kecil.
Membuka Pintu Peluang untuk Belajar
Memasak bukan sahaja tentang menyediakan makanan, tetapi juga satu bentuk pembelajaran yang kaya dengan pengalaman. Apabila ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba memasak, mereka sebenarnya membuka pintu untuk anak-anak belajar pelbagai kemahiran seperti membaca resipi, mengira sukatan bahan, dan memahami proses kimia makanan. Anak-anak bukan sahaja belajar teori, malah mereka dapat belajar secara praktikal yang membantu menguatkan daya ingatan dan kemahiran motor halus mereka. Selain itu, aktiviti ini turut membantu meningkatkan rasa percaya diri apabila mereka berjaya menyediakan hidangan mereka sendiri.
Mengatasi Stigma Bahaya dengan Pengawasan
Stigma bahawa dapur adalah tempat berbahaya untuk anak-anak adalah salah satu sebab utama ibu bapa sering menghalang mereka daripada mencuba memasak. Memang benar ada risiko seperti terkena pisau atau api, namun risiko ini dapat dikurangkan dengan langkah pengawasan yang rapi dan mengajar anak-anak tentang keselamatan dapur. Contohnya, mulakan dengan tugasan mudah dan selamat seperti mencuci bahan atau mengacau adunan, kemudian secara berperingkat berikan tugas yang lebih mencabar. Ini bukan sahaja mengajar mereka berdisiplin, malah memupuk rasa tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan orang lain di dapur.
Memupuk Kreativiti dan Minat
Memasak sebenarnya satu seni. Anak-anak yang diberi peluang untuk mencuba memasak boleh mengembangkan kreativiti mereka melalui proses memilih bahan, memadankan rasa dan mencipta hidangan tersendiri. Aktiviti memasak ini boleh menjadi medium yang menyeronokkan untuk mereka bereksperimen dengan pelbagai rasa dan teknik. Menariknya, kajian juga menunjukkan bahawa anak-anak yang aktif memasak lebih cenderung untuk makan makanan sihat kerana mereka berasa terlibat dan bangga dengan hasil usaha mereka. Jadi, memberi ruang kepada anak-anak untuk memasak bukan sahaja mendidik mereka, malah membantu membentuk tabiat makan yang baik.
Menanamkan Nilai Kekeluargaan dan Kerjasama
Aktiviti memasak bersama anak-anak sebenarnya adalah peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam suasana dapur yang santai dan penuh kasih sayang, ibu bapa dan anak-anak boleh berkomunikasi dengan lebih baik. Anak-anak belajar bekerjasama, berkongsi tugas, dan saling membantu, sekaligus menanamkan nilai-nilai penting seperti kesabaran, toleransi dan kerja berpasukan. Selain itu, pengalaman ini mencipta memori manis yang akan terus dikenang oleh anak-anak hingga dewasa. Mereka juga belajar menghargai usaha dan pengorbanan ibu bapa dalam menyediakan makanan untuk keluarga.
Menyediakan Asas Kemahiran Hidup yang Berguna
Kemahiran memasak adalah salah satu kemahiran hidup utama yang akan sangat berguna apabila anak-anak membesar dan mula hidup berdikari. Anak yang sudah biasa memasak sejak kecil akan lebih mudah menguruskan diri, terutama apabila tinggal berjauhan dari keluarga seperti ketika di universiti atau bekerja. Selain itu, mereka juga lebih cenderung untuk memilih gaya hidup sihat dan mengurangkan ketergantungan kepada makanan segera atau makanan luar. Secara psikologi, kemahiran ini turut menggalakkan rasa berdikari dan keyakinan diri yang tinggi.
Info Menarik:
Kajian dari beberapa universiti menunjukkan bahawa anak-anak yang aktif memasak bersama ibu bapa mereka cenderung mempunyai pola makan yang lebih sihat dan kurang risiko obesiti.
Aktiviti memasak juga boleh meningkatkan kemahiran matematik anak-anak secara tidak langsung kerana mereka belajar mengira sukatan dan mengukur bahan dengan tepat.
Memasak bersama keluarga juga dikaitkan dengan tahap kebahagiaan dan kesejahteraan mental yang lebih tinggi kerana interaksi sosial yang berlaku semasa aktiviti ini.
Dengan memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba memasak walaupun dengan risiko kecil, ibu bapa sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk masa depan anak mereka dari segi kemahiran, keyakinan, dan hubungan kekeluargaan. Jadi, jangan takut untuk biarkan anak-anak berdiri di dapur dan mula beraksi – asalkan langkah keselamatan dipatuhi, dapur boleh menjadi tempat penuh inspirasi dan pembelajaran yang menyeronokkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak latih anak tidur awal ada pelbagai cara yang mudah boleh diikuti supaya anak tidak tidur lewat setiap hari. Penting bagi anak-anak tidur awal supaya tidak menjejaskan perkembangan dirinya. Latihan tidur awal ini penting supaya dapat mendisplinkan diri anak sebelum ke prasekolah nanti.
Menyedari kepentingan anak-anak tidur awal, perkongsian Puan Nabilah Mohamad boleh dijadikan panduan untuk ibu ayah mendidik anak-anak tidur awal dengan mudah.
Saya sebenarnya bukanlah pandai sangat dalam hal-hal keibubapaan. Almaklum, first time parents. Banyak lagi nak kena korek dan belajar.
Tapi anak ini sebenarnya setiap hari mengajar saya untuk cuba jadi ibu yang terbaik untuknya. Ianya tak mudah tapi tidaklah sesukar mana. Orang kata ‘bolehlaaaaa’.
Masa awal-awal dulu memang saya tak retilah nak suruh anak tidur awal ni. Saya biar je dia tidur ikut waktu dia.
Tapi ada sekali tu saya tengok live sharing Dr.Maryam. Dalam pukul 9 macam tu anak dia pergi kat ‘mommy’ dan ‘daddy’ bagi salam untuk masuk tidur. Pergi masuk tidur sendiri pula tu. MashaAllah, kagum!
Saya masih di peringkat ber’eksperimen’ sebenarnya. Tapi Alhamdulillah memang boleh nampak hasilnya kalau kita konsisten. InshaAllah, mudah-mudahan lepas ni anak saya pandai-pandailah nak tidur sendiri.
6 TIPS LATIH SI MANJA TIDUR AWAL
1. Rancang waktu tidur anak
Tips yang pertama ni sangat penting. Bermula dari anak bangun tidur pun kita patut dah plan nap time dia pukul berapa dan berapa lama, dan waktu tidur malam sepatutnya pukul berapa.
Macam saya memang dah latih anak tidur pukul 2-3 petang macam tu. Tidurlah dalam sejam atau lebih sikit. Dan janganlah bagi anak tidur lepas asar ke atas. Naya ja!
Lepas tu, cakap kat anak pukul berapa kita nak dia tidur malam. Contohnya saya cakap ‘malam ni Qisya tidur pukul 9 ya’. Cakap banyak-banyak kali biar dia boleh register dalam kepala malam nanti nak kena tidur awal. Kalau tak tepat pukul9 pun at least lebih kurang waktu tu jugaklah dia tidur.
2. Elak beri makanan manis dan bergula selepas pukul 7 malam
Saya percaya ramai juga di kalangan para ibu yang belum perkenalkan lagi makanan bergula kepada anak-anak sebelum usia 2 tahun. Jadi, tips ni mungkin tak terpakailah untuk mereka.
Tapi walaupun saya suka menjaga pengambilan gula, tapi saya dah bagi anak saya cuba rasa. Cuma junk food tu memang cuba elaklah sebolehnya. Jadi, kalau kita dah mula perkenalkan makanan bergula kepada anak, hadkan sampai sebelum pukul7 jela untuk dia makan. Sebab gula ni boleh buat anak jadi aktif.
Yela, dapat tenaga kan. Nak nak lagi kalau dah memang nak masuk waktu tidur sangat, A BIG NO-NO lah benda-benda manis ni.
3. Berikan mandian air suam untuk si kecil sebelum tidur
Yang ni kena bereksperimen jugaklah ya. Ada anak kecil lagi dah mandi lagi dia aktif. Tapi sebelum tidur kalau bagi mandian air suam sebenarnya dia cepat rasa mengantuk jugak. Sebab rasa selesa je. ‘Cozy’ je. Jangan lama sangat. Sekadar nak bagi dia rasa nyaman je.
4. Buat ‘massage’ untuk si manja dengan minyak ‘essential’
Lepas si manja dah mandi tu, bolehlah buat urutan sikit kat dia dengan essential oil yang sesuai untuk bagi anak tidur.
Antara essential oil yang sesuai adalah lavender dan roman chamomile. Saya kadang-kadang guna je face oil. Tapi saya macam pernah nampak orang jual minyak untuk bagi bayi senang tidur. Bolehlah mula cari ya.
5. Baby conditioning
Ok. Sebenarnya bagi urutan tu pun termasuk teknik ‘baby conditioning’ jugak. Selain itu, kita pun tambahlah pasangkan muzik beralun yang macam nak bagi tidur tu atau lebih afdhalnya bacaan ayat Quran. Kita bacakan untuk dia lebih nyaman untuk dia rasanya.
Lepas tu, tutup semua lampu jangan ada bagi sikit pun cahaya masuk. Cahaya handphone pun tak boleh. Maknanya, ibu-ibu kena bertahanlah sekejap ya. Inilah masanya pun kita nak bonding betul-betul dengan anak. Tengok muka dia bahagia tidur kat sebelah kita.
Kalau rumah jenis banyak nyamuk masuk, pasang dulu ubat nyamuk siap-siap. Pasanglah aircond ke kalau dia suka sejuk-sejuk. Sebab kita nak bagi anak tidur dengan nyaman sampai esok pagi. Kalau tiba-tiba pukul12 dia terbangun sebab nyamuk gigit atau panas, tak ke perit tu nak tidurkan balik?
6. ‘Ibu, konsisten dan bertabahlah!’
Memang bukan mudah nak latih anak kita tidur awal kalau kita baru nak bermula. Mencabar sungguh aih.
Malam pertama tu je saya ambil masa sejam lebih nak tidurkan dia. Langsung tak tengok handphone. Tawakkal ja kalau ada customer PM harap dia bersabar.
Memang kena fokus betul-betul nak bagi anak kita ni tidur. Kena buat hari-hari pulak tu.
Ada hari rasa nak give up tu biasa. Nak biar jela tidur pukul berapa pun. Tapi kita nanti kembali balik ‘ini semua untuk kebaikan anak jugak’.
Jadi, ibu-ibu yang kuat teruskan usaha kalau betul-betul nak mulakan disiplin tidur anak-anak. Sampai nanti dia dah ada ‘biological clock’ dia sendiri. Dia sendiri yang rasa nak tidur bila sampai waktu tidur dia yang kita latih.
InshaAllah, moga mudah semuanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pilihan permainan yang betul diberikan kepada anak akan membantunya menjadi bijak dan aktif. Oleh itu, jika anak hendak beli permainan bukan sekadar beli je, tetapi ibu ayah kena ketahui faedah kegunaan barang permainan itu untuk perkembangan anak. Jika salah pilih dan bukan mengikut tahap usianya tentu akan memberi kesan kepada perkembangannya.
Secara umumnya alat mainan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu
-Aktif
-Manipulatif
-Kreatif
-Belajar
-Main peranan
6 KATEGORI PERMAINAN 1.ALAT PERMAINAN AKTIF
Faedah: Membina tubuh badan dan fizikal yang kuat. Dia juga boleh belajar bergaul dan membina jaringan sosial, belajar untuk bertolak ansur dan mengambil giliran, bersabar, memahami orang lain dan kerja berpasukan.
a)Tolak dan tarik
Antara permainan menggunakan mekanisme tolak dan tarik ialah seperti kereta tolak mainan (wagon), troli, kereta sorong bayi mainan dan skuter.
b)Tunggang
Mainan yang boleh ditunggang pada usia ini ialah basikal dengan roda tambahan, kereta mainan yang mempunyai kawalan stereng atau kuda mainan yang bersaiz besar.
c)Alat mainan luar rumah
Gelongsor, buaian dan mainan pengimbang adalah antara yang dicadangkan untuk si manja pada usia ini.
d)Peralatan sukan
Mama dan papa boleh membeli bola, papan luncur, kasut beroda, layang-layang, kolam renang mudah alih, tali skip dan sebagainya.
2.ALAT PERMAINAN MANIPULATIF
Faedah: Menggalakkan si manja untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mempelajari bentuk objek, tekstur, saiz dan perbandingan daripada segi warna, memberikan perhatian dalam masa yang lama dan mempelajari tentang kesan-akibat.
a)Pembinaan
Terdiri daripada blok kiub kayu besar dan kecil, objek plastik yang boleh disambung (interlocking), blok yang boleh membina objek lebih realistik.
b)Puzzle
Pada usia ini, set puzzle yang sesuai tidak lebih daripada 50 keping. Pilih yang diperbuat daripada kadbod keras dan mempunyai warna yang ceria.
c) Reka kreatif
Anda boleh mendapatkan alat permainan manipulatif jenis ini iaitu manik besar yang boleh dicucuk pada tali (Manik perlulah dielakkan jika si kecil suka memasukkan objek ke dalam mulut). Set mainan felt berlubang dan benang untuk menjahit serta getah yang boleh dikaitkan menjadi gelang atau rantai.
d)Alat permainan manipulatif
Suai padan perkataan dengan objek, mengasingkan antara warna dan jenis; nesting toys, objek berkonsepkan geometri dan model mekanikal yang lebih kompleks.
e) Pakaian dan tali
Mainan seperti patung yang mempunyai latihan untuk memakaikan pakaian dan memasang butang. Jarum yang besar dan tumpul serta benang kasar boleh diberikan dengan pemantauan.
f) Mainan pasir dan air
Pasir mempunyai tekstur dan bertindak terhadap merangsang deria sentuhnya. Mainan untuk dimainkan di dalam bilik mandi seperti pam air dan sebagainya.
3.ALAT PERMAINAN KREATIF
Faedah: Boleh memajukan kemahiran intelektual dan pemikiran kritis serta menyeimbangkan emosi si manja. Ia juga menajamkan skil motor halus.
a)Alat muzik
Alat muzik yang mesra kanak-kanak seperti xylophone, harmonika, wisel dan rekoder serta piano.
b)Seni dan kraf
Perkakas seni seperti pensel warna, krayon, tanah liat, gunting kanak-kanak, papan hitam dan kapur, buku mewarna serta peralatan menjahit dengan jarum besar dan tumpul.
c)Audio visual
Kamera untuk merakam apa yang diminati sama ada gambar atau video.
4.BELAJAR
Faedah: Si manja boleh mempelajari perkara asas mengenai sesuatu perkara dan mendapatkan informasi yang tepat. Si kecil juga boleh mempelajari tentang kesan dan akibat.
a)Permainan
Kad, domino atau bingo (bergambar). Permainan seperti ular dan tangga juga boleh diberikan kepada si manja.
b)Skil spesifik
Contohnya seperti mempelajari tentang warna, bentuk, huruf dan nombor. Permainan berbentuk model juga sesuai untuk menunjukkan bahagian tubuh. Magnet, lampu picit, kanta pembesar, stetoskop, akuarium adalah objek sains yang boleh diperkenalkan pada usia ini. Jam boleh digunakan untuk mengajar si kecil mengira masa.
c)Buku
Pada usia lima hingga enam tahun, si manja lebih tertarik kepada buku-buku yang mempunyai kisah yang realistik. Kamus bergambar atau ensiklopedia junior boleh diberikan di samping buku berkisar haiwan (yang bersifat seperti manusia) dan alam semula jadi.
5.MAIN PERANAN
Faedah: Si manja boleh mengembangkan imaginasi dan membina daya intelek. Ia juga membantu menguatkan memori, pemikiran logik, kreativiti dan melontarkan pendapat. Ia juga latihan untuk si kecil untuk memberikan tumpuan dalam tempoh yang lama.
a)Anak patung
Pada usia ini, anak patung yang lebih realistik yang mempunyai rambut, membuka mata dan kaki dan tangan bersendi.
b) Mainan lembut
Seperti sayur dan buah yang diperbuat daripada kain felt dan diisi serat lembut boleh digunakan untuk masak-masak.
c)Puppet
Patung puppet yang boleh disarungkan pada jari dan tangan dan pentas puppet mini untuk tujuan bercerita.
d)Berlakon
Permainan seperti set dapur kecil untuk bermain masak-masak sesuai dibelikan pada usia ini. selain itu, anda juga boleh menyediakan kostum seperti kostum puteri, kot doktor atau telefon mainan untuk dia bermain peranan sebagai pelbagai watak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.