
Ayah kandung didakwa sepak anak perempuan berusia lima tahun dalam satu kejadian di sebuah kedai makan di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Anak kecil sepatutnya membesar dalam persekitaran yang membuatkan mereka berasa selamat, lebih-lebih lagi ketika berada bersama ibu dan ayah sendiri. Namun satu kejadian membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun baru-baru ini mengundang perhatian selepas bapanya didakwa melakukan kekerasan terhadapnya.
Seorang anggota tentera berusia 40 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menganiaya anak perempuan kandungnya dengan menyepak kanak-kanak berkenaan di sebuah kedai makan, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak kandungnya di sebuah kedai makan di Lot 143, Batu 2, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, kira-kira jam 10.55 malam pada 11 September lalu.
Sebagai bapa kandung kepada mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001
.Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin memohon supaya tertuduh tidak diberikan jaminan memandangkan kes berkenaan melibatkan seorang kanak-kanak.
Pihak pendakwaan turut menyatakan kebimbangan tertuduh mungkin mengganggu mangsa yang juga merupakan anak kandungnya.
Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidie Akmal Hasan Basri memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Menurut peguam, tertuduh merupakan seorang anggota tentera yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan mempunyai tiga orang anak.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa isteri tertuduh tidak bekerja dan sedang menjalani rawatan hemodialisis, menyebabkan beliau memerlukan bantuan suaminya untuk urusan mendapatkan rawatan di hospital secara berkala.
Peguam turut memaklumkan tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan keganasan rumah tangga atau kesalahan seumpamanya.
Selain itu, pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh tidak berisiko melarikan diri kerana masih tertakluk kepada pemantauan pasukan tempatnya berkhidmat.
Artikel Berkaitan: Tanda-Tanda Awal Kanser Darah Pada Kanak-Kanak Yang Mengejutkan, Panduan Penting Ibu Bapa
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan
.Mahkamah bagaimanapun menetapkan beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi tertuduh sepanjang tempoh kes berlangsung.
Antaranya, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, khususnya mangsa.
Dia juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya memilikinya dan diwajibkan melaporkan diri di Balai Polis Pengkalan Chepa atau balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.
Sebelum pertuduhan dikemukakan di mahkamah, rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai menyepak seorang kanak-kanak di sebuah kedai makan di Kota Bharu telah tular di media sosial.
Rakaman tersebut mengundang reaksi serta kecaman daripada orang ramai selepas melihat tindakan yang dipercayai dilakukan terhadap kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun, kes ayah kandung didakwa sepak anak ini kini berada dalam proses mahkamah dan tertuduh telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Apa pun keputusan kes ini nanti, kejadian seperti ini menjadi peringatan bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi tempat orang dewasa melepaskan kemarahan atau tekanan.
Anak berusia lima tahun masih berada pada peringkat belajar memahami emosi, peraturan dan tingkah laku. Ada masanya mereka menangis, meragam, tidak mendengar arahan atau melakukan sesuatu yang boleh menguji kesabaran ibu dan ayah.
Namun disiplin tidak sepatutnya berubah menjadi tindakan yang boleh menyakiti tubuh atau emosi anak.
Apabila ibu atau ayah berasa terlalu marah, lebih baik menjauhkan diri sebentar daripada situasi tersebut, memastikan anak berada di tempat yang selamat dan menenangkan emosi sebelum mengambil sebarang tindakan.
Menegur anak boleh dilakukan dengan tegas tanpa menggunakan kekerasan.
Lebih penting, ibu bapa perlu sedar bahawa bagi seorang anak kecil, rumah dan ibu bapalah antara tempat pertama yang sepatutnya memberikan rasa perlindungan dan keselamatan.
Tindakan orang dewasa ketika sedang marah juga boleh meninggalkan kesan kepada anak jauh lebih lama daripada yang kita sangka.
Anak mungkin melakukan kesilapan kerana mereka masih belajar. Orang dewasa pula mempunyai tanggungjawab untuk membimbing tanpa menjadikan kekerasan sebagai jalan keluar.
Sumber: Astro Awani