Pendidikan tinggi sentiasa menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan negara. Dalam memastikan tiada pelajar tercicir dan setiap anak muda berpeluang mengejar ilmu tanpa terbeban kewangan, Kerajaan terus memperkukuh inisiatif bantuan pendidikan melalui Belanjawan 2026.
Pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, jelas memperlihatkan keprihatinan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan usaha berterusan ke arah kelestarian pendidikan tinggi negara.
Pembentangan Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 10 Oktober 2025 (Jumaat) akan memberikan manfaat kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN menyambut baik pengumuman inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2026 dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Kerajaan atas keprihatinan terhadap kebajikan peminjam dan pelajar. Inisiatif yang diumumkan adalah seperti berikut: i. Pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun; ii. Pengecualian bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah. Ini memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun; dan iii. Sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik.
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar daripada keluarga miskin. Selaras dengan komitmen memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, pinjaman PTPTN kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar berdasarkan data e-Kasih yang melanjutkan pengajian di IPTA akan ditukar kepada biasiswa bermula tahun 2026. Langkah ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.
Kerajaan juga terus menitikberatkan usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi di Malaysia. Sehubungan itu, pelajar digalakkan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik. Sebagai penghargaan kepada mereka yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Kerajaan memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam berpendapatan B40 dan M40.
Pada masa yang sama, Kerajaan menekankan kepentingan kelestarian dana PTPTN demi memastikan generasi masa depan turut berpeluang menikmati kemudahan pembiayaan pendidikan tinggi. PTPTN merupakan kemudahan pinjaman yang perlu dilunaskan semula bagi menjamin kesinambungan dana kepada peminjam baharu. Oleh itu, sekatan perjalanan ke luar negara akan dilaksanakan secara bersasar kepada peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan.
Inisiatif yang diumumkan ini mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan komitmen Kerajaan dalam melaksanakan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pendidikan negara. Perincian lanjut berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan diumumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.
Langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada ribuan pelajar dan peminjam, malah menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam memperkukuh masa depan pendidikan negara.
Dengan bantuan yang disasarkan dan keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah serta sederhana, setiap pelajar kini berpeluang menamatkan pengajian tanpa dibelenggu beban hutang. Dalam masa yang sama, komitmen terhadap pembayaran balik pinjaman kekal penting untuk menjamin kesinambungan dana bagi generasi pelajar akan datang.
Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dalam helaian bajet tetapi ia adalah harapan baru buat anak muda Malaysia untuk terus melangkah dengan yakin, membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2025/2026 dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar Tingkatan Enam baharu, bermula hari ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, agihan bantuan ini akan dibuat secara serahan tunai melalui sesi pertemuan khas antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar. Pertemuan ini akan diatur oleh pihak sekolah bagi memastikan proses penyampaian bantuan berjalan lancar.
“Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak dapat hadir, sekolah dibenarkan menyerahkan bantuan tersebut kepada pelajar dengan syarat mendapat kebenaran bertulis,” jelas Fadhlina dalam satu sidang media pada Ahad.
Majlis penyerahan rasmi bantuan ini turut berlangsung di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di mana Fadhlina merasmikan program penyaluran bantuan kepada murid Tingkatan Enam Semester Satu 2025.
Menurut Fadhlina, sebanyak RM7,958,250 telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk inisiatif ini, yang akan memberi manfaat kepada 53,055 pelajar Tingkatan Enam baharu di seluruh negara. Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun ini merupakan kali pertama inisiatif BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam. Jumlah keseluruhan kos pelaksanaan program ini dianggarkan sekitar RM15 juta, dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar di seluruh negara.
Fadhlina turut menegaskan bahawa pelaksanaan BAP ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memartabatkan program Tingkatan Enam sebagai salah satu laluan pendidikan penting negara. Inisiatif ini juga bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Pelaksanaan inisiatif ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Madani untuk memartabatkan program Tingkatan Enam dan membantu meringankan beban persekolahan pelajar,” tambahnya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Fizz Fairuz timang bayi perempuan kelima,”Tarikh Almy dijangka bersalin sepatutnya 6 Oktober depan…” Pelakon dan penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz memberitahu bahawa dia dan isterinya menimang cahaya mata perempuan selepas isterinya yang juga pelakon, Datin Almy Nadia selamat melahirkan anak kelima mereka, Rabu lalu.
Pengumuman itu sekali gus meleraikan teka-teki mengenai status jantina anak bongsu pasangan selebriti itu yang dikatakan akhirnya memiliki anak lelaki.
“Alhamdulillah, kami terima banyak ucapan dan doa daripada peminat. Malah, ada yang cakap akhirnya dikurniakan anak lelaki. Tapi hari ini biarlah saya maklumkan, kami dikurniakan anak perempuan yang kelima,” katanya.
Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, Fizz berkata, Almy berada dalam keadaan baik dan kini sedang menjalani tempoh berpantang.
“Kalau nak diikutkan, tarikh Almy dijangka bersalin adalah pada 6 Oktober depan. Namun, bayi kelima lahir lebih dua minggu awal secara normal.
“Syukur semuanya dipermudahkan. Walaupun dua tiga minggu sebelum kelahiran, Almy mengalami sakit di bahagian bawah perut kerana kedudukan bayi yang sudah ke bawah sehingga dia sering keluar masuk hospital.
“Ketika itu, dia belum boleh bersalin lagi kerana bayi baru berusia 35 minggu. Setiap kali rasa sakit, doktor akan berikan ubat demi memastikan keselamatan bayi dalam perut.
“Jadi bila kandungan sudah masuk minggu ke-37 dan kami sekali lagi ke hospital untuk buat pemeriksaan, didapati sudah ada bukaan sebanyak dua sentimeter,” katanya.
Terdahulu Fizz Fairuz berkongsi berita gembira yang isterinya, Almy Nadia telah selamat melahirkan anak kelima menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Fizz Fairuz dan Almy Nadia sudah dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 9; Nur Afrina Aurora, 8; Nur Afrina Ayra, 6; Nur Afrina Aisyah, 3. Mereka turut mempunyai seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 15.