Ads

Baby Blues Atau Kemurungan Selepas Bersalin? Jangan Abaikan!

baby blues

Selepas melahirkan bayi, bukan hanya tubuh ibu yang melalui perubahan besar. Emosi juga boleh berubah dengan begitu cepat. Ada ketika ibu berasa sangat gembira melihat wajah si kecil, tetapi beberapa jam kemudian tiba-tiba rasa sedih, mudah tersentuh atau menangis tanpa tahu sebabnya.

Keadaan seperti ini sering dikaitkan dengan baby blues dan ia sebenarnya agak biasa berlaku dalam tempoh awal selepas bersalin. Namun, ibu dan ahli keluarga perlu tahu bahawa baby blues tidak sama dengan postpartum depression (PPD) atau kemurungan selepas bersalin.

Walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan perubahan emosi, perbezaan utama terletak pada tempoh, tahap keterukan simptom serta sejauh mana keadaan tersebut mengganggu kehidupan harian ibu.

baby blues

Kenapa Ibu Boleh Mengalami Baby Blues?

Selepas bayi dilahirkan, paras hormon estrogen dan progesteron dalam tubuh ibu menurun dengan mendadak. Perubahan hormon ini dipercayai menjadi antara faktor yang boleh mempengaruhi emosi selepas bersalin.

Dalam masa yang sama, ibu juga sedang melalui proses pemulihan fizikal selepas melahirkan bayi.

Kurang tidur, badan yang masih sakit, perlu bangun beberapa kali pada waktu malam, cabaran penyusuan dan tanggungjawab menjaga bayi yang baru lahir boleh membuatkan ibu berasa sangat penat.

Bagi ibu yang baru pertama kali mempunyai anak, perubahan rutin yang begitu besar juga boleh membuatkan mereka berasa overwhelmed.

Ada ibu mula mempersoalkan diri sendiri, bimbang tidak tahu menjaga bayi dengan betul atau takut tidak mampu menjadi ibu yang baik.

Ads

Menurut American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), baby blues lazimnya mula dirasai sekitar dua hingga tiga hari selepas melahirkan bayi dan boleh menyebabkan seseorang berasa sedih, cemas, mudah marah atau menangis tanpa sebab yang jelas.

Baby Blues Biasanya Tidak Berpanjangan

Ibu yang mengalami baby blues mungkin berasa sangat sensitif, mudah menangis, cepat marah atau sukar tidur. Emosi juga boleh berubah-ubah dengan cepat. Sekejap rasa gembira, kemudian tiba-tiba rasa sedih atau risau.

Walaupun keadaan ini boleh membuatkan ibu berasa tidak selesa, baby blues biasanya bersifat sementara. Keadaan ini lazimnya semakin baik dengan sendiri dalam beberapa hari hingga sekitar satu atau dua minggu selepas bersalin.

Dalam tempoh ini, sokongan pasangan dan keluarga sangat penting. Memberikan ibu peluang untuk berehat, membantu menjaga bayi, menyediakan makanan atau sekadar menjadi pendengar boleh membantu mengurangkan beban yang sedang dirasainya.

baby blues

Ads

Bila Baby Blues Sebenarnya Mungkin PPD?

Perkara yang perlu diberi perhatian adalah apabila kesedihan, keresahan atau perubahan emosi tersebut tidak semakin berkurang selepas dua minggu, malah menjadi semakin berat sehingga mengganggu kehidupan seharian.

Keadaan ini mungkin menjadi petanda postpartum depression (PPD). PPD bukan sekadar ibu terlalu penat atau “terlebih emosi” selepas bersalin. Ia merupakan keadaan kesihatan mental yang memerlukan perhatian dan boleh dirawat.

Menurut ACOG, postpartum depression boleh menyebabkan perasaan sedih, cemas atau putus asa yang begitu kuat sehingga seseorang mengalami kesukaran melakukan aktiviti hariannya. Ia paling kerap bermula dalam tempoh satu hingga tiga minggu selepas bersalin, tetapi boleh berlaku sehingga setahun selepas kelahiran bayi.

Tanda PPD Yang Tidak Patut Diabaikan

Antara tanda yang boleh berlaku termasuklah:

  • Ibu berasa sedih atau kosong secara berpanjangan
  • Hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini disukai
  • Berasa tidak berguna, terlalu bersalah atau merasakan dirinya ibu yang tidak baik.
  • Mengalami keresahan keterlaluan
  • Sukar tidur walaupun mempunyai peluang untuk berehat
  • Sukar tumpukan perhatian atau buat keputusan
  • Sukar untuk membina ikatan dengan bayi.

Sebab itu, perubahan emosi ibu selepas bersalin tidak seharusnya terus dianggap sebagai sesuatu yang perlu “ditahan” kerana ia mungkin sekadar kesan hormon.

Ads

baby blues

Baby Blues Dan PPD, Ini Perbezaan Mudah

Secara ringkasnya, baby blues biasanya ringan dan sementara. Ibu mungkin mudah menangis, sensitif atau risau tetapi keadaan tersebut semakin beransur baik dalam tempoh sekitar dua minggu.

PPD pula lebih berat dan berpanjangan. Emosi yang dialami boleh menyebabkan ibu hilang minat terhadap kehidupan, berasa putus asa serta mengalami kesukaran menjalankan rutin harian atau menjaga diri dan bayi.

Tidak seperti baby blues yang biasanya pulih dengan sendiri, PPD boleh memerlukan rawatan seperti terapi, sokongan psikologi atau ubat-ubatan bergantung kepada penilaian profesional kesihatan.

Pasangan Dan Keluarga Jangan Tunggu Ibu Minta Tolong

Ada ibu yang tidak sedar dirinya sedang mengalami PPD. Ada juga yang sedar tetapi memilih untuk berdiam diri kerana takut dianggap lemah atau tidak pandai menjaga anak.

Sebab itu pasangan dan ahli keluarga perlu lebih peka terhadap perubahan yang berlaku.

Jika ibu kelihatan semakin murung, kerap menangis, mengasingkan diri, hilang minat terhadap perkara yang biasanya disukai atau mengatakan dirinya tidak mampu menjadi ibu yang baik, cepat bertindak dan bantu ibu sebaiknya.

Sumber: Tanya Pakar Pa&Ma

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Air Ketuban Pecah Tapi Tiada Kontraksi, Perlu Ke Hospital Atau Tunggu?

Air Ketuban Pecah Tapi Tiada Kontraksi, Perlu Ke Hospital Atau Tunggu?

Air ketuban pecah tidak semestinya bayi terus lahir. Ketahui tindakan penting yang perlu dilakukan, bila perlu ke hospital dan bila perlu hubungi 999.