Anak Datang Haid Usia 8 Tahun? Doktor Pakar Jelaskan Bahaya Akil Baligh Pra-Matang

Share

MUNGKIN ada ibu bapa yang terkejut apabila anak perempuan mereka datang haid terlalu awal seawal usia lapan tahun! Walhal secara normalnya, akil baligh bagi kanak-kanak perempuan hanya bermula sekitar usia sembilan tahun ke atas. Fenomena ini semakin kerap berlaku dan kini menjadi kebimbangan serius dalam kalangan pakar kesihatan kanak-kanak.

Menurut pengamal perubatan, Dr. Hannani Kamarudin, keadaan ini dikenali sebagai akil baligh pra-matang atau precocious puberty, iaitu apabila tubuh kanak-kanak mula mengalami perubahan hormon dewasa terlalu awal daripada sepatutnya.

“Kalau umur enam tahun dah ada payudara, umur lapan tahun dah datang haid… itu tak normal dan bahaya,” jelas Dr. Hannani.

Punca Akil Baligh Pra-Matang

Beliau turut menasihati para ibu bapa agar tidak memberikan anak-anak kecil produk kosmetik atau penjagaan diri orang dewasa seperti mekap, minyak wangi, gincu atau deodoran. Kandungan bahan kimia tertentu dalam produk ini — antaranya paraben, BPA (Bisphenol A) dan phthalates — boleh meniru fungsi hormon estrogen, sekaligus mempercepatkan proses akil baligh pra-matang.

Selain penggunaan produk dewasa, beberapa faktor lain juga boleh menyumbang kepada masalah ini, antaranya:

  • Pemakanan tidak sihat seperti makanan segera, tinggi lemak dan mengandungi bahan pengawet.
  • Gaya hidup moden yang kurang aktif dan banyak terdedah kepada peranti.
  • Persekitaran yang mengandungi bahan kimia hormon tiruan dalam plastik dan kosmetik.

Bahaya Akil Baligh Pra-Matang Jika Tidak Dikawal

Akil baligh pra-matang bukan sekadar isu perubahan fizikal awal, tetapi turut memberi kesan kepada emosi, keyakinan diri dan perkembangan mental kanak-kanak. Lebih membimbangkan, pendedahan berterusan terhadap bahan kimia ini juga boleh meningkatkan risiko kanser di kemudian hari.

“Jaga anak-anak kita, terutamanya anak perempuan. Mereka tak boleh datang haid sebelum umur sembilan tahun,” pesan Dr. Hannani lagi.

Langkah Ibu Bapa Lindungi Anak Dari Akil Baligh Awal

Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih peka dalam memilih produk untuk anak. Jangan mudah terpengaruh dengan trend kecantikan atau kecomelan semata-mata hingga menormalisasi penggunaan produk dewasa pada anak kecil.

  • Pilih produk penjagaan diri tanpa bahan kimia berbahaya seperti paraben dan phthalates.
  • Galakkan anak mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
  • Berikan makanan semula jadi kaya nutrien seperti buah, sayur dan bijirin penuh.
  • Elakkan makanan diproses dan minuman tinggi gula.

✨ Ingat, anak kecil bukan mini versi orang dewasa. Lindungi tubuh dan masa depan mereka dengan pilihan yang lebih selamat dan semula jadi.

Published by
Nana